Rabu, 15 Ogos 2012
Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 12)
Bunga-bunga mekar berkembangan. Ada anggerik, ada mawar, ada melur, ada kekwa dan bermacam jenis pokok berbunga dan yang tidak berbunga tumbuh di perkarangan Vila Kencana Emas. Nurlisa sibuk menyiram dan membelek-belek bunga-bunga yang ada di situ. Daun-daun yang kering dibuangnya.
“Lisa! Tengok sini!”
Nurlisa segera menoleh untuk melihat siapa yang bersuara itu. Dia sedikit terkejut. Silauan cahaya lampu tiba-tiba menjilat wajahnya. Rona wajah Nurlisa bertukar menjadi merah jambu sama seperti bunga mawar yang sedang dibeleknya. Gadis itu benar-benar terkejut.
“Encik Adzman! Buat apa ambil gambar saya? Kan lebih baik Encik Adzman ambil gambar bunga-bunga yang sedang berkembang ni.” Bicara Nurlisa lambat-lambat sambil membetulkan tudungnya yang berwarna putih.
“Gadis dan bunga, sama cantiknya.” Adzman terus memetik kameranya berkali-kali. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia mendapat idea untuk menjadikan Nurlisa model fotonya. Foto yang akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan itu. Kebiasaannya dia mengambil gambar gadis-gadis cantik yang sememangnya telah bersedia untuk sesi fotografi. Wajah wanita atau gadis-gadis itu sememangnya cantik tetapi semuanya telah ditampal dengan dengan alat kosmetik.
“Okey, Lisa. Terima kasih.” Adzman terus beredar dari situ.
Nurlisa terus menyambung tugasnya tanpa menyedari ada sepasang mata yang memerhatikannya sejak dari tadi.
“Lisa!” Beberapa minit kemudian, muncul pula Aldi terhincut-hincut berjalan menghampiri Nurlisa. Seawal pagi tadi dia sudah berjalan di sekitar vila itu. Dia mengenakan pakaian sukan. Seluar dan berbaju T putih berlengan pendek. Di bahunya tersangkut sehelai tuala kecil berwarna merah yang digunakan untuk mengelap peluh. Keadaan kakinya kini semakin baik walaupun sesekali dia terpaksa menggunakan tongkat.
“Assalamualaikum, encik.” Nurlisa menyapa Aldi yang semakin hampir dengannya. Bibirnya menyimpul senyuman. Aldi turut melemparkan senyuman kepadanya sambil menjawab salam. Mereka berbalas-balas senyum.
“Encik bersiar-siar ke?” ujar gadis itu lagi. Aldi mengangguk dan tersenyum lagi. Dia berasa bersyukur kerana dapat menikmati kembali kehidupan seperti dahulu. Boleh berjalan walaupun tidak sesempurna sebelumnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lisa kerana banyak membantu saya sewaktu saya duduk di kerusi roda. Saya tidak sangka yang saya boleh bersiar-siar seperti ini kembali.” Aldi menyandarkan tongkatnya di rimbunan pokok kemboja yang sedang berbunga. Sesekali dia perlu juga menggunakan tongkat sekiranya kaki terasa sakit.
“Bukan saya yang menyebabkan encik boleh berjalan semula.” Cepat-cepat Nurlisa memintas percakapan Aldi. “Encik yang memilih untuk berubah dan beri peluang kepada diri sendiri, di samping berdoa. Alhamdulillah... Allah telah makbulkan doa encik.” Dia meneruskan bicaranya dengan nada lembut sambil menoleh kepada Aldi.
“Ya. Alhamdulillah. Ini semua nikmat Allah. Apabila tak dapat berjalan, barulah kita rasakan yang berjalan itu adalah satu nikmat. Bila susah untuk bernafas, barulah kita rasakan yang bernafas itu satu nikmat. Udara yang berada di sekeliling kita ni menjadi amat berharga untuk kita sedut...” kata Aldi dengan tenang.
Jiwanya kini berasa tenteram dan bersyukur. Dia mendepangkan tangannya sambil menghirup nafas panjang-panjang. “Tapi Lisa yang memberikan keyakinan yang saya akan sembuh.”
Nurlisa merenung ke wajah Aldi dengan ekor matanya sambil berpura-pura membelek-belek daun pokok bunganya. Pagi itu wajah Aldi kelihatan bersih dan bersinar. Matanya dihiasi dengan bulu mata yang lebat dan lentik serta kening yang hitam. Hidungnya mancung. Jika dulu jambangnya meliar tidak terurus kini semuanya kelihatan rapi. Tanpa misai, janggut hitam yang melingkari dagunya tersisir rapi menampakkan lelaki itu kelihatan segak. Tambahan pula apabila dia tersenyum. Lelaki itu terlalu berbeza jika dibandingkan kali pertama dia melihatnya dahulu.
“Alhamdulillah, encik. Saya senang mendengar kata-kata encik tu,” ujar Nurlisa kepada Aldi. Tangannya masih sibuk mengutip daun-daun yang kekuningan pada pokok-pokok bunga mawar yang sedang berkembang bunganya.
“Itu semua kehendak Allah. Insya-allah, encik telah diuji-Nya. Encik boleh menempuhinya beberapa lama.” Suara Nurlisa agak perlahan. Bukankah semua hamba Allah itu akan diuji. Sakit dan sihat. Kaya dan miskin. Cacat dan sempurna. Segala-galanya adalah ujian untuk menguji keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
“Lisa, mengapa Lisa panggil saya encik? Kenapa tak panggil Abang Aldi?” Aldi menyuarakan apa yang tersimpan dihatinya sejak sekian lama. Matanya merenungi langkah kaki Nurlisa yang terhincut-hincut, pergi dari satu pasu ke pasu yang lain.
“Saya menghormati encik sebagai anak majikan saya.” Nurlisa menegaskan pendiriannya. Panggilan itulah yang terbaik bagi mengelakkan rasa mesra antara dia dan Aldi. Dia harus sentiasa menjaga kesopanan dan tatasusilanya selagi bekerja di rumah itu. Dia takut akan dilabel sebagai orang gaji yang tidak sedar diri, cuba memikat anak majikan. “Tapi panggilan itu terlalu formal Lisa. Kita berada di rumah, bukannya di pejabat.”
“Encik... Saya bekerja di sini. Maafkan saya. Kita dah biasa begitu. Itulah panggilan yang saya gunakan. Saya rasa selesa begitu.” Nurlisa menguis semut hitam yang masuk ke kelopak bunga mawar yang berwarna kuning. Selepas itu dia mengucup kuntuman mawar itu sambil tersenyum.
Aldi tersenyum sendiri melihat telatah Nurlisa. “Beruntung betul bunga itu. Dibelai setiap hari, dimanja dan dikucup. Patutlah semua bunga-bunga di sini berkembang indah. Bunga-bunga itu mendapat layanan istimewa.” Aldi bersuara perlahan dalam nada bergurau.
“Awak melayan mereka dengan kasih sayang. Sentuhan kasih sayang awak telah menyuburkan bunga-bunga ini.Dulu tak macam ni Lisa.” Aldi cuba mengusik hati gadis itu. Namun nampaknya tiada respons yang diharapkan. Nurlisa tetap bersahaja.
“Bukan sebab saya. Semuanya kuasa Allah.” Nurlisa mengangkat baldi yang berisi kampit-kampit baja. Tangannya pantas mencedok baja di dalam baldi dan menaburkannya di pangkal pokok-pokok bunga yang di dalam pasu.
“Lisa, awak suka dan sayang kepada tumbuh-tumbuhan ya?” Aldi mengekori Nurlisa daripada belakang.
“Ya, encik. Macam manusia, tumbuh-tumbuhan ini pun perlukan kasih sayang. Itu fitrah untuk setiap makhluk.” Nurlisa menjawab perlahan.
“Oh, begitu! Apa tandanya kasih sayang awak pada mereka? Maksud saya pada bunga-bunga ni... ikan-ikan yang di dalam kolam tu.” Aldi cuba memerangkap Nurlisa dengan pertanyaannya.
“Siramlah air, bubuh baja, jaga kebersihan, beri makanan kepada ikan.” Nurlisa menjawab dengan jujur tanpa mengetahui maksud yang tersirat di sebalik pertanyaan pemuda itu.
“Kalau kepada manusia? Nak siram dengan air juga ke? Atau mandikan dengan baja tahi lembu?” Aldi ketawa selepas mengeluarkan kata-kata itu.
Nurlisa turut ketawa dengan gurauan Aldi.
Aldi turut ketawa. Dia senang mendengar bunyi tawa Nurlisa yang manja tetapi terlalu cepat ketawa itu hilang di pendengarannya. “Lisa belum jawab soalan saya.” Dia mengingatkan gadis itu yang kelihatan merah mukanya kerana tawanya yang panjang tadi.
“Selalu buat baik kepada orang yang kita sayang.” Nurlisa menjawab ringkas. Langkah kakinya bertambah deras. Dia cuba mengelakkan dirinya daripada terlalu rapat dan berbual mesra dengan lelaki itu. Setiap kali berdekatan, jantungnya akan berdegup kencang.
“Bertuahlah saya kerana menjadi kesayangan Lisa.” Aldi menduga lagi walaupun mengerti kata-katanya itu tidak akan mendapat sebarang reaksi daripada gadis itu.
Nurlisa tidak menjawab. Matanya merenung ke arah langit, melihat burung yang berterbangan. Tidak sanggup rasanya bertentang mata dengan lelaki itu. Perasaannya selalu jadi tidak karuan.
~~~BERSAMBUNG~~~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan