Khamis, 16 Ogos 2012

Novel:Kasihnya DIA (BAB 12)

SEMALAMAN matanya tidak dapat dilelapkan kerana mengenangkan nasib Umar. Mahu tidak mahu, pagi itu Rina Melati keluar ke kolej seperti biasa. Dadanya berdebar-debar. Sudah tiga hari dia tidak menghadiri kuliah. Alasannya sakit. Sememangnya dia telah ke klinik dan mendapat kebenaran untuk bercuti sakit selama tiga hari.
Selama itulah dia tidak ke mana-mana. Terkurung di rumah. Dia menanti penuh harap kemunculan Bambang. Walaupun lelaki itu telah berpesan tidak akan muncul lagi. Dia benar-benar takut. Takut sekiranya terjadi perkara buruk kepada Umar.
“Rin! Kau pergi mana? Banyak hari tak datang kuliah! Eh! Ada berita sensasi! Baik kau pergi jumpa Puan Kamariah! Banyak hari dia mencari engkau!” Begitulah tingkah salah seorang teman sebaik sahaja Rina Melati keluar dari kereta.
Puan Kamariah? Mendengar nama itu sahaja jantung Rina Melati tambah berdegup kencang. Langkahan kakinya membawa tubuhnya menuju ke arah lorong yang akan menemukannya dengan pejabat wanita yang dimaksudkan itu.
Sepanjang perjalanan ke pejabat wanita itu, ada kelainan pada pandangan mata teman-teman padanya. Rina Melati rasa resah. Daun pintu diketuk dan ditolak dari luar sebaik sahaja matanya membaca pada label yang terpapar di pintu. KAMARIAH AYUB.
“Puan mahu berjumpa saya?” Penuh tertib, Rina Melati mengajukan persoalan sebaik sahaja pinggulnya dilabuhkan di atas kerusi berhampiran wanita itu. Apa yang harus dijawab sekiranya soal Umar diajukan kepadanya. Sehingga kini, berita tentang Umar menjadi tanda tanya difikirannya. Dia bimbang, namun tidak mampu berbuat apa-apa. Mata Puan Kamariah terus merenungnya di sebalik kaca matanya yang berbingkai tebal. Gadis yang berblaus putih berkolar pendek itu, kecantikannya tiada tandingan di situ. Rina Melati melarik senyuman tipis dan berhati-hati. Dadanya bagaikan dipalu debaran yang tidak berkesudahan sejak tadi.
“Ya! Awak kenal gadis ini?” soal wanita itu sambil melambakkan beberapa keping foto di atas meja.
Rina Melati tersentak, namun cuba menenangkan dirinya. Kesukaran-kesukaran hidup yang pernah dilaluinya lebih perit daripada apa yang sedang dihadapinya kini.
“Saya tidak mahu jawapan apa-apa! Awak boleh membuat pertimbangan dan keputusan sendiri. Awak juga telah tahu apa tindakan yang akan dikenakan kepada awak kerana perkara ini! Rina Melati @ Eryna Natasha! Awak berhak untuk memilih samada pergi dengan cara terhormat atau…” Wanita berkaca mata tebal itu tidak menghabiskan bicaranya. Matanya merenung tajam ke arah Eryna Natasha.
“Awak ada banyak wang, kan. Teruskan pengajian awak di kolej swasta atau teruskan karier awak ini sebagai seorang profesional! Kerjanya mudah! Tidak perlu awak memerah otak untuk mengenggam segulung ijazah! Awak juga boleh hidup mewah!!!” Penuh dengan sindiran yang sinis, kata-kata itu bagaikan menghiris-hiris hati Rina Melati. “Awak tidak layak berada di sini,” sindir Puan Kamariah lagi.
Hati Rina Melati tambah terluka dan terhina dengan kata-kata itu. Tanpa menunggu walaupun seminit dan tidak mengucapkan walau sepatah kata, gadis itu terus keluar dari pejabat yang berhawa dingin itu. Perasaan hatinya terasa panas membahang. Sambil berjalan hatinya menyumpah.
Dia berjalan laju menuju ke kereta. Air mata yang mendesak-desak tubir matanya dikekang dengan tambatan hatinya yang sengaja dikeraskan supaya air itu tidak melimpah membanjiri pipinya yang gebu. Sebaik masuk ke dalam kereta, dia tergesa-gesa menghidupkan enjin.
SAMPAI di rumah, Rina Melati menghempaskan tubuh di atas katil dan menangis sepuas-puasnya. Dia benar-benar berasa keseorangan. Tangisannya semakin lebat apabila mengenangkan nasib Umar. Seribu sesalan menerjah fikiran dan lautan perasaannya. Ketukan yang bertalu dipintu mengejutkan lenanya. Dia tergesa bangun daripada katil dan menuju ke pintu. Ketukan masih belum berhenti. Lena tidurnya tadi dalam rajuknya sendiri sehingga tidak menyedari siang sudah melenyapkan diri.
“Siapa?” soalnya. Matanya segera dilekapkan pada daun pintu yang tersedia lubang sebesar wang lima puluh sen yang berkaca lutsinar. Dari lubang kaca itu, dia nampak kelibat seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
“Melati! Melati! Nini! Nini! Buka pintu! Aku ini, Bambang,” jawab lelaki itu dari luar pintu dengan suara parau.
Rina Melati berasa serba salah. Dia teringat pesanan Khalid, namun terkenang budi Bambang. ‘Mungkin membawa perkabaran tentang Umar.’ Hati kecilnya membujuk. Tangannya mencapai tombol pintu dan memutarnya.
“Masuklah!” pelawa Rina Melati sebaik daun pintu terbuka. “Nini, kawan kau itu gagal ditemui. Aku cuba mencari di kawasan pantai dan pinggir laut selama dua tiga hari, namun dia tak ada. Mungkin…” Bambang tidak meneruskan bicaranya.
“Hanyut?” pintas Rina Melati.
Bambang mengangguk.
Wajah Rina Melati diselaputi kesedihan. Air matanya membuak lagi. Hatinya dihimpit oleh rasa bersalah yang maha dahsyat. “Kalau dia mati?” soalnya seakan merintih. Bibirnya bergetar sewaktu menyuarakan pertanyaan itu. Matanya merenung ke wajah Bambang yang kelihatan berpeluh dan tidak terurus.
“Aku tidak bisa memberi jawapan. Aku...” Bambang menamatkan ungkapannya di situ. Kata-kata itu semakin menghimpit jiwa Rina Melati.
“Apa yang harus aku lakukan? Lapor kepada polis? Lapor kepada pihak universiti tempat Umar belajar? Bagaimana dengan keluarganya?” Rina Melati menyoal bertalu-talu dengan nada kesal. Perasaannya benar-benar tidak keruan lagi.
“Tak perlu. Tak perlu buat apa-apa. Jangan humban diri kau di dalam permasalahan ini!” Bambang menasihatkan dengan suara perlahan. Walaupun hati kecilnya membicarakan yang sebaliknya.
“Kau harus tinggalkan tempat ini! Jika tidak, kau yang akan dicari oleh pihak polis nanti. Buat masa ini, kehilangan pemuda itu mungkin tidak disedari oleh sesiapa. Sehari dua lagi mungkin akan ada orang yang perasan. Dia tidak ke kuliah. Tidak balik ke rumah. Pasti ada orang yang akan mencari dan buat laporan polis… dan kau orang yang terakhir bersamanya!” Suara Bambang berbau amaran.
“Kau masih ke kuliah?” Bambang menyoal dengan suara keras. Selepas persoalan dilontar, bibirnya digigit berkali sambil matanya merenung gadis di hadapannya. Hidung dan pipi gadis cantik di hadapannya sudah berona merah jambu. Dia mengerti, gadis itu sedang menahan tangisannya.
Rina Melati mengeleng. Kesuraman wajah yang terbit dari hati yang hampa tidak dapat dibendungi. Segala harapan dan cita-citanya hancur berkecai. Bagaimana hendak meneruskan pengajian dalam situasi sebegitu? Dia pasti berita buruk tentangnya telah tersebar.
“Kegiatanku sudah dihidu oleh pihak universiti. Aku malu. Amat malu. Tidak tahu ke mana harus aku letakkan wajahku ini,” rintih Rina Melati. Suaranya amat perlahan seolah berbisik.
Bambang ketawa agak kuat sebaik sahaja mendengar cerita daripada Rina Melati. Giginya yang kekuningan kesan asap rokok jelas kelihatan apabila dia mengangakan mulutnya untuk ketawa.
“Aku mahu tinggalkan tempat ini. Aku akan pergi dari sini,” ujar Rina Melati lagi. Itulah jalan yang terbaik untuknya. Namun, ke mana haluan yang hendak dituju? “Bagus! Itulah yang sebaiknya!” Bambang bertepuk tangan dua tiga kali. Alangkah cepatnya gadis itu membuat keputusan untuk dirinya.
“Merdekakanlah diri kau!” Suara Bambang agak kuat dan menyakinkan. Dia tahu tentang sejarah hidup gadis malang itu. Memang benar omongan orang, kejelitaan wajah tidak menjamin kebahagiaan hati. “Tapi!!! Kalau Khalid cari aku?” soal Rina Melati kepada Bambang yang sedang menggosok-gosok dagu yang berserabut dengan jambang yang meliar. “Bagaimana dengan Umar? Aku harus bertanggungjawab terhadapnya. Dia sahabat aku.” Dia seolah meminta pandangan daripada lelaki itu. Umar bukan sahaja sahabat, tetapi amat disayanginya. Tegakah hatinya meninggalkan daerah itu tanpa mengetahui kesudahan nasib temannya itu?
“Sekarang ini, kau fikirkan bagaimana harus bertanggungjawab terhadap diri kau sendiri dulu! Sudah aku katakan tadi! Merdekakan diri kau! Tinggalkan tempat ini dan binalah penghidupan baru yang lebih baik buat kau.” Suara Bambang lembut menasihat. “Aku terhutang budi kepada Khalid! Dia telah selamatkan…” kata Rina Melati. Entah bagaimana bibirnya boleh melontarkan kata-kata itu.
“Kamu telah bayar budinya. Dia telah selamatkan maruah kamu daripada diperkosa oleh beberapa orang lelaki, tetapi bukankah dia juga telah menjual maruah kamu juga. Foto-foto itu? Tersebar ke tangan beribu lelaki!” Bambang merenung ke lantai sewaktu melafazkan kata-kata itu. Jarinya menggaru-garu kening yang gatal.
“Setinggi gunung wang yang dilonggokkan kepada kamu, atau sebuah istana daripada emas, permata berlian untuk kau diami, sebandingkah harganya dengan kehormatan dan maruah kau?” soal lelaki itu pula. Rina Melati terdiam.
“Khalid itu lelaki yang berbahaya. Dia guna kamu untuk wang. Dia banyak wang. Semua diperolehi dengan cara salah.” Sambung Bambang lagi dengan pantas. Sederas itu juga Bambang menutup mulutnya seketika. Dia terasa bersalah pula kepada Khalid kerana telah membocorkan rahsia teman senegaranya.
Rina Melati mendengar tanpa berkata apa-apa. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata dari Bambang itu berkenaan dengan Khalid. Khalid melayaninya dengan baik juga selama mereka bersama. Hanya sikapnya yang sedikit kasar dan bengis. Tetapi jika dilayani dengan kelembutan dan kemanjaan, Khalid akan berlembut dengannya. Yang menjadi kepantangan lelaki itu ialah, berkasar dengannya. Melawan segala kemahuannya. Khalid akan bertukar menjadi lelaki ganas dan bengis. Namun malam terakhir mereka bersama, Khalid sangat berbeza sikapnya. Mungkin kata-kata Bambang itu hanyalah fitnah jahat tentang Khalid.
“Melati, sekarang kamu bebas! Jangan bimbang. Khalid tidak akan cari kau. Aku akan uruskan hal itu jika dia bertanya kepadaku,” janji Bambang. Suara Bambang semakin kendur dan menyakinkan. Walaupun dia tidak pasti sanggupkah dia berdepan dengan Khalid dalam soal wanita cantik yang berada di depannya kini. “Malam ini juga kau kena tinggalkan rumah ini!” Bambang bertegas. Matanya terus menatap wajah gadis di hadapannya itu. “Aku akan bantu kau.” “Bagaimana?” soal Rina Melati.
Bambang mengeluarkan secebis kertas buruk dari dalam dompetnya. “Kamu pergi ke alamat ini!” Cebisan kertas itu dihulurkannya kepada Rina Melati. “Alamat ini?” Rina Melati mengerutkan dahinya sewaktu membaca tulisan yang tercatat di kertas itu. Johor Bharu. Suatu tempat yang sangat asing baginya. Tidak pernah dia menjejakkan kakinya di bumi itu. Bagaimana harus mencari tempat yang alamatnya tercatat pada cebisan kertas itu? Bolehkah lelaki itu dipercayai? Perkenalan pun baru beberapa hari. Namun, jika tidak bersetuju dengan tawarannya itu, ke mana arah perjalanannya nanti.
“Kita akan jumpa di sana.” Bambang menerangkan sekali lagi. “Mengapa tidak kamu ikut aku saja? Kita pergi sama-sama,” ujar Rina Melati. Wajah Bambang diperhati.
“Pergi bersama?” soal Bambang kembali sambil mengeleng perlahan.
“Kamu jangan gusar apa-apa. Bumi ini kepunyaan TUHAN!” kata Bambang lagi. Rina Melati terdiam. Benar, bumi ini milik TUHAN, bahkan segala-galanya kepunyaan DIA. Langit dan awan, bulan dan matahari. Daratan serta lautan. Segalanya diciptakan-NYA untuk memberi manafaat kepada semua makhluknya. Namun, sanggupkah dia berhijrah dari Pulau Pinang ke Johor sedang Umar masih belum diketahui hidup atau matinya? “Di tempat baru, guna nama kau yang sebenar. Rina Melati. Bukan Eryna Natasha. Aku tidak suka!” Tanpa dipinta, Bambang memberi arahan.
Rina Melati merenung Bambang, seakan membantah. Bambang merenungnya kembali dengan pandangan tajam menikam. Dia berada di dalam keadaan serba salah. Sesuaikah lagi menggunakan nama Rina Melati itu setelah warna hitam tercalit di kanvas kehidupannya? Atau takdir hidupnya akan berubah seputih warna bunga melati?
~~bersambung~~

Tiada ulasan: