
~SAMBUNGAN BAB 2~
“Lidya! Lidya...”
Aku menghentikan langkahan kakiku. Seorang lelaki berbaju hujan tebal dan berpayung menghampiriku. Sebahagian daripada seluarnya sudah kelihatan lencun daripada lutut ke bawah.
“Wahid...” Dia memperkenalkan dirinya.
Aku terkejut juga pada mulanya. Namun, aku tetap bertenang.
“Dah sejam Wahid tunggu Lidya di sini.” Dia menerangkan tanpa dipinta. Bibirnya tersenyum.
“ Oh ya? Lidya habis kerja pukul 5.00 petang. Biasa 5.15 dah sampai. Tapi hari ni hujan lebat sangat, jalan pun sesak sikit. Ada banjir kilat di pelabuhan tu.” Aku menerangkan dengan rela. Suaraku agak kuat kerana cuba mengatasi bunyi hujan yang kasar-kasar serta lebat.
“Macam mana tahu saya Lidya?” Aku menyoal pula. Pelik sikit rasanya, tak pernah berjumpa tiba-tiba memanggil namaku. Perjalanan pulangku rasa terganggu. Tambahan pula hujan sedang turun dengan lebat bercampur angin dan sesekali kilat dan petir.
“Kan Wahid dah tengok foto Lidya!” Lelaki itu bersuara perlahan. Suaranya seakan ditenggelami oleh bunyi guruh yang tiba-tiba berdentum. Langit gelap seakan hampir malam.
“Wahid, Lidya beredar dululah. Hujan lebat ni. Dah lewat. Lagipun Lidya belum sembahyang asar lagi ni. Maaf ya!!!” Payung yang aku pegang dengan tangan kanan aku ubah-ubahkan kedudukannya mengikut hala angin bagi mengelakkan bajuku basah disirami hujan.
“Malam ni Wahid datang ambil Lidya, boleh?” Wahid seolah meminta persetujuan. Matanya menatap wajahku.
“Okey! Selepas isyak. Aku terus bersetuju bagi mengelakkan lebih banyak masa terbuang di situ.
Malamnya kami keluar makan malam bersama. Pertemuan kali pertama. Bagiku Wahid tidak ada apa-apa yang istimewa, yang boleh menarik minatku untuk menawan hatinya. Namun sejak pertemuan pertama, Wahid seakan tidak boleh berenggang dari aku. Setiap hari dia menunggu aku. Aku berasa tidak selesa dengan keadaan itu. Tambahan aku tinggal menyewa bersama dengan lima orang kawan-kawan lain di sebuah flat. Boleh dikatakan seminggu dua atau tiga kali dia akan menunggu di simpang masuk menghala ke flat sewaanku.
“Lidya, sejak kenal dengan Lidya, Wahid rasa tak mahu berpisah dengan Lidya walaupun sesaat.” Begitulah kata Wahid.
Geli telingaku mendengarkan kata-katanya. Loya rasanya tekakku. Jika diikutkan, pasti muntah terpancut dari mulutku. Namun begitu, aku harus menghormati perasaan lelaki itu. Jika benar perasaannya sehingga ke tahap itu, mentertawakannya pasti akan membuat hatinya terluka.
“Cuti Depavali nanti Lidya balik ke kampung tak?” Wahid memandang ke wajahku.
Aku mengangguk sambil tersenyum.
“Wahid nak ikut! Nak kenal dengan ibu bapa Lidya!” Lagi sekali Wahid mengejutkan aku dengan bicaranya.
Bagaikan lembu dicucuk hidung, aku mengangguk. “Jomlah. Lidya tak ada masalah apa-apa! Tapi ibu bapa Lidya orang kampung tau!.” Itulah jawapanku. Keinginan Wahid untuk mengenali ibu bapaku aku terima dengan ikhlas hati tanpa bertanya apa-apa maksud disebaliknya.
~BERSAMBUNG~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan