Khamis, 26 Julai 2012

Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI ( BAB 7)

SEBELUM tidur pada malam itu, Bibik Sunarti telah menerangkan kepada Nurlisa tugas-tugas yang akan dilakukannya di rumah itu selain daripada apa yang telah diterangkan oleh Datin Rabiatul. Keesokan paginya, terhincut-hincut gadis itu berjalan dan menaiki tangga menuju ke bilik Aldi selepas sembahyang subuh. Pukul 6.15 pagi Aldi masih belum bangun dari tidurnya. Nurlisa kembali ke biliknya dan melipat kain-kain yang belum dibereskan oleh Sunarti. Pukul 8.30 pagi dia kembali lagi ke bilik Aldi. Gadis itu cuba mengemaskan bilik yang berserakan dengan frame, album gambar, kertas, kain baju yang bertaburan di sana sini. Semua tempat berselerak dengan gambar Aldi bersama seorang wanita. ‘Mungkin isterinya.’ Hati kecil Nurlisa seolah memberitahunya. “Heh budak! Jangan usik semua harta benda aku! Jangan! Jangan berubah tempatnya walaupun seinci!” Aldi tiba-tiba menjerit dan sebiji bantal melambung ke udara serta jatuh di tepi Nurlisa yang sedang mengutip baju-baju wanita yang berlonggok di atas permaidani. Nurlisa benar-benar terkejut. Aldi tiba-tiba bangun dan cuba mengubah kedudukan punggungnya dari atas tilam ke tempat duduk di kerusi roda dengan tergesa-gesa kerana marahkan Nurlisa. Malang sekali, kerusi roda itu bergerak beberapa inci dan tubuh Aldi tergolek lalu jatuh di atas lantai. Mujurlah lelaki itu berseluar tidur dan lantai di bilik itu dilapisi oleh hamparan yang tebalnya menenggelamkan kaki. “Jangan usik! Jangan ubah! Jangan! Jangan!” Sungguhpun tubuh sudah terkangkang di atas lantai, kemarahan Aldi tetap memuncak. Dia terjerit-jerit memarahi Nurlisa yang berdiri membatu dengan penuh rasa takut dan tidak tahu untuk berbuat apa. Yang pastinya air matanya deras mengalir. “Jangan ambil! Jangan ambil dia dari aku! Jangan!” Dari kemarahan yang berapi berubah kepada kesedihan yang menyayat hati. Aldi menangis seperti anak-anak kecil. Tangannya terus mencapai gambar-gambar atau frame-frame yang tercapai oleh tangannya lalu mengucupnya bertalu-talu sambil menangis tersedu-sedan. Nurlisa memerhati peristiwa yang terjadi di depan matanya dengan hati yang pilu bercampur simpati. Perlahan-lahan gadis itu keluar dari bilik itu sambil menangis. Belum sempat dia meninggalkan bilik itu, Aldi memanggilnya semula. “Hoi! Tolong angkat aku!” Suara Aldi masih keras, namun tangisannya sudah berhenti. Nurlisa berpatah kembali ke dalam bilik itu. Dahinya berkerut menahan kesakitan di lutut sewaktu lututnya dipaksa untuk membengkok. “Heh budak! Kalau kaki kamu sakit tak payah tolong aku! Panggil Wak Dollah!” Mata Aldi menjegil kepada Nurlisa yang masih cuba menahan tangis. Dia melihat mata gadis yang cuba membantunya. Mata yang lembut dan redup tetapi warna putih matanya sudah berona merah kerana ada air mata yang diikat. “Baik, encik. Maafkan saya.” Nurlisa sekali lagi berundur dari situ untuk memanggil Wak Dollah untuk membantu Aldi. Terhincut-hincut gadis itu berjalan dan menuju ke tingkat bawah untuk mencari Wak Dollah. Seluruh rumah dia mencari Wak Dollah tetapi lelaki tua itu tidak ditemui. Nurlisa berjalan keluar ke arah porch yang menyimpan kereta-kereta milik Datuk Haris, kalau-kalau Wak Dollah ada di sana. Malang sekali Wak Dollah tiada di situ. Puas dia memanggil serta mencari di sekeliling rumah, namun Wak Dollah masih tidak ditemui. “Bibik! Bibik! Bibik!” Bibik Sunarti pula dicari di merata dapur, namun bayang wanita itupun tidak kelihatan. Beberapa minit mencari, barulah dia teringat yang Bibik Sunarti ada memberitahunya yang dia akan ke pasar pada pagi itu. Wak Dollah pula menghantar kereta ke bengkel untuk diganti tayarnya. Awal pagi lagi mereka telah keluar dari rumah. ‘Macam mana ni?’ Dalam kebuntuan perasaan dan fikiran untuk menyelesaikan masalah yang datang bertandang secara tiba-tiba, Nurlisa terhincut-hincut kembali ke tingkat atas. Hampir 20 minit dia meninggalkan lelaki itu terlentang di atas lantai berhampiran katilnya. Entah apa pula yang akan diamuknya nanti. Nurlisa terus meneka-neka di dalam kebimbangan dan simpati yang menggunung. “Encik! Wak Dollah tak ada!” Dalam perasaan takut yang mencerut, Nurlisa memberitahu Aldi yang sedang terbaring di atas permaidani. Aldi membuka matanya sebaik terdengar suara gadis itu. “Bibik pun tak ada!” Suara Nurlisa seolah tersangkut di kerongkongnya. Dia menatap wajah Aldi yang berserabut dan kusam. Matanya merenung ke mata lelaki itu. Aldi terdiam. Wak Dollah tak ada, maksudnya dia akan terbaring di situ sehingga lelaki tua itu kembali ke rumah. Dia merenung ke wajah Nurlisa yang sedang menunggu arahan darinya. Bolehkah gadis ini membantu aku? Tubuhnya kecil. Kakinya tempang. Bolehkah? Bolehkah? Tidak semena, air mata pilu mengalir dipipinya. Ah! Mengapa Allah mengenakan seksaan yang begini terhadapku? Begitulah rintih hatinya. Meletakkan tongkatnya di atas lantai, Nurlisa memaksa kakinya yang sakit supaya membengkok dan dapat membantu lelaki itu yang terbaring. Namun dia gagal melakukan itu kerana kakinya telah disokong oleh sebatang besi dari lututnya yang cedera tempoh hari. Ya Allah... berilah aku jalan untuk membantu lelaki ini. Hati kecilnya berdoa. “Encik! Saya akan tolong, encik.” Nurlisa berbisik perlahan sambil bibirnya melukis sekuntum senyuman. Dia berusaha juga untuk membengkokkan kakinya itu walaupun sakitnya bukan kepalang dan duduk di hujung kepala lelaki itu. Demi rasa simpatinya terhadap Aldi, dia terpaksa membuang rasa segannya terhadap lelaki itu. Jari-jemarinya mula memegang belakang leher lelaki itu dan membangunkannya perlahan-lahan dengan menolak belakang Aldi menggunakan lutut kanannya. Tercungap-cungap dia cuba menyandarkan lelaki itu pada tiang katil. “Lailahaillallah! Kenapa dengan Aldi, Lisa?” Wak Dollah tiba-tiba muncul di pintu. Langkah kakinya dipercepatkan untuk segera membantu gadis dan pemuda itu. “Terjatuh dari kerusi Wak.” Suara Nurlisa seakan merintih. Namun hatinya bersyukur. Kemunculan Wak Dollah melegakan perasaannya. “Mujur Wak cepat balik,” rungut Wak Dollah sambil terus membantu Aldi. Lelaki tua itu bersyukur kerana tauke bengkel kereta sudi menyuruh pekerjanya menghantar dia kembali ke Vila Kencana Emas, sementara tayar kereta diganti. Secara kebetulan, tauke bengkel itu kenalan Datuk Haris dan sudah mengenali Wak Dollah. “Lisa, katil ni ada alat kawalan! Mana dia?” Wak Dollah mengisyaratkan tangannya dan menunjukkan seolah sedang menekan sesuatu. Nurlisa mengelengkan kepala. “Mana, Di?” Wak Dollah menyoal Aldi pulak. “Bawah bantal!” Aldi bersuara perlahan dan lemah. Dia kesal kerana mengikut perasaannya sebentar tadi lalu terlupa tentang alat kawalan katilnya itu. Punggungnya terasa sakit kerana terhentak di atas lantai. Rasa sakitnya bercampur dengan rasa malu yang tiada sempadan. Dia malu pada Nurlisa. Gadis yang pergerakannya disokong oleh tongkat itu masih mampu melakukan itu dan ini. Sedangkan dia hanya duduk-duduk di kerusi roda itu dan menderita, selalu mengharapkan bantuan daripada orang lain. “Lisa... Kaki kamu kan masih belum sembuh!?” Wak Dollah meleteri Nurlisa pula pabila dilihatnya gadis itu sedang mengerutkan dahinya. Mungkin menahan kesakitan dan cuba menyembunyikannya. Wak Dollah menghubungi Dr. Rustam untuk merawat Aldi, bimbang Aldi mengalami kecederaan dalaman akibat kemalangan kecil itu. Aldi tidak bercakap walau sepatah pun kepada doktor yang merawatnya. Wajahnya tetap keruh dan muram. Nurlisa benar-benar bimbang dan rasa bersalah. Jika dia tidak menyentuh barang-barang di dalam kamar lelaki itu, tentunya Aldi tidak akan marah dan mengamuk. Kemalangan itu tidak mungkin akan terjadi. “Berehat Aldi! Jangan fikirkan yang bukan-bukan.” Begitulah kata Dr. Rustam kepada Aldi yang membisu seribu bahasa sebelum meninggalkan lelaki itu bersendirian di kamarnya. “Datuk dan datin bila balik, Wak?” Dr Rustam bertanya pada Wak Dollah yang berada di ruang tamu. “Minggu depan.” Wak Dollah menjawab dengan ringkas. “Bibik! Pujuk Aldi makan. Dia tak ada apa-apa. Hanya terhentak sedikit sahaja.” Dr. Rustam bersuara tegas kepada Bibik Sunarti yang turut berada di situ sebelum dia berlalu pergi. “Ajak dan temankan dia berbual. Jangan biarkan dia menyendiri begitu,” ujar doktor itu lagi. “Nak pujuk macam mana lagi doktor. Kalau budak-budak umur empat tahun bolehlah dijanjikan dengan upah. Dia dah dewasa dah. Dah suku abad. Dia tidak boleh terima kenyataan. Asyik bersedih sepanjang waktu aje.” Wak Dollah seolah mengadu kepada Dr. Rustam yang berjalan beriringan dengannya menuju ke kereta doktor muda itu. “Emosinya selalu tidak stabil! Akan beri kesan kepada psikologinya!” ujar Dr. Rustam lagi. “Dia tak mahu pergi rawatan kaki tu lagi ke? Sepatutnya datuk dan datin pujuk dia. Dia tak sihat, murung, tertekan, takkan kita yang sihat ni nak dengar dan ikut rentak dia!” Dr. Rustam menasihati lagi. “Dah puas doktor! Puas kami nasihatkan. Kalau dipaksa-paksa nanti bimbang pula dia cederakan dirinya,” jawab Wak Dollah. Dr. Rustam terdiam. Mungkin memahami dan terfikirkan kemungkinan buruk yang akan berlaku jika Aldi terus didesak dipaksa. Wak Dollah mengiringi Dr. Rustam sehingga ke keretanya. Apabila doktor itu telah beredar, dia kembali semula ke dalam rumah. Dia melihat Bibik Sunarti sedang memujuk Nurlisa yang sedang menangis. “Bibik, Wak, saya takut! Datuk dan datin tentu akan marah jika mereka tahu saya yang menyebabkan Encik Aldi jatuh!” Nurlisa, masih teresak. Perasaan bersalah menjalari hatinya. “Lisa, jangan bimbang. Mereka tak akan salahkan Lisa. Aldi tu memang begitu. Emosinya tidak stabil dan kerap mengamuk walaupun perkara kecil.” Wak Dollah cuba memujuk. Nurlisa yang masih belum mengenali hati budi keluarga itu, tentulah berasa curiga. “Sebenarnya dia sihat. Tapi, entahlah kenapa dia jadi begitu? Wak Dollah pun tidak faham. Dia terlalu mengikutkan perasaan dan hatinya.” Wak Dollah bersuara kesal. “Lisa kena jaga dan tengokkan Aldi tu seperti yang datin arahkan. Sabarlah dengan karenah Aldi dan kuatkan semangat dia. Insya-allah dia akan berubah dan kembali seperti dulu.” Wak Dollah memberi nasihat dan semangat kepada Nurlisa. “Cuba ajak dia berbual, seperti yang Dr. Rustam suruh tu! Wak tak tau dah nak buat macam mana! Dah puas dah pujuk hatinya. Dah selalu nasihat, tetapi dia membatukan hatinya. Mana tahu, Lisa boleh buat dia berubah sikap,” nasihat Wak Dollah kepada Nurlisa. “Kaki rasa macam mana? Kalau perlu, Wak boleh bawa kamu pergi hospital!” Wak Dollah yang bersimpati dengan Nurlisa ingin menabur khidmat. Matanya memandang kaki gadis itu. “Tak apa, Wak! Sakit sikit saja ni. Tak boleh dimanjakan sangat. Nanti lambat sembuh,” jawab Nurlisa sambil tersenyum. Sebenarnya kakinya sedang sakit berdenyut-denyut. Dia mengambil tongkatnya dan berjalan terhincut-hincut beredar dari situ. SUARA azan yang berkumandang dari masjid yang tidak jauh daripada vila itu mengejutkan lena Nurlisa. Segera dia bangun untuk menunaikan kewajipan kepada ilahi. Setelah itu, dia terhincut-hincut lagi menuju ke bilik Aldi sebaik sahaja selesai solat subuh. Aldi sudah bermenung di tepi jendela duduk di kerusi rodanya. Dia berbaju T lengan panjang berwarna putih dan berkain pelekat biru muda dan kelabu. “Assalamualaikum, encik. Saya hendak kemaskan bilik encik.” Nurlisa bersuara perlahan dan berhati-hati. Matanya memerhatikan Aldi yang duduk di kerusi roda. Wajah Aldi yang murung dan masih dihiasi jambang yang meliar, mendebarkan hatinya. Dia hanya menanti saatnya sahaja suara lelaki itu bertempik dan memarahinya. “Pukul berapa sekarang ni?” soal Aldi kasar. Matanya melirik ke arah gadis yang berbaju kurung biru dan bertudung putih itu. Tanpa calitan bedak atau apa-apa kosmetik, gadis itu tetap kelihatan manis. “6.35 pagi, encik,” jawab Nurlisa sopan. Matanya merenung ke arah lelaki itu. Dadanya berdebar-debar. Telinganya menanti rasa untuk diterjah oleh suara tengkingan atau jeritan lelaki berkenaan. “Buat apa kamu masuk ke bilik ni ganggu aku? Pagi-pagi buta lagi!” Aldi bersuara garang. Benarlah telahan Nurlisa. Aldi akan marah-marah lagi. Senyuman daripada bibirnya tidak berjaya menyejukkan kepanasan hati di lelaki itu. Kemarahannya sentiasa akan meledak pada bila-bila masa. “Datin suruh saya kejutkan encik setiap hari untuk...” Suaranya tersangkut-sangkut kerana takut. Namun dia harus menjalankan kewajipannya. “Untuk apa? Solat subuh? Itu soal aku! Kamu jangan campur!” Suara Aldi bertambah kuat. Nurlisa terdiam. Apa yang ingin diungkapkannya ditelan seketika. “Saya nak menjalankan tugas yang datin arahkan, encik!” Suara Nurlisa agak bergetar. Itulah di antara amanah yang telah dititipkan oleh Datin Rabiatul kepadanya. Suruhlah Aldi bersembahyang. Sudah lama dia tidak bersembahyang. Kalau Aldi benar-benar tidak waras, hilang ingatan bolehlah dimaafkan. Ini, dia masih berakal. Masih waras. Itulah yang difikirkan oleh Datin Rabiatul. Cuma sesekali sahaja dia seolah hilang pertimbangan akalnya kerana menurut emosi. Dia tidak mahu bersembahyang lagi semenjak kematian isterinya. Itu juga yang diceritakan oleh Datin Rabiatul kepadanya. “Kamu kemaskan cadar tu!” Aldi menudingkan jarinya ke katil dan bersuara kasar. “Jangan ubah apa-apa pun dalam bilik ini! Terutama gambar-gambar serta pakaian di atas katil tu!” Lelaki itu bersuara serius. Matanya menjeling ke arah Nurlisa. Gadis itu kelihatan tabah berjalan ke sana sini walaupun dibantu oleh tongkat yang tersepit di celah ketiaknya. “Baik, encik!” Nurlisa terhincut-hincut menuju ke katil dan memulakan tugasnya. Aldi memerhatikan segala pergerakan gadis itu dengan ekor matanya. Ke mana sahaja Nurlisa bergerak dia akan mengekorinya dengan kerlingan matanya. “Hei budak! Kenapa kaki kamu begitu?” Aldi menyoal dengan nada keras dan serius. Matanya dibulatkan sewaktu mata gadis itu merenung matanya. “Saya kena langgar, encik.” Nurlisa menjawab ringkas sambil menundukkan pandangannya. Berdebar hatinya apabila renungan mata Aldi seolah menikam ke anak matanya. Tangannya terus melipat selimut yang bergumpal. “Siapa langgar?” soal Aldi lagi dengan nada keras. Matanya terus memerhati Nurlisa daripada dahi hingga ke hujung kaki. Mata Nurlisa yang lembut dan redup itu menawan hatinya. Di bawah cahaya lampu di dalam biliknya, Nurlisa kelihatan begitu mempersonakan. “Tak tahu, encik,” jawab Nurlisa perlahan dengan perasaan berdebar. Dia berpura-pura tunduk untuk mengelakkan pandangan matanya bertemu dengan pandangan mata Aldi sekali lagi. Aldi yang terus memerhatikannya sedari tadi. “Bodoh!” Spontan sahaja perkataan itu keluar daripada bibir Aldi. Tersentak Nurlisa seketika, namun dia kembali tenang beberapa detik kemudian. Hatinya berasa sayu, namun dipendamkannya dalam-dalam. Emak yang melahirkannya pun tidak pernah mengherdiknya dengan perkataan bodoh. Suasana hening seketika. Nurlisa memikir-mikirkan perkataan yang harus diucapkan untuk memecah kesunyian itu yang datang tiba-tiba. “Encik dah solat subuh?” Dia memberanikan diri mengeluarkan pertanyaan itu. Dengan solat hatinya selalu menjadi tenang. Itulah yang dirasainya. Dan itulah yang telah diajarkan oleh emaknya sejak dia kecil lagi. Mungkin Aldi juga akan menikmati ketenangan itu sekiranya mendekatkan dirinya kepada Allah. Aldi menyepikan beberapa ketika. Telinganya tiba-tiba rasa berdesing dengan soalan daripada gadis itu. Solat? Untuk apa? Segala yang aku miliki sudah hilang. Aku menjadi lelaki yang lemah. Tidak boleh berjalan. Segala kebahagiaanku ranap. Tiba-tiba dadanya terasa sesak. Kerusi rodanya digerakkan ke depan dan ke belakang. “Budak! Keluar dari bilik ini sekarang! Jangan cuba hendak mengarah aku! Eh! tuhan dah ambil kesempurnaan kamu! Kamu masih solat? Hah!” Aldi bertempik dengan suara berang. Hatinya benar-benar rasa sakit dengan pertanyaan daripada gadis tempang itu. Nurlisa benar-benar terkejut melihat perubahan sikap Aldi yang tidak semena-mena itu. “Maafkan saya, encik. Maaf...” Suara Nurlisa tersendat pilu. Air matanya tiba-tiba tertumpah. Bengkingnya Aldi! Kecut perut gadis itu. Dia masih belum bergerak dari atas katil kerana tugasnya belum selesai. Dia cuba menyembunyikan rasa gementar tubuhnya kerana ketakutan. “Keluarrr!!! Keluar!” Sekali lagi Aldi menghalau Nurlisa dengan perasaan yang amat marah. “Aku kata keluarrr!!!” tempik Aldi kuat. “Baik! Baik, encik. Saya keluar sekarang...” Tergagap-gagap Nurlisa menjawab lalu mencapai tongkat yang tersandar di tepi dinding berhampiran katil dan terhincut-hincut bergerak keluar dari bilik itu. “Heh! Budak! Jangan kamu naik ke bilik ini lagi!” Aldi bersuara kuat tanpa memandang ke arah Nurlisa yang sedang menuju ke pintu. Sebaik sahaja kelibat gadis itu hilang dari pandangan matanya, Aldi menggerakkan kerusi rodanya ke pintu. Daun pintu ditolak dengan kuat menggunakan tangannya. Berdentum bunyi daun pintu itu akibat hempasan tangannya. Nafasnya tercungap-cungap kerana menahan perasaan marah yang bergelodak di jiwanya. “Ahh!!!” Aldi mencapai sebuah buku yang tercapai oleh tangannya lalu melemparkan ke cermin almari. Bergemerincing bunyi cermin yang pecah berderai. ~~~BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan: