Selasa, 20 Mac 2012

REDHA TAKDIRMU (BAB 2)



SAMBUNGAN BAB 2

MINGGU itu, terasa kembang hati Yanti sewaktu melawat Lidya di Hospital Besar Pulau Pinang. Di dalam beg sandangnya terkandung beberapa keping kertas A4 yang telah bercetak dengan hasil karangannya. Karangan yang diingini oleh Lidya.
“Lidya, ini hasil tulisanku. Bacalah! Dan jangan kecil hati jika ia tidak kena dengan hatimu.” Yanti menghulurkan sampul surat yang dibawa kepada Lidya.
Lidya kelihatan tidak sabar lalu terus mengeluarkan kepingan kertas-kertas itu. Wajahnya riang. Matanya memandang ke arah Yanti yang berbaju kurung hijau polos dan bertudung kuning muda bercorak hijau dan putih.
Lidya memulakan pembacaannya sepintas lalu. Sesekali dia tersenyum. Sesekali dia berwajah sayu.
Terkocak sedikit hati Yanti, bimbang jika karangannya tidak dapat memenuhi perasaan hati Lidya, sahabatnya itu.
“Yanti, terima kasih! Sebenarnya kau boleh mengarang.” Lidya menyandarkan dirinya di bantal yang tersandar di hujung katil sambil membaca lagi. Kali ini dia ingin mengamati tulisan karangan Yanti itu sepenuh hatinya.

DUA tiga bulan kebelakangan ini hatiku berasa gusar. Sungguh. Kegusaran yang tidak pernah kualami sebelum ini. Siang tadi, aku menerima panggilan telefon daripada ibuku di kampung. Dia bertanyakan tentang Wahid. Wahid yang hampir setahun enam bulan menjadi tunanganku. Tunangan yang tidak dirancang sama sekali.
Mengapa aku tiba-tiba sahaja menyetujuinya? Sedangkan sebenarnya aku sedikit pun tidak menyintainya. Kasih sayang pun belum berputik. Jauh di sudut hati, aku masih terkenangkan Idham.
Idham lelaki pertama yang aku kenal. Mungkin juga yang pertama menyapa hatiku sejak aku di sekolah menengah rendah lagi walaupun tidak pernah melafazkan cinta. Namun dia tetap kukenang, dalam kejauhan.
Namun, Idham sudah tiada lagi di kehidupanku pada waktu itu. Kami terpisah. Aku merajuk kerana Idham bagaikan tidak pernah menghargaiku. Tidak pernah menyatakan perasaannya. Tidak pernah menanyakan perasaanku.
Idham, tebal dengan keegoannya. Tidak pernah mempedulikan diriku. Lantas aku mengambil keputusan untuk beredar dari dirinya. Tambah memedihkan, Idham tidak pernah cuba menghubungiku. Tidak pernah berusaha untuk memujukku. Apatah lagi untuk bertanya khabarku. Lalu aku beranggapan, aku hanya pendatang yang tidak pernah diperlukan di hatinya. Patutlah aku tidak dihargainya.
Setelah itu aku bagaikan tawar hati dengan lelaki walaupun pergaulan dengan kawan-kawan lelaki agak luas juga. Setiap kali ada di antara teman lelakiku menyuarakan isi hati mereka untuk menjadikan aku seseorang yang istimewa di hati mereka, aku menjauhkan diri. Sehinggalah aku berkenalan dengan Wahid. Perkenalan yang tidak di duga.
Hari itu sebenarnya aku sedang menunggu panggilan telefon daripada Syed Jefri. Syed Jefri seseorang yang ingin diperkenalkan oleh Kak Jie, kerani di bahagian receiving, kilang tempat aku bekerja.
“Lidya! Kak Jie berkenanlah kepada Lidya ni. Lembut, bertolak ansur, sopan santun dan hormat pada orang tua. Kalau Kak Jie kenalkan Lidya kepada seseorang, Lidya nak tak? Lidya dah ada boyfriend ke belum? Kak Jie ada seseorang nak dikenalkan kepada Lidya. Jiran Kak Jie, Syed Jefri. Dia bekerja sebagai tentera udara. Kak Jie rasa sesuai dengan Lidya. Kak Jie pun dah ceritakan hal Lidya kepada Jef. Nampaknya dia pun berminat untuk berkenalan dengan Lidya.” Begitulah panjang lebarnya penerangan daripada Kak Jie.
Aku tidak mahu meneka bentuk promosi yang telah dijalankan oleh Kak Jie. Promosi tentang diriku. Kalau aku tanya takut dia tersinggung pulak. Menolak keinginan Kak Jie tentu akan mengecilkan hatinya. Lalu aku pun bersetuju. Apa salahnya menambah kenalan baru. Lagipun pada waktu itu aku tidak terikat dengan sesiapa. Semuanya hanyalah kenalan biasa saja bagiku.
“Bolehlah Kak Jie. Kak Jie berilah nombor telefon saya kepada Syed Jefri. Tapi beritahu dengan dia, call sebelum pukul 10.30 malam, jika waktu itu saya bekerja syif pagi.” Aku lihat Kak Jie tersenyum riang sambil mencatatkan nombor telefonku.
Dalam pada aku menunggu pada keesokan harinya, telefon berdering. Waktu itu jam menunjukkan 11.45 pagi. Secara kebetulan aku bekerja di syif petang. Aku bersendirian di rumah sementara menunggu waktu untuk pergi kerja pada pukul 1.45 petang.
“Helo! Assalamualaikum...” Itulah patah perkataan yang keluar dari bibirku sebaik sahaja gagang telefon kuangkat. Gagang telefon kulekapkan ke telinga kiriku.
“Waalaikumsalam... Lidya ke ni?” Lembut dan bersahaja jawapan yang aku dengar. Suara lelaki yang asing di telingaku.
“Lidya, apa khabar?” ujar lelaki itu lagi. Tidak sempat aku menjawab, dia bertanya lagi. Nada dan caranya seolah-olah telah lama mengenali aku.
“Baik, alhamdulillah!” Aku menjawab berhati-hati. Berbicara dengan orang yang pertama kali menghubungi, aku harus teliti.
“Dah makan ke?” soalnya lagi, masih dengan nada mesra.
“Hmm... alhamdulillah. Baru sebentar tadi saya makan.” Jawabku tanpa gugup. Aku menanti dengan sabar Syed Jefri memperkenalkan dirinya.
“ Mesra dan ramah Lidya ni.” Pujian yang tidak kupinta menjengah ke telinga. Aku tidak menjawab, hanya menanti dia meneruskan bicaranya.
“Saya Wahid.” Lelaki itu mengenalkan diri dengan bersahaja.
Aku terkejut seketika. Mengapa Wahid? Bukankah aku sedang menunggu panggilan daripada Syed Jefri. Mahu saja aku meletakkan gagang telefon, tetapi rasa simpati bertamu di hati.
“Apa khabar? Maaf, Encik Wahid, kita pernah bertemu ke sebelum ini? Saya rasa saya tak ada kawan bernama Wahid. Dari mana Encik Wahid mendapat nombor telefon rumah saya ni?” Sungguh pun aku berasa tidak selesa dengan keadaan itu, aku cuba untuk tidak menyakiti hati orang yang baru pertama kali menghubungi aku.
“Memang Lidya tidak pernah kenal dengan Wahid. Tetapi Wahid ingin kenal dengan Lidya setelah melihat beberapa foto Lidya bersama dengan Liza. Liza tu girlfriend kawan Wahid. Kamal namanya. Kamal pun kenal dengan Lidya. Dia yang berikan nombor Lidya ni.” Wahid menerangkan kepada aku.
“Abang Kamal?” Mujur aku kenal dengan orang-orang yang dimaksudkan oleh Wahid. Terbayang aku wajah Abang Kamal. Lelaki berwajah mirip P.Ramlee. Suara pun macam P.Ramlee. Karakter pun macam seniman itu, di dalam filem komedi. Abang Kamal bekerja sebagai pegawai kastam di daerah itu.
“Lidya marah ke Wahid call ni?”
Suara Wahid yang seakan risau menyinggahi telingaku. “ No... no... tak… tak marah! Mengapa nak marah?” Aku cuba menjaga hati orang yang baru kukenal.
“So, Selamat Berkenalan.” Aku ketandusan idea untuk berkata lagi. Fikiranku kosong.
“Terima kasih Lidya. Sudi ke berkawan dengan Wahid ni.” Wahid bersuara seakan mengharap.
“Apa salahnya. Tak menjadi masalah kepada saya. Insya-ALLAH! Berkawan biar seribu.” Aku membalas pertanyaan Wahid dengan bahasa kiasan dan ramah.
“Berkasih?” Wahid cuba menguji aku.
“Berkasih pun seribu juga! Semua yang kita kawan mestilah kita kasih. Kita sayang supaya kita tidak ada niat melakukan kejahatan!” Petah aku menjawab, sambil memikirkan cara menamatkan perbualan.
“Encik Wahid, minta maaflah kerana Lidya tidak dapat berbual panjang! Lidya belum gosok pakaian untuk di pakai ke tempat kerja hari ini. Insya-ALLAH, lain kali kita bersembang lagi ya!”
“Okey... okey...” Mujurlah Wahid bersetuju.
Aku meletakkan gagang telefon dengan perasaan lega. Begitulah detik perkenalanku dengan Wahid. Sebulan kemudian baru aku bertemu muka dengannya walaupun sebelumnya aku tidak berminat langsung untuk menemuinya. Cukuplah berhubung melalui telefon sahaja. Itupun bersyarat juga. Telefon aku sebelum 10.30 malam. Lewat dari itu aku tidak akan melayan.
Sememangnya aku suka berterus terang. Sebenarnya setelah merajuk hati dengan Idham, dan aku membawa diri ke rantau orang. Hatiku seolah telah tawar dengan lelaki. Aku bosan dan rimas.
Pada suatu petang, Wahid menunggu aku di tepi jalan sewaktu hujan lebat. Aku balik dari pejabat menggunakan pengangkutan yang disediakan oleh syarikat tempatku bekerja. Sebaik turun dari bas dan setelah menyeberangi jalan, aku terjengkit-jengkit melalui lopak yang berair. Hujan yang teramat lebat menyebabkan lopak-lopak di tepi jalan ditakungi air. Sambil berjalan, sebelah tanganku mengangkat sedikit kain baju kurung yang aku pakai untuk mengelakkan percikan air kotor. Tambahan pula pada hari itu aku memakai baju berwarna cerah. Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil oleh seseorang.

Tiada ulasan: