Isnin, 12 Mac 2012

Novel SEBELUM NAFAS TERHENTI(BAB 3 )



BAB 3


Pada waktu itu, tamannya akan kelihatan indah dan berseri. Seminggu dua selepas itu, bunga-bunga yang berkembangan akan gugur ke bumi, tamannya kembali sunyi daripada warna warni. Bunga-bunga tidak pernah menjadi. Bunga-bunga berkembang seminggu dua sahaja. Pokok-pokoknya kurus dan nampak tidak segar walaupun di baja.
“Abang, petang nanti saya rasa nak pergi melawat Nurlisa. Entahlah bang, saya rasa kasihan pula kepada budak itu dan keluarganya.” Datin Rabiatul meluahkan keinginannya kepada Datuk Haris. Datuk Haris yang berada tidak jauh darinya sedang membetul-betulkan susunan batu-batu yang menghiasi taman mereka.
“Kasihan? Mengapa pula?” Datuk Haris menghampiri Datin Rabiatul sambil mengusung sebuah pasu. Besar pasu yang sedang diusung oleh lelaki itu sehingga memaksa dia berhenti dua tiga kali untuk berehat seketika.
“Pokok ni kena diletakkan di tempat redup! Tengok ni, dah hampir lecur.” Datuk Haris menunjukkan Datin Rabiatul pasu yang dibawanya, yang tertanam pokok paku pakis berdaun halus. Pasu itu diletakkannya di atas tanah berhampiran pokok keladi.
Datin Rabiatul membantu Datuk Haris mengalihkan kedudukan pasu berisi pokok keladi yang daunnya lebar-lebar. Pasu itu agak besar juga.
“Letak di sinilah bang. Redup! Cahaya matahari pun tak banyak di sini sebab pokok-pokok yang kita tanam di sini jenis berdaun rimbun.” Datin Rabiatul memberi cadangan.
“Hah! Tadi... tu yang awak kata awak kasihan pada keluarga Nurlisa tu, apa yang tak kenanya?” Datuk Haris menyoal kembali. Dia berdiri tegak setelah mengubah pasu dan bernafas agak tercungap. Membatalkan hasratnya untuk bermain golf, Datuk Haris membantu isteri menyusun atur pasu-pasu di taman mereka. Sesekali beriadah begitu, mungkin lebih baik daripada bermain golf.
“Keluarga dia susah dan miskin! Melihat keadaan rumah mereka, sedihnya rasa hati saya. Rumah arnab peliharaan kita pun lebih elok lagi!” Datin Rabiatul bersuara sayu. Sungguhpun waktu malam dan rumah tempat tinggal Nurlisa yang dijengahnya semalam tidak begitu jelas di pandangan matanya kerana agak samar-samar cahayanya, Datin Rabiatul dapat meneka kedaifan rumah mereka.
“Saya dulu pun susah dan miskin! Ini hakikat kehidupan, kenalah usaha sikit jika mahu hidup senang!” Datuk Haris seolah merungut.
“Sekarang ni abang dah kaya raya, kenalah bantu orang yang susah!” Datin Rabiatul cuba menduga. Wajah suami yang berpeluh diperhatikannya.
“Tun! Setiap tahun saya keluarkan zakat untuk perniagaan saya, zakat wang dan macam-macam lagi! Wang zakat ni untuk bantu orang-orang miskinlah! Saya membantu mengikut saluran yang betul.” Datuk Haris memandang ke wajah isterinya yang berpeluh.
“Itu saya tahulah, bang! Tapi saya rasa nak bantu dengan cara yang lain.” Datin Rabiatul seolah berfikir.
“Cara yang lain? Yang bagaimana? Dirikan mereka rumah batu? Hulurkan wang sehingga satu guni? Beri makanan untuk satu tahun? Macam yang selalu awak tengok di TV tu?” Datuk Haris seolah menyindir.
“Itu semua, cuma dapat membantu sementara saja Tun! Sampai bila orang kita hendak disuap? Mereka kena berusaha untuk keluar daripada kelompong kemiskinan! Kena ingat, eh! Kan Rasulullah dah berpesan, bekerja dan berusahalah kamu seolah kamu akan hidup untuk selamanya!” Datuk Haris bersuara agak serius sambil menarik nafas panjang. Peluh di dahi dilap dengan belakang tangannya.
“Abang ni! Apa salahnya saya hendak membantu orang lain. Manalah tahu dengan kebaikan itu, Allah akan pulihkan kembali si Aldi tu.” Datin Rabiatul seolah merajuk dengan kata-kata yang dilemparkan oleh suaminya itu. Wanita itu juga mengelap peluh yang membasahi tepi pipinya.
Mendengarkan ungkapan yang dikeluarkan oleh isterinya itu, Datuk Haris ketawa kecil. “Tengok tu, itu dah tak ikhlas namanya. Berbuat sesuatu kebaikan untuk mendapatkan ganjaran pula. Niatnya dah tak betul lagi dah.” Datuk Haris seolah menempelak.
“Niat saya baik, bang. Saya nak bantu keluarga itu. Ganjaran daripada Allah tu, terpulanglah kepada-Nya. Hanya yang saya harapkan ialah Allah akan memulihkan kembali si Aldi itu. Harapan dan doa seorang ibu bang!” Nada suara Datin Rabiatul agak sedih.
“Lagipun, takkan abang tak tahu hadis Rasulullah tu, selain Rasulullah menyatakan bekerjalah kamu seolah kamu hidup selamanya. Rasulullah juga menyatakan, beramal ibadatlah kamu seolah kamu akan mati esoknya!” Datin Rabiatul bersuara perlahan sambil tangannya melibas-libas nyamuk yang terbang berkeliaran di sekelilingnya.
“Kita berbuat kebaikan kepada orang lain, bukan ke satu amalan baik yang pahalanya akan mengikut kita sehingga ke hari kiamat nanti.” Datin Rabiatul terdiam seketika.
“Tak taulah pula, kalau harta benda dan wang ringgit abang akan ikut sama.” Sambung Datin Rabiatul lagi sambil tersenyum dan menjeling suaminya.
“Menyindir sayalah tu!” Datuk Haris seolah merungut.
“Bukan menyindir! Saya ingin mengingatkan abang!” Datin Rabiatul bersuara lembut sambil merenung ke wajah Datuk Haris. Bibirnya mengukir senyuman cuba memujuk suami yang hatinya mungkin tercalar.


~BERSAMBUNG~

Tiada ulasan: