Seminggu Datuk Haris berada di hospital. Selepas itu dia dibenarkan pulang dengan nasihat doktor supaya berehat selama Beberapa minggu. Keadaan jantungnya yang agak lemah, tidak membenarkannya berada di dalam keadaan tertekan serta penat. Datuk Haris bimbang jika bercuti terlalu lama. “Rehat? Oh, tidak! Mana boleh berehat begitu lama?” Datuk Haris bersuara agak perlahan. Dia begitu bersemangat untuk ke pejabatnya. Dia tidak sabar-sabar untuk mengetahui segala perkembangan projek-projeknya yang lain. Apatah lagi dengan kejadian yang berlaku di Johor Bharu itu, Datuk Haris rasa dia perlu turun padang. Memantau dan melawat semua tapak pembinaan yang di bawah tanggungjawab syarikatnya. “Jangan begitu, Datuk. Sekurang-kurangnya Datuk berehatlah selama seminggu dulu. Saya percaya, tidur Datuk pun tidak begitu lena. Ini akan mengganggu kesihatan Datuk,” nasihat Doktor Suresh. “Yalah, abang. Ikutlah nasihat doktor ni. Mungkin Adzman boleh tengokkan syarikat abang tu. Aldi pun boleh juga. Tengok kelmarin tu, dia mampu menguruskan kerja awak di Johor Bharu dalam keadaannya yang begitu. Aldi dah kembali seperti dulu. Awak kena yakin dan beri peluang kepadanya.” Datin Rabiatul memberi pendapat. Datuk Haris terdiam sejenak. Jika tidak memberi peluang kepada anak sulungnya pada waktu kesihatannya tidak begitu baik, bila lagi? Datin Rabiatul begitu gembira apabila melihat perubahan yang ketara kepada anak sulungnya itu. Jiwa Aldi nampaknya sudah semakin pulih. Fizikalnya sudah beransur kembali seperti biasa. Rawatan dan latihan kaki secara intensif yang dilakukan oleh Aldi dengan perhatian doktor keluarga telah membawa perubahan positif. Aldi tidak perlukan kerusi roda lagi untuk bergerak ke sana dan ke sini. “Yalah! Saya berehatlah apabila Aldi benar-benar mampu dan berjaya menjadi arkitek yang bertauliah. Awak suruh anak awak belajar sampai habis dulu. Jangan buat sesuatu separuh jalan.” Datuk Haris akhirnya mengalah. Namun, bukan pada waktu itu. “Sekarang ni pun dia sudah boleh ambil alih. Tak payah sambung belajar lagi. Biar dia jadi pengarah urusan aje. Kerja-kerja arkitek tu gajikan orang lain sahaja. Tak payahlah Aldi nak buat semua itu.” Datin Rabiatul yang tidak begitu memahami bidang kerja suaminya membantah hasrat Datuk Haris itu. “Pengetahuan dia dalam bidang ini mesti cukup, Tun! Jika tidak jadilah macam kes di Johor Bharu tu. Saya menyerahkan bulat-bulat kepada pekerja dan beri kepercayaan seratus peratus. Apa yang mereka cadangkan dan pandangan mereka saya terima kerana menyangka mereka telah mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan jujur.” Nada suara Datuk Haris menggambarkan kekecewaannya. “Pergi memantau kerja sahaja tanpa ilmu, tidak guna, Tun.” Dia menarik nafas panjang sebaik sahaja menghabiskan bicaranya. Datin Rabiatul terdiam. Sedikit sebanyak dia memahami mengapa Datuk Haris terlalu berkeras mahukan Aldi menghabiskan pelajarannya dahulu. “Ayah rehatlah seminggu dua. Biar saya uruskan Roda Emas. Itupun kiranya ayah percaya kepada saya. Bila ayah dah sembuh, ayah baliklah ke pejabat,” kata Aldi yang tiba-tiba muncul dari luar rumah. Perbualan emak dan ayahnya sedikit sebanyak didengarinya tadi. “Bila ayah sudah benar-benar sembuh saya akan pergi...” ujar Aldi lagi sambil berjalan menghampiri kedua mereka. “Pergi?” Datuk Haris memerhati Aldi yang kelihatan berpeluh-peluh. Aldi berjalan perlahan-lahan menghampiri keduanya sambil tersenyum. Sebelah tangannya masih memegang tongkat. “Nak pergi mana?” Datuk Haris dan Datin Rabiatul bersuara hampir serentak. “Sambung belajar balik. Macam yang mak dan ayah inginkan,” ujar Aldi lagi sambil duduk di atas sofa, di sisi Datin Rabiatul. Dia menghela nafas panjang-panjang kerana kepenatan. Sebentar tadi dia mengambil masa kira-kira sejam untuk bersiar-siar sambil bersenam di sekitar vila itu. Datuk Haris dan Datin Rabiatul berenung-renungan sesama sendiri. Besarnya kurniaan-MU. Begitulah yang terbisik di hati Datin Rabiatul. ~~~BERSAMBUNG~~
Khamis, 9 Ogos 2012
Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 11)
Pergerakan bas yang dinaiki dirasakan terlalu lambat. Roda bas yang berpusing seolah diikat sehingga membuatkan perjalanannya tersangkut-sangkut. Di matanya hanya terbayangkan wajah emak dan adik-adiknya. Sudah lama dia tidak memandang mereka. Kerinduan yang terhimpun sudah menggunung.
Nurlisa melangkah kaki dengan laju sebaik sahaja turun dari bas yang membawanya ke kawasan setinggan tempat tinggal keluarganya. Datin Rabiatul ada meminta Wak Dollah menghantarnya sehingga ke rumah. Namun dengan sopan dia menolak tawaran daripada Datin Rabiatul itu.
“Assalamualaikum!” Suaranya sebaik sampai dimuka pintu. Dia meninggalkan kasut di hadapan pintu. Dia terus masuk ke dalam rumah sebaik sahaja ternampak kelibat Mak Cik Hasnah.
“Mak!” Gadis itu terus menerkam dan memeluk Mak Cik Hasnah sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Tubuh emak yang kurus serta merta di dalam rangkulannya.
Semua adik-adik yang sedang duduk di atas lantai simen kerana membuat kerja sekolah terkejut dan menyerbu Nurlisa. Semuanya ingin melepaskan kerinduan.
“Kak! Kenapa lama tak balik? Kami rindu!” Nuraina dan Nuraini berebut-rebut memeluk Nurlisa.
“Kakak dah lupakan kami!” Nur Fitri dan Mohd. Hambali bersuara serentak.
Nurlisa memeluk kedua adik lelakinya pula. “Kakak tak pernah lupa, walaupun sesaat,” jawabnya dengan suara girang. Dia berharap adik-adiknya mengerti situasi dirinya yang duduk menumpang di rumah orang. Tidak boleh buat mengikut kehendak hati.
“Mak! Lisa rindu nak bersama adik-adik semua. Lisa dapat cuti dua hari, mak. Esok kita pergi ke bandar ya, mak. Kita beli apa-apa yang mak dan adik-adik nak.” Nurlisa berkata dengan deraian air mata gembira.
“Yalah Lisa. Syukurlah. Kami semua rindu pada Lisa, tapi mujurlah setiap bulan Wak Dollah ada datang ke sini memberitahu tentang perkhabaran Lisa!” cerita Mak Cik Hasnah. “Terima kasihlah, Lisa. Duit yang Lisa kirimkan sebanyak 400 ringgit pada setiap bulan itu, mak gunakan untuk persekolahan adik-adik. Cukuplah jika berjimat cermat!” Mak Cik Hasnah terus bercerita.
“400?” Nurlisa terkejut kerana jumlah yang diberinya kepada Wak Dollah hanya 200 sahaja. Lagi 200 dia simpan untuk kegunaan sendiri jika terjadi sesuatu kecemasan.
Namun kekejutan dan kehairanannya itu tidak diberitahu kepada Mak Cik Hasnah, bimbang ibu tua itu berasa bimbang. Mungkin Datin Rabiatul mengirimkan duit untuk membantu keluarga mereka melalui Wak Dollah. Nurlisa berasa terharu. Jika ditanyakan hal ini kepada wanita itu, kemungkinan wanita itu akan berkecil hati. Kalau tidak ditanya atau diucapkan terima kasih, diri sendiri pula yang terasa bersalah. Seolah tidak tahu berbahasa. Dia tenggelam di dalam perasaan serba salah.
“Mak! Ini ada sedikit barang yang datin kirimkan untuk mak dan adik-adik!” Nurlisa membuka beg yang dibawanya. Rasa serba salahnya lenyap seketika.
“Datin kata, ini semua bajunya. Dia rasa mak boleh muat. Ada ni yang dia tak pernah pakai pun.” Nurlisa menghulurkan satu beg plastik yang berisi lima pasang baju kurung.
“Alhamdulillah...” Mak Cik Hasnah mengeluarkan baju-baju itu dari dalam begnya.
“Hisy... Kain mahal ini Lisa. Layak ke mak memakainya?” Mak Cik Hasnah membelek-belek baju pemberian Datin Rabiatul itu. Walau bagaimanapun, bibirnya mengukir senyuman.
“Yang ini untuk Fitri, Hambali dan Faez. Ini pun baju-baju lama milik anak-anak datin sewaktu mereka kecil dahulu. Semuanya disimpan dengan baik.” Nurlisa mengeluarkan beberapa helai kemeja dan baju T serta seluar panjang dan dihulurkannya kepada adik-adik lelakinya itu.
Nur Fitri dan Hambali berebut-rebut menggaya-gayakan baju ke tubuh.
“Untuk Aina dan Ani?” Kedua gadis sunti itu menghampiri kakak sulung mereka lalu duduk di sisi Nurlisa.
“Alamak! Kakak minta maaf. Datin tak ada anak perempuan, jadi tak adalah baju untuk Aina dan Ani,” ujar Nurlisa sembil tersenyum. Kalau Datin Rabiatul ada memiliki anak perempuan mungkin dia tidak berpeluang bekerja di rumah itu.
“Ala... Tapi tak apalah Kak Lisa, tak dapat apa-apa pun tak mengapa, asalkan kami dapat melihat wajah kakak. Itu lebih berharga daripada kain bajulah.” Nuraina cuba bertenang dan tidak menunjukkan kehampaannya.
“Alhamdulillah... Sucinya hati adik kakak yang ini. Hmm... Ani, macam mana? Nak kakak ke nak barang?” Nurlisa mengusik adiknya yang kedua.
“Nak kakaklah. Tapi kalau ada sesuatu untuk Ani, alhamdulillah. Tapi dah tak ada rezeki nak buat macam mana?” kata Nuraini sambil ketawa.
Nurlisa turut ketawa. “Alhamdulillah... Bagusnya adik-adik kakak. Itu sebab kakak rasa sayang sangat dan rindu kepada kamu semua.” Dia mencium pipi Nuraini dan Nuraina. Kemesraan yang terjalin antara mereka menunjukkan kasih sayang mereka yang terikat kuat. “Persekolahan macam mana? Mak? Macam mana persekolahan mereka?”
“Eh! Ada kad kemajuan dalam bag sekolahlah. Eloklah kakak balik hari ni.” Nuraina segera mencapai beg sekolah dan mengambil kad yang dikatakannya itu. Kad berwarna biru itu di serahkannya kepada Nurlisa.
Nurlisa tersenyum-senyum menatap tulisan di kad itu. “Semua bawa beg sekolah ke sini. Lamanya kakak tak periksa buku-buku kamu semua. Nuraini dulu.” Nurlisa bersuara riang. Begitulah dia dulu sebelum menerima kecelakaan. Seminggu sekali dia akan memeriksa buku-buku sekolah adik-adiknya.
“Hmm... Nuraini pun bagus juga,” puji Nurlisa. “Disebabkan Aina dan Ani bagus dalam pelajaran, kakak ada beli hadiah.” Dia menyeluk ke dalam poket kecil di dalam bag sandangnya.
Nuraina dan Nuraini merenung telatah kakak mereka dengan mata bulat dan perasaan yang tidak sabar.
“Tapi, hadiahnya kecil saja, dan murah.” Nurlisa menghulurkan kotak kecil yang hanya dibalut dengan kertas putih.
“Horey... Jam tangan. Terima kasih, akak.” Nuraini dan Nuraina terus membuka balutan kotak itu dan serentak menjerit kerana terlalu gembira. Mereka terus mengenakan jam tangan di pergelangan tangan.
Mak Cik Hasnah menghidangkan teh ‘o’ untuk mereka sekeluarga pada petang itu.
“Hmm... ini untuk emak juga. Mak, duit RM1200 ni mak gunalah untuk modal berniaga seperti yang kita rancangkan dulu. Setiap bulan, Lisa simpan untuk capaikan cita-cita kita dulu mak.” Nurlisa meletakkan segumpalan wang not 50 ke dalam genggaman Mak Cik Hasnah.
“Wah, kakak! Bertuah juga kakak bekerja menjadi orang gaji tu ya. Duduk rumah besar. Ada duit. Tidur pun mesti atas katil kan Kak Lisa? Tak adalah macam kami, tidur atas simen saja.” Hambali becok mulutnya sambil cuba membuka genggaman tangan Mak Cik Hasnah. Anak itu kepingin memegang gumpalan wang yang berada di dalam genggaman emaknya.
“Syukurlah, dik. Tapi hati kakak sentiasa ingat kamu semua. Kakak ingin kita bersama macam dulu-dulu. Kita hidup susah tapi hati kakak tak pernah rasa sunyi.” Nurlisa memeluk Mohd Faez yang duduk di ribaannya dan mencium ubun-ubun adik bongsunya itu bertalu-talu. “Tapi kakak cari rezeki untuk keluarga kita.” Suara Nurlisa semakin perlahan.
“Sampai bila kakak nak duduk di rumah itu menjadi orang gaji?” Nuraini pula bertanya.
“Entahlah Ani. Mungkin sehingga Kak Aina tamat tingkatan lima. Waktu itu Aina pun sudah boleh berkerja.” Nurlisa menyuarakan buah fikirannya.
“Tapi, kalau boleh kakak ingin adik-adik semua belajar sehingga ke universiti. Habis belajar dapat kerja bagus. Di masa depan, takkan kita nak hidup susah macam ni lagi.” Sambung Nurlisa lagi.
“Alah, Kak Lisa. Sekarang ni pun Aina dah bekerja. Subuh-subuh lagi emak dah bangun untuk buat nasi lemak. Aina dan Ani tolong bungkus. Hambali dan Fitri tolong hantarkan ke beberapa buah kedai dekat simpang sana.” Nuraina bercerita dengan bangga.
“Alhamdulillah... Semua adik-adik kakak tahu tanggungjawab dan membantu emak.” Nurlisa berasa terharu mendengar cerita daripada Nuraina. “Setiap hari jualan habis ke?” tanya Nurlisa dengan penuh minat.
“Habis...” Nuraina dan Nuraini menjawab hampir serentak. Mereka bersuara dengan girang.
“Kesihatan mak macam mana? Masih batuk-batuk lagi ke?” Nurlisa memandang ke wajah emak yang dirinduinya itu.
“Alhamdulillah, Lisa... Adik-adik semua bantu mak.Cuma sekarang ni mak harus menjaga makan minum dan makan ubat yang doktor bagi tu.” Mak Cik Hasnah tersenyum senang. Syukurlah, walaupun tanpa suami di sisi, dia boleh membesarkan anak-anaknya dengan kudrat yang ada dibantu oleh anak-anak yang pandai berbakti kepada ibu yang melahirkan.
“Lisa, mak ada dengar kawasan setinggan ni hendak dirobohkan untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.” Suara Mak cik Hasnah tenggelam timbul. Baru dua tiga hari lepas Pak Hasan menceritakan hal itu kepadanya.
Nurlisa memandang ke wajah emaknya. Ada beberapa pertanyaan yang menerpa ke benaknya. “Bila mak?” tanyanya dengan penuh ghairah untuk mengetahui cerita sebenarnya.
“Tak tahulah bila. Tapi mak rasa risau juga. Kita dah lama duduk sini. Nak menyewa rumah lain tentunya tidak mampu.” Mak Cik Hasnah bersuara perlahan.
“Alah, mak. Mak jangan bimbang. Nanti Lisa usahakan.Lisa tanya pada Wak Dollah. Mungkin Wak Dollah tahu tempat lain yang sewanya murah dan kita mampu bayar. Projek perumahan tu, mungkin lambat lagi. Kita doa sama-sama ya, mak.” Nurlisa memeluk emaknya untuk mententeramkan hati emaknya. Sungguhpun begitu hatinya beriak bimbang.
“Nanti bila kita ada rezeki lebih sikit, atau niat mak untuk berniaga itu dimakbulkan tuhan, ada keuntungan sikit, kita cari rumah sendiri. Dapat rumah kos rendah pun tak apa. Nanti bolehlah Lisa berhenti jadi orang gaji di rumah datin tu, mak.” Nurlisa tidak dapat menahan kesedihannya sewaktu menyampaikan impian hatinya kepada emak dan adik-adiknya.
“Kalau kakak berhenti dari rumah orang kaya tu, nanti kakak nak kerja di mana pula?” tanya Nuraina spontan. Semenjak Nurlisa bekerja menjadi pembantu rumah di rumah Datin Rabiatul itu, kehidupan mereka tidaklah sesukar dahulu. Perbelanjaan sekolah pun tidak pernah putus lagi. Tambahan pula kesihatan emaknya tidak seteruk dulu kerana ubat-ubatannya tidak pernah putus lagi.
“Kalau kita dah ada gerai sendiri, kakak berniagalah. Makkan tak sihat dan perlukan rehat. Buat sementara ini, kita kena kumpulkan duit dan modal dulu. Kita berjimat cermat, insya-allah suatu hari nanti kita akan berjaya.” Nurlisa menyuarakan buah fikirannya.
Nuraina dan Nuraini terdiam seketika. Di dalam hati mereka menyetujui pendapat kakak sulungnya itu.
“Yalah, Kak Lisa. Sekarang ni, kami tak makan sayur bayam masak air dan ikan belanak kering hari-hari lagi,” celah Nur Fitri pulak. Dia bersyukur kerana kini, semua keperluan sekolahnya mencukupi seadanya. Dia pun tidak pernah merungut kalau setiap hari membantu emak dan kakak-kakaknya untuk menambah pendapatan keluarga.
“Fitri! Jangan cakap begitu, tak baik. Apa yang Allah beri kepada kita sebagai rezeki dan pemberian daripada-Nya, kita harus bersyukur.” Nurlisa menegur dan menasihati Nur Fitri yang tersengih-sengih. “Kalau Allah tarik rezeki tu macam mana?” Sekali lagi bibirnya mengeluarkan kata-kata nasihat.
“Alah Kak Lisa ni, Fitri belum habis cerita lagi. Tapi lebih baik makan bayam masak air, kangkung goreng taucu, telur dadar itu daripada makan ayam hari-hari tetapi mendatangkan penyakit,” sahut Nur Fitri.
“Haa!!! Dia memang pandai Kak Lisa. Bila dia rasa bersalah tu, dia pusing cakapnya ke lain.” Nuraina yang berada berhampiran menempelak sambil ketawa. Dia sudah memahami benar telatah Nur Fitri yang tidak mahu mengalah.
Nurlisa turut ketawa melihat telatah adik-adiknya.
“Mak... mereka semua tinggal sembahyang tak?”
“Mak rotan kalau mereka malas sembahyang!!” jawab Mak Cik Hasnah.
“Elok pun. Mesti Fitri yang selalu kena ni,” teka Nurlisa.
“Tak ada. Dah lama dia tak kena. Mengaji Quran pun dah rajin sekarang ni. Dia nak berlumba dengan Hambali. Hambali dah hampir khatam dah. Faez pun sama dah nak berlumba dengan abang-abangnya. Tapi dia baru sampai alif ba ta.” Cerita Mak Cik Hasnah lagi. Hari ini dia berasa begitu bahagia dengan kepulangan anak yang dirinduinya itu.
“Alhamdulillah! Syukur!” Mata Nurlisa bersinar gembira.
“Hambali nak tamatkan al-Quran tu tak berapa hari lagi. Sekarang ni, dah masuk juzuk ke 28 Kak Lisa. Surah al-Mujadalah.” Hambali yang dari tadi berdiam diri menyampuk. Dia gembira kerana dapat mendahului abangnya Nur Fitri.
“Oh ya? Baguslah macam tu Hambali. Insya-allah. Kalau berniat baik itu, Allah akan makbulkan,” ujar Nurlisa lagi.
Seluruh warga Roda Emas Sdn.Bhd menjadi kecoh. Datuk Haris diserang sakit jantung di pejabatnya. Semuanya gara-gara berita yang disampaikan kepadanya. Sebahagian bangunan 20 tingkat yang sedang dalam pembinaan oleh syarikat miliknya di selatan tanah air runtuh dan meragut nyawa tiga orang pekerja Indonseia.
Datuk Haris dikejarkan ke hospital oleh setiausahanya yang secara kebetulan masuk ke bilik itu untuk menghantar air suam yang diminta. Suzi segera menelefon ambulans apabila mendapati Datuk Haris tercungap-cungap sambil menekan-nekan dadanya.
Sama seperti di pejabat, penghuni Vila Kencana Emas turut menjadi kecoh apabila mendengar perkhabaran itu. Apatah lagi berita bencana itu tersiar di dalam berita televisen.
“Lisa, panggil Wak Dollah ke sini!” Suara dari interkom berkumandang di seluruh vila itu.
Belum sempat Nurlisa memanggil Wak Dollah, lelaki tua itu masuk ke rumah terlari-lari dan tergesa-gesa pula menaiki tangga menuju ke bilik anak lelaki sulung majikannya.
“Encik Aldi! Saya baru balik dari menjenguk Datuk di hospital. Datin juga ada di sana.” Wak Dollah tercungap-cungap memberitahu.
“Datuk masih belum stabil tetapi keadaannya tidak membimbangkan. Dia minta encik pergi ke Johor Bharu dan tengok apa sebenarnya yang telah berlaku di tapak projek tu!” beritahu Wak Dollah dengan nada lembut. Dia merenung ke wajah Aldi.
Aldi tertunduk seketika. Dia berasa serba salah. Matanya merenungi kaki yang belum mampu berjalan sepenuhnya. Hatinya berasa sedih dan pilu.
“Tak dapat hubungi Adzman ke?” Aldi menyoal Wak Dollah sambil kotak fikirannya ligat berfikir untuk membuat keputusan. Jika pergi ke tapak projek itu, tidak dapat tidak dia akan dikerumuni oleh pemberita yang inginkan penjelasan. Apatah lagi projek yang terlibat ialah projek untuk membina kompleks komersial yang melibatkan tender kerajaan. Silap-silap hari bulan pemberian tender itu akan ditarik balik.
“Dia tak ada. Dari Pulau Tioman dia terus ke Australia. Encik,kita pergi ya!” Wak Dollah seakan memujuk. Sekiranya Aldi bersetuju, tentu akan menggembirakan hati Datuk Haris. Tekanan yang dialaminya mungkin akan berkurang.
“Saya tolakkan kerusi Encik Aldi.” Wak Dollah menawarkan khidmat yang tidak berbelah bahagi.
Aldi merenung ke wajah Wak Dollah sebaik sahaja orang tua itu mengungkapkan kata-kata itu. Dia rasa diperkecilkan kerana ketidakmampuannya.
“Wak tidak bermaksud untuk mengecilkan hati Aldi. Wak ikhlas. Wak anggap Aldi macam anak Wak sendiri.” Wak Dollah bagaikan dapat membaca isi hati Aldi.
“Tak apalah, Wak. Saya tahu, ketidaksempurnaan saya ini telah banyak menyusahkan orang.” Aldi bersuara perlahan seolah berjauh hati.
“Ajak Lisa pergi sama.” Suara Aldi.
Wak Dollah agak terkejut dengan permintaan Aldi. Namun kekejutan itu disembunyikannya. Baru saja orang tua itu melangkah untuk pergi mendapat Nurlisa, Aldi bersuara lagi. Kehendaknya tiba-tiba berubah.
“Tak apalah, Wak. Tak payah ajak Lisa. Kita pergi berdua saja. Wak pergilah siapkan kereta, sekejap lagi saya turun.” Aldi bersuara lembut. ‘Untuk apa aku menyusahkan gadis itu lagi?’ Hatinya terus berbisik.
Aldi tertatih-tatih berjalan menuruni tangga sambil memegang tongkat. Rasa ngilu di kaki dan sendi-sendinya masih terasa menikam-nikam. Pergerakannya agak lambat, namun semakin menampakkan perubahan dari sehari ke sehari. Setiap minggu dia akan menjalani rawatan intensif bagi rawatan saraf-saraf kakinya di hospital. Satu minggu tiga kali rawatan. Setiap hari dia akan melakukan latihan kaki menggunakan peralatan yang telah dibeli oleh Datuk Haris lama dulu.
Paling tidak pun dia akan berjalan perlahan-lahan di sekitar vila itu dengan ditemani Nurlisa. Aldi menggunakan tongkat berkaki empat. Ada ketikanya dia akan cuba berjalan tanpa berpaut pada tongkat. Gadis itulah yang akan membantunya membawakan tongkat yang ditinggalkannya. Apabila kakinya terasa lemah, dia akan bertongkat kembali.
Satu. Satu. Langkah diatur menuruni anak tangga. Walaupun tangga itu akan bergerak secara automatik sekiranya dia menekan punat di dinding sebelum memijak anak tangga yang pertama tadi, Aldi mahu berjalan sendiri. Untuk melatih kekuatan urat saraf kakinya.
Nurlisa memerhatikannya dari tingkat bawah tanpa berkata apa-apa. Lagi sepuluh anak tangga lagi Aldi akan sampai ke lantai aras bawah. “Encik, hati-hati!” Dia tidak tergamak melihat Aldi bersendirian menuruni tangga dengan kening yang sesekali berkerut. Dia menaiki tangga itu dan berada di sebelah Aldi untuk membantunya sekiranya lelaki itu hilang imbangan kerana kesakitan.
Aldi tersentuh dengan perhatian yang ditunjukkan oleh gadis itu kepadanya. “Terima kasih.” Ucapnya perlahan sambil tersenyum.
“Wak! Bawakan kerusi roda Encik Aldi sekali!” beritahu Nurlisa kepada Wak Dollah yang memasuki rumah semula. Mereka sudah sampai di muka pintu. Wak Dollah memandang ke wajah Aldi.
Aldi mengelengkan kepala. “Tak payah, Wak! Saya cuba berjalan gunakan tongkat ni,” ujar Aldi.
“Bawalah, encik. Encik tak boleh paksa kaki encik berjalan dalam jarak yang jauh dengan serta merta.” Nurlisa seakan memujuk. Bukankah dia ada pengalamannya sendiri.
“Betul juga kata Lisa tu encik. Tapak projek tu jauh juga dari jalan raya. Tambahan tempat pembinaan begitu, tanah-tanahnya banyak yang tidak rata. Susah encik nak berjalan nanti.” Wak Dollah yang pernah pergi ke tapak projek itu memahami situasi di sana sememangnya tidak sesuai untuk perjalanan Aldi yang belum pulih sepenuhnya.
“Tak usah, Wak. Walau bagaimana pun saya akan cuba. Saya kena beri peluang kepada diri saya sendiri. Selama ini ia terlalu dimanjakan.” Aldi berkeras dengan kemahuannya. Dia pun terfikir, jika kawasan tanah tidak rata, sudah tentu akan menyusahkan Wak Dollah pula untuk menolakkan kerusi rodanya ke sana dan ke sini.
“Lisa tolong ambil tongkat yang lain. Yang kayu tu. Saya gunakan tongkat itu sewaktu berjalan ditanah yang tidak rata nanti!” ujar Aldi kepada Nurlisa dengan suara yang lembut. Bibirnya tersenyum.
“Baiklah, encik.” Nurlisa menaiki tangga ke tingkat atas, menuju ke kamar anak muda itu. Tidak berapa lama kemudian, dia muncul kembali di ruang tamu.
“Baiklah, encik. Kita bertolak sekarang.” Wak Dollah mengiringi Aldi yang berjalan terhincut-hincut, disokong oleh tongkat yang disepit di kedua belah ketiaknya.
Nurlisa pun berasa pelik kerana banyaknya tongkat yang diingini oleh Aldi. Ingin rasanya Nurlisa mengekori dari belakang dengan langkahan yang perlahan untuk mengucapkan selamat jalan, namun dia berasa janggal. Bukankah dia hanya orang gaji di rumah itu?
“Bertolak sekarang encik?” Wak Dollah telah bersedia di tempat pemandu. Aldi pun sudah duduk di sisinya.
“Ya! Jomlah kita pergi! Sebelum tu, saya ingin menjenguk ayah di hospital,” ujar Aldi lagi sambil matanya melihat ke pintu vila itu sebelum kereta yang dipandu oleh Wak Dollah bergerak. Hati kecilnya kepingin melihat gadis itu melambaikan tangan dan mengucapkan selamat jalan kepadanya. Namun, Nurlisa tidak ada di situ. Sesiapa pun tidak ada. Beberapa ketika kemudian mereka meninggalkan Vila Kencana Emas yang sarat dengan kesunyian dan kesepiannya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan