Khamis, 26 Julai 2012

Kasihnya DIA (BAB 7)

UMAR bernyanyi-nyanyi riang. Kepulangannya dari hospital seolah memekarkan bunga-bunga ria di laman hatinya. Kemesraan yang dipamerkan oleh Eryna Natasha pada dirinya begitu berharga dirasakannya. Sedari petang membawa ke malam, wajah Eryna Natasha seolah menari-nari di hadapan matanya. Hatinya kuat mengatakan yang Eryna Natasha ada kaitannya dengan Rina Melati. Suara kedua-duanya bagaikan terngiang-ngiang. Sesungguhnya tidak ada yang berbeza. “Hai, Umar. Happy nampak sejak balik dari hospital tadi. Siap menyanyi lagi. Tu seterika tu, hmm... nanti baju kau hangus pulak,” tegur Faizul. “Happy? Biar betul Faizul. Mana boleh happy. Sepatutnya kita bersedih dengan musibah yang menimpa kawan-kawan. Kita doakan supaya dia cepat sembuh. Yang kau terus menghilangkan diri tadi kenapa? Kau tinggalkan aku berdua dengan Rin, aku terasa segan tau,” kata Umar. Faizul tersenyum. “Bukan aku tidak mahu bersama-sama kau tadi... tapi!” Bicaranya tersangkut sampai di situ. Dia menghampiri Umar yang menyambung tugasnya untuk menggosok baju. Dia menindih tangan Umar dengan telapak tangannya. “Apa perasaan kau sewaktu Rin memegang tangan kau begini tadi?” Dia ketawa terbahak-bahak selepas itu. Umar tersengih malu. Dia tidak menjawab apa-apa. “Itu sebab aku tak mahu kacau daun. Maaf, kerana tinggalkan kau tadi.” Faizul masih ketawa. “Boleh aku tahu sudah sampai ke mana sekarang?” Nada suara Faizul berubah serius. Sekali lagi dia merenung ke wajah Umar. Dia perasan air muka Umar berubah. “Sampai mana apa pula? Aku tak faham,” ujar Umar pula sambil menggulung wayar pada seterika. “Maksud aku, hati kau orang sudah saling memberi salam ke? Sudah dijawab ke salamnya? Sudah di ambang pintu ke belum?” Faizul cuba berteka teki pula. Dia mengambil seterika dari tangan Umar. “Ke situ pula kau ni. Saling memberi salam antara umat Islam, itu sunat. Aku dan dia tak ada apa-apa sebenarnya. Faizul, aku datang ke sini membawa harapan emak, ayah dan adik-adik aku, bukan atas perkara lain,” jawab Umar serius. Kehadiran Eryna Natasha tidak sedikit pun menggugat matlamatnya. “Lagipun aku tidak layak untuk dia. Dia cantik, pandai bergaul, ramai kenalan, moden... hmm...hati aku rasa macam tak sesuai.” “Hey, kawan! Jangan cepat membuat kesimpulan. Jangan cepat menolak. Eryna memang tidak sesuai untuk kau tetapi kau amat sesuai untuk dia.” Faizul masih mempertahankan telahannya. “Belum cuba belum tahu. Dia tu hmm... wow, seksi.” Umar hanya tersenyum mendengar kata-kata Faizul itu. “Takkan nak cari orang yang bertudung litup saja. Sepatutnya kau pilih wanita yang beginilah, kawan. Bimbing dan tunjuk ajar dia. Jadi wanita atau isteri solehah.” Faizul terus mengusik. Dia ketawa bertali sebaik sahaja menghabiskan bicaranya. “Sudahlah, Faizul. Aku tak mahu. Hmm... aku minta tolong pada kau, kalau benar-benar sayangkan persahabatan kita, jangan bangkitkan hal ini lagi,” kata Umar sambil merebahkan tubuhnya di atas katil. Baju-baju yang hendak dipakai pada minggu itu telah selesai digosok. Dia menguap beberapa kali. Fikirannya kembali terkenang Eryna Natasha. Eryna Natasha yang secara tiba-tiba mendatangi hatinya. Tetapi hatinya selalu terkenangkan Rina Melati. HAMPIR dua tahun setelah dia bertemu dengan Rina Melati di dalam keretapi, pada suatu hari, dia didatangi oleh seorang gadis di pusat sumber. “Umar, maafkan saya kerana peristiwa semalam.” Tiba-tiba bangku kosong disisinya diduduki oleh seorang gadis yang spontan menghulurkan tangan untuk bersalam. Senyumannya manis. “Semalam?” soal Umar, terkejut. Tangan yang dihulurkannya disambut dengan rasa keberatan kerana tidak dapat mengelakkan dirinya lagi. Kiri dan kanan mereka ada pelajar lain yang sedang memerhati. Jika dia menolak huluran tangan gadis itu pasti akan mencalarkan hati gadis itu. “Semalam saya terpijak kaki Umar sewaktu di kafeteria. Saya, Eryna Natasha. Hmm… boleh panggil Rin.” Eryna Natasha berseluar jeans biru muda. Berbaju T merah ketat berlengan separuh siku. Rambutnya lembut ikal melepasi bahu. Harumnya semerbak. Berkulit putih kuning serta gebu. Sekilas melihat wajah gadis itu, Umar terus terkenangkan Rina Melati. Dadanya jadi berdebar. Mungkin gadis itu juga ingin menyelesaikan kertas kerja sepertinya juga. “Tak apa... saya tak apa-apa. Perkara kecil sahaja,” jawabnya. Bola matanya terus merenung wajah gadis itu. “Hmm... maaf kalau saya bertanya. Macam mana saudari tahu nama saya?” Dengan nada perlahan dan agak gugup, Umar menyuarakan pertanyaan hatinya. “Umar Abdul Samad. Siapa yang tidak kenal dengan you. Anyway, maaf jika menggangu you di saat ini. Hmm... sibuk nampaknya,” kata gadis itu. Tubuhnya semakin dirapatkan ke meja. Degup jantung Umar bertambah kencang. Dadanya berdebar dan rasa tidak selesa. “Ahh... nak buat kertas kerja sikit,” terang Umar lagi. “Hmm... kalau begitu, kita berbual lain kali. See you later,” ujar Eryna Natasha manja. Dia bangun untuk beredar dari situ lalu mencapai buku-buku yang diletakkannya di atas meja sambil matanya menjeling Umar. Malangnya, tangannya yang agak kecil tidak mampu untuk menampung berat buku-buku yang agak tebal itu. Pegangan yang tidak seimbang menyebabkan beberapa buah buku itu meluncur daripada tangannya lalu beberapa cebisan kertas dan kad terkeluar dari helaian muka surat buku dan terbang melayang. “Alamak! Terjatuh pulak,” kata Eryna Natasha. Dia kelihatan kaget seketika. Beberapa pasang mata memerhati ke arahnya. Umar yang berada di belakangnya segera mengutip buku-buku dan kertas-kertas yang berselerakan lalu menyerahkannya kembali kepada Eryna Natasha “Terima kasih. Maaf kerana menyusahkan Umar,” kata Eryna Natasha sambil tersenyum manis dan menyambut buku-buku serta kertas-kertas yang dihulurkan oleh pemuda itu. Umar sekadar tersenyum singkat. Eryna Natasha cepat meninggalkan ruang itu dengan langkahnya yang laju. Tiba-tiba bola matanya terlontar ke bawah meja. ‘Hmm... ada lagi barang Eryna Natasha yang belum dikutip,’ bisiknya. Dia tunduk dan mengutip satu sampul surat yang sudah lusuh berwarna putih yang dilihatnya itu. Kelibat Eryna Natasha sudah tidak kelihatan lagi, lantas sampul surat itu dimasukkannya ke dalam buku notanya yang tebal. Sampul surat itu akan dikembalikan kepada Eryna Natasha jika mereka bertemu lagi. UMAR bingkas bangun dari pembaringannya dan meluru menuju ke meja tulisnya. Dalam lamunannya baru dia teringat, dia terlupa mengembalikan sampul surat yang entah apa isinya itu kepada Eryna Natasha. Dia meraba-raba ke dalam laci untuk mencari sampul surat yang dikutipnya dari bawah meja di pusat sumber itu. “Eh, kosong. Ke mana pula pergi isinya?” Umar meraba-raba lagi ke dalam lacinya sehinggalah tangannya menyentuh sekeping kertas yang tebal dan licin permukaannya. Dia menarik dan menatapnya. Sekeping foto. Dadanya berdebar apabila melihat foto itu. Seorang gadis cantik bertudung labuh menutupi sehingga ke bawah dadanya. Kotak fikirnya berbicara sendiri. Dia membalikkan belakang foto itu dan membaca tulisan yang tercatat di situ. Pabila kesunyian itu lebih nyaring dari suara, kerinduan ini ke mana hendak kulabuhkan? -Rina Melati- ~~~bersambung~~

Tiada ulasan: