~sambungan~
SUASANA hening dan sepi. Pendengarannya hanya tertangkap bunyi erangan-erangan dan dengkuran yang amat asing. Hidungnya terhidu bau yang luar biasa. Tubuhnya terasa dingin. Kedinginan bukan disebabkan air tetapi udara sekelilingnya.
“Ya Allah! Aduh! Sakitnya! Mak! Mak! Sakitnya mak!” Nurlisa terus merintih kesakitan sebaik sahaja matanya dicelikkan. Sedikit demi sedikit dia melihat ke persekitarannya. Semuanya serba putih. Seluruh tubuh badannya terasa sengal. Pandangan matanya agak berpinar seketika.
“Aku di mana ni? Rumah siapa ni?” Bibirnya bergetar sewaktu mengemukakan pertanyaan. Tangannya menggenyeh-genyeh mata yang agak kabur pandangannya. Sekelilingnya berwarna putih. Di siling, kipas angin berputar seligatnya. Perasaan yang bergemuruh dan hairan semakin merimbun apabila melihat wanita yang berada di sisi bukan ibu yang dikasihi.
“Mak! Lisa di mana? Sakit!” Suaranya serak menahan sebak. Walaupun tahu, wanita yang berada disisi bukan emaknya yang dikasihi, di saat diri berada di dalam kesakitan begitu, emak juga yang dicari. Dalam keadaan yang berbaring itu, tubuhnya cuba digerak-gerakkan ke kiri ke kanan.
“Alhamdulillah... dah sedar anak ni! Nak! Sabar nak! Anak kena langgar. Mak cik terjumpa anak tergolek di tepi jalan.” Datin Rabiatul menerangkan dengan nada yang lembut. Kepala Nurlisa diusapnya perlahan. Hampir empat jam Nurlisa tidak sedarkan dirinya. Sewaktu di luar sedarnya, para jururawat dan doktor bertungkus lumus merawatnya. Mujurlah kecederaannya dapat dirawat dan keadaannya stabil.
“Sekarang ni, anak di hospital.” Datin Rabiatul memberitahu dengan lembut dan wajah yang tenang. Tangannya masih mengusap ubun-ubun gadis itu, persis mengusap dan membelai anak gadis sendiri.
“Kena langgar? Oh...” Nurlisa cuba mengingatkan sesuatu. Segalanya cuba diimbas kembali di fikirannya. ‘Allah Hu Akhbar. Syukurlah aku selamat,’ bisik hati kecilnya. Dia teringat kepada ibu dan adik-adiknya di rumah yang tentunya sedang risau menantikan kepulangannya. Dia cuba bergerak dan turun dari katil. Hatinya meronta-ronta untuk segera pulang ke rumah. Bukankah pagi tadi dia telah berjanji untuk membelikan beras, gula, kopi dan ikan kering untuk keperluan keluarganya. Sudah Beberapa hari bekalan makanan di rumah mereka hampir putus. Semuanya tinggal sedikit sahaja lagi.
Lagipun malam ini, malam Ahad dan seharusnya dia telah berada di tapak pasar malam yang berada di simpang jalan masuk ke kawasan setinggan tempat keluarganya menetap. Di tapak pasar malam itu juga, Nurlisa harus mencari rezekinya untuk menampung keluarga mereka. Sekurangnya pada malam ini, jika dia membantu Pak Hasan yang menjual barang-barang runcit, ada jugalah pendapatannya. Sekurangnya-kurangnya dia akan memperolehi 20 ringgit untuk malam itu. Ada ketikanya, jika banyak jualan Pak Hasan akan mengupahnya sebanyak 25 ringgit. Di situlah juga dia akan membeli barangan dapur dengan harga yang murah. Kadangkala Pak Hasan yang berbudi mulia memberinya percuma walaupun Nurlisa kerap menolak.
Nurlisa tiba-tiba menangis teresak-esak sambil mengesat hidungnya dengan hujung baju. Tiba-tiba dia rasa keseorangan dan kesedihan yang bergelombang deras di jiwanya seolah melemaskannya.
“Nak balik...” Dia merintih perlahan dan cuba turun dari katil sekali lagi. Namun kakinya rasa terlalu berat. Nurlisa menyelak kain selimut yang menutupi kakinya. Hatinya menjerit apabila melihat kaki kirinya berbalut rapi sehingga ke peha.
“Nak ke mana ni nak? Anak tak boleh bangun. Kaki anak patah. Semuanya sudah dirawat sewaktu anak pengsan tadi.” Datin Rabiatul menerangkan dengan nada lembut.
“Beritahu mak cik di mana rumah anak? Mak cik pergi cari keluarga anak. Tentu mereka sedang risau!” Datin Rabiatul menyambung kembali bicaranya yang terhenti sambil memandang ke wajah Nurlisa. Gadis di hadapannya berkulit cerah. Wajahnya bujur sirih dan berkulit licin. Nasib baik kemalangan tadi hanya mencederakan kakinya.
“Terima kasih! Minta maaf, saya menyusahkan mak cik!” Dalam gelora kesedihan Nurlisa cuba tersenyum dan memegang lengan wanita berhati mulia yang tidak dikenali, namun telah sudi untuk membantunya. Wanita yang berwajah lembut itu tersenyum memandangnya.
“Itu tanggungjawab mak cik terhadap insan lain yang memerlukan nak! Insya-allah... semua ini telah diaturkan oleh Allah!” Datin Rabiatul berasa lega apabila gadis itu tidak lagi merintih kesakitan walaupun dia tahu, kesakitan itu masih ada.
“Nama anak siapa?” ujar Datin Rabiatul lagi. Matanya lembut memandang ke wajah Nurlisa. Gadis bermata lembut dan redup itu menarik perhatiannya.
“Nurlisa...” Nurlisa menjawab dengan sopan dan perlahan. Dahinya dikerut-kerutkan kerana menahan kesakitan yang sesekali datang. Hatinya berasa pilu mengenangkan nasib malang yang datang menimpa dirinya.
~BERSAMBUNG~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan