Selasa, 28 Februari 2012

NOVEL:REDHA TAKDIRMU



~ sambungan Bab 1

“Lidya... kau ni bergurau yang bukan-bukan pulak! Kan sewaktu sekolah dulu, karangan yang cikgu suruh buat pun, kau yang karangkan untuk aku!” ucap Yanti sambil ketawa dan mengusap-ngusap lengan Lidya yang semakin menampakkan tulangnya. Tulang yang bersembunyi di sebalik kulitnya yang agak kering.
“Aku tidak boleh mengarang lagi Yanti. Puas aku cuba, tetapi karya yang kuhasilkan seolah-olah tidak berjiwa. Hampir setahun aku cuba mengarang kisah ini, tetapi aku tidak mampu. Ilhamku tandus. Jiwaku kering. Semangatku lenyap,” kata Lidya dengan suara yang tersekat-sekat mengatur bicara. Matanya menatap wajah Yanti. Bibirnya tersenyum, cuba memujuk.
“Lidya, yang pergi tu tetap pergi. Dia hanya bawa dirinya, jasadnya, rohnya, amal ibadatnya... seperti apa yang ditentukan oleh TUHAN. Idham tak bawa kau bersamanya. Semangat kau masih ada. Jiwa kau masih milikmu.” Yanti cuba memberi nasihat. Wajah bujur sirih Lidya direnungnya lama-lama. Rambut Lidya yang ikal, terjurai ke paras leher.
“Bukan kerana Idham, tetapi kehilanganku ini sudah lama. Sudah bertahun aku hidup seolah tiada berjiwa, tiada semangat. Aku manusia mati yang masih melata di bumi. Sewaktu Idham masih ada, aku harus menyembunyikan segalanya. Aku harus menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri untuk memberi kebahagiaan kepadanya, walaupun sebenarnya batinku dimamah derita setiap saat.” Lidya mengesat air mata di pipi kirinya dengan lengan baju yang dipakainya iaitu seragam hospital yang berwarna merah jambu.
“Aku tidak mahu mengecewakan Idham di hujung-hujung usianya,” suaranya seakan berbisik. Bisikan itu bagaikan untuk dirinya sendiri.
“Aku korbankan segalanya untuk Idham. Usia mudaku, wang ringgitku, keluargaku, bahkan segala-galanya. Tidak mengapa aku berkorban untuk kebahagiaan orang lain sehingga ke akhir hayat mereka, walaupun mereka tidak pernah untuk memikirkan atau berkorban untuk kegembiraanku walau sesaat,“ suaranya perlahan dan tertahan-tahan. Dia seolahnya telah kecewa dengan kehidupan yang pernah dilaluinya.
Kata-kata yang diungkapkannya begitu menyentuh hati Yanti. Wanita itu tidak dapat menahan sebaknya lalu air mata yang bertakung dipenjuru matanya merembes juga membasahi pipi. “Lidya.” Lalu tubuh Lidya dipeluknya.
Lidya masih cuba menahan tangisannya. Bibirnya bergetar. Pandangan matanya menikam ke dalam mata Yanti, meraih simpati wanita itu. “Berjanjilah, Yanti! Kau akan karangkan untuk aku. Aku mahu dia tahu bahawa aku terlalu menyintainya. Tidak pernah aku membencinya. Aku menyintainya sehingga ke saat ini. Aku tidak pernah melupakannya walaupun sedetik. Apa yang aku lakukan adalah pengorbanan yang telah memakan diriku sendiri untuk kebahagiaan orang lain.”
“Lidya, Idham sudah mati. Bagaimana seorang yang sudah mati boleh membaca manuskrip yang bakalku karang ini, sekiranya ia diterbitkan menjadi sebuah novel?” Buntu fikiran Yanti dengan bicara Lidya. Wanita tinggi lampai dan berwajah bujur itu merenungi Lidya lama-lama. Cuba membaca isi hati sahabatnya itu di sebalik wajahnya yang muram.
“Aku bukan cuba bercerita kepada Idham. Aku akan pergi kepadanya tidak berapa lama lagi.” Lidya menelan air liur. Dia begitu yakin, kematian akan mengunjunginya dalam waktu yang terdekat.
“Habis tu, siapa lagi kalau bukan Idham?” Yanti merenung mata Lidya dengan pandangan lembut. Pada fikirannya, Lidya sedang meracau atau tertekan atau terganggu perasaannya lalu membicarakan yang bukan-bukan.
“Syamil!” Lidya menundukkan wajahnya. Tangannya mengurut-ngurut dadanya yang semakin leper tidak berdaging. Dia terus tunduk untuk beberapa ketika tanpa suara. Bibirnya bergetar seolah ingin menyatakan sesuatu, tetapi tidak ada perkataan yang keluar dari bibir kering itu.
“Syamil? Siapa Syamil, Lidya? Eh! Kau tidak pernah bercerita tentangnya kepada aku sebelum ini.” Separuh berbisik, Yanti mengutarakan pertanyaan kepada Lidya. Dahinya berkerut dan merenung Lidya yang tersandar pada bantal yang disendengkan di kepala katil.
Wajah mendung Lidya semakin gerhana. Yang Yanti tahu, Lidya menikahi Idham 15 tahun yang lalu. Lidya memang sudah mengenali Idham semenjak di sekolah menengah lagi. Mengapa pula harus ada Syamil?

Tiada ulasan: