Khamis, 9 Ogos 2012
Novel:REDHA TAKDIRMU (BAB 11)
SELEPAS solat isyak malam itu, aku kesepian. Tinggal bersendirian di rumah hatiku digigit sunyi. Rancangan televisyen pun semuanya membosankan. Filem-filem Kantonis di semua setesen TV pada hari Krismas amat menjemukan. Terpanggil aku untuk menghubungi Michael. Namun, aku rasa serba salah pula. Aku teringatkan Shamsiah. Jangan-jangan dia keluar dating dengan Shamsiah.
Bulan lalu, beberapa hari selepas Shamsiah menghubungiku melalui telefon, Michael datang menemuiku dan membawa Shamsiah bersamanya. Gadis Kelantan. Tubuhnya kecil molek dan berkulit cerah. Aku bersembang seadanya dengan mereka. Shamsiah agak kebudak-budakan telatahnya walaupun umurnya denganku hampir sebaya.
Entahlah, jauh di lubuk hatiku, aku berasa tidak berkenan dengan perempuan itu. Atau mungkin juga aku berasa cemburu melihat dia cuba menarik perhatian Michael dengan sikapnya yang keanak-anakan itu.
Berkali-kali aku memegang gagang telefon tetapi tidak jadi untuk mendail.
Kalau Michael tidak bersama Shamsiah, mungkin juga bersama saudara maranya yang berada di semenanjung ini menyambut Krismas. ‘Hmm... apa salahnya. Aku sekadar ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas,’ begitu bisik hatiku. Lagipun aku ingin memberitahunya tentang Idham. Idham yang menghubungiku kembali.
“Helo! Michael ada tak?.” Jejariku gatal untuk menekan punat-punat di telefon untuk menghubungi Michael.
Zahid, teman serumahnya yang menjawab. “Michael dah tak ada!” ujarnya.
Jawapan Zahid, mengundang teka teki di hatiku. Michael pergi ke mana? “Hai Zahid! Biar betul? Bila Michael pindah?” Aku bersuara cemas dan bimbang kalau-kalau Michael pulang ke Sarawak dan tidak kembali lagi ke semenanjung. Aku akan kehilangan seorang kawan.
“Sebenarnya dia dah bertukar nama dari Michael kepada Muhamad Faez! Lidya nak cakap dengan dia, ya? Tunggu sebentar saya panggil! Faez! Faez! Ni buah hati kau telefon,” Zahid melaung.
Subhanallah. Alhamdulillah. Bertambah lagi seorang saudaraku.
“Lidya nak tahu si Michael punya cerita,” Zahid, sambil menunggu kedatangan Michael sempat lagi bercerita. Dia memang lucu orangnya. “Lidya tahu, si Mike ni, dia cuci gambar, alah yang dia bergambar dengan Lidya tu saiz sebesar dinding bilik tu. Tiap malam sebelum tidur, dia asyik tenung sampai mata naik juling,” bersungguh-sungguh Zahid bercerita.
Tawaku meledak mendengar cerita Zahid yang melucukan dengan loghat Negeri Sembilannya.
“Hoii! Janganlah pecah rahsia, kawannn!” Michael menghampiri.
Di gagang telefon aku mendengar gelak ketawa dari teman-teman serumah Michael.
“Helo! Assalamualaikum, my dear,” suara Michael riang seperti biasa. Ucapan aluannya pun sudah bertukar. Dari good morning, good night kepada ucapan salam. Alhamdulillah.
“Walaikumussalam... Bila? Tak cerita dengan I pun,” soalku. Bagaimana pun aku bersyukur kerana ALLAH telah membuka pintu hati Michael untuk memeluk Islam. Aku tahu pemuda itu terlalu berminat dengan Islam. Tambahan pula ada dua orang abangnya yang telah memeluk Islam sebelum ini.
“Dua minggu lepas,” jawab Michael.
‘Patutlah menyepikan diri hampir dua minggu,’ desis hatiku.
“Elok pun you telefon! I nak ajak you pergi Cheras malam esok. Rumah abang angkat I. Dia banyak bantu I waktu nak peluk Islam. Sekarang ni pun I sedang belajar dengan dia. I nak kenalkan you dengannya.” Michael bersuara kendur.
Aku tersenyum sendiri.
“Boleh, honey?” suara Michael penuh harap.
“Shamsiah tak marah ke? Nanti buah hati you merajuk, macam mana? I tak suka kerana I, ada orang lain yang terluka hatinya!” Aku menyuarakan kebimbanganku.
“Kenapa nak marah? Tapi kalau dia marah pun I tak kisah! You lebih istimewa. Itu sebab I nak kenalkan you dengan Abang Din dan isterinya Kak Rosnah tu! I dah beritahu mereka! Dah janji dah. So honey, please!” Michael terus memujuk. “Cemburu dengan Shamsiah ke?” Dia menduga lautan hatiku pula.
Aku diam tidak menjawab.
“Kita pergi ya, sayang,” pujukan Michael tidak akan berakhir selagi hasratnya tidak berhasil.
‘Malasnya nak pergi,’ bisik hatiku. ‘Dan apa yang dia cakap tadi? Aku istimewa dihatinya? Itulah yang paling menakutkan aku. Aku benar-benar tidak suka. Boleh percaya ke? Jangan-jangan bila dilayan perasaannya nanti, perangainya lebih teruk daripada Wahid.’
“Cakaplah sesuatu. Mengapa diam ni?” Michael mengejutkan lamunanku.
“Okeylah! Sebab you dah berjanji dengan Abang Din dan Kak Rosnah itu, I kena setujulah. Jika tidak nanti janji you tak tertunai pulak!” Rasa simpati terhadap seorang saudara baru melimpah di hatiku.
“Alhamdulillah! Ikhlas ni?” Si Michael seolah tidak mempercayai keikhlasanku pula.
“Nak pergi ke tak nak?” Aku menyoal kembali.
Ketawa Michael berderai-derai kedengaran ditelingaku. Keriangannya tidak pernah pudar semenjak aku mengenalinya hampir tiga tahun.
SEBAGAIMANA yang dijanjikan, Michael datang menjemputku pukul 8.00 malam. Tanpa disuruh aku mengenakan baju kebaya berwarna ungu. Michael tersenyum lebar sewaktu aku duduk di sisinya di dalam kereta.
~~~~BERSAMBUNG~~~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan