Khamis, 26 Julai 2012
Novel:REDHA TAKDIRMU (BAB 8)
“ENCIK Wahid sudah keluar!” Berkali-kali. Itulah jawapan yang diberi. Aku benar-benar kecewa. Kekecewaanku itu memaksa aku mencari jalan lain untuk berhubung dengan Wahid. Lalu aku teringat Idris. Lelaki berusia hampir 50 tahun itu merupakan kawan sepejabat Wahid. Aku pernah bertemu de-ngannya sewaktu keluar bersama Wahid. Mungkin dia dapat membantu aku.
“Boleh bercakap dengan Encik Idris, bahagian kawalan trafik!” Begitulah pintaku sebaik sahaja panggilanku disambut oleh operator telefon Klang Port Management. Panggilanku di sambungkan ke bahagian yang aku maksudkan.
“Waalaikumusalam!” Idris bersuara tegas. Aku terbayangkan dirinya. Bermuka bulat dan bermisai tebal. Badannya besar dan tegap. Berkulit sawo matang.
“Encik Idris, saya Lidya, tunang Wahid! Saya minta maaf jika mengganggu Encik Idris!” Aku berterus terang dan menceritakan serba sedikit masalah aku dengan Wahid. Pada mulanya Idris enggan membantu aku. Aku faham situasinya. Wahid adalah rakan sepejabatnya. Lagipun kebiasaannya kaum lelaki ini perahsia, tidak suka menceritakan keburukan makhluk sejenis mereka.
“Lidya, sebenarnya saya tidak suka campur urusan peribadi Wahid!” Lelaki itu berterus terang dengan pelat Jawanya yang pekat. “Kau telah teraniaya Lidya! Itu saja yang boleh saya katakan!” Dia terus menyambung bicaranya yang tersangkut tadi.
“Tolonglah Encik Idris. Sebenarnya saya tak tahu hendak buat macam mana lagi! Kalau Encik Idris beri saya nombor telefon rumah Wahid pun, saya dah bersyukur.” Aku terus merayu sambil menyembunyikan tangisan.
“Tak boleh Lidya!” Idris masih berkeras dan tidak mahu memberi kerjasama.
Aku faham dengan situasi Idris. Aku harus bijak memujuknya dan berdiplomasi dengannya. “Tolonglah Encik Idris. Kali ini saja. Tadi Encik Idris kata Wahid menganiayai saya. Bayangkanlah jika saya ini adik perempuan Encik Idris atau anak perempuan Encik Idris, tergamakkah Encik Idris membiarkan saya terus dianiayai?” Dalam nada perlahan, aku terus memujuk Idris. Di dalam hati aku terus berdoa. ‘Ya ALLAH, lembutkanlah hati orang ini supaya membantu aku.’
“Baiklah Lidya. Saya beri awak nombor telefon rumah Wahid. Tetapi perkara ini mesti awak rahsiakan. Lain kali berjaga-jagalah. Jangan cepat mempercayai lelaki. Telah ramai wanita yang ditipu, Wahid. Awak ni terlalu jujur dan lurus. Itu sebab Wahid mengambil kesempatan!”
Nasihat daripada Idris menyebabkan aku benar-benar berasa sebak. “Encik Idris, saya tak suka sangka buruk kepada orang lain!” Aku berharap Idris faham dengan situasi hatiku.
“Dia menggunakan awak untuk mendapatkan duit!” Idris bercerita lagi.
Aku terdiam. Tak tahu sama ada untuk mempercayai atau tidak. Aku benar-benar di dalam serba salah.
“Dia selalu pinjam duit, kan?” soal Idris. Aku terkedu. Tidak tahu untuk berkata apa pun. Sememangnya perkara itu ada kebenarannya. Setiap kali Wahid menyuarakan masalah kewangannya, aku menghulurkan wang. Kereta rosaklah. Lampu kereta terbakarlah. Lampu signal kereta tidak menyalalah. Macam-macam. Aku tidak pernah lokek menghulurkan duit. Mengapa harus berkira kepada orang yang menyayangi diri ini?
“Dia dah tahu pangkat awak, gaji awak, itu sebab dia rapat dengan awak!”
Berita yang aku dengar daripada Idris tidak sanggup aku dengar. Aku tidak dapat menahan tangisanku lagi lalu menangis perlahan-lahan, mengelakkan bunyi tangisanku kedengaran di telinga Idris. Apa pangkat yang aku ada. Pada waktu itu aku hanyalah seorang pekerja kilang.
“Encik Idris, terima kasihlah di atas segala bantuan encik. ALLAH juga yang membalasnya! Assalamualaikum.” Aku meletakkan telefon. Tidak tahan hati aku mendengar cerita tentang ketidakjujuran Wahid kepadaku. Apa salahku? Apa dosaku kepadanya? Selepas itu aku terus mencapai tuala dan segera menuju ke bilik air untuk mandi. Sambil membuka paip air sederasnya, aku meraung sepuas-puasnya.
SELEPAS solat maghrib pada malam itu, aku cuba menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh Idris tadi. Aku ingin memastikan benarkah itu nombor telefon rumah Wahid?
“Helo...”
Aku mendengar suara Wahid menjawab telefon. Aku membisu.
“Helo...” Wahid bersuara lagi.
Aku tetap mendiamkan diri. Setelah memastikan yang suara kudengar itu adalah suara Wahid, aku meletakkan gagang telefon. Hatiku bagai dirobek-robek. Sampai hati lelaki ini membohongi aku. Aku terus merancang sesuatu untuk mendapatkan kebenaran. Selagi aku mengharapkan Wahid, aku tidak akan mendapat apa-apa jawapan. Jika ada nombor telefon, mesti ada alamat rumahnya.
Pada malam itu juga aku bersekang mata mencari alamat rumah Wahid melalui buku panduan telefon, walaupun di dalam keadaan tubuh badan yang lemah kerana masih belum sembuh daripada demam. Aku membandingkan dengan nombor telefon yang aku perolehi daripada Idris.
“Yes! No 21, Jalan Teratai Pelabuhan Kelang. Akhirnya alamat rumahnya aku perolehi. Tetapi benakku terfikir seketika. Namanya bukan pula Wahid. Nama tuan rumah yang menggunakan nombor seperti yang diberikan oleh Idris tadi, Mohd. Ariffin b. Mohd. Nor. Sekali lagi fikiranku buntu. Aku teringat kata-kata seorang pakar motivasi yang tertulis dalam bukunya yang pernah aku baca, ‘Penipuan itu tidak pernah terjadi dalam satu perkara. Satu penipuan kena ditutupi dengan seribu penipuan yang lain.’ Kata-kata yang tiba-tiba muncul di pemikiranku menjadikan aku yakin. Itulah alamat rumah Wahid. Dan itulah nama sebenarnya.
“Ya ALLAH ya TUHAN-ku. ENGKAU-lah yang maha pengasih dan maha penyayang. ENGKAU juga maha pengampun. Ya ALLAH ya TUHAN-ku, kupohon kepada-MU, berilah ketenangan kepadaku dalam menghadapi apa juga rintangan yang KAU hadapkan ke atasku! Ya ALLAH ya TUHAN-ku, hanya kepada-MU tempatku meminta kerana ENGKAU-lah yang maha berkuasa. Setiap perkara yang berlaku itu adalah di atas kehendak-MU. Ya ALLAH ya TUHAN-ku tidak pernah aku berpaling dari tali-MU. Ya ALLAH, tunjukkanlah aku kebenaran sekiranya ada di antara hamba-MU ingin melakukan penganiayaan kepadaku. Berilah aku petunjuk dan jalan untuk mencari kebenaran. Amin.’
SELEPAS solat subuh hari itu, aku bertekad untuk mencari Wahid. Hari itu hari Ahad. Apa nak jadi, jadilah. Sungguh pun badanku tidak berapa sihat, kepalaku sakit kerana kurang tidur, aku terpaksa menggagahkan diri. Tepat 8.30 pagi aku bersiap-siap.
Aku memaksa diriku untuk sarapan pagi. Satu mug Milo dengan tiga keping roti putih melalui kerongkongku yang terasa berpasir sejak kebelakangan ini. Sekaki payung akan menemaniku sepanjang jalan kerana cuaca agak panas. Mentari telah mulai menyinar dengan megahnya walaupun belum sampai 9.00 pagi.
‘Bismillahirrahmanirrahim! Ya ALLAH, tunjukkanlah aku kebenaran! Selepas membaca ayat Kursi, aku melangkah untuk pergi mencari Wahid. Wahid pernah memberitahuku yang kawasan perumahannya berdekatan dengan flat tempat tinggalku. Langkah pertama yang aku buat untuk mencari Wahid ialah menunjukkan foto Wahid kepada beberapa orang yang aku jumpa.
“Mak cik kenal tak dengan lelaki ni? Saya sedang mencari abang saudara saya!” Malang sekali, tidak seorang pun yang kenal dengan Wahid. Aku benar-benar runsing dan bingung. Satu lorong demi satu lorong, aku melangkahkan kaki tanpa rasa putus asa walaupun tubuhku diratah oleh mentari yang semakin ganas cahayanya. Aku meneruskan perjalananku untuk mencari Jalan Teratai, alamat seperti yang tercatat di buku panduan telefon.
“Assalamualailkum, dik. Tahu tak di mana Jalan Teratai?” Seorang gadis genit berambut pendek, berjeans biru ketat dan berbaju T putih aku sapa dengan penuh ramah.
“Waalaikumusalam. Jalan Teratai? Okay, follow this way, then you turn left, after Jalan Kenanga you can find Jalan Teratai! Tak sempat aku mengucapkan terima kasih, gadis genit itu berlalu pergi tanpa menoleh. Di dalam kesedihan aku tersenyum sendirian mengenangkan gelagat gadis tadi. Bukankah mudah jika dia menggunakan Bahasa Melayu sahaja.
Hampir sepuluh minit berjalan, di dalam cuaca panas, bajuku sudah dibasahi peluh. Bagaimanapun aku tetap bersabar. Matlamatku hari itu hanya satu. Urusan Wahid denganku mesti diselesaikan. Melayani langkahan kakiku yang semakin lemah, tiba-tiba aku terpandang sebuah kereta menuju ke Dewan UMNO yang berada beberapa meter dari tempatku berjalan. Kereta itu berhenti di perkarangan dewan. Dadaku berdebar.‘Itu kereta Wahid’ Bisik hatiku. ‘Tapi siapakah yang berada di dalam keretanya? Kelihatan ada orang lain bersamanya. Kelihatan seperti dua kepala manusia lagi di dalamnya. Debaran jiwaku semakin kencang.
Aku menghentikan langkah, berlindung di sebalik pokok dan mengintai ke arah kereta itu. Beberapa ketika, kereta itu keluar dan bergerak menghala ke jalan di hadapanku. Di dalamnya kelihatan Wahid selamba memandu. Aku berdiri di tengah jalan. Payung yang ditangan aku kuncupkan.
Tidak dapat tidak, Wahid terpaksa memberhentikan keretanya. Dia tidak dapat melarikan diri lagi. Wahid benar-benar terkejut dengan kemunculan aku. Bulat matanya merenung aku.
“Nak pergi mana?” Tanpa memberi ucapan salam, aku terus menyoalnya. Di dalam keretanya kelihatan dua orang kanak-kanak. Seorang lelaki berumur kira-kira lima tahun, duduk di kerusi hadapan. Seorang lagi perempuan, kira-kira sepuluh tahun umurnya, duduk di bahagian belakang.
“Lidya naik dulu! Kita pergi sarapan bersama.” Dalam keadaan serba salah Wahid membukakan pintu untukku.
“ Ini, anak-anak Wahid.” Wahid tidak dapat berselindung lagi, lalu memperkenalkan aku kepada anak-anaknya. Dia menyuruh kanak-kanak lelaki itu berpindah ke tempat duduk belakang.
“Tak apa, biar Lidya duduk di belakang!” Aku terus melabuhkan pinggulku ke sisi kanak-kanak perempuan itu. Dia bersalam dan mencium tanganku. Aku menggosok-gosok kepalanya.
Wahid tidak berkata sesuatu pun. Yang nyata dia kelihatan berpeluh-peluh. Mukanya dibasahi peluh yang meleleh-leleh hingga ke lehernya. Baju T biru yang dipakainya juga turut basah, diserapi peluh.
“Dik, emak mana? Tak Ikut?” Aku menyoal kanak-kanak perempuan di sisiku. Aku tahu, kanak-kanak tidak pandai menipu. Ini adalah peluang terbaik untukku mendapatkan jawapan. Jawapan untuk segalanya.
“Emak tak ikut. Dia ada mesyuarat.” Penuh ketulusan kanak-kanak itu menjawab.
Aku memegang tangannya. Aku teringat yang Wahid pernah bercerita yang bekas isterinya tinggal di Melaka. “Emak di Melaka ke?” Aku bertanya lagi. Wahid, dari cermin pandang belakang, kulihat matanya terkebil-kebil.
“Eh, tak adalah. Emak ada di sini.” Matanya merenung ke arahku sambil tersengih.
“Ya ke? Habis tu, adik sekolah di mana? Bila bertukar dari Melaka ke sini?” Aku menyoal dengan nada lembut sambil memerhatikan Wahid yang sedang memandu.
“Tak pernah duduk di Melaka pun. Sekolah di sini saja dari darjah satu,” ujarnya lagi sambil membetulkan rambut yang terselak ditiup angin. Pecahlah tembelang Wahid dengan jawapan jujur daripada anak itu.
“Habis tu, rumah emak di mana? Tinggal di mana?” Aku mengeluarkan pertanyaan bodoh kerana inginkan kepastian yang mukatamad. Kalau sudah bercerai, mestilah duduk di rumah yang berasingan. Itu logiknya.
“Duduk sama-samalah. Sama ayah, sama adik,” tidak jemu dia menjawab soalanku. Jawapan itu bagaikan ledakan bom yang meletup di hatiku.
Terasa luruh seluruh tubuh ini di hujung kaki anak itu. Tiang-tiang yang menegakkan bumi ini bagaikan runtuh. Langit, bagaikan terlerai dari regangannya. Semuanya menghempap kepalaku. Ya ALLAH, tabahkanlah hatiku. Aku mengurut dadaku sambil beristighfar. Kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa itu memandang aku dengan kebingungan.
Wahid memandang aku melalui cermin pandang belakang. Pandangan matanya seolah meraih simpati. Kulihat air mata jatuh dari kelopak matanya.
Air mata di hatiku bertambah lebat. Tahulah aku bahawa selama ini Wahid telah menipuku. Fahamlah aku yang Wahid bukanlah lelaki duda. Mengertilah aku bahawa aku telah didustai oleh suami orang untuk mendapatkan perhatian, kasih sayang dan cintaku, mungkin juga wang. Untuk apa aku diperlakukan begitu? Untuk apa?
“Roti kosong dua, tea tarik tiga, tea o satu.”
Pesanan makanan yang dibuat oleh Wahid untuk sarapan pagi itu tidak menarik minatku lagi. Wahid menyuruh anak-anaknya duduk di meja yang lain jauh daripada kami. Aku diam tidak berkata sesuatu.
“Mengapa mata Lidya merah?” Wahid melontarkan soalan bodoh kepadaku. Di dalam situasi begitu, masih tidak mengerti mengapa mataku merah? Aku merenung gelas tea o yang baru diletakkan oleh pelayan kedai di hadapanku. Air tea di dalam gelas itu masih berasap menandakan ianya masih panas. Ingin sahaja tanganku mengangkat gelas itu dan menyimbah tea o panas ke muka Wahid.
“Minta kad pengenalan Wahid!” Aku menadahkan tangan kepada Wahid. Pada mulanya Wahid enggan, namun akhirnya akur kepada kehendakku. Mataku memerhati dengan rakus nama yang tertera di kad pengenalan Wahid. ‘Mohd Ariffin b. Mohd Nor.’ Mataku bulat memandang Wahid. Sialan! Rupa-rupanya selama ini dia telah membohongi aku.
“Tipu nama?” Aku menyoal Wahid dengan bisikan yang agak keras.
Wahid terkedu.
“Banyak lagi perkara yang Wahid tipu Lidya! Wahid sebenarnya tidak pernah bercerai. Wahid tipu Lidya! Mengapa lakukan begitu kepada perempuan ini? Mengapa?” Terpacul dari bibirku kata-kata itu sambil memandang Wahid dengan air mata yang berlinangan.
Wahid tidak menjawab. Kehilangan kata-kata barangkali. Tembelangnya sudah pecah. Busuknya terhidu oleh hidungku.
“Putuskan pertunangan kita. Wahid mesti hubungi emak Lidya dan beritahu hal sebenarnya!” Aku bersuara separuh berbisik, cuba mengelakkan perbualanku bersama Wahid didengar oleh anak-anaknya.
“Tapi Lidya! Wahid masih sayangkan Lidya! Lidya sabar. Kita cari jalan untuk bersama juga!” Wahid memujuk dan memandang ke wajahku.
Apa guna pujukan itu jika kasih sayang aku dikhianati. Kepercayaanku dikoyak rabakkan? Mudahnya Wahid melafazkan janji. Hatiku sudah jelak.
“Sumpah! Demi TUHAN,. Wahid memang menyintai Lidya!! Demi ALLAH!!!” Wahid merayu-rayu.
“Wahid mesti putuskan juga! Kalau Wahid tak beritahu emak Lidya hal ini dan masih nak gantung perasaan Lidya, Lidya terjun laut!” Aku cuba mengugut. Bulat mataku memandang Wahid. Aku tidak bermaksud untuk melakukan tindakan sedemikian rupa. Sekadar ingin memberi isyarat kepada Wahid yang aku terlalu kecewa. Kecewa dengan sikapnya yang mempermainkan hati dan perasaanku. Aku dijadikan permainan cintanya.
“Lidya!!!” Tukas Wahid kebimbangan sambil cuba memegang tanganku.
Aku tepis tangannya. Aku terus meninggalkan kedai makan itu. Laungan daripada Wahid tidak aku pedulikan. Dalam keserabutan fikiran dan kekeliruan perasaan aku terus melangkah meredah hujan yang tiba-tiba turun di dalam keadaan cuaca panas.
Tasik air mataku hanya menanti masa untuk pecah. Ya ALLAH! Berilah kesabaran kepadaku. Emak! Emak! Tolong Lidya emak. Lidya sedih sangat. Mengapa Wahid lakukan begini kepada Lidya emak! Di dalam ketenangan wajah, hatiku merintih pilu. Langit yang tadinya cerah tiba-tiba mendung, awan kelabu bergulung-gulung, guruh pun sayup-sayup kedengaran. Beberapa ketika kemudian, hujan yang turun membasahi bumi semakin lebat. Aku merenung titik hujan dan membandingkannya dengan titik air mata di dalam hatiku.
“KESIANNYA kau Lidya! Tak sangka kau menempuh hidup yang sebegini! Lelaki ini memang suka menipu, tak boleh dipercayai!” Yanti menguap beberapa kali. Buku catatan Lidya yang baru dibaca sebahagian, di simpannya di dalam laci meja tulis. Hasil taipannya tadi juga di simpan di dalam disket dan di simpan di dalam laci yang sama.
“Aik! Jangan pukul rata saja! Bukan lelaki, perempuan pun begitu! Perempuan kalau menipu lagi teruk dari lelaki tau tak?” Adib mencelah rungutan Yanti.
Tiba-tiba saja Adib muncul di dalam bilik tidur mereka. Kepulangannya tidak disedari Yanti. “Hah! Pecah tembelang! Maksudnya abang pun salah seorang daripadanya, ya?” Dia bersuara perlahan cuba menyakat Adib yang sedang menyikat rambut.
Adib ketawa. “Yanti menyoal abang macam budak-budak pulak. Manusia biasa tidak boleh meletakkan dirinya sebaris dengan malaikat!” Dia memuncungkan bibirnya dan menggaru-garu di bawah bibirnya.
Yanti menghampiri dan meneliti bawah bibir suaminya itu. Ada sebutir jerawat yang baru tumbuh. “Selalu ke abang berbohong dengan saya?” soalnya sekadar menduga.
“Mana ada. Tak pernah lagi buat masa ini!” Jawab Adib sambil mencuit pipi isterinya itu.
Yanti ketawa apabila melihat Adib beria-ia menjawab. Berkerut-kerut dahinya. “Maksudnya coming soon adalah?” soalnya lagi. Sengaja bergurau. Sehingga di saat itu, kejujuran Adib tidak pernah diragui walaupun sedikit.
“Yanti, buat apalah abang nak berbohong kepada wanita yang abang sayang!” Adib mendakap tubuh dan membelai rambut Yanti.
“Bang! Bisnes hari ini macam mana?” tanya Yanti. Adib membuka sebuah kedai alat-alat persekolahan dan perkhidmatan fotostat. Dulu dia seorang usahawan di dalam bidang IT. Ada sebuah kafe siber. Tidak tahu di mana silapnya, perniagaannya susah maju. Lalu dia menghentikan perniagaan IT dan bergiat di dalam perniagaannya kini. Perniagaannya kini pun susah juga untuk berkembang. Setakat cukup makan dan kadangkala memeningkan kepala Adib juga.
“Alhamdulillah! Musim-musim peperiksaan sekarang ni, tak menang tangan juga untuk fotostat kertas-kertas soalan dan nota-nota. Budak-budak sekolah zaman ni, semuanya nak senang, semua nak photocopy, contoh soalan nak ciplak, nota nak ciplak!” Adib merungut. “Sekolah-sekolah pun banyak yang membuat pesanan kepada abang! Kertas dan keperluan sekolah yang lain,” sambung Adib lagi.
“Hai, biarlah mereka ciplak, bang. Nak cetak rompak pun tak apa, kan itu mendatangkan rezeki pada abang. Lagi mereka malas menulis, lagi abang untung.” Yanti menjawab rungutan Adib sambil ketawa.
“Budak-budak itu satu hal! Guru-guru pun sama, tak rajin sangat. Zaman abang dulu, guru kena taip soalan peperiksaan. Zaman sekarang ni, fotokopi soalan dari mana-mana buku panduan sahaja. Gunting dan tampal. Lepas tu fotokopi dan edarkan kepada murid-murid. Mudahnya.” Tak habis lagi Adib dengan rungutannya.
“Itu bukan malas bang! Itu namanya guru yang kreatif dan pandai menjimat masa!” Yanti ketawa dan tawanya semakin berderai apabila melihat Adib turut tersenyum dengan gurauannya itu. Dia merebahkan diri di atas katil sambil mengeliat berkali-kali.
“Pandailah awak,” percakapan Adib tiba-tiba terhenti.Dia menarik nafas panjang. Bantal guling di sisi di sepitnya di celah kaki. “Yanti, abang bercadang nak buka kafe siber balik, lah,” Dia bersuara kembali dengan nada penuh harapan.
“Betul ke ni, bang! Mengapa pula? Kan sekarang ni dah bagus.” Yanti cuba menguji Adib lagi. Dulu, Adib juga bersunguh-sungguh untuk menjual semua komputer yang ada di kafe sibernya.
“Hmm... sebenarnya tak begitu bagus. Saingan ramai.Ramai Cina mengusahakan kedai yang sama. Orang kita pun suka ke kedai Cina!” Adib merungut perlahan. “Abang suka dengan bidang IT. Tapi bisnes yang ada ni abang teruskan juga. Nanti biar Yanti yang uruskannya. Abang akan uruskan kafe siber,” ujar Adib sambil memegang tangan Yanti yang turut merebahkan diri disisinya.
Yanti memandangnya sambil tersenyum. ‘Suamiku ini selain berhati dan bercita-cita besar, selalu melakukan sesuatu yang dia suka, bukannya sesuatu yang dia boleh buat,’ begitulah bisik hati Yanti.
“Besar modalnya tu, bang!” Yanti teringatkan hutang Adib yang agak banyak juga pada waktu dia menjalankan kafe siber. Tergadai sekeping tanah peninggalan arwah ayahnya untuk menyelamatkan Adib dari ceti. Waktu itu mereka baru tiga minggu bernikah. Entah di mana silapnya, dia pun tidak tahu. Tetapi sikap perempuan, jika sudah menyintai, rela berkorban apa saja, lalu dia tidak pernah bertanyakan soal tanah itu lagi kepada Adib.
“Kedai peralatan sekolah ini dulu abang cuba saja. Abang teringat cadangan kawan lama abang. Dia cakap macam yang Yanti cakap itulah. Masalah orang akan mendatangkan rezeki atau peluang bisnes untuk sesiapa juga yang mengambil peluang itu.” Adib memandang Yanti sambil membetulkan bantal yang mengalas kepalanya. Suaranya semakin perlahan apabila menyebut perkataan ‘kawan lama abang’. “Ada pihak hospital telefon berkenaan dengan kawan Yanti tu?” Lagi sekali dia mengalih topik perbincangan.
“Tak,” jawab Yanti ringkas. Perasaan sedih tiba-tiba menyelubungi hatinya. ‘Apa agaknya khabar Lidya?’ Itulah yang terbisik dihatinya.
“Alhamdulillah... Baguslah kalau begitu. Mungkin dia dah stabil atau sihat sikit. Yanti dah baca semua yang dia tulis dalam buku tu?” Adib bertanya lagi. Kali ini dia bagaikan terlalu mengambil berat akan hal Lidya.
“Kawan Yanti tu tu macam mana orangnya? Cantik ke? Asalnya dari mana? Adik beradik berapa orang? Tak ada anak ke? Dah kahwin ke? Macam mana boleh terpelanting ke sini, bertemu dengan Yanti.” Macam peluru persoalan dari Adib. Tak terjawab Yanti. Beberapa perkara yang ditanya telah diulang beberapa kali.
“Dia kenalan lama sayalah, bang,” sambil membetulkan cadar yang berkedut Yanti menjawab soalan Adib.
Tiba-tiba telefon bimbit Adib berdering dari arah almari pakaian yang renggang pintunya.
Yanti menerpa ke almari pakaian untuk mengambil telefon bimbit Adib.
“Jangannn... tak payah! Biar abang ambil dan jawab sendiri!” Seketika sahaja Adib sudah berdiri di sisi Yanti di hadapan almari yang daun pintunya sudah dibuka. Dia mengambil sesuatu dari dalam kocek seluar di dalam almari dan menjawab telefon di dalam bilik air yang terbuka pintunya.
“Helo! Hmm... hmm... yaa... tak! Abang tak boleh balik sekarang! Sorry! Tak ada mood! Hmm...Yalah, yalah! Jangan nak control, abang tak suka. Bye.”
Suara Adib terlalu perlahan, namun telinga Yanti dapat juga mendengar percakapannya yang hanya seketika itu kerana suasana pada malam itu terlalu sunyi. “Siapa bang?” tanyanya ketika Adib keluar dari bilik air.
Air muka Adib kelihatan keruh. Dia tidak menjawab, sebaliknya berjalan menuju kepada Yanti yang sedang mengadap cermin almari solek. Sebelum tidur, menjadi kebiasaan Yanti memakai penyegar dan pelembab muka.
“Tengok tu, buat tak dengar saja bila orang tanya!” Yanti merungut perlahan. Matanya masih merenung muka di cermin.
“Customer... Suruh abang balik ke kedai pula, malam-malam buta begini. Nak apa-apa barang, esok-esok tak boleh ke? Tak betul otak agaknya.” Adib menjawab perlahan sambil berjalan ke katil dan merebahkan dirinya di atas tilam. Telefon bimbit di letakkannya di bawah bantal.
Yanti ketawa mendengar jawapan Adib. “Hai, bagusnya customer abang, membahasakan abang, abang ya!” Dia cuba serkap jarang. “Girlfriend agaknya nii...” Dia bergurau lagi sambil memerhatikan riak wajah suaminya itu.
“Jangan merepek, mari tidur, kalau tak mahu menaip lagi. Abang letih dan mengantuk! Esok Yanti nak ke hospital ke?Abang hantarkan! Esok hari Ahad, kedai tutup!” Adib bercakap sambil menguap. Hodoh kelihatannya mengangakan mulut berkali-kali. Tangannya mengalihkan telefon bimbit ke sebelah kirinya apabila Yanti berbaring di sebelah sisi kanannya.
Adib dan telefon bimbitnya memang tidak boleh dipisahkan. Seolah ada rahsia yang disembunyikannya. Namun, Yanti tidak pernah bertanya. Itu haknya.
“Ke hospital nak buat apa? Nak lawat siapa? Kan dia dah discharged?” Pelik dengan kelakuan Adib pada malam ini. Pelupanya bukan main.
“Tutup lampu!” Adib memejamkan matanya.
Yanti melihat jam di dinding. Sudah pukul 2.45 pagi. Dia merebahkan diri di sisi Adib dan meletakkan kepala di atas lengan Adib yang memeluknya dengan kemas. Di dalam suram malam itu, dia masih terkenangkan coretan Lidya. Sebaik sahaja kedengaran dengkuran Adib, dia bangun semula lalu mengambil buku catatan Lidya kerana berasa tidak sabar untuk menghabiskan pembacaannya itu. Dia membawa buku itu ke ruang tamu lalu duduk membaca dengan penuh tumpuan. Jika boleh, malam itu dia ingin membaca sehingga ke noktahnya yang terakhir.
~~bersambung~~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan