Ahad, 4 Mac 2012

REDHA TAKDIRMU(SAMBUNGAN BAB 1)



~ SAMBUNGAN BAB 1~

Wajah mendung Lidya semakin gerhana. Yang Yanti tahu, Lidya menikahi Idham 15 tahun yang lalu. Lidya memang sudah mengenali Idham semenjak di sekolah menengah lagi. Mengapa pula harus ada Syamil?
“Yanti, di akhir-akhir waktu ini aku terlalu merinduinya. Rindu yang teramat sangat. Rindu yang terlalu dalam.” Lidya mengesat air mata yang terus mengalir di pipinya. Air mukanya membayangkan penderitaan batin yang ditanggungnya.
Simpati Yanti terhadap Lidya semakin menggunung.Keinginan untuk membantunya bertandang di ruang hati. “Lidya, kau tahu dimana Syamil berada?” Melihat kesedihan yang terukir di wajah sahabat lamanya itu, meronta-ronta hatinya untuk membantu sebanyak yang boleh.
Lidya memandang Yanti dengan pandangan sayu. Tangan kanannya memegang tangan Yanti dan membawa ke dada kirinya. Dibiarkan melekap di atas payudaranya yang semakin tidak berisi. Kedua-dua tangannya menindih tangan Yanti. “Syamil sentiasa berada di sini, Yanti, di hatiku sehingga aku memejamkan mata buat kali terakhir.” Ada sendu di hujung bicaranya. Dia berkata sambil memejamkan matanya. Seolah-olah cuba membayangkan Syamil. Merapatkan Syamil dalam dakapan hatinya.
“Lidya, jangan disebut perkara yang akan melemahkan jiwamu.” Yanti cuba mententeramkan perasaan Lidya. Belakangnya diusap dan dibelai perlahan-lahan.
“Yanti, jiwaku dah tak ada lagi!” Lidya terus merepek.
Yanti memandang ke arah Lidya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja Lidya berubah sikap. ‘Semalam aku ada datang melawatnya. Kelmarin pun aku tidak lupa untuk menjenguknya. Namun hari ini, Lidya kelihatan berbeza benar. Mungkin fikirannya gelisah kerana menyimpan rahsia derita yang maha dalam. Dan hari ini, dia meminta aku mengisahkan sejarah lukanya. Aku serba salah,’ ujarnya di dalam hati.
“Lidya, aku takut karanganku nanti tidak dapat menepati kehendakmu! Karyaku tidak dapat mencapai maksud yang kau ingin sampaikan.” Akhirnya dia cuba menolak kehendak Lidya dengan suara yang amat perlahan. Wajah Lidya kelihatan semakin muram dan sayu, lalu meranumkan rasa simpati Yanti terhadapnya. Serta merta mencairkan rasa keras hati Yanti. “Baiklah, sayang! Demi kegembiraanmu aku akan karangkan, tetapi dengan satu syarat!” Dia memeluk tubuh Lidya sekali lagi.
Lidya tidak membalas pelukan itu. “Apa syaratnya? Kau perlukan upah?” Dia memandang Yanti dengan mata yang sedikit bercahaya. Senyuman hambar terpalit di bibirnya yang kering.
Yanti mengeleng tanda tidak bersetuju untuk menerima sebarang upah.
“Aku karang dan engkau semak!” Yanti mengenggam tangan Lidya.
Lidya mengangguk tanda bersetuju. Tangan Yanti digenggamnya kembali. “Terima kasih, Yanti. Malam ini enkau mula karang, ya? Minggu depan jika ada waktu terluang untuk melawat aku, kau print dan aku akan baca karangan itu.” Senyumannya mula berseri.
“Okey... kalau begitu, sekarang kau kena ceritakan serba sedikit apa yang harus aku karang. Aku hendak mula di mana? Siapa wataknya? Bagaimana jalan ceritanya?” Yanti terus memberi Lidya harapan.
“Baik, aku akan ceritakan. Aku akan ceritakan daripada mula. Bagaimana kaum lelaki telah memakaikan aku dengan pakaian derita. Dan pakaian itu tidak boleh aku tanggal hingga hari ini!” Ungkap Lidya penuh pengertian.
Yanti melihat wajah Lidya sekali lagi. Rasa simpatinya terhadap wanita itu semakin memenuhi seluruh ruang hati.
“Mula-mula aku akan ceritakan tentang Wahid, bekas tunanganku.” Genggaman tangan Lidya semakin erat.

Tiada ulasan: