Isnin, 2 April 2012

Kasihnya DIA (petikan Bab 1)





Bab 1


Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad dijalan ALLAH sehingga dia kembali.” [HR At Tirmizi)

KERETAPI Ekspress Sinaran Pagi beroleng-oleng tubuhnya mengikut rel. Menaiki keretapi dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur memakan masa panjang yang amat menjemukan. Memulakan perjalanan kala sang mentari mulai tersenyum dan menyinari alam awal pagi tadi, meredah jingga senja, kini mula memasuki lorong malam. Jam menunjukkan 8.05 malam.
”Keretapi Ekspress Sinaran Pagi akan tiba di Kuala Lumpur sebentar lagi. Sila pastikan keretapi berhenti dahulu sebelum menuruni keretapi ini. Sila periksa tempat duduk masing-masing untuk memastikan tiada barang yang tertinggal. KTM mengucapkan terima kasih kerana tuan puan telah menggunakan perkhidmatan kami.” Suara pengumuman dari corong-corong pembesar suara berkumandang ke seluruh gerabak keretapi itu amat melegakan Umar yang sudah bosan sejak tadi.
Penumpang-penumpang mula bergerak meninggalkan tempat duduk masing-masing menuju ke pintu yang masih belum dibuka, walaupun keretapi masih bergerak.
Umar seperti penumpang yang lain juga, bagaikan tidak sabar untuk meloloskan dirinya daripada kotak besi yang merimaskan itu. Turun daripada koc keretapi, dia mundar-mandir di dalam stesen itu. Hari itu, pertama kali dia menjejakkan kaki di situ. Sambil menjijit beg yang diperbuat daripada kain kanvas berwarna hitam, dia berjalan perlahan-lahan mencari kaunter menjual tiket. Destinasinya tidak terhenti di stesen itu sahaja.
“Butterworth encik! Satu tempat duduk, kelas ekonomi,” beritahu Umar sambil menghulurkan dua keping not sepuluh ringgit. Dia meraba-raba kocek seluarnya kerana menyedari duit yang dihulurkannya tadi tidak mencukupi. Terketar-ketar tangannya sewaktu menghulurkan lagi sekeping not sepuluh ringgit. Begitu mahalnya tambang. ‘Kalau duduk atas lantai sahaja, berapa ringgit?’ Bibirnya ingin menyoal begitu. Namun, suaranya tersangkut pula.
“Pukul berapa tren sampai, encik?” tanya Umar sewaktu menyambut tiket dan baki wang yang dihulurkan melalui lubang di cermin kaca, oleh penjual tiket yang berseragam biru tua.
“20 minit lagi. Tunggu di terminal empat, ya,” jawab lelaki berkenaan sambil tersenyum.
Umar memerhatikan jam yang melingkari tangannya. 8.35 malam. Sempatlah dia menunaikan solat isyak terlebih dahulu.
KOC C. Seat KC11. Umar terus berjalan di dalam gerabak dan mencari tempat duduknya. Dia terasa lega sebaik sahaja tiba di bangku yang telah ditetapkan untuknya mengikut tiket yang berada di tangan. Tempat duduknya di sisi tingkap. Ruang tempat duduk agak selesa juga bagi tubuhnya yang agak kurus.
Hembusan angin melalui jendela keretapi yang masih terbuka memasuki rongga hidungnya. Udara yang harum dan menyenangkan menerobos ke ruang nafasnya itu menimbulkan rasa senang pada dirinya yang sedang keletihan.
“Boleh saya duduk di sini?”
Tiba-tiba satu suara asing menyapa gegendang telinga Umar. Suara itu mengejutkan Umar yang sedang asyik mengelap muka dan lengannya dengan tuala lembab. Dia mendongakkan mukanya menatap wajah tuan punya suara yang berdiri hampir dengan kerusi yang sedang didudukinya. Dia menjadi kaget seketika. Pertanyaan gadis itu tidak terjawab. Matanya menatap ke wajah gadis itu. Wajah yang amat cantik. Lidahnya kelu seketika.
“Boleh saya duduk di sini?” soal gadis itu lagi. Gadis manis bertudung labuh berwarna kelabu itu merenung Umar yang masih di dalam kekagetannya.
Rupa-rupanya bau harum tadi datangnya dari gadis itu. Gadis mengulang kembali pertanyaannya sambil tersenyum mesra kepada Umar. Dia membandingkan tulisan di tiket dengan tulisan di kerusi.
“Koc C. Seat KC12. Hmm... betullah. Ini tempatnya,” ujar gadis itu lagi sambil mengulum senyuman. Dia duduk di kerusi sambil mengeluarkan sebuah beg yang lebih kecil daripada beg pakaiannya. Seketika kemudian, dia bangun kembali serta meletakkan beg pakaian di atas tempat duduknya.
“Tolong jaga beg I, ya,” pinta gadis itu sambil merenung Umar yang hanya mengangguk tanpa berkata sepatah pun.




~ bersambung ~

Tiada ulasan: