Khamis, 9 Ogos 2012

Novel:Kasihnya DIA (Bab 11)

ANGIN dari laut bertiup menderu-deru. Khalid memandang Hakimi dengan pandangan amat tajam. Mukanya masam. Air mukanya keruh. Dia berbaju T berwarna hitam dan berseluar jeans biru yang sudah lusuh. Tangannya menepis sehelai daun kering yang melayang jatuh ke lengannya. Deburan ombak kedengaran daripada jauh. Mereka kini berada di sebuah pulau kecil berhampiran dengan kepulauan Acheh. Laut berada tidak berapa jauh daripada situ kira-kira 200 meter jaraknya.
“Lalu apa yang terjadi seterusnya? Nini? Jantan itu sudah mampus kalian kerjakan? Mereka tahukah siapa kalian? Nini tahu ke? Mengapa kalian bertindak tanpa meminta keizinan daripada aku? Hah!” Khalid bersuara kasar dan keras. Matanya masih merenung orang suruhannya yang berdiri tegak di hadapannya.
“Tapi... kalau kita lewat bertindak perempuan itu…” Hakimi cuba mempertahankan diri. Matanya merenung ke wajah Khalid yang kelihatan tidak terurus. Jambangnya sudah tidak terpelihara lagi. Penampilan Khalid nampak bengis. “Akan lenyap daripada cengkaman kau. Takkan menjadi milik kau sampai bila-bila!” Dia cuba mempertahankan kebenaran tindakannya. Gadis secantik Rina Melati, rugi kalau dibiarkan terlepas ke tangan orang lain.
“Sekarang mereka berada di mana?” soal Khalid kembali. Nada suaranya mula mengendur. Dia mengurut-urut jambangnya.
Hakimi terdiam. Dia terbayang-bayang tubuh pemuda yang separuh nyawa dikerjakan bersama dengan dua orang lagi kawan. Tubuh pemuda itu kemudiannya disumbat ke kereta dan dicampakkan ke tepi pantai Batu Feringgi dalam keadaan teramat lemah tetapi masih bernyawa. Malam itu juga dia bergerak menuju ke pulau persembunyian mereka dengan menaiki bot.
“Heh! Aku tanya kau! Mengapa kamu diam, hah?” Khalid kembali berang. Kemarahannya pasti akan menjulang jika Hakimi terus membisu.
“Nini, aku suruh mereka kurung. Ada di rumah aku. Ada seorang yang mengawalnya. Temanku. Tapi pemuda itu...” Percakapan Hakimi terhenti di situ. “Bagaimana dengan pemuda itu?” Khalid terus menyoal. Tubuh Hakimi yang tegap dan tinggi itu semakin kecil di pandangan matanya.
“Err... err!” Hakimi tergagap-gagap. Matanya terbayang bagaimana pemuda itu dipukul tanpa melawan sedikit pun. Yang terdengar ditelinganya hanyalah suara rintihan. Pemuda itu menyebut. ALLAH. ALLAH. Namun, mereka membelasahnya sehingga pemuda itu tidak lagi bersuara. “Siapa yang bersama kau? Jawab!” Khalid menjegil dengan mata tajam ke arah Hakimi.
“Bambang, Riko dan Rikie!” Hakimi menjawab terketar. Gementar hatinya apabila melihat kolam mata Khalid yang mulai memerah. “Bajingan itu? Hah!!!” Tidak dapat mengawal ledakan emosi marahnya lantas satu lagi tendangan hinggap di peha Hakimi. Tendangannya kali ini agak kuat dan mampu menggoyahkan tubuh Hakimi. Bambang itu tidak kenalinya sangat, namun sikap Riko dan Rikie yang suka membuat sesuatu dengan terburu-buru difahaminya benar. Mereka sanggup membunuh walaupun mendapat upah RM50 cuma.
“Cakap! Err... err.. dah buat tak berani tanggung! Sudah mampus? Sudah kau tanam hidup-hidup? Sudah kau cincang lumat? Cakap?” Khalid memalingkan mukanya ke arah lain seketika kemudiannya kembali merenung Hakimi dengan pandangan yang tajam.
“Aku dah suruh mereka campak ke tepi laut! Tak ada jalan lain lagi.” Hakimi berterus terang. Sebaik sahaja bibirnya habis mengungkapkan kata-kata, matanya terus merenung ke hujung sepatu yang lusuh.
“Pengecut! Jantan pengecut saja yang memukul orang dengan bantuan orang lain!” Khalid menghentikan bicaranya seketika. Hatinya memikirkan tentang Rina Melati. “Kamu tahu dari mana sumber wang untuk aku memberi pendapatan kepada kamu?” Khalid menyoal Hakimi.
Lelaki itu hanya mengeleng. Pendapatannya lumayan juga. Yang dia tahu, Khalid seorang jurugambar bebas. Kadangkala membuat kerja-kerja sepertinya juga. Buruh di tapak pembinaan. Kadangkala mereka bekerja dalam satu pasukan. Asalkan boleh mendatangkan pendapatan, kerja halal atau haram semuanya dikerjakan.
“Perempuan itu!!! Dia sumber wang kita! Mengerti!!?” Khalid menarik nafas seketika. “Eh! Untuk apa kau masuk ke dalam hutan di pulau ini? Hah? Kerana diri kau? Kebahagiaan kau? Atau apa hah!” Dia menendang peha Hakimi.
Hakimi membiarkan. Diam. Halkumnya bergerak-gerak menandakan dia sedang menelan kata-kata yang ingin diungkapkannya. Di matanya terbayang wajah isteri yang kusam. Anak-anak yang tiga orang yang kurus. Berwajah sayu. Hidup dibelenggu kemiskinan.
“Pemuda itu ada keluarga! Sama seperti kau!” Khalid menjegilkan matanya kepada Hakimi. Dalam kebengisannya, terselit rasa kemanusiaan. Simpati yang mendalam. “Perempuan itu telah mengorbankan dirinya untuk kita! Pendapatan kita! Bodoh!” Suara Khalid melengking. Lagi sekali kakinya hinggap ke peha Hakimi. Tendangannya kali ini tidak begitu kuat dan tidak mampu pun menggoyahkan tubuh lelaki itu.
“Aku sangka dia pacar kau. Aku sangka dia mencurangi kau. Aku tidak tahu.” Suara Hakimi parau menandingi suara ombak yang tiba-tiba agak kuat pada waktu itu. “Jangan bicara soal pacar di hadapan aku!” Khalid semakin menyinga. Tiada lagi istilah pacar di dalam kamus hidupnya setelah dia kehilangan Haida. Namun, Rina Melati itu berhati polos. Dan dia ingin gadis itu kekal menjadi miliknya. Miliknya yang utuh. Suatu ketika, saat itu pasti tiba.
“Malam ini aku akan pergi ke sana.” Hakimi bersuara perlahan. “Untuk apa? Nak pergi dengan apa? Eh! Kamu jangan gopoh! Semalam kamu diburu polis marin! Hampir saja tempat persembunyian kita diketahui mereka! Sesiapa pun tidak boleh keluar dari sini selama sebulan!” Khalid memberi arahan. Banyak perkara yang sedang difikirkannya. Kalau tempat persembunyian mereka berjaya dikesan, banyak masalah akan mendatang.
Pulau itu, persinggahan bagi mereka yang ingin memasuki negara jiran secara gelap. Dia menjadi orang perantara. Segalanya berjalan dengan rahsia dan selamat sehingga ke hari ini. Pendapatannya lumayan. Dia juga menjadi orang perantara untuk membekalkan senjata bagi pergerakan militan di tanah airnya. Segalanya bergerak secara gelap. “Tapi...” Hakimi cuba membantah. Dia kehilangan kata-kata. Kalau Khalid telah melarang, sudah tentu dia telah meneka bencana yang bakal mendatang. “Kamu tengok tu!” Khalid menundingkan jari telunjuknya ke arah langit yang semakin gelap.
Hakimi turut memerhati langit. Hujan lebat dan ribut akan datang melanda bila-bila masa saja. Merbahaya jika bertemankan laut dan ombak pada waktu itu.
“Kau boleh pergi, kalau kau mahu! Berenang! Jangan bawa apa–apa pun dan jangan berundur untuk kembali ke sini!” Khalid bersuara tegas sambil menuding telunjuknya ke muka Hakimi. “Heh! Kau pastikan Nini selamat sekarang juga!” Khalid menjegil lagi. Walau bagaimanapun keadaannya, dia tidak ingin gadis itu terlepas daripada cengkamannya.
“Bagaimana bisa aku menghubungi Bambang! Telefon aku jatuh di laut!” Hakimi menjawab perlahan. Kecut perutnya mendengar ugutan Khalid. Jika dia karam di laut, bagaimana dengan keluarganya.
“Terserah! Yang aku tahu, aku mahu jawapan tentang Nini!” Khalid memberi amaran lalu meninggalkan Hakimi bersendirian. Dia masuk ke dalam pondok tempat persembunyian mereka. Di luar angin kencang mula bertiup. Hatinya tiba-tiba terasa rindu kepada Rina Melati. Rindu teramat dalam. ~~~~ bersambung~~~

Tiada ulasan: