Rabu, 15 Ogos 2012

Novel:REDHA TAKDIRMU (BAB 12)

AKU benar-benar runsing. Lepas satu perkara ke satu perkara terjadi dalam hidupku. Kelmarin, Abang Din datang menemuiku di tempat kerja. Aku bekerja lebih masa, pada hari Ahad itu. Pada waktu itu aku sudah bertugas di bahagian kewangan. Secara kebetulan, 20hb jatuh pada hari Ahad, aku terpaksa memproses gaji untuk kakitangan. Semuanya harus dibereskan kerana pada hari berikutnya aku terpaksa memproses gaji untuk operator pengeluaran pula. Begitulah, semuanya telah dijadualkan. Jika tertangguh salah satu, komputer tidak boleh memproses gaji untuk cawangan lain pula. Semuanya telah diprogramkan. Jadi untuk memastikan segalanya berjalan lancar, aku rela datang bekerja pada hari Ahad. Lepas sembahyang zuhur dan makan tengah hari, pengawal keselamatan datang menemuiku.
“Lidya, ada orang nak jumpa. Dia tunggu di guard house!” Hai,tak pernah-pernahnya ada orang luar datang berjumpa denganku begitu. Walau bagaimanapun, aku pergi juga ke guard house itu dengan langkahan kaki yang cepat. Tak baik membiarkan orang menunggu dengan lama. Dari jauh lagi aku lihat Abang Din tersandar di pondok itu menunggu aku. Aku memberi salam.
“Lidya! Apa khabar?” ujar Abang Din sambil tersenyum lebar. “Alhamdulillah! Michael eh Faez mana?” Mataku meliar mencari kelibat lelaki itu. Di mana bersembunyinya dia? Manalah tahu jika dia menyorok di celah-celah kereta yang banyak kedapatan di luar pagar itu.
“Abang datang sorang! Saja nak tahu tempat kerja Lidya.” Abang Din tersenyum memandangku.
‘Tak ada kerja ke orang tua ni?’ bisik hatiku. ‘Nak periksa tempat kerja aku pula. Ingat aku penipu ke?’ Fikiran jahat melintas di benakku.
“Macam ni lah tempat kerja saya! Kerja kilang.” Aku merendah diri. Apa halnya pula lelaki ini mencari aku. Mesti ada tujuan tertentu.
“Rajinnya Lidya, hari Ahad pun datang bekerja juga. Kerja di bahagian mana?” suara Abang Din, ramah dan mesra.
“Lidya kerja di finance department. Ala, nak buat macam mana dah tanggungjawab. Terpaksa datang juga. Nak proses gaji. Kalau lewat masalah pula nanti. Tambahan, finance director nak pergi China hari Selasa nanti. Takut tak ada orang nak tandatangan cek. Sebab itulah Lidya kena siapkan kerja hari ini juga,” aku menerangkan kepada Abang Din serba sedikit tentang tugasku.
Abang Din mengangguk-angguk tanda faham dan bersetuju dengan pendapatku. Menurut Michael, Abang Din bekerja di RTM. Isterinya Kak Rosnah bekerja di pejabat imegresen.
“Begini Lidya, abang datang ni nak beritahu. Abang dan Kak Ros nak pergi ke kampung Lidya, nak jumpa orang tua Lidya.” Abang Din bersuara lembut. ‘Nak jumpa orang tua aku? Nak buat apa pula?’ Otakku bertanya sendiri. “Oh... tapi saya tak ada cuti, bang! Nanti kalau abang pergi, saya tak ada di rumah orang tua saya tu, tak sedap pula rasanya,” aku berdalih. Senyuman tidak habis terukir dibibirku. Manis atau tidaknya senyumanku itu, hanya Abang Din sahaja yang tahu.
“Lidya, beginilah. Biar abang berterus terang. Abang tengok, Lidya pun seorang yang berfikiran terbuka. Macam ni, abang dan Kak Ros bersetuju sangat jika Lidya dapat menjadi isteri Mike, dapat membimbing dia. Yalah, selepas Lidya datang makan tengah hari di rumah tempoh hari, kami dapati Lidya sangat sesuai untuk Mike. Tambah-tambah, dia seorang saudara baru. Perlukan bimbingan,” panjangnya penerangan dari Abang Din. Aku terkedu, namun cuba bertenang.
“Kami suami isteri, berpendapat Lidya seorang yang mactured, sesuai sangat dengan Michael dan boleh membimbing dia,” ujar Abang Din lagi. “Terima kasih kerana abang beranggapan begitu. Apalah yang ada pada saya ni.” Aku cuba merendah diri lagi sekali.
“Mike pun bersetuju dengan pendapat kami.” Abang Din meneruskan bicaranya. “Dah lama kami tahu perhubungan Lidya dengan Mike.Dia selalu bercerita tentang Lidya.” Abang Din bercerita dengan sabar. Resah hatiku mendengarkan perkhabaran itu. “Maafkan saya Abang Din. Bukan saya ingin terus menolak tetapi saya amat berbesar hati jika abang memberi masa saya berfikir terlebih dahulu. Boleh, ya?” Jenuh juga aku memikirkan kata-kata dan ayat untuk aku ungkapkan kepada Abang Din.
“Nanti saya berbincang dengan Mike dulu.” Aku menabur janji. Dalam hati TUHAN saja yang tahu. Baru putus tunang dengan Wahid tak sampai satu bulan, takkan nak bertunang lagi? Harapan Abang Din serta isterinya terlalu besar. Bolehkah lelaki dipimpin oleh wanita?
KALAU siang Abang Din bertemu denganku, malamnya Michael pula datang bertandang. “Honey, tengah hari tadi Abang Din ada datang jumpa?” Michael menyoalku sebaik sahaja pinggulku duduk di kerusi. Kami berada di gerai makan, tempat biasa kami bertemu, di depan flat sewaanku. “Ada,” jawabku ringkas. Aku merenungnya sekilas. Michael memakai baju T hitam yang berjalur biru muda di penghujung lengannya. “Dengan Wahid, sudah tak ada apa-apa ikatan lagikan?” Kening Micheal di angkat sewaktu matanya memandangku selepas pertanyaan itu. Aku mengangguk.
“Bagaimana pendapat sayang?” Michael seolah tidak sabar menunggu jawapan daripadaku. Aku merenung wajah Michael. Apa kurangnya lelaki ini? Berwajah sederhana, sedap mata memandang, penyabar dan penyayang, pandai memikat hatiku, tidak pernah bercakap kasar denganku. Orangnya tenang. Budi bahasanya lebih baik jika di bandingkan dengan lelaki bangsaku sendiri. Mengapa aku susah sangat menerimanya? Mungkin selepas kedatangan Shamsiah antara perhubungan kami, aku menjadi tawar hati. Aku ingin menerima Michael sebagai seorang teman sahaja. Tidak lebih daripada itu. “Pendapat mengenai apa? Putus tunang? Bagus! Tidak memeningkan kepala lagi.” Aku bersuara perlahan dengan nada selamba seolah tidak ada perasaan sedih dan kecewa sedikit pun.
“Bukan yang itu, perkara yang Abang Din beritahu Lidya tengah hari tadi!” “Kalau setuju, emak, ayah dan keluarga di Sarawak nak datang! Tunggu green light saja daripada Lidya,” ungkapan daripada Michael itu seolah memenjarakan aku di dalam perasaan serba salah. Ingin ditolak, terasa kasihan. Tambahan pula dia telah memeluk Islam. Seharusnya aku menyokong dan membimbingnya. Ingin menerima, hati terasa berat. “Famili dari Sarawak nak datang ke?” Aku menyoal inginkan kepastian.
“Yalah, datang untuk bertemu dengan ibu bapa Lidya lah. Kalau Lidya terima Mike, selepas majlis pernikahan kita, kita tak duduk di sini lagi. Bukan di semenanjung ni.” “Maksudnya?” Aku tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh pemuda itu.
Bibir Michael mengukir senyuman. “Kita duduk di Sarawak. Di sana, Mike uruskan syarikat ayah! Mike datang ke semenanjung ni, saja nak cari pengalaman. Buat macam-macam kerja. Bawa lorilah, jadi kerani akaunlah, kerja di kedai rotilah dan macam-macam lagi,” di hujung ceritanya, dia ketawa kecil.
“Jauhlah Lidya daripada emak bapak, adik beradik!” Aku menduga Michael. Mengeluarkan kenyataan begitu, belum bermaksud aku bersetuju. Tidak sanggup aku berjauhan dengan ibu bapaku sedemikian jauh.
“Bila Mike nak balik ke Sarawak? Di sana uruskan syarikat apa? Lidya macam mana? Nak kerja di mana?” Michael aku asak dengan bermacam soalan. “Kalau nikah malam ni, esok kita baliklah ke Sarawak!” Michael mula berseloroh. Aku mencebik bibir, geram dengan telatahnya.
“Kalau macam tu, Lidya tak mahulah!” Aku berterus-terang. Sememangnya aku tidak mahu dan tidak pernah ada impian untuk hidup bersama dengan pemuda itu sehingga ke akhir hayatku. Tetapi dia lelaki yang baik. Terlalu baik. Sayang untuk melepaskannya begitu saja. Rasa serba salah membelit hatiku.
“Tengok tu, merajuk lagi! Okey, maafkan Mike. Sekarang kita bincang dengan serius. Mike betul-betul ni, bukan main-main. Kalau Lidya setuju, kita uruskan soal pernikahan dalam waktu tiga bulan ni, kemudiannya kita balik ke Sarawak.” Michael mengangguk-angguk apabila selesai bercakap.
“Di sana Mike uruskan syarikat keluarga. Biasalah sayang! Di Sarawak tu banyak hutan, pembalakanlah. Hmm... kalau soalan Lidya nak kerja di mana tu, tak payah kerja di mana-manalah. Duduk rumah, jadi isteri atau tolong Mike uruskan syarikat tu.” “Lidya nak buat kerja apa?” Aku bertanya seperti anak kecil. Selepas tamat persekolahan saja aku sudah bekerja. Aku sudah biasa mempunyai pendapatan sendiri. Mustahil aku rela untuk duduk-duduk di rumah, menunggu kepulangan suami saja bila sudah berumahtangga.
Michael ketawa lagi. Aku sudah faham sangat dengan telatahnya. Sekiranya ketawa dahulu sebelum menjawab soalan, adalah perkara yang hendak dikenakannya kepadaku. “Adalah, special jawatannya… ukur kayu balak!!!” Micheal ketawa walaupun lengannya aku cubit bertalu-talu. Geram.
~~BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan: