Nukilan Rasa Juriah Ishak
Biarlah nukilan kata-kata yang menyuarakan segala pinta rasa..
Jumaat, 3 Ogos 2012
Novel:REDHA TAKDIRMU(BAB 10)
AKU sedang mencuci kain pada petang itu, tiba-tiba telefon di atas meja berdering. Hari itu pagi Sabtu. Sememangnya aku tidak bekerja. Aku bekerja hanya lima hari seminggu. Kawan-kawan serumahku yang lain semuanya belum balik dari tempat kerja masing-masing. Sudah tentu panggilan telefon itu untuk aku.
Semalam, aku menerima panggilan telefon daripada emak di kampung. Emak memberitahuku yang Wahid telah memutuskan pertunangan kami. Dia menghubungi emak melalui telefon sahaja. Aku lega dengan perkhabaran itu. Begitu ertinya kasih sayang Wahid kepadaku. “Helo! Boleh bercakap dengan Lidya?” Suara seorang perempuan yang tidak kukenali menjengah gegendang telingaku. Siapa gerangan? Jangan-jangan janda Wahid? Atau isterinya ingin menyerang aku. “Ya, Lidya bercakap! Assalamualaikum...” Disebabkan pemanggil tidak memberi salam terlebih dahulu, akulah yang memberi salam. Ucapan salamku tidak bersambut menyebabkan fikiranku tertanya-tanya siapakah yang menelefonku. Untuk tujuan apa? Mencetus permusuhan atau persaudaraan. “Saya ni Shamsiah!” ujar pemanggil itu lagi.
‘Shamsiah? Aku tidak pernah ada kawan bernama Shamsiah.’ Kotak ingatanku mula menjalar ke sana-sini, sekiranya ada kawan-kawanku bernama Shamsiah. “Hmm, Dik Shamsiah, kita pernah bertemu ke sebelum ini? Minta maaflah jika Kak Lidya terlupa.” Aku menuturkan kata-kata dengan baik, dengan cara paling sopan. “Tak! Kita memang tak pernah bertemu,” jawab Shamsiah dengan nada perlahan.
“Saya ni girlfriend Mike.” Dia bersuara tersangkut-sangkut dan gementar. “Mike? Michael Collin?” Aku menyoal kembali. Dadaku mula berdebar. Apa ceritanya buah hati Michael menelefon aku. Shamsiah mengiakan pertanyaanku. “So, Shamsiah, selamat berkenalan. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” Penuh ketulusan aku menyoalnya. Di dalam hati, aku tertanya-tanya untuk tujuan apa Michael memberi nombor telefonku kepada Shamsiah.
“Saya cuma nak tanya, apa perhubungan you dengan Michael? Saya ternampak Michael menyimpan gambar you bersamanya di dalam dompet.” Shamsiah mula bercerita. Aku mula tertarik dengan ceritanya. “Gambar?” Aku mula teringatkan gambarku bersama Michael. Gambar yang diambil di studio gambar pada dua minggu sebelumnya. Ada dua keping berlainan aksi. “Err, gambar you bersamanya di atas kerusi, you pakai kebaya putih.” Shamsiah bercerita lagi. Aku tidak menjawab persoalannya. Mengapa harus aku menjawab pertanyaannya itu. “Shamsiah berkawan dengan Michael ni, dah lama ke?” Giliran aku pula menyoal Shamsiah. “Tiga bulan...” Shamsiah menjawab dengan tergagap. Aku menyembunyikan tawa. Aku sudah mengenali Michael hampir tiga tahun. “Saya tanya Mike, apa hubungannya dengan awak?” Daripada you, Shamsiah membahasakan awak pula dengan aku. “Tapi dia tak mahu memberitahu. Dia suruh saya tanya awak sendiri. Dia yang bagi nombor telefon ni.” Shamsiah bersuara seperti orang kecewa. Aku faham, mungkin harapannya terhadap Michael menggunung. Mungkin layanan Michael terhadapnya sama seperti layanan Michael terhadapku. Perempuan mana yang tidak terpikat dan terasa sayang kepada lelaki yang penyayang, baik budi seperti Michael. “Shamsiah! Tak usah risau! Memang kami rapat tetapi Kak Lidya memandang Michael tu tidak lebih daripada seorang sahabat atau seorang adik! Dia muda daripada Kak Lidya beberapa bulan.” Aku menerangkan kepada Shamsiah perkara yang sebenarnya supaya dia tidak menyangka buruk terhadapku. Sememangnya aku tidak berminat untuk memilih lelaki yang lebih muda daripadaku sebagai pasangan hidup. “Boleh kita berjumpa?” “Why not? No problem! Datanglah. Ajak si Michael tu,” dengan perasaan ikhlas, aku mengalukan pertemuan yang diinginkan oleh Shamsiah. Nama Michael mulai runtuh dihatiku kerana tapaknya belum kukuh. Kemunculan Shamsiah, terus meminggirkannya dari hatiku. Meskipun sebelumnya aku sedang menimbangkan perasaannya terhadapku, aku tidak merasakan diriku telah tertewas, tetapi aku tidak suka berebut cinta. Biarlah, tak dapat pun tidak mengapa kerana cintaku terlalu mahal harganya.
Telefon berdering lagi. Dengan malas aku mengangkat ganggang telefon.
“ Helo! Siapa ni dan nak bercakap sdengan siapa?” “Apa khabar? Dah lama tak dengar berita? Masih ingat saya lagi?” Suara yang begitu asing di pendengaranku. ‘Siapa ini?’ Aku menyoal di dalam hati. Aku mulai rimas bila mendengar suara lelaki. “Tak sudi ke nak bercakap dengan orang di sini?” Puas aku cuba mengingatkan suara itu. Suara kasar lelaki yang cuba dihaluskan untuk menyamar. “Maaf... Siapa ni?” Aku bosan untuk terus melayan tanpa mengetahui siapa gerangan orangnya. Tambahan pada ketika itu, aku benar-benar merasakan telah tawar hati kepada lelaki. Aku tidak perlukan sesiapa untukku jadikan kekasih atau apa. Aku lemas. Aku serik. “Dengar kata dah bertunang! Bila nak makan nasi minyak?” Dalam suara yang bukan asli, dia masih ingin menyamar. Aku sedikit geram. Puas kuamati akhirnya aku dapat meneka siapa.
“Hmm... abang! Abang Idham!Tak usah nak menyamarlah. Lidya kenal,” aku ketawa mengekek. Idham, sudah tiga tahun terputus hubungan denganku sejak aku bertunang dengan Wahid. Semenjak itulah aku tidak menghubunginya lagi. Untuk apa? Bukannya dia ada perasaan sayang kepada aku? Tak pernah menghargai kasih sayang yang aku curahkan kepadanya pun! “Alhamdulillah. Terima kasih. Nasib baik masih kenal dan cam suara abang! Kalau tidak malulah abang. Siapalah diri ini?” Idham memang berperangai begitu. Merendah diri tidak menentu. “Lama tak dengar cerita daripada Lidya. Tulis surat pun dah tak sudi. Call abang pun dah tak mahu. Abang tertunggu-tunggu juga!” Asyik aku saja yang kena tulis surat kepadanya. Asyik aku juga yang harus menelefonnya. Seolah aku yang terkejar-kejar dia tetapi dia buat endah tak endah. “Lidya dah tak reti nak menulis surat lagi! Tak ada modal nak cerita. Tak ada mood.” Aku berkata dengan selamba. “Dengan abang pun Lidya tak ada mood? Idham menyoal aku. Biasalah lelaki ini, suka menguji orang tak habis-habis. Sentiasa inginkan keistimewaan lebih daripada orang lain.
“Lidya tak cakap macam itu.” Aku terjerat dengan kata-kataku sendiri. Takkanlah aku nak katakan ‘abang buat Lidya tak ada mood’, tentu Idham akan kecil hati. “Dengan abang Lidya ada mood ke tak?” Idham menyoal lagi. Karektornya yang suka memberi tekanan kepada orang terserlah. “Ada!” Aku menjawab pendek. Malas nak panjangkan cerita. “Kalau begitu, nanti tulis surat kepada abang. Abang rindu nak baca tulisan Lidya.” Idham dalam tawanya mula memberi arahan. Aku juga yang terkena. “Abang sihat tak?” Lama tak mendengar cerita tentang Idham. Rindu juga. Sememangnya hatiku tidak pernah melupakannya. Maklumlah, lelaki pertama yang kukenali waktu zaman remaja. Waktu sekolah dulu, aku belajar di sekolah perempuan sehingga tamat tingkatan lima. Aku mengenali Idham kerana secara kebetulan pejabatnya bersebelahan dengan kelas tempat aku tuisyen matematik. Selalu aku terserempak dengannnya. Aku menganggapnya sebagai abang angkat pada mulanya. “Alhamdulillah... sihat, cuma kadang-kadang saja rasa sengal-sengal dan kebas-kebas kaki. Maklumlah, dah tua.” Idham kadang-kadang terlalu suka merendah diri. Aku tidak membalas luahan hatinya yang begitu. Bosan.
“Tua-tua pun handsome.” Bagaikan memujuk Idham, aku memujinya. Idham ketawa kecil kerana gurauan itu. Namun, itulah kenyataannya. Idham memang seorang lelaki yang handsome dan bergaya. Tidak pernah lekang dengan cermin mata hitamnya. Bentuk mukanya yang bujur dengan rambut lurus dan berjambul semula jadi itu menyebabkan Idham menjadi intaian wanita-wanita dan perempuan di mana saja dia berada. Idham pada waktu itu lelaki duda beranak dua. “Lidya ni, jangan la usik abang!” Idham macam berkecil hati pula. Itu pun salah satu tabiatnya sejak azali agaknya. Mudah berkecil hati walaupun dengan sebab yang kecilnya seperti kepala peniti. “Bila Lidya nak kawin? Jangan lupa jemput abang.” Dia kembali kepada persoalannya di awal perbualan tadi.
“Yalah, insya-ALLAH. Tarikhnya 32.13... tahunnya entah bila-bila.” Aku masih mahu bergurau. Terubat juga luka di hati aku dengan gurauan itu. Malas aku untuk memikirkan hal kawin lagi. Hal kekasih. Hal cinta. Hanya membuang masa dan air mata. Di penghujungnya aku tidak memperolehi apa-apa. “Lidya baru putus tunanglah, bang! Nantilah kita sambung cerita lagi ya?” Aku tidak ingin memanjangkan perbualan dengan Idham. “Tak puas lagi rasanya berbual dengan dinda!” Ah! Idham cuba memujukku agaknya. Mungkinkah dia ingin aku kembali kepadanya seperti dulu. Luka dihatiku belum lagi bertaut. Kemunculan Idham di saat itu, hatiku bagaikan terbelengu. “Esok abang call lagi! Sekarang ni Lidya nak berehat. Penat! Dua tiga minggu ni, Lidya tak begitu sihat!” Aku berterus terang.
Namun, sebagaimana biasa Idham kadangkala tidak memahami perasaan orang lain. Sepuluh minit selepas itu, barulah perbualan di tamatkan. Aku terus menerkam bantal dan memejamkan mata. Dari tadi lagi mataku terasa mengantuk. Ada-ada saja hal yang menggangguku. ~~~~~~BERSAMBUNG~~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Catatan Terbaru
Catatan Lama
Laman utama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan