
Bab 2
DATIN Rabiatul berjalan dengan sabar melalui tanah yang berlopak dan bersampah di sana sini. Wanita yang berbadan tinggi dan agak gempal itu rasa bersyukur kerana masih ada lorong yang boleh dilalui di celah himpunan sampah yang memualkan tekak itu. Ada bau masam, masin, tengit serta memedihkan hidung dan menyebabkan tekaknya seolah kembang dan ingin memuntahkan segala isi dalam perutnya. Beberapa kali dia terpaksa berjalan terjengkit-jengkit kerana jalan yang lecah dan berlopak.
“Aiya! Nyonya... belakang sana ada perhentian bas maa! Itu! Sana lepas tempat sampah tu, lu cross jalan dan ada bas lalu ikut jalan yang besar di depan sana!” Terngiang di telinganya percakapan lelaki Cina tempat dia menghantar keretanya untuk diperbaiki.
Entah mengapa tiba-tiba kereta yang dipandu berasap-asap. Asap keluar dari celahan bonet dan ekzos berwarna putih berkepul-kepul. Datin Rabiatul terpaksa menghentikan keretanya di tepi jalan serta merta dan mujurlah kejadian itu berlaku berhampiran dengan bengkel membaiki kereta.
Datin Rabiatul berasa lega sebaik sahaja selesai melalui tempat longgokan sampah. Bau-bau yang kurang enak menyebabkan isi perutnya bagaikan ingin meledak keluar. Baru sahaja dia selesai menyeberang jalan yang kecil itu, dia terpandang sesuatu di dalam semak di tepi jalan. Pada mulanya dia menyangka bangkai seekor anjing yang dicampak di situ. Maklumlah, jalan yang berdekatan dengan tempat pembuangan sampah. Bermacam jenis sampahlah yang akan terhimpun di situ dan kawasan yang berdekatan dengannya.
Segalanya dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Namun apabila dia merenung sekali lagi dengan jarak yang agak dekat, kira-kira lapan kaki, Datin Rabiatul terlompat. Terkejut benar dia kerana melihat sekujur tubuh yang berlumuran darah.
“Kasihannya, jadi mangsa langgar lari budak ini!” Datin Rabiatul rasa tersentuh dengan peristiwa itu. Dia segera menelefon hospital dan meminta bantuan ambulans. Tidak berapa lama kemudian, tempat itu telah dikerumuni oleh ramai orang untuk menyaksikan peristiwa yang telah berlaku. Ambulans yang sampai tidak berapa lama kemudian terus mengejarkan gadis itu ke hospital. Atas rasa simpati yang mendalam, Datin Rabiatul merelakan dirinya untuk menemani gadis yang tidak dikenalinya itu ke hospital.
Di dalam ambulans, Datin Rabiatul benar-benar bimbang melihatkan keadaan gadis yang masih tidak sedarkan dirinya itu. Kain serta baju yang dipakai oleh gadis itu telah bertukar warna menjadi merah.
“Kasihan budak ini! Tak berperikemanusiaan betul orang yang melanggarnya ini! Di tinggalkan begitu sahaja!”. Datin Rabiatul melontarkan rasa geramnya dengan bercakap sendiri.
“Yalah! Nasib baik, kakak jumpa! Kalau tidak, tak tahu apa yang terjadi!” Jururawat yang ada bersama dengan Datin Rabiatul di dalam ambulans itu menyampuk. “Nasib baik tidak terdampar di tengah jalan dan ada kenderaan lain pula yang menggeleknya! Nauzubillah!” tambahnya lagi.
“Dahlah hari beransur malam! Senja-senja begini, jalan tu jarang orang yang melaluinya lagi,” ujar jururawat itu lagi. Bibirnya berbicara, namun tangannya masih bekerja.
“Yalah! Panjang umur budak ni! Tak ada kecederaan di kepala nampaknya. Kalau tidak tak tahulah saya, macam mana dengan nasibnya.” Datin Rabiatul memerhatikan nafas Nurlisa yang turun naik.
“Belum tahu lagi kakak! Doktor belum buat pemeriksaan! Tidak ada darah di kepala belum tentu lagi tak cedera. Budak ni pengsan, masih belum sedar lagi. Mungkin kepalanya terhentak. Tapi mujurlah mukanya tak cedera,” kata jururawat itu dengan perlahan sambil memerhatikan wajah Nurlisa. Tubuh badan gadis itu hanya mengalami luka kecil.
“Pemandu-pemandu kenderaan sekarang ni kak... tahu nak cepat saja! Ramai yang tidak mengikut undang-undang dan peraturan jalan raya. Membelok tidak memberi signal! Brek mengejutlah. Tak tahu hala tujulah... itulah yang menjadi masalah.” Jururawat itu mencucuk jarum di lengan Nurlisa untuk memasukkan tiub supaya boleh menyalurkan air ke dalam tubuh gadis itu.
~bersambung~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan