Khamis, 26 Julai 2012

REDHA TAKDIRMU(BAB 7)

WAHID semakin menyepikan diri. Keputusan tentang perhubungan kami masih belum dibuat. Dahulu aku ditatang seperti minyak yang penuh, kini diriku semakin diabaikan. Perasaanku tidak diendahkan. Sakit peningku langsung tidak diambil tahu, tidak seperti dulu-dulu. Kelmarin bibir mengungkapkan tidak inginkan perpisahan, tak sanggup berpisah denganku walaupun sesaat, kini aku bagaikan ingin ditinggal pergi. Bagaimana dapatku terjemahkan perasaan hatiku di kala itu. Aku teringatkan cadangan Wahid untuk membawaku ke selatan Thailand dan menikah di sana? Apa tujuannya? Mengapa harus melarikan diri? Jika aku turutkan, bagaimana dengan keluargaku? Ayahku? Ibuku? Aku seorang anak yang selalu mendengar kata ibu bapa, tidak pernah membantah, tidak pernah melawan, tidak pernah bercakap kasar dengan mereka, tiba-tiba mengambil keputusan bernikah di Siam. Oh, tidak. Apakah sebenarnya permasalahan yang membelit Wahid? Mempunyai isteri? Mengapa dia tidak mengkhabarkan kepadaku sebelum ini? Apa tujuannya? Menganiayai aku? Beribu-ribu persoalan menerpa ke benakku bertalu-talu. Bertubi-tubi. Migranku muncul kembali apabila kotak fikirku sarat dengan pertanyaan yang tidak ada jawapannya. MALAM selepas aku keluar dengan Micheal, esoknya Wahid menelefonku setelah dua minggu mendiamkan diri. Kami bertemu seperti biasa dan Wahid menjemputku seperti selalu. Namun, hatiku seolah telah beku. “Lidya, sebenarnya Wahid seorang duda. Wahid ada anak, dua orang. Seorang lelaki dan seorang perempuan.” Senangnya dia melafazkan kata-kata. Aduh! Sakitnya hatiku bagaikan disiat-siat sembilu. Mengapa tatkala hati ini mula menyayangi, Wahid memusnahkan segalanya dengan berita yang menghancurkan. Aku cuba bertenang. Wahid melarikan pandangannya apabila aku merenungi matanya. Aku tahu betapa sukarnya Wahid untuk mengambil keputusan memberitahuku kenyataan itu. “Wahid mengambil keputusan untuk memberitahu Lidya, setelah Wahid dapati Lidya seorang yang sangat jujur dalam perhubungan kita! Wahid juga harus bersikap jujur. Lagipun, kita bakal menjadi suami isteri,” kata Wahid lambat-lambat. Tangannya menggumpal-gumpal tembakau lalu dimasukkan di dalam paip. Bau tembakau semerbak di sekitar tempat duduknya di restoran itu. “Wahid harap Lidya akan tabah mendengar perkhabaran ini.” Dia terus bersuara dengan selamba. Hatiku tiba-tiba merasai kekosongan. Kekosongan yang maha luas. Sebagaimana luasnya laut. Aku yang berdiri di hujung pasir pantai, resah dan terasing. Sendiri dan pilu. Pilu hatiku mendengar perkhabaran itu. Walau bagaimanapun aku terharu dengan kejujuran Wahid. Jika itu yang dinamakannya kejujuran. “Kalau begitu, pergilah. Kembalilah kepada bekas isteri Wahid. Tinggalkan Lidya. Kita putuskan pertunangan ini!” Menahan air mata daripada mengalir membasahi pipi, aku bersuara tegas dan perlahan sambil memalingkan muka ke arah lain. Sememangnya aku jenis keras hati, seperti kata bapaku. Biar hatiku ranap, hancur dan runtuh, aku tidak mahu menunjukkannya kepada orang. Tapi sampai bila aku dapat bertahan? “Wahid tidak mahu kehilangan Lidya!” Lelaki itu mengenggam tanganku dan menciumnya bertalu-talu. Keromantikannya tidak pernah selesai, namun kepercayaanku telah berkecai. “Pergilah, anak-anak perlukan Wahid! Jangan pedulikan Lidya, insya-ALLAH Lidya boleh hadapi kenyataan.” Aku cuba menguatkan hati sendiri dengan luahan kata-kata itu. Meskipun aku rasa aku tidak lagi mampu berdiri dengan kekecewaan yang bakalku hadapi itu. “Tak boleh! Wahid perlukan Lidya sampai bila-bila. Wahid tidak boleh hidup tanpa kasih sayang dan kemanjaan Lidya!” Wahid terus mempertahankan pendiriannya. Aku tidak menjawab apa-apa. Hatiku seolah beku. Kata-kata Wahid sudah tidak membawa erti kepadaku. “Sanggup ke Lidya memelihara anak-anak Wahid? Memberi kasih sayang kepada mereka?” Wahid seolah cuba menguji aku. Aku tidak menjawab apa-apa. Namun, diam itu tidak bermakna aku tidak sudi kerana di waktu itu aku benar-benar terkeliru dengan perasaan Wahid terhadapku. Aku sendiri keliru dengan perasaanku. Benarkah aku mahu menjadi isterinya? “Wahid sayang anak-anak Wahid. Mereka manja dengan Wahid!” Wahid cuba mengadu dan meraih simpati. “Bekas isteri Wahid macam mana?” Aku benar-benar mengharapkan jawapan yang dapat mencantumkan kembali harapanku terhadapnya. Harapan dan impian yang telah beransur longgar tiangnya. Wahid terdiam sekali lagi. Aku lihat ada air mata yang menuju ke penjuru matanya. “Dia kata...” Percakapan Wahid tersangkut-sangkut. Dia menelan air liurnya berkali-kali. Air mukanya muram. Dia kata apa? Wahid, dia kata apa?” Aku bagaikan hilang sabar menantikan jawapan daripada Wahid. Wahid kelihatan gementar untuk meluahkan kata-kata. “Dia kata kalau Wahid mahukan anak, Wahid kena ambil dengan emaknya sekali!” terketar-ketar dia menghabiskan kata-katanya. Aku terdiam. Ada sesuatu yang terbuku bagaikan tersangkut dikerongkongku. Tidak dapat menahan, air mataku menitis membasahi pipi. Perhubungan antara aku dan Wahid menjadi semakin bercelaru. “So, rujuklah dengannya! Habis cerita! Wahid pergi berjumpa dengan keluarga Lidya dan putuskan pertunangan kita! Insya-ALLAH Lidya akan cuba bersabar! Dah bukan jodoh kita, nak buat macam mana!” Aku berterus terang dengan Wahid. “Lidya! Wahid tak boleh hidup tanpa Lidya! Please...jangan suruh Wahid buat keputusan itu! Wahid benar-benar sayangkan Lidya!” Wahid terus berkeras dengan pendiriannya. “Hantarkan Lidya balik! Malam ini, Wahid renungkanlah dan fikirkan dalam-dalam. Buatlah keputusan sendiri. Jujur pada hati sendiri.” Aku bersuara perlahan. Aku mengais-ngais nasi di dalam pinggan dengan sudu yang di tangan. Segala yang berlaku membantutkan selera aku. Butiran nasi bagaikan butiran pasir yang jatuh melalui kerongkongku. Aku menelan tangisan dalam diam. “Lidya!” Wahid memegang tanganku kuat-kuat. Pandangan matanya ke mataku terlalu menusuk kalbu. Di wajahnya tergambar perasaan serba salah. “Lidyakan penyabar, tabah. Wahid yakin Lidya boleh menghadapi segalanya. Bekas isteri Wahid tidaklah sesabar dan setabah Lidya!” kata-kata Wahid semakin menghiris hatiku. Adakah kerana kesabaran dan ketabahan yang aku miliki, aku akan dihukum dengan kekecewaan? “Entah mengapa, kebelakangan ini Wahid selalu teringatkan bekas isteri, tetapi Wahid juga sangat menyayangi Lidya!” Wahid bagaikan berkata untuk dirinya sendiri. Namun, kata-katanya terus menyiat-nyiat perasaanku yang telah koyak. TUHAN... tolonglah hamba-MU ini. Aku tak inginkan perpisahan ini, tetapi mampukah dia aku miliki? Sedangkan di waktu ini, aku menyedari yang antara aku dan Wahid ada jurang yang memisah. EMAK mula meleteri aku setiap kali aku menelefonnya. Aku menelefon emak di kampung setiap malam minggu apabila semua kawan-kawan serumahku sudah keluar. Ada yang balik kampung, ada yang pergi ke rumah kakak atau abang, ada yang pergi berhibur bersama kawan-kawan. Biasanya aku akan bersendirian sehingga ke malam Isnin. Selesalah aku berbual bersama emak. “Lidya, beritahu Wahid cepat datang tetapkan hari pernikahan atau putuskan pertunangan! Dulu datang melamar beria-ia, sekarang macam nak main-main! Ingat anak aku, anak ayam ke?” Aku faham dengan kemarahan emak. Namun, fikiranku juga buntu. “Sabarlah, mak! Nanti kalau Wahid telefon atau datang jumpa Lidya, Lidya pujuk dia! Mak tak usah susah hati! Insya-ALLAH, kalau ada jodoh tak ke mana.” Aku cuba menenangkan hati emak. Sedikit pun aku tidak menceritakan kepada emak yang Wahid sedang di dalam dilema. Bekas isteri ingin rujuk kembali. Itu yang diceritakannya kepadaku. Dan lelaki itu pula terlalu takut untuk membuat keputusan. Jika diikutkan hati aku, aku tinggalkan sahaja Wahid. Aku sendiri yang memutuskan pertunangan. Tetapi aku sayangkan Wahid. Sebelum ini, perhubunganku dengan Wahid memang tidak ada masalah apa-apa. Penuh kasih dan sayang. Cuma kini, bila muncul cerita tentang bekas isterinya, antara aku dan Wahid bagaikan ada jurang yang amat dalam. “Kau macam mana?” Emak menyoal lagi. Macam mana? Bagaimana aku hendak menjawab persoalan emak. Fokusnya terlalu luas. Takkan aku hendak menceritakan betapa aku terlalu merindukan Wahid, di saat itu. Hampir tiga minggu kami tidak berjumpa. Mustahil aku menceritakan betapa deritanya jiwa aku di dalam perasaan yang terumbang ambing. Tergantung tidak bertali. Di salai tidak berapi. Aku seolah barang mainan. “Emak ni, macam mana apanya? Kan Lidya kata tadi, Lidya okey, sihat, alhamdulillah!” ujarku dengan nada lembut dan perlahan walau perasaanku bagai digigit-gigit. Aku masih menunjukkan keriangan kerana tidak mahu menyusahkan hati seorang ibu. “Mak risau, nanti Lidya dikecewakan! Frust menonggeng!” Emak bersuara kuat dan nyaring, namun terselit kerisauan di dalamnya. Aku ketawa mendengar percakapan emak. “Kalau dah frust menonggeng, nanti Lidya jadi kurus kering, itu yang mak tak mahu tengok!” Emak menyambung lagi, sebelum sempat aku mencelah percakapannya. “Astaghfirullahalazim! Emak ni, tak usahlah fikirkan yang bukan-bukan. Kalau fikirkan yang buruk, nanti ALLAH berikan yang buruk. Insya-ALLAH... Lidya akan tabah menghadapi apa juga rintangan yang datang mak! Ni kan anak mak!” Aku terus memujuk emak dan melindungi kesedihan di hati supaya tidak dapat dihidu olehnya. “Kau sihat tak? Emak dengar suara macam serak saja!” soal emak, seolah-olah dia dapat merasakan bahang panas tubuhku. Sememangnya dari petang tadi, aku rasa seram sejuk. Kepala pun mulai berat. Seminggu dua ini, aku jarang dapat tidur lena kerana memikirkan masalah dengan Wahid, yang entah bila akan selesai. Di tempat kerja pula aku selalu membuat kerja lebih masa. Kadangkala aku bekerja sehingga 12 jam sehari. Semuanya kerana aku ingin melalikan diri daripada mengenangkan Wahid. Melupakan kerinduan yang semakin sarat. “Sihat mak! Alhamdulillah. Cuma letih sikit. Lidya banyak kerja overtime kebelakangan ni.” Aku menyembunyikan lagi hal sebenar untuk tidak merisaukan hati orang yang mengandung dan melahirkan aku. “Kalau begitu kata Lidya, legalah sikit hati mak. Duduk di rantau orang, pandai-pandailah jaga diri dan bawa diri nak,” suara emak sebak. Dia meletakkan gagang telefon. Aku mencari ubat sakit kepala dan menelan dua biji sebaik sahaja selesai berbual dengan emak. Terasa tegang urat-urat di otakku. Aku ingin menghubungi Wahid, tetapi di mana? Yang aku ada hanya nombor telefon pejabatnya sahaja. Menurut Wahid, di rumahnya tidak ada talian telefon. Malam-malam buta begitu, pejabatnya sudah tentu tidak ada penghuninya. Kalau hari siang, bolehlah aku mencari rumahnya. Rumahnya? Di mana? Alamatnya pun aku tidak ada. Yang aku tahu hanya kawasan perumahannya. Nombor berapa, lorong apa, langsung aku tidak pernah bertanya. Aku mempercayai kejujurannya bulat-bulat. Tidak pernah berbelah bagi. Telefon berdering di atas meja. Aku mencelikkan mata. Badanku semakin panas. Aku gelisah, tekakku sakit. Mataku melihat jam di dinding. ‘Ya ALLAH! 10.00 pagi! Aku tak sembahyang subuh hari ni?’ Hatiku berbisik. Telefon terus berdering. Gagang telefon kucapai dengan mata yang terpejam. “Helo!” Aku menjawab dengan suara yang serak dan terbatuk-batuk. “Assalamualaikum, Lidya. Wahid ni!” Lembut suara Wahid mencecah telingaku. Orang mengantuk disorongkan bantal. Orang yang dirindui, tetapi tidak tahu di mana dan ke mana harus dicari, tiba-tiba menyerah diri. “Wahid, Wahid pergi mana? Dah lama tak hubungi dan jumpa Lidya. Lidya demam ni!” Aku menangis dan merengek-rengek. Rengekanku seperti budak kecil yang tidak dapat apa yang diingininya. “Wahid kursus, di Port Dickson.” Wahid bersuara lambat-lambat dan amat perlahan. Suaranya seakan berbisik. Sedikit pun tidak memberi respon kepada kesihatanku. Hatiku terasa sayu dan sayup. “Kursus apa? Wahid tak beritahu Lidya pun.” Aku menangis lagi bersulam batuk yang agak kuat. Dadaku terasa perit. “ Jurulatih badminton. Maafkan Wahid, sayang. Kelmarin tu, sebelum pergi tak sempat nak call dan inform Lidya. Bila sampai di sana, langsung tak ada ruang untuk keluar dan cari public phone untuk bercakap dengan Lidya. Rindu di hati ini, TUHAN saja yang tahu!” Wahid menerangkan dengan lembut dan teratur. Perempuan, bila lelaki berlembut mulalah cair hati. Aku terdiam seketika. Tidak pasti sama ada ingin mempercayai kata-kata Wahid atau sebaliknya. Mungkin itu hanya alasannya. “Wahid telefon dari mana ni?” Aku seperti terdengar suara dari rancangan televisyen dan suara kanak-kanak yang sedang bermain, diselangi oleh kokok ayam di talian telefon. Aku terbatuk-batuk lagi. Wahid tidak menjawab persoalanku. “Lidya demam ni.” Aku mengadu sekali lagi. Cuba bermanja-manja dengan Wahid. “Malam ni, Wahid bawa Lidya ke klinik. Lepas maghrib. Sekarang ni tak boleh. Kalau di rumah Lidya ada ubat, makanlah dulu. Malam nanti kita jumpa doktor!” Wahid berjanji. Suaranya masih lagi berbisik-bisik. Seolah menelefonku dengan cara sembunyi-sembunyi. Secara rahsia. Ingin menyorokkannya dari seseorang. Ah! Hati ini mula pandai membuat andaian. “Okeylah! Wahid, lepas tu kita pergi makan sate, ya? Lidya teringin nak makan sate di Sungai Udang tu!” Aku merengek lagi dalam suara yang serak. Entah mengapa, teringin pula nak makan sate. Jika boleh waktu itu juga aku mahu, sate terhidang di hadapanku. “Yalah! Yalah! Malam nanti, Wahid bawa ke mana saja yang Lidya mahu. Kita lepaskan rindu, ya. Sekejap lagi Lidya makan, telan ubat, dan rehat. Selimut tebal-tebal. Biar demam cepat kebah.” Wahid memujuk. Mujur dia cepat menamatkan perbualan, kerana aku benar-benar terasa hendak muntah. Sebaik sahaja gagang telefon diletakkan, aku menerkam ke bilik air. Memancut muntah keluar dari tekakku sebaik sahaja aku membuka mulut. Hampir lima minit aku berada di bilik air, meluahkan apa yang hendak terkeluar. Perut kosong sejak dari semalam, menyebabkan tekakku hanya mengeluarkan air yang berbuih. Sedihnya hati, berada di dalam keadaan begitu seorang diri. Emak jauh. Kawan-kawan serumah pun tiada. Aku merehatkan diri selepas menjamah sekeping roti dan segelas Milo dan tertidur sehingga ke maghrib. Aku mencelikkan mata apabila terdengar riuh rendah di dalam rumah. Semua kawan-kawan telah balik. Aku menggagahkan diri untuk bangun. Sungguh aku tidak berdaya rasanya. Kepalaku bagaikan terikat dengan batu yang amat besar. Telingaku bengang. Badanku panas. Nafasku, mengeluarkan haba panas. Tekakku sakit. Teringatkan janjiku dengan Wahid aku memaksa diri untuk bergerak, menuju ke bilik air, mandi seceduk dua, berwuduk. Aku memakai telekung dan cuba sembahyang duduk. Baru dua rakaat sembahyang Maghrib, pandanganku berpinar dan berpusing. Aku terus merebahkan diri. Aku pening. Lapar. Kawan-kawan serumah semuanya keluar sekali lagi, mungkin pergi makan malam di gerai berhampiran flat. “Wahid!! Cepatlah datang! Bawa Lidya pergi klinik. Lidya benar-benar tak larat ni!” Aku merintih sendirian. Waktu itu, azan isyak telah berkumandang di stesyen televisyen. Aku bersiap ala kadar sahaja. Selepas mengenakan sedikit lipstik dan bedak, aku tersandar di dinding rumah berhampiran pintu utama menanti panggilan telefon daripada Wahid. Aku membayangkan bagaimana aku menuruni tangga dari tingkat empat ke tingkat bawah dalam keadaan begitu selepas menerima panggilan daripada Wahid nanti. Flat penginapanku tidak ada perkhidmatan lif. Sepuluh minit, 20 minit, 30 minit. Minit-minit terus berlalu. Tiada tanda-tanda Wahid akan datang. Aku kecewa kerana jam telah pun menunjukkan hampir 11.00 malam. Aku terbaring di tepi dinding kerana benar-benar tidak berdaya. Telefon berdering lagi. Aku tidak menghiraukannya. Tergamaknya Wahid memperlakukan aku begitu. Di saat-saat itu aku benar-benar mengharapkan Wahid datang, tetapi dia tidak muncul-muncul. ~~~bersambung~~~~

Tiada ulasan: