Rabu, 1 Julai 2015
Cinta Tak Pernah Usai Bab 5
MENTARI sudah memudarkan cahayanya sedikit demi sedikit. Silauannya semakin meredup. Langit yang membiru pun telah diselubungi awan gemawan. Masa yang terus beredar berabad lamanya. TUHANlah yang telah menghadiahkan kita masa yang singkat di bumi ini.
Waktu menunjukkan hampir 6.00 petang. Sudah berulang kali Akif memerhati ke arah tempat parkir kereta berhadapan dengan pasar mininya. Namun, kereta Kelisa merah masih belum kelihatan. Sudah seminggu dia berkeadaan begitu. Tidak tahu apa sebabnya. ‘Memang benarlah penantian itu satu penyiksaan,’ kata hati kecilnya pula.
Hampir senja, bibirnya mengukir senyuman sebaik sahaja melihat kelibat kereta itu sedang menghampiri lorong masuk ke tempat parkir di hadapan pasar mininya. Rasa kecewa kerana melihat pemandu kereta Kelisa merah bukan si dia yang dinanti.
“Assalamualaikum Akif...” panggil Pak Yusof sebaik sahaja keluar dari kereta. Dia terus membuka boot dan mengeluarkan dua buah kotak. Akif datang menghampirinya. Bunga-bunga kecewa di hatinya bertambah mekar, apabila melihat Pak Yusof datang bersendirian.
“Yana tak dapat datang! Dia demam. Ada di wad. Doktor syak dia kena denggi,” beritahu Pak Yusof sebaik sahaja Akif berdiri di sisinya. Terkejut Akif mendengar perkabaran itu.
“Oh ya? Kenapa dia tak telefon beritahu saya. Saya tertunggu-tunggu jugak. Sebab waktu dia datang ke sini dua minggu lalu, dia janji nak hantar kerepek ni hari Sabtu minggu lepas,” beritahu Akif, ramah. Dia mengangkat sebuah kotak dan membawa masuk ke dalam pasar mininya diiringi Pak Yusof yang juga membawa sebuah kotak. Mendengar kata-katanya itu Pak Yusof ketawa kecil.
“Yana anak pak cik tu pemalu sikit! Lagipun dia belum kenal sangat dengan Akif. Tu yang dia segan nak beritahu,” cerita Pak Yusof.
“Oh...” sambut Akif ringkas.
Dia terkenangkan pertengkaran kecil yang ditimbulkan oleh Dayana pada pertemuan mereka sebelum itu. Keberanian Dayana meluahkan kata-kata untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya tidak menggambarkan yang dirinya seorang pemalu.
‘Agaknya dia geram sangat hari tu,’ pujuk hatinya pula.
“Pak cik datang ni pun, dia yang desak-desak waktu pak cik melawat dia di wad semalam. Sampai nangis-nangis dia suruh pak cik hantarkan kerepek-kerepek ni! Dia kata dia dah janji dengan Akif. Dia rasa malu kalau tak tunaikan janji,” beritahu Pak Yusof lagi.
“Alah, kalau Yana telefon dan beritahu hal yang sebenar, saya pergi ambil di rumah pun tak apa, pak cik,” jawab Akif, lembut.
“Kalau saya tak sempat, saya suruh pekerja saya pergi ambil,” kata-kata yang terungkap di bibir Akif berhenti seketika kerana dia mengira jumlah bungkusan kerepek yang dibawa oleh bapa Dayana.
“Yana bila nak discharged? Doktor ada beritahu pak cik tak?” soal Akif apabila selesai mengira. Pak Yusof menggeleng.
“Ada 600 bungkus pak cik,” beritahu Akif pula setelah mengira sekali lagi. “Nanti pak cik suruh Yana tulis invois ya,” pesannya sambil mencatit sesuatu pada buku kecil yang di tangannya.
“Invois?” tanya Pak Yusof kerana tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh anak muda itu. Baru pertama kali dia mendengar perkataan itu. Pak Yusof menggaru-garu kepala sejenak. Akif yang melihatnya menyengih lebar.
“Tak apa, pak cik. Nanti saya ajarkan Yana, macam mana nak buat! Dokumen-dokumen urus niaga ni sangat penting untuk tujuan rekod kita,” jelas Akif dengan lembut.
“Yalah, Akif. Akif ajarkanlah anak pak cik tu cara-cara nak uruskan bisnes dengan betul. Kecil atau besar perniagaannya kenalah ikut cara yang sepatutnya, betul tak?” tanya Pak Yusof.
“Insya-ALLAH, pak cik. Saya akan tunjuk ajarkan Yana.” janji Akif dengan senyuman yang semakin melebar. Hatinya berasa senang dengan permintaan bapa gadis itu.
“Pak cik balik dululah, Akif. Nanti kalau ada apa-apa Akif telefonlah Yana tu, ya,” ujar Pak Yusof sambil membuka pintu keretanya.
“Nak telefon macam mana, pak cik? Nombor telefon Yana saya tak ada simpan,” terang Akif sambil tersenyum. Dia terasa segan hendak meminta nombor telefon gadis itu sewaktu mereka bertemu dua minggu yang lalu.
“Yana tak bagi nombor telefonnya kepada Akif?” soal Pak Yusof, agak terkejut. ‘Nak berniaga macam mana Yana ni, kalau nombor telefon sendiri pun lokek!’ Hati Pak Yusof seolah berbisik.
Akif menjawab soalan itu dengan senyuman sambil mengeleng.
“013...” Spontan sahaja bibir Pak Yusof menyebutkan nombor telefon bimbit Dayana. Akif terus mengambil telefon bimbit di dalam kocek seluarnya dan menyimpan nombor telefon gadis itu di dalam direktori telefon bimbitnya.
“Terima kasih, pak cik,” ucap Akif sambil menutupkan pintu kereta.
Pak Yusof melambaikan tangannya dan terus beredar dari situ. Akif menekan butang-butang di telefon bimbitnya dan menghubungi Dayana untuk bertanya kabar. Suara mesej pesanan yang menjengah gegendang telinga Akif, menghampakannya.
KEESOKANNYA harinya Akif meluangkan masa untuk melawat Dayana di wad. Matahari bersinar terang sewaktu kereta yang dipandu Akif tiba ke medan parkir Hospital Parit Buntar. Alhamdulillah, masih banyak tempat parkir yang kosong. Secara kebetulan sewaktu dia tiba memang sudah sampai masa untuk melawat. Akif pun cepat-cepat menaiki lif dan menuju ke wad pesakit perempuan.
DAYANA BT MOHD YUSOF. Katil nombor 13.
Mata Akif terpaku pada papan putih yang terlekat di dinding di luar pintu wad. Setelah itu dia berjalan cepat-cepat memasuki wad sambil matanya memerhati nombor-nombor di dinding di kepala katil pesakit. Bibirnya mengukir senyuman sebaik melihat Dayana yang sedang bermenung di atas katilnya seolah-olah sedang menunggu seseorang.
“Assalamualaikum...” sapanya kepada Dayana. Dayana tersentak. Dia mendongakkan wajahnya dan melihat wajah Akif. Tidak diduganya pemuda yang sedang dikenang menjelma di depan matanya.
“Waalaikumusalam,” jawab Dayana singkat menyembunyikan kekejutannya.
“Yana apa khabar?” soal Akif sambil merenung mesra.
“Akif nak tengok saudara sakit ke?” soal Dayana. Pertanyaan dari Akif tidak berjawab. Wajahnya sugul. Sebenarnya dia sedang menunggu kedatangan emak dan ayahnya untuk membawa dia pulang ke rumah.
“Hmm...” jawab Akif ringkas.
Matanya merenung Dayana yang sudah tidak berseragam hospital.
“Akif melawat siapa?” soal Dayana pula. Suaranya hambar. Matanya melilau ke sana sini. Cuba mengagak pesakit yang ada kena-mengena dengan pemuda yang sedang berdiri di sisinya. Akif tersenyum meleret.
“Saya datang memang nak melawat Yana lah,” beritahunya ramah.
“Yana dah sihat?” tanyanya pula mengulangi pertanyaan yang belum berjawab.
Dayana mengangguk perlahan. “Alhamdulillah,” jawabnya.
“Kenapa tak beritahu Akif, Yana masuk wad?” soal Akif lembut.
Dayana sedikit terkejut dengan pertanyaan itu. ‘Apa hal pulak aku nak beritahu mamat ni yang aku masuk wad? ’soal hati kecilnya. ‘Usia perkenalan masih terlalu singkat. Belum pun sampai dua bulan. Hati budinya pun aku belum kenal,’ rungut hati Dayana.
“Beritahu? Hmm...” kata Dayana sambil merenung wajah Akif dan mengerutkan dahinya. Dia ragu-ragu hendak memberi jawapan, bimbang akan mencalarkan hati pemuda itu.
“Yana...Yana... tak teringat nak beritahu, maaf,” dalihnya, tergagap-gagap.
Akif tersenyum lagi.Teringat pula dia kepada emak dan adiknya Nisah yang masih belum nampak batang hidung mereka.
“Akif datang bawa mak dengan adik sekali,” beritahu Akif pula. Matanya meninjau ke pintu wad. Dayana pun turut sama memerhati ke arah pintu masuk wad yang kelihatan sibuk dengan pelawat-pelawat keluar masuk. Jantungnya berdetak laju. Hal itu tidak diduganya sama sekali.
“Itu pun mereka,” kata Akif sambil melambai ke arah seorang wanita separuh usia dan seorang gadis remaja. Wanita dan gadis yang dilambai Akif berjalan laju menuju ke arah mereka.
“Yana, ini mak Akif,” perkenal Akif kepada Dayana. Dayana menghulurkan tangannya kepada emak Akif.
“Nama mak cik, Esah,” beritahu emak Akif pula dengan suara ramah dan tersenyum mesra. Lembut dan sejuk tangan Dayana yang di dalam genggamannya. Gadis itu mencium tangannya dengan sopan.
“Yang ini adik bongsu Akif,” perkenal Akif lagi.
“Hai, saya Nisah,” beritahu Nisah dengan suara riang. Dia sempat mencubit lengan Akif dan memberi isyarat mata kepada abangnya itu.
‘Oh! Agaknya inilah kekasih Abang Akif? Patutlah dia menolak cinta Kak Ros,’ bisik hati Nisah cuba meneka. Matanya merenung kepada Dayana dengan pandangan nakal.
“Dah sihat ke, Yana?” soal Mak Esah. Matanya yang mencuri pandang ke wajah gadis itu tidak berkalih agak lama. ‘Macam sepadan aje dengan Akif,’ bisik hatinya sendiri.
“Dah, alhamdulillah, mak cik. Hari ini Yana dah discharged! Sedang tunggu ayah datang ambil bawa balik. Terima kasih mak cik sudi datang. Buat susah-susah aje,” jawab Dayana, panjang lebar.
Mereka berbual-bual beberapa ketika tentang beberapa orang pesakit yang berada di wad itu. Dayana terasa segan juga dengan kemesraan dan keramahan yang ditunjukkan oleh Akif dan keluarga terhadapnya, sedangkan mereka belum pernah berkenal mesra.
Sambil berbual dengan Akif dan keluarga, hati Dayana dilanda resah. Sebenanya sudah empat jam dia menunggu ayahnya untuk mengambil dan membawa dia balik ke rumah tetapi ayahnya belum kunjung tiba. Isyarat mesej dari telefon bimbit Dayana mengganggu perbualan mereka.
“Maaf mak cik, Yana nak jawab SMS,” kata Dayana sambil mencapai telefon bimbitnya yang diletak di bawah bantal.
Tayar kereta pancit. Ayah tak dapat ambil Yana. Yana balik sendiri. Naik teksi.
‘Alah, kenapa ayah tak telefon beritahu dari tadi? Buang masa aje tunggu kat sini berjam!’ rungut hati Dayana. Air matanya terus merembes sebaik sahaja membaca SMS itu. Wajahnya bertukar muram dan sugul.
“Kenapa Yana? Ada yang tak kena ke? Ayah Yana tak dapat datang, eh?” teka Akif.
Mendengar pertanyaan daripada Akif, Dayana bertambah sebak. Dia mengangguk tanpa bersuara sambil mengelakkan matanya dari bertemu pandangan dengan mata Akif. Buat malu sahaja jika pemuda itu perasan yang dia sedang menangis.
“Tak apa, Yana. Saya hantarkan Yana balik. Jom!” tawar Akif sambil mengambil beg yang diletakkan Dayana di atas katil. Sekali lagi dia merenung ke wajah Dayana yang mendung.
“Jomlah,” pelawa Akif lagi seolah-olah mendesak.
“Mak, jom kita balik. Kita hantar Yana balik sekali. Ayahnya tak dapat datang,” ajak Akif kepada emak dan adiknya yang asyik berbual dengan pesakit di sebelah katil Dayana.
“Tapi...” kata Dayana. Dia serba salah dan berasa segan untuk menerima budi yang ingin ditaburkan oleh pemuda itu kepadanya.
“Tak menyusahkan Akif ke?” soal Dayana pula kerana masih ragu untuk menerima pelawaan pemuda itu. Bimbang termakan budi.
“Yana, agama Islam menganjurkan kita supaya suka melakukan kebaikan. Membantu orang dalam kesusahan akan mendekatkan dirinya dengan syurga,” kata Akif perlahan. Mungkin untuk pendengaran gadis itu sahaja. Kata-kata yang diungkapkan oleh Akif buat hati Dayana terusik.
“Tunggu apa lagi, Yana! Jomlah! Jangan segan. Bolehlah mak cik berkenalan dengan mak, ayah dan adik beradik Yana nanti,” kata Mak Esah. Akhirnya Dayana mengalah. Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori Mak Esah dan Nisah serta berjalan bersama mereka keluar dari wad.
“Adik-beradik Yana berapa orang?” soal Mak Esah sambil mereka berjalan dari wad menuju ke lif.
“Hmm... Yana anak tunggal, mak cik. Sebab yang lain dah meninggal,” cerita Dayana. Baru sahaja mereka sampai di hadapan lif, muncul seorang perempuan muda yang berjalan laju ke arah mereka.
“Eh, Nisah!” tegur Rosnani terus bersalam dengan Mak Esah dan mencium tangan wanita itu. Bibir Mak Esah melukis senyuman melihat gelagat gadis itu yang mencium tangannya lama-lama.
“Datang ke sini melawat siapa, Ros?” soal Mak Esah sebaik sahaja Rosnani melepaskan tangannya.
“Dari wad bersalin! Hmm... kakak saya yang sulung tu bersalin anak nombor tiga,” cerita Rosnani sambil merenung ke wajah Dayana. Dayana melarik senyuman tipis kepadanya.
“Mak cik pulak? Melawat siapa?” soal Rosnani. Matanya mula meliar ke sana sini mencari wajah Akif.
“Abang Akif dah turun dulu,” beritahu Nisah spontan seolah faham dengan kehendak hati Rosnani. “Mak cik dan Nisah melawat siapa?” soal Rosnani lagi.
“Kami melawat hmm... tu...tunang Abang Akif. Inilah tunang dia! Kenalkan, Kak Yana!” sampuk Nisah dengan tiba-tiba.
Mak Esah yang mendengarnya terkejut besar. Dia mencubit belakang punggung Nisah dengan perasaan geram. Dayana yang tersentak mendengar kata-kata Nisah terpaksa menghulurkan tangannya kepada Rosnani. Bibirnya dilebarkan sambil memaniskan wajahnya.
“Bi... bi... bila Abang Akif bertunang?” soal Rosnani tergagap-gagap dengan nada kuat dan terkejut. Bibirnya bergetar seolah-olah ingin menangis.
“Hmm minggu lepas!” Laju sahaja bibir Nisah menjawabnya sambil menjeling ke wajah emaknya dan Dayana.
Telinga yang mendengar kenyataan itu terasa amat perit. Air muka Rosnani serta-merta berubah. Seluruh alam ini dirasakan telah hancur lebur di hadapan matanya. Keinginan sekeping hati terdampar di laut lara. Perasaannya hanyut dikabus duka. Terbang melayang entah ke mana. Hatinya tiba-tiba menjadi kelam dan kosong hampa segala.
‘Akif bertunang? Oh,tidak!’jerit hati Rosnani yang sedang menangis.
Tanpa sepatah kata dia terus beredar dari situ kerana limpahan air mata sedang mengasak-asak tubir matanya. Dayana kebingungan.
“Kak Yana... err... Nisah mintak maaf,” beritahu Nisah kepada Dayana dengan tergagap-gagap. Jari Mak Esah terus merayap di belakang Nisah dan mengutilnya berulang kali.
“Akak tu memang minat gila pada Abang Akif,” jelas Nisah dengan selamba sambil menarik Dayana memasuki lif yang ternganga bersamanya.
“Tapi Abang Akif tak nak pada dia,” cerita Nisah lagi tanpa berselindung.
“Kak Yana janganlah marah Nisah,” rengek Nisah sambil merenung ke wajah Dayana.
“Tak apa, Nisah,” jawab Dayana ringkas walaupun terkejut dengan kenyataan yang diungkapkan oleh gadis itu. Lif pun berhenti. Mereka terus melangkah menuju ke kereta Akif yang berada tidak jauh dari situ. Akif sedang menunggu mereka di sisi keretanya.
“Abang Akif, dah selesai,” kata Nisah dari jauh dengan tiba-tiba.
“Apa yang selesai?” soal Akif dengan nada hairan.
“Masalah abang dengan Kak Ros,” jawab Nisah kuat lalu menghumbankan tubuhnya ke dalam kereta.
“Jangan wayar di kepala Kak Ros putus, sudahlah,” sambung Nisah lagi dan mengekek nakal. Akif tersentak mendengar kata-kata daripada Nisah. Dia memandang wajah emaknya minta penjelasan.
“Masuklah, Kak Yana,” pelawa Nisah kepada Dayana sambil menarik tangan gadis itu dengan mesra.
“Yalah! Kak Yana nak masuklah ni,” jawab Dayana dengan lembut. Mak Esah sempat berbisik kepada Akif memberitahu hal yang telah terjadi sebentar tadi.
‘Astaghfirullahalazim, hisy budak Nisah ni,’ rungut hati Akif. Dia merenung Nisah yang buat-buat tak faham. Setelah itu pandangan matanya terlontar pula ke wajah Dayana yang tenang. Gadis itu sedang menundukkan wajah. Perasaan Akif terus berbaur.
HEMBUSAN dingin angin malam ini bagaikan isyarat bumi akan dibasahi hujan. Semenjak matahari disembunyikan langit yang menghitam pada sore tadi, gerimis menggerigis bagai debu, namun berlarutan sehingga kini. Selepas solat Isyak Mak Esah sibuk menyediakan makan malam. Sebentar lagi suami dan anak sulungnya akan balik dari surau. Biasanya apabila seisi keluarga sudah berkumpul barulah mereka menikmati makan malam bersama.
“Nisah!!” laungnya kepada anak bongsu yang masih belum muncul di ruangan dapur. “Nisah!” panggilnya lagi dengan suara yang lebih kuat apabila Nisah tidak menjawab.
“Ya!” jerit Nisah dari biliknya. Setelah itu dia terkocoh-kocoh turun ke ruang dapur.
“Kamu dah sembahyang isyak ke belum?” soal Mak Esah sambil memerhati Nisah ke atas dan ke bawah. Herot senyuman di bibirnya apabila melihat kain batik yang dipakai Nisah.
“Astaghfirullahalazim! Apa halnya Nisah, ikat kain batik begitu? Kalau bergulung-gulung begitu, cara mengikat kain pelikat! Abang atau ayah kamu bolehlah buat begitu! Awak tu perempuan!” jerkah Mak Esah sambil ketawa mengekek.
“Habis tu, baru Nisah terkial-kial hendak mengikat kain batik, mak dah terpekik-pekik panggil Nisah! Nisah gulung-gulunglah,” jawab Nisah tidak mahu mengalah.
“Panaskan lauk-lauk tu. Lepas tu hidangkan,” suruh Mak Esah.
“Tapi pergi salin kain tu dulu. Kalau tak reti nak ikat kain batik, lain kali pakai seluar panjang! Nanti abang kamu balik tengok kamu ikat kain begitu, hmm... jenuhlah kamu kena perli! Tak malu?” kata Mak Esah sambil ketawa.
“Silap-silap abang tarik kain batik kamu tu sampai terburai,” sambung Mak Esah dalam tawanya yang mulai reda.
Akif anak sulungnya memang kaki menyakat adiknya itu. Kalau kedua-duanya ada di rumah, riuh rendahlah jadinya dengan suara jerit pekik Nisah kerana disakat oleh abangnya. Tambah-tambah lagi jika Rais balik bercuti. Rais anaknya yang kedua masih lagi menuntut di sebuah IPTA di ibu negara. Akif dan Rais sama-sama suka menyakat adik bongsu mereka itu.
Bunyi berdehem dari muka pintu dapur mengejutkan Mak Esah dan Nisah.
“Alamak! Abang dah balik!” kata Nisah terus berlari naik ke biliknya untuk menyalin kain. Tidak lama kemudian Nisah muncul kembali ke dapur sambil ketawa.
“Hai, abang!” sapa Nisah dengan suara riang.
Akif tidak menjawab dan berpura-pura tidak mendengar sapaan adiknya itu. Rasa geramnya kepada Nisah kerana peristiwa petang tadi masih tersisa.
“Dah telefon buah hati abang?” soal Nisah sengaja hendak mengusik. Akif buat tidak bena. Sebaliknya menolong emaknya menghidangkan lauk-pauk di atas meja. ‘Marahlah tu!’ rungut Nisah yang sakit hati kerana Akif tidak melayan kerenahnya.
“Alah, duduklah Akif! Rajin sangat. Nanti untunglah siapa yang jadi isteri anak mak ni! Rajin di dapur,” puji Mak Esah sambil menjeling Nisah yang sedang memuncung kerana geramkan abangnya yang tidak mahu bercakap dengannya.
“Memanglah, mak! Untung sangatlah mana-mana gadis yang pilih saya sebagai suaminya! Semua kerja dapur saya buatkan. Kain baju saya cuci... hee...hee...” balas Akif sambil ketawa.
“Mana-mana gadis yang jadi isteri saya, saya akan tatang dia macam minyak yang penuh! Layan macam permaisuri,” sambungnya lagi sambil merenung wajah emaknya yang sedang tersenyum.
“Hmm... dah lama ke Akif berkawan dengan Yana?” soal Mak Esah spontan. Cuba mencungkil rahsia. Nisah yang mendengar pertanyaan emaknya bertepuk tangan.Tiba-tiba pula dia jadi girang.
“Haah! Padan muka abang! Dah kena tanya dengan mak pasal Kak Yana!” ejek Nisah sambil ketawa. Tak jadi dia hendak merajuk dengan abangnya itu.
“Kawan?Belum sempat nak berkawan pun mak,” terang Akif sambil tersengih. Matanya sempat menjeling Nisah. Nisah menyeringai. Faham yang abangnya itu sedang menahan geram kepada dia sejak dari tadi.
“Oh begitu! Mak sangka Akif dah lama berkawan dengan dia. Kalau dah lama berkawan, elok diikat saja dengan pernikahan! Tak elok berkawan dengan anak gadis orang lama-lama sangat! Nanti terjadi maksiat,” kata Mak Esah sambil menyorot ke wajah anak bujangnya itu.
“Nanti mak pakat dengan ayah kamu pergi meminang dia!Akif beritahu aje,” sambung Mak Esah dengan bersungguh-sungguh suaranya.
“Mak berkenan ke dengan dia tu?” soal Akif cuba menduga. Nisah yang berada di situ hanya memasang telinga mendengar perbualan emak dan abangnya.
“Berkenan sangat-sangat,” jawab Mak Esah sambil meletakkan pinggan nasi di depan Akif. Matanya sempat menoleh ke pintu melihat kalau ada suaminya balik dari surau.
“Saya pulak bimbang dia tak berkenan dengan saya,” balasAkif sambil ketawa kecil.
“Kenapa pulak tak berkenannya.Mak tengok Akif dengan dia padan sangat-sangat walaupun baru pertama kali mak jumpa dia. Maknya pun ramah dan cepat mesra. Ayahnya pun sama. Macam serasi aje dengan mak ni,” sambung Mak Esah lagi.
“Itu kata mak... saya pun tak tahu nak kata apa! Tak tahu sama ada berpeluang atau pun tidak.”
“Ni semua pasal budak ini!” kata Akif sambil menarik tangan Nisah dan menyepit kepala adiknya itu di celah lengannya untuk bergurau. Puas Nisah meronta.
“Alah, bang! Janganlah! Sakitlah! Dahlah siang tadi Nisah kena getu dengan mak banyak kali!” adu Nisah cuba bermanja.
“Padan muka! Ikutkan hati abang, nak suruh mak getu badan Nisah sampai hancur!” jawabAkif menggeram.
“Alah! Sepatutnya abang kena berterima kasih kepada Nisah! Sebab Nisah dah bukakan jalan pintas untuk abang!” balas Nisah sambil tercungap-cungap kerana Akif masih belum melepaskan kepalanya dari celah lengan.
“Jalan pintas apanya, Nisah? Suka sangat buat teori sendiri! Hisy, geram abang ni masih belum hilang lagi tau,” beritahu Akif lalu melepaskan Nisah kerana kasihan melihat adiknya tercungap-cungap cuba membebaskan diri.
“Abang ni! Sakitlah leher Nisah. Nasib baik kepala Nisah tak tercabut!” kata Nisah memasamkan wajahnya. Laju pula tangannya menampar belakang abangnya itu.
“Kalau kepala Nisah tercabut? Senang aje,” jawab Akif bersahaja.
Fikirannya terkisar-kisar ke sana dan ke sini memikirkan sesuatu untuk mengenakan adiknya itu. Biar kata-kata yang terungkap dari bibirnya merodok hati Nisah sehingga hati adiknya itu mengaduh kesakitan.
“Abang jolok buah kelapa tua kat pokoknya di belakang tu buat ganti! Sama aje, kan! Sekarang ni Nisah ada kepala yang TUHAN dah bagi otak, bukannya Nisah guna sebelum berkata sesuatu,” perli Akif.
“Alah, abang ni sampai hati kata Nisah begitu! Macam kepala Nisah ni sama taraf dengan buah kelapa pulak! Otak orang bergeligalah,” jawab Nisah memuji diri sendiri sambil ketawa. Petah menjawab sindiran daripada abangnya itu.
“Otak bergeliga? Hmm!” Sekali lagi Akif memerli sambil menjuihkan bibirnya untuk menyakat adiknya itu.
“Orang otak bergeliga tak tidur berdengkur bunyi macam kereta kebal!” sindir Akif lagi. Sindirannya yang kelakar itu menyebabkan Nisah ketawa mengekek.
“Ha...ha... ha! Itu namanya kreatif! Otak begeligalah tu, waktu tidur pun boleh berdengkur mengeluarkan macam-macam bunyi,” jawab Nisah nakal. Akif menjeling geram. Nisah kalau tidak menjawab percakapan orang, tak sahlah hidupnya pada hari itu!
“Hai, kenapa nak geram pada Nisah pulak? Bukankah Nisah dah nobatkan abang sebagai tunangan Kak Yana dan Kak Yana sebagai tunangan abang?” soal Nisah sambil ketawa lagi. Ketawa Nisah membuatkan Akif bertambah makan hati.
“Eleh! Nobatkan abang konon! Kalau Kak Yana langsung tak mahu berjumpa dengan abang, kenalah Nisah nanti!” gertak Akif. “Abang tak bagi duit belanja untuk Nisah lagi! Jangan haraplah,” ugutnya pula.
“Semua elaun Nisah, abang potong!” sambung Akif lagi dengan suara kuat.
“Alah, abang tu marah pura-pura aje! Tapi dalam hati suka! Nisah yakin, sekarang ini pun Kak Yana mesti sedang teringat pada abang, tunangannya! He...he!!” Nisah ketawa mengilai apabila melihat Akif merenung dia seolah-olah ingin menelannya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan