Khamis, 23 Ogos 2012

Novel:Kasihnya DIA (Bab 13)

RINA MELATI menyilangkan kakinya di atas pangkin di dalam bilik yang sempit itu. Sudah dua minggu dia berada di situ sejak meninggalkan utara tanah air dan kini berada pula di selatan tanah air. Sesalan yang bertamu di hatinya sejak tubuh dikurung di dalam bilik sempit itu, tidak pernah reda. Adakah kemewahan selama hidup dicengkaman lelaki bernama Khalid menyebabkan dia lupa dan tidak betah lagi untuk merasai kesusahan walaupun sesaat.
“Kamu tinggal di sini buat sementara. Duduk di dalam bilik ini. Jangan pergi ke mana-mana. Aku akan carikan kau sebuah rumah yang selesa, seperti Khalid sediakan untuk kau!!!” Pesanan Bambang terngiang di ingatan. Kunci kereta, kad pengenalan, kad ATM, sijil-sijil persekolahan berada di dalam genggaman lelaki itu. Rina Melati terkurung di kamar itu siang dan malam. Mujur di bilik itu terdapat kamar mandi serta tandas walaupun tidak sempurna. Makan minumnya, ada orang upahan Bambang menguruskannya. Bambang menyuruhnya menunggu di situ sehingga dia kembali.
Perasaan Rina Melati di awang-awangan. Mempercayai Bambang, apakah satu kesilapan? Dia memejamkan matanya seketika. Air matanya tidak ingin menitis lagi, walaupun dipaksa. Dia mengeluh perlahan. Kalaulah sejarah lama berulang kembali. Dia sendiri tidak tahu bagaimanakah dia dapat menelan segala kepahitan itu lagi? Masihkah ada upaya dan dayanya?
Terdengar ketukan di muka pintu. Rina Melati bangun dari pangkin yang sedang diduduki lalu menuju ke pintu, mencapai ensel lalu membukanya. Daun pintu terkuak dari luar. Terjengul wajah Bambang. Lelaki itu berbaju kemeja berkotak-kotak biru serta berseluar panjang hijau gelap. Rambutnya yang ikal tersisir rapi.
“Siap cepat! Hari ini kamu boleh tinggalkan kamar ini. Aku sudah jumpa rumah yang sesuai untuk kau,” ujar Bambang sambil tersenyum menunjukkan giginya yang kekuningan kerana ketagihan rokok.
Mata Bambang merenung ke wajah Rina Melati yang mendung dan muram. Terlukis senyuman di bibirnya yang kering. ‘Sebentar lagi kemuraman diwajah kau pasti akan terpadam.’ “Bawa semua pakaian kau!” Sambungnya lagi sebelum beredar meninggalkan muka pintu. Ternyata lelaki itu mengotakan janjinya.
Dalam nafas kelegaan, Rina Melati melarik senyuman hambar. Pergerakan gadis itu bagaikan lipas kudung sewaktu mengemaskan kain bajunya. Tidak banyak yang perlu disusun di dalam beg. Beg-beg pakaian yang dibawa sewaktu berpindah dari utara tanah air masih belum dipunggah segala isi perutnya. Bambang telah berjanji yang dia hanya menginap di situ buat sementara sahaja.
Cuma benaknya terfikir, mengapa Bambang tidak membiarkannya menginap di hotel sahaja. Mengapa harus tinggal di rumah kongsi itu yang amat merimaskan? Bibirnya tersenyum lagi. ‘Sebentar lagi aku akan bebas.’ Itulah nyanyian hatinya.
Tidak sampai sepuluh minit kemudian, mereka beredar dari rumah kongsi itu menuju ke kereta. Hati Rina Melati semakin lega sebaik sahaja meninggalkan rumah itu. Bagaikan seorang puteri, Rina Melati duduk di sebelah Bambang yang memandu kereta. Pemanduannya penuh berhati-hati. Beberapa ketika mereka membisu tanpa suara.
“Aku sudah carikan pekerjaan buat kau. Kerjanya bagus. Pendapatannya lumayan. Tempat penginapannya selesa,” beritahu Bambang. Suaranya bergetar, memecah kebisuan yang menakluki mereka berdua. Matanya menjeling Rina Melati yang duduk di sebelahnya. Gadis itu memakai jeans biru muda dan berblaus putih berlengan pendek. Sebahagian rambutnya terjurai menutupi lengan dan dadanya.
“Terima kasih. Bila aku mula bertugas?” soal Rina Melati dengan perasaan teruja. Bambang tidak menjawab. Sekali lagi lelaki itu hanya melirik gadis disebelahnya dengan penjuru mata.
Rina Melati menunggu jawapan, namun bibir Bambang bagaikan ada yang menguncinya. Kereta yang dipandu memasuki sebuah kawasan kondominium mewah. Bola mata Rina Melati memerhati kiri dan kanan jalan.
“Aku akan tinggal di sini?” tanya Rina Melati. Dia menyoal dengan lembut dan sudah pasti dia begitu mengharapkan jawapan.
Bambang tidak menjawab. Dia hanya mengangguk sahaja. “Yang penting, Khalid tidak dapat menjejaki kamu lagi. Tidak usah khuatir,” katanya cuba memujuk. Bibirnya mengukir senyuman. Dia memarkirkan kereta di medan letak kereta. Beg-beg yang mengisi pakaian gadis itu dikeluarkannya dari booth kereta.
Rina Melati mengekori lelaki itu yang berjalan perlahan sambil membantunya membawa beg.
“Tingkat 3!” bisik Bambang sewaktu tubuh mereka ditelan lif yang sedia menunggu. Pintu lif terkuak sebaik sahaja tiba di tingkat tiga. Rina Melati kebingungan lagi.
“Hmm... rumah nombor 11, itu di depan sana,” beritahu Bambang lagi. Mereka berjalan beriringan menuju ke rumah yang dikatakan oleh Bambang. Bambang memerhati wajah Rina Melati sebaik sahaja daun pintu dibukanya. “Nah!!! Lihatlah tempat tinggal baru kau. Selesa bukan,” komen Bambang sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah. Dia lantas menghempaskan tubuhnya di atas sofa empuk. Penghawa dingin dihidupkannya menggunakan alat kawalan jauh.
Rina Melati tersenyum manis. “Besarnya rumah ini. Ada berapa bilik? Bilik air?” soal Rina Melati. Suaranya girang. Matanya mengitari sekeliling. Serba serbi lengkap dan nampak mewah.
“Kau periksalah sendiri!. Pilihlah mana-mana kamar yang kau inginkan. Yang di depan sana, pemandangan luarnya cantik,” kata Bambang, memberi pendapat. “Melati, aku tidak boleh lama di sini.” Dia menyeluk saku seluarnya. Di tangannya ada segugus kunci. Dia menghulurkan gugusan kunci itu kepada Rina Melati.
“Ini kunci kereta. Tapi, terus terang aku ingin tanyakan kepada kau, kau masih mahu menggunakan kereta peninggalan Khalid atau ingin mencari kereta yang lain? Kalau kau terus menggunakan kereta ini, Khalid mudah menjejaki kau.” “Tak apa, nanti aku uruskan hal itu.” Belum sempat Rina Melati menjawab, Bambang sudah membuat keputusannya sendiri. “Buat sementara, aku guna kereta itu.” Bambang menyambung bicaranya lagi lalu bangun dari kerusi. “Gadis cantik, mudah untuk memperolehi apa sahaja!” Sinis kedengarannya ungkapan itu. Dia mengeluarkan satu sampul surat besar dari beg yang tergalas di bahunya.
“Ini barang-barang kau. Sekarang kamu bebas,” beritahu Bambang sambil menghulurkan samput surat itu ke tangan gadis yang dihadapannya.
Rina Melati membuka dan memeriksa isi kandungan di dalam sampul surat itu apabila diarahkan oleh Bambang. Segala dokumen peribadinya lengkap, tidak ada yang hilang. Dia tersenyum. Kejujuran Bambang yang kadangkala kabur, semakin jelas dipenglihatannya.
“Kamu kata aku akan mula bekerja, tapi…” Dia teragak-agak ingin bertanya. Pekerjaan sudah ada, namun nama syarikat atau tempat bekerja dan jawatannya tidak diberitahu.
“Iya!” Bambang tersenyum. “Aku tidak pernah berdusta. Kamu tunggu saja. Semuanya telah aku uruskan! Aku sudah katakan, gadis cantik mudah memperolehi apa sahaja.” “Melati, sudah larut malam. Aku nak pulang. Tanggungjawab aku sampai di sini sahaja. Kita tidak akan bertemu lagi.” Bicara Bambang terhenti di situ. Dia mengundurkan tubuhnya beberapa langkah ke belakang.
“Tunggu dulu. Nanti aku akan bekerja dengan siapa? Sekurang-kurangnya kamu beritahu nama orang yang akan menjadi majikanku!” Rina Melati menggesa Bambang apabila dilihatnya lelaki itu seolah ingin segera keluar dari rumah itu.
“Oh ya! Hampir terlupa. Namanya Johan. Datuk Johan. Seorang pengarah urusan di sebuah syarikat besar di negeri ini,” jawab Bambang sambil menepuk dahinya. Di matanya terbayang wajah lelaki separuh umur itu, namun masih segak dan bergaya.
“Aku minta diri dulu.” Bambang terus meninggalkan ruang itu dan menuju ke pintu. RINA MELATI merebahkan tubuhnya di atas katil bertilam empuk. Sudah agak lama dia tidak dapat menikmati tempat tidur yang selesa sebegitu. Baru saja memejamkan mata, deringan telefon di meja yang berada di sisi katil mengejutkan gadis itu. Rina Melati serba salah. Tidak tahu sama ada ingin menjawab atau membiarkan saja telefon itu meraung minta dilayani. Setelah beberapa kali telefon itu berbunyi, pantas tangan Rina Melati menyambar gagangnya yang berwarna perak itu.
“Helo...” jawabnya dengan suara bergetar. Telefon dibawa ke atas katil. Gagang telefon melekap ditelinganya. Sementara menunggu suara jawapan dari sebelah hujung sana, Rina Melati mencapai bantal guling lalu memeluknya. Dia merebahkan dirinya sekali lagi. “Helo...” ulangnya lagi.
“Assalamualaikum... Melati, dah lama sampai di rumah?” Lembut suara lelaki itu yang menyinggahi telinganya. “Waalaikumussalam... Siapa ni?” Persoalan dilontar perlahan seolah berbisik. Dahinya berkerut kerana memikir seketika. Degup dadanya bergemuruh. “Siapa ni?” Rina Melati mengulangi soalannya sekali lagi dengan perasaan cemas. ‘Khalid.’ Nama lelaki itu tiba-tiba menjenguk sanubarinya. Sudah lama lelaki itu menghilang, mustahil kini datang semula. Bukankah Bambang sudah berjanji yang Khalid tidak akan menjejakinya lagi?
Namun, mengapa dia harus melarikan diri daripada lelaki itu. Khalid tidak pernah mengapa-apakannya. Wang ringgit yang dilambakkan oleh lelaki itu, tidak habis digunakannya sendirian. Makan minum, rumah penginapan ditanggung. Kereta dibelikan. “Helo! Melati! Malam ini berehatlah dulu. Tidur dengan nyenyak. Insya-ALLAH esok kita akan bertemu. Tunggu saya datang jemput,” beritahu lelaki itu.
Suara lelaki itu berbeza daripada suara Khalid. Tidak kedengaran pelat Indonesianya. KeMelayuannya jelas daripada kata-kata yang diungkapkannya. Rina Melati terhumban di lautan kebingungan sekali lagi.
~~bersambung~~

Tiada ulasan: