Khamis, 26 Julai 2012
Novel:Kasihnya DIA (BAB 8)
TIRAI malam semakin melebar dengan warna hitamnya. Bintang-bintang yang bertaburan di langit menimbulkan bintik-bintik berkilauan di celah kegelapan. Hembusan angin malam membelai dan meniup daun-daun.
Nyamannya belaian angin malam tidak dirasai oleh Rina Melati yang terkurung di dalam rumah itu sejak petang tadi. Ruang tamu rumah itu hanya diisi oleh bisikan penghawa dingin. Rina Melati terbaring di sofa panjang sejak setengah jam yang lalu. Matanya terlalu mengantuk dan badannya terasa letih benar. Lima hari di wad hospital, lima hari jugalah matanya tidak dapat dilelapkan dengan lena. Mustahil matanya dapat dipejamkan jika ada pesakit lain yang menjerit, mengeluh, memanggil jururawat dengan suara yang kuat dan seumpamanya lagi.
“Nini, siapa budak yang datang melawat kamu di hospital hari itu!” Khalid bersuara keras, merenung tajam ke arah gadis di hadapannya. Rina Melati yang hanya mengenakan blaus tipis tidak berlengan berwarna putih dipadankan dengan jeans berwarna biru lusuh. Semenjak mengambil Rina Melati dari hospital tadi, dia tidak berkata walau sepatah pun.
“Tak... ada sesiapa yang datang. Cuma abang,” jawab gadis itu tertakut-takut. Mukanya ditundukkan. Dia yakin Khalid sedang merenungnya dengan renungan matanya yang amat tajam. Tajam mata Khalid bagaikan mata seekor helang yang ingin menerkam mangsa dengan paruhnya.
“Hei! Mata aku belum buta! Aku nampak! Langsung aku tidak jadi melawat kau. Aku takut budak itu akan jadi mangsa penangan aku!” marah Khalid dengan suara keras dan kuat. Perasaan cemburunya seolah membakar seluruh hatinya. “Cakap! Atau aku pergi cari dia di kampus. Aku akan pukul dia sampai mati dan bawa dia ke sini! Nak?” ugut Khalid pula. Hatinya tidak rela melihat ada lelaki lain yang cuba merapati gadis itu. Dia merenung Rina Melati sekali lagi. Bola matanya terlontar ke seluruh tubuh gadis itu.
“Jangan! Umar tak ada hubungan apa-apa dengan Nini. Dia hanya datang melawat, Nini,” jawab Rina Melati, takut-takut. Matanya memandang Khalid dengan renungan keliru. Mustahil Khalid berasa cemburu kepada Umar. Bukankah Khalid tidak pernah menyayanginya?
“Ingat! Jangan ada apa-apa hubungan dengan mana-mana lelaki kalau tak nak aku bunuh kau atau lelaki itu!!” Khalid terus mengancam Rina Melati.
Suasana hening seketika. Rina Melati duduk di atas sofa dengan perasaan yang tertekan. Masing-masing melayan perasaan.
“Abang, Nini nak buat air sekejap, ya.” Seperti seorang pesalah Rina Melati meminta keizinan. Nada suaranya lembut.Dia bangun dari sofa. Cuba mengelakkan diri daripada lelaki itu. Manalah tahu, tiba-tiba datang barannya, lelaki itu yang tidak pernah bosan untuk mengasarinya.
“Duduk sini! Jangan pergi ke mana-mana!” kata Khalid sambil menarik tangan Rina Melati yang baru hendak bangun dari sisinya. Tubuh gadis itu ditarik supaya duduk rapat di sisinya. Sebelah tangannya memeluk bahu Rina Melati.
“Mulai esok atau lusa aku tak ada di negara ini untuk beberapa ketika,” beritahu Khalid. Suaranya tidak sekasar tadi.
Rina Melati berasa bebas seketika apabila mendengarkan berita itu. Telinganya semakin dirapatkan ke arah lelaki itu. Untuk mendengar dengan teliti sekiranya ada lagi kata-kata terungkap daripada bibir Khalid. Kata-kata yang dapat memberinya kegembiraan serta kedamaian.
“Pergi ambil beg di bawah kerusi pemandu dalam kereta,” suruh Khalid. Dia mengeluarkan kunci kereta dari dalam poket seluarnya.
Bagaikan seekor lembu yang dicucuk hidungnya, Rina Melati menurut. Beg yang diambil diserahkan kepada Khalid.
“Duduk sini!” arah Khalid sambil menarik kerusi kecil yang berada tidak jauh dari meja kopi. Kerusi itu diletakkan di hadapannya.
Hati-hati Rina Melati duduk di tempat yang diarahkan oleh Khalid. Degup jantungnya mulai kencang.
Khalid membuka beg hitam itu penuh hati-hati. Rina Melati memerhati dengan senyap. Terbuka sahaja kunci beg, penutupnya diangkat oleh Khalid sambil matanya melirik ke arah gadis yang di depannya.
Berderau darah Rina Melati apabila melihat peralatan yang mengisi seluruh ruang beg itu.
“Pagar, pintu dah kunci?” soal Khalid separuh berbisik. Matanya tajam merenung gadis itu.
Rina Melati hanya menggangguk.
“Kau tau tak ini apa?” tanya lelaki itu lagi. Khalid memuncungkan mulutnya ke arah beg yang telah ternganga.
Rina Melati mengeleng.
“M16!” Khalid menjawab ringkas. Tangannya mengeluarkan tetingkat yang mengandungi pecahan senjata api itu.
Rina Melati terpukau sekali lagi melihat duit RM50 tersusun rapi di bawah senjata itu. Bersusun-susun.
Khalid mengambil tiga ikat not 50 ringgit. “Ini perbelanjaan kau selama peninggalan aku!” katanya lalu meletakkan kepingan wang itu di atas riba Rina Melati.
“Bila abang balik?” soal Rina Melati dengan nada perlahan. Khalid merenungnya tajam. Wang yang di atas ribaan tidak dipedulikan. Khalid memang tidak pernah lokek soal wang dengannya.
“Belum tahu lagi. Sewaktu ketiadaan aku nanti, jaga diri kau elok-elok,” pesan Khalid. Beg yang ternganga segera ditutup dan dikunci kembali. Lantas beg itu disandarkannya ke dinding. Matanya terus merenungi Rina Melati. “Jangan cuba lari! Aku akan cari kau walaupun ke lubang cacing,” beritahunya dengan suara serius.
“Seperkara lagi, lusa kawan aku akan hantar kereta baru untuk kau. Pembayarannya telah aku jelaskan semuanya. Kereta yang telah terlibat dalam kemalangan itu, biarkan sahaja. Bila aku pulang nanti, aku akan uruskan. Sebaik sahaja urusan kereta selesai, kau harus pindah dari rumah ini.” Sambungnya lagi. Dia merenung wajah Rina Melati seketika.
“Jangan berbual apa-apa pun mengenai diri kau pada kawan aku itu. Aku dah beritahu dia kau isteri aku,” katanya lagi.
Rina Melati tambah tergamam. Bibirnya bagaikan terkunci. Lelaki yang berada di sisinya kini, amat mengelirukan. Hari itu bersungguh-sungguh benar menafikan tentang perasaan kasih sayang. Hari ini pula menobatkannya sebagai isteri.
“Rumah ini tinggalkan buat sementara. Aku telah sewakan sebuah rumah lain untuk kau. Tinggal di sana sehingga aku pulang,” ungkap Khalid lagi. Sekali lagi dia meraba-raba kocek seluarnya dan mengeluarkan dompet. Dari dompet itu dikeluarkannya secebis kertas dan dihulurkannya kertas itu kepada Rina Melati. “Ini alamatnya. Cuma bawa tubuh badan dan kain baju kau saja. Yang lain-lain semuanya telah tersedia!”
“Bila abang nak pergi? Nak Nini hantar abang ke airport.” Rina Melati memberanikan diri untuk bersuara.
“Airport? Naik kapal terbang?” Khalid menyoal kembali.
Rina Melati menganggukkan kepala. Ke luar negara, dengan apa lagi jika tidak dengan kapal terbang?
“Aku mahu bawa senjata tadi! Kau mahu aku dipakai dengan gelang besi dan dibawa ke lock-up?.”
“Habis nak pergi dengan apa?” Rina Melati menyoal lambat-lambat dan berhati-hati. Bimbang pertanyaannya menjadi punca kemarahan Khalid. “Kenapa nak pakai gelang besi pula?” soalnya lagi, penuh kelurusan.
“Bukan aku nak pakai gelang besi! Di airport nanti, sewaktu pemeriksaan, jika didapati aku membawa senjata api, aku akan kena tangkap, digari dan dibawa ke lock-up! Mengerti?” Khalid membulatkan matanya merenung Rina Melati sambil keduanya tangannya dihulurkan ke hadapan seolah sedang digari. “Sekarang kamu faham Nini?” Khalid merenung wajah Rina Melati lagi.
Lelaki itu tidak mengerti mengapa hatinya berombak ganas. Mungkin kerana saat perpisahan dengan gadis itu yang sedang menghampiri. Walaupun sementara, dia rasa asing dan aneh tanpa Rina Melati. Hampir dua tahun dia mengenali gadis itu. Gadis itu dikurung di dalam sangkar yang tidak kelihatan, tiba-tiba pula ingin dilepaskan. Dia tahu itu merupakan satu tindakan bodoh. Namun, dia percaya kepada kesetiaan gadis itu.
Malam semakin larut. Rina Melati semakin resah. Khalid masih berada di rumah itu. Hampir 12.00 malam, tidak ada tanda-tanda yang Khalid akan meninggalkan rumahnya. Dia menguap beberapa kali.
Khalid menghulurkan tangannya kepada Rina Melati. Mahu tidak mahu, gadis itu terpaksa menyambut huluran tangan Khalid.
Amat mengejutkan Rina Melati, lelaki yang selalu bersikap bengis dan panas baran itu mengucup dahinya dengan lembut. Dia terpempan seketika. Tidak pernah Khalid begitu sebelum ini. Malam itu, perlakuan Khalid berbeza daripada biasa.
“Pergi masuk tidur,” kata Khalid perlahan sambil memandang ke arah lain. Persis seorang bapa Khalid mengarahkan. Rina Melati dilihatnya sudah beberapa kali menguap dan mengeliat.
“Abang?” Nini bertanya perlahan. Khalid, tidak pernah bermalam di situ sebelum ini. Dia datang sekejap-sekejap sahaja. Selepas kerjanya selesai merakam foto-foto yang diinginkannya, dia akan pergi.
“Aku tidak boleh tidur di sini?” Khalid tidak menjawab, sebaliknya menyoal kembali.
Rina Melati tidak menjawab. Matanya sahaja memandang ke wajah Khalid. Makan minumnya, Khalid yang menanggungnya. Rumah, kereta, wang. Yang tiada hanya kebebasan. Dan yang paling menyeksa, foto-foto itu. Entah berapa ribu keping telah tersebar di luar negara. Namun jika tidak dituruti segala kemahuan Khalid, semuanya akan hilang.
“Nini masuk tidur dulu.!” Rina Melati melangkah perlahan menuju ke bilik tidurnya. Dadanya berdegup kencang dan diburu rasa cemas. Sebenarnya perasaan cemas itu telah bersarang di dadanya sejak Khalid membuka beg hitam tadi. Kecut hatinya apabila melihat senjata api termuat di dalam beg tersebut. Siapakah yang akan menjadi mangsanya? Kepada siapakah senjata itu akan digunakan oleh Khalid.
Rina Melati merebahkan dirinya di atas katil setelah selesai mandi dan menyalin pakaian. Barulah rasa selesa untuk merehatkan diri. Hanya matanya yang dipejamkan, namun pemikirannya masih berputar ligat. Dari ruang tamu masih terdengar suara dari televisyen. Mungkin Khalid sedang leka menontonnya atau dia pun sedang turut terlena di atas sofa.
Dinihari semakin meniti. Kedinginan semakin mencengkam. Dalam melayani fikiran dan perasaan, Rina Melati terlena. Namun, lenanya terganggu apabila terdengar bunyi dengkuran yang kuat di tepi telinganya.
Matanya dicelikkan lalu dia menoleh ke sisi. Khalid dalam keadaan teramat lelahnya berbaring di sebelahnya. Mendakap tubuhnya erat dan kemas. Rina Melati benar-benar terperanjat. Apakah yang telah terjadi pada dirinya dalam lenanya tadi? Dia meraba-raba tubuhnya yang berbaju tidur nipis dan jarang. Semuanya masih lengkap. Syukurlah. Matanya terkebil-kebil.
Rangkulan Khalid semakin kemas. Hembusan nafasnya yang hangat menyentuh pangkal leher Rina Melati. Dalam degup debar yang semakin kencang akhirnya matanya kembali terpejam diulit oleh kehangatan nafas lelaki itu.
BUNYI enjin kenderaan yang sesekali mula melalui hadapan rumahnya mengejutkan Rina Melati sekali lagi. Dia menggerak-gerakkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Terasa bebas. Khalid tiada lagi di sisi. Dari dalam bilik air terdengar pancuran air sedang digunakan.
Rina Melati mencapai jam loceng di hujung kepalanya. Jarum jam menunjukkan 4.45 pagi. Dalam cahaya samar-samar, dia nampak Khalid keluar dari bilik mandi. Rina Melati berpura-pura tidur. Mungkin cara itu boleh melindunginya.
“Nini! Nini!” Khalid cuba mengejutkan Rina Melati yang berpura-pura lena. Tangannya mengusap pipi gebu gadis yang sedang lena pada penglihatan matanya. “Aku harus pergi sekarang!” Dia bersuara perlahan. Dia sudah siap berpakaian. Berbaju T hitam lengan pendek dan berjeans hitam juga.
Rina Melati membuka matanya dan lambat-lambat bangun, lalu duduk di birai katil dengan kaki yang terjuntai. Kain selimut menutupi sebahagian tubuhnya yang hanya disaluti pakaian tidur yang nipis berwarna biru muda.
“Ingat pesanan aku!” Khalid menarik tubuh Rina Melati supaya berdiri di hadapannya. Kain selimut yang menutupi sebahagian tubuh gadis itu terkulai dan jatuh ke lantai. Mata Khalid merenungnya tajam.
“Selepas tugas aku selesai, aku akan kembali ke sini!” Khalid menarik tubuh Rina Melati ke dalam dakapannya. Dadanya dan dada gadis itu dirapatkan. “Sekiranya perancangan aku berjalan lancar, sekembalinya aku ke sini, kau tidak payah lagi menjadi model foto itu!”
“Betul ke? Abang janji? Sumpah?” Rina Melati menatap wajah Khalid di dalam cahaya yang suram itu. Ada satu perasaan yang menusuk hatinya.
“Hmm... janji.” Khalid mengusap pipi Rina Melati berkali-kali.
Rina Melati tidak dapat menahan perasaan sebak lalu menangis. Tidak sedar dia membalas pelukan lelaki itu. Lelaki yang menjadi kebenciannya kerana telah mendera psikiologinya. Memaksa melakukan perkara yang tidak pernah dimimpikan. Memaksa melakukan perkara yang benar-benar diketahuinya teramat besar kesalahannya. Bukan kecil dosanya.
“Nini, maafkan aku. Maafkan aku kerana mengambil kesempatan di atas kesucian hati kau. Menggunakan diri kau untuk kepentingan aku. Aku berjanji tidak akan mensia-siakan hidup kau selepas ini… sebaik sahaja aku kembali.” Khalid berbisik lagi. Tangannya mengelus-ngelus belakang leher Rina Melati. “Aku takkan berhenti memilikimu.”
Air mata Rina Melati semakin lebat menuruni pipinya.
“Aku tetap mengotakan segala janjiku!” Khalid mengusap-ngusap rambut Rina Melati yang terurai. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta dari arah luar rumah.
“Aku harus pergi sekarang!” Khalid melepaskan Rina Melati dari dakapannya. Tergesa-gesa dia mengeluarkan beg dari dalam almari pakaian. Termasuk beg yang berisi senjata api yang ditunjukkannya kepada Rina Melati semalam.
“Nini hantar ke kereta, ya.” Rina Melati bersuara perlahan.
“Tak payah! Jangan hantar aku! Jangan ucapkan selamat jalan! Itu menjadi kepantangan aku!” Khalid mengenakan zip jaketnya.
Rina Melati terdiam. Dia mendepangkan tangannya. Tanpa diduga Khalid bagaikan mengerti lalu merapatkan tubuhnya ke dalam depangan tangan Rina Melati.
Rina Melati, dengan penuh ketulusan memeluk tubuh lelaki itu.
“Walau apapun yang akan dilakukan abang, berhati-hatilah.” Itulah pesanan yang dapat diungkapkan Rina Melati.
“Tunggu aku pulang!!” Khalid sempat lagi berpesan.
Beberapa ketika kemudian, Khalid melangkah pergi meninggalkan Rina Melati di kamar itu. Kesayuan dihati tidak menghalangnya untuk menikmati rasa bebas dan merdeka. Rina Melati menghela nafasnya perlahan.
~~~BERSAMBUNG~~~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan