Jumaat, 3 Ogos 2012

Novel:Kasihnya DIA (BAB 10)

Rina Melati membuka matanya. Seluruh tubuhnya terasa pedih dan sengal-sengal. Kepalanya juga sakit. Dirinya tersandar di tiang yang berada di tengah ruang rumah itu dengan tangan dan kakinya diikat kuat. Dia memerhati sekeliling. Longgokan baju kumal. Kertas-kertas yang menimbun. Suasana sekeliling gelap pekat. Dia tidak pasti dia berada di mana. Yang pastinya dia berada di dalam sebuah bilik berdinding papan yang buruk. Tidak berapa jauh darinya ada seorang lelaki berbadan tegap dan berjambang tidak berbaju sedang menunggu.
“Hei! Hei! Lepaskan aku!” Menyedari dirinya telah diikat di tiang, dia memekik dan meronta. Lelaki itu menghampirinya. “Lepaskan aku! Lepaskan aku! Umar! Umar! Umar! Hei! Mana kawan aku! Lepaskan aku!” Dia terus bersuara keras. Dia terus meronta-ronta cuba membebaskan dirinya.
“Diam! Jangan bising!” Pantas saja tangan lelaki itu menampar tubuh Rina Melati. Meledakkan perasaan marah gadis itu. “Buat apa kau ikat aku? Lepaskan! Apa salah aku?” Rina Melati bersuara semakin keras. Rontaannya semakin kuat. Namun, perlakuannya itu tidak dapat melonggarkan ikatan walau sedikit pun. Sebaliknya pergelangan tangannya terasa pedih dan sakit kerana kulitnya melecet. Tali yang mengikatnya amat kuat.
“Kau bising lagi, nampak ini!” Lelaki berjambang itu mengeluarkan sebilah pisau belati daripada sarungnya yang terjuntai terikat di tali pinggang. Rina Melati terdiam. Namun, fikirannya ligat mencari akal untuk membebaskan diri. “Kamu curang! Tidak setia pada cinta! Khalid akan bunuh kamu, jika dia tahu kamu ada lelaki lain selain dari dirinya sewaktu dia tiada!” Lelaki itu tiba-tiba bersuara dan membuat tuduhan. “Khalid tiada, kamu bawa lelaki ke rumah!” Sambung lelaki itu lagi. Matanya merenung wajah Rina Melati.
Rina Melati terdiam. Mengertilah dia kini, rupa-rupanya Khalid memasang pengintip untuk mengawal pergerakannya. “Khalid hantar kamu suruh intip aku ke?” Matanya merenung wajah lelaki yang berada di hadapannya. Entah sampai bila dia dapat membebaskan diri dari cengkaman lelaki Indonesia itu. Khalid Afandi yang penuh misteri, namun banyak berbudi kepadanya.
“Ya!” Enggan berdiskusi tentang soal itu, lelaki itu terus mengakui walaupun hakikatnya tidak. Lelaki itu merenung Rina Melati kembali sambil melambung-lambung pisau. Sebenarnya dia hanya mengikut seorang kawannya yang mengenali Khalid.
“Haus! Saya haus!” beritahunya kepada lelaki itu. Suara Rina Melati lebih lunak dari tadi. Tuduhan lelaki itu dibiarkannya tanpa jawapan. Jika dijawab atau terjadi pertengkaran antara mereka, dia pasti nasibnya akan menjadi lebih malang. “Abang, air! Haus!” Lagi sekali dia bersuara. Kali ini dia tidak lagi meronta-ronta. Pelik juga memikirkan mengapa dia dikurung di situ, sedangkan di rumahnya tadi, dia tinggal bersendirian. Lelaki tadi menghampirinya sekali lagi. Matanya menatap wajah lelaki itu dengan pandangan lembut. Dia mengukir senyuman.
“Nak minum!?” Cawan plastik yang mengandungi air kosong dihulurkan oleh lelaki itu kepada Rina Melati. Wajahnya masih kelihatan serius di kala memandang gadis itu. Dia merenung Rina Melati dari dahi ke hujung kaki gadis itu. “Haus... lepaskan tangan saya! Biar saya minum sendiri!” Rina Melati menolak cawan yang dihulurkan ke bibirnya dengan pipi. “Nanti kamu lari!” Lelaki itu sekali lagi cuba menyuap minuman ke bibir Rina Melati. Suaranya kini lebih lembut dari tadi. Rasa simpati melimpah pula di lautan hatinya apabila melihat wajah gadis itu. Ayu dan lembut air mukanya. Mungkin juga mencerminkan kelembutan hatinya. Jika tidak mana mungkin begitu mudah dikuasai oleh Khalid. “Saya tak lari. Percayalah.” Lagi sekali Rina Melati bersuara lunak meraih simpati. Lagi sekali matanya merenung tajam ke dalam mata lelaki itu. Senyumannya yang manis diulang sekali lagi. “Hmm...” Menyedari yang kaki gadis itu masih terikat, belati yang tadi digunakannya untuk memotong tali yang mengikat tangan gadis itu. Sebaik saja ikatan ditangannya terlerai, dia terus mengambil cawan plastik tadi. Dia minum sepuasnya sehingga habis satu cawan tidak bersisa walaupun setitik. “Alhamdulillah...” ucapnya sambil menghulurkan tangannya kepada lelaki tadi. Lelaki yang tidak berganjak di hadapannya.
“Terima kasih...” Suaranya berbisik lembut. Dia merenung lelaki yang sedang memandangnya tanpa berkelip itu. “Saya dah janji, minta dilepaskan untuk minum air saja.” Dia bersuara perlahan. Matanya digenangi air. Lagi sekali lelaki itu datang menghampirinya.
“Perawan cantik, aku tidak akan berbuat begitu.” Serentak dengan itu, dia memotong pula tali yang mengikat kaki Rina Melati. “Nama kau siapa?” Perlahan dia duduk bersila di sisi Rina Melati. Rina Melati terkejut dengan perlakuan lelaki itu. Bagaimanapun dia cuba bertenang dan berlunjurkan kakinya kerana berasa lenguh.
“Layakkah aku menggelarkan kamu dengan gelaran itu? Perawan cantik!” Nada suaranya sinis. Matanya terus memerhati Rina Melati dari hujung rambut hingga hujung kakinya. Memang cantik. Kulitnya yang kuning langsat halus dan gebu. Rambutnya hitam dan berkilat. Ulas bibirnya. Hidungnya. Matanya yang bening amat indah dihiasi alis yang sempurna bentuknya. Bulu matanya hitam lebat serta panjang. Wanita ini ciptaan TUHAN yang sangat sempurna. Itulah yang terfikir di benak lelaki itu.
“Eryna Natasha...” Rina Melati menjawab perlahan sambil menundukkan wajahnya. Dia rasa terhina dengan pertanyaan itu. Tangannya mengusap-usap kepala lututnya. Cuba meredakan rasa lenguh dan sengal.
“Rio Irawan. Bambang nama panggilanku.” Bambang menghulurkan tangannya kepada Rina Melati untuk berjabat tangan. “Apa benar nama kau Eryna Natasha.” Lagi sekali dia menanyakan dalam pelat Indonesia yang pekat. Suaranya parau. Rina Melati tidak menjawab. Sekadar mengangguk saja.
“Kamu tidak mendustai aku bukan?” Bambang menyoal sekali lagi. Rina Melati terdiam. Dia enggan menjawab. Bambang mengeluarkan sesuatu dari dalam dompetnya.
“Ini foto kamu?” Bambang menunjukkan foto itu kepada Rina Melati. Foto wanita berbaju tidur biru lembut bertali halus di bahu yang sangat tipis dan singkat. Beraksi amat menghairahkan. Susuk tubuhnya terbayang di sebalik bajunya yang jarang. Rina Melati terdiam. Ketakutan mendatanginya. Bambang sekali lagi menyentuh pipinya Mengusap-usapnya perlahan. Menyelak rambutnya yang dibasahi peluh. Tubuhnya mula mengeletar. Debaran di dadanya memuncak. Tangan Bambang sudah berada di lehernya. Mengusap-usap dan mengelusnya perlahan.
“To... tolong jangan pengapakan saya Bambang. Kalau kamu mahu duit. Katakan! Saya boleh beri,” kata Rina Melati separuh merayu. Sememangnya dia memiliki wang yang banyak. Hampir puluhan ribu. Setiap bulan Khalid akan memberinya sekurangnya lima ribu. Dia telah bersama Khalid dan menjadi modelnya untuk foto-foto itu hampir dua tahun. Dia tahu, Khalid telah memperolehi keuntungan yang banyak. Potret-potretnya yang separuh bogel bermacam aksi, telah dicetak ke CD lalu dijual. Dia sendiri pun berasa hairan mengapakah masih ada orang yang mahu membazirkan wang semata-mata untuk melihat foto-foto perempuan separuh berpakaian?
“Kau fikir semua perkara boleh diselesaikan dengan wang?” soal Bambang. Matanya merenung tajam ke arah gadis itu. Rina Melati yang sedang membasahkan bibir dengan lidahnya dilihat begitu mempersonakan. Bambang menelan air liurnya berkali-kali. Gadis rupawan dihadapannya kini mampu menawan hati mana-mana lelaki. Berbohonglah kalau dia sendiri tidak rasa tertawan. “Aku melepaskan tali yang mengikat kau, berapa banyak wang yang kau beri kepada aku? Berapa?” soalnya dengan bisikan yang keras. Gadis itu tidak menjawab. Mungkin lelaki di hadapannya tidak inginkan jawapan. Mungkin lelaki di hadapannya sekadar meluahkan segala pinta rasa yang disembunyikan selama ini. “Di hatiku, masih ada nilai kemanusiaan!” akui lelaki itu. Suara Bambang seakan berbisik untuk dirinya sendiri. “Kamu mendustai aku! Apa benar namamu Eryna Natasha?” Bambang sekali lagi menyoal perkara yang sama. Bukan nama itu yang diberitahu Hakimi kepadanya.
“Nama saya Rina Melati@ Eryna Natasha bt Abdullah!” Mahu atau tidak Eryna Natasha terpaksa mengakui. Di mana ada nilai kemanusiaan, di situ ada kejujuran. Semenjak dia berkenalan dengan Khalid dan menjadi mangsa lelaki itu yang mengeksploitasi tubuhnya, nama Rina Melati hanya digunakan untuk urusan rasmi sahaja. Di kolej, semua kawan-kawannya mengenalinya sebagai Eryna Natasha.
“Melati! Melati! Namamu seakan nama adik perempuanku, Ria Melati. Rupamu juga mirip Ria...” bicara Bambang terhenti seketika. Matanya terus mengamati wajah gadis di depannya. “Melati sekuntum bunga yang berwarna suci! Seharusnya pemilik namanya juga seorang yang suci! Sayang, melati-melati yang aku kenal telah menodai kehidupan mereka dengan perkara yang cemar.” Bambang bersuara sinis.
“Kerana kemiskinan hidup, kesucian Melati telah dinodai.” Bambang bagaikan berbicara sendiri. Puas dia menasihatkan Ria supaya bersabar dengan kemiskinan. Kemiskinan itu menguji keimanan. Sebaliknya, Ria yang berwajah cantik, berparas menarik, bertubuh badan mengiurkan lelaki yang mata-mata mereka dihiaskan oleh syaitan dengan keseronokan memenuhi nafsu serakah.
Lantas, gadis itu yang asalnya seperti kuntum melati yang sentiasa suci, sentiasa santun walau dibelai angin di setiap sore yang mendatang, tergelincir ke lembah hitam. Melayani berahi lelaki, menghapuskan sepi dan sunyi di jiwa manusia-manusia itu, Ria dilimpahi dengan kemewahan. Namun di sebalik kemewahan yang dimiliki, kejelitaan yang menawan hati lelaki, Ria Melati dicemburui oleh golongan sejenis. Lalu Ria menjadi mangsa. Ria akhirnya kecundang dalam perebutan kasih. Dia tertewas. Tubuhnya dihantar pulang ke rumah ibu dan bapa di kampung yang terpencil. Di sambut dengan tangisan oleh mereka kerana Ria Melati tidak lagi bernyawa.
“Bambang! Maafkan kerana nama saya itu telah menyebabkan kamu sedih.” Rina Melati bersuara perlahan. Bambang tidak menjawab. Lamunan dan kenangannya terhadap Ria Melati terganggu. Suasana hening seketika. "Hal yang telah terjadi, tetap akan terjadi! Tak ada gadis yang suka mencemarkan hidup mereka. Tak ada. Sama seperti saya. Tapi kadangkala hal itu tetap datang. Kita tak ada pilihan. Untuk mencapai beberapa impian, ada perkara yang berharga perlu dikorbankan.” Ada air mata yang menitis di pipinya bila dia mengungkapkan kata-kata itu.
“Tapi saya hanya menjadi model untuk foto, tidak lebih daripada itu. Lelaki yang bersama saya hanya Khalid seorang! Dia perlukan wang. Saya juga perlukan wang. Di dunia ini, saya tidak ada sesiapa pun, sehinggalah saya bertemu dengan Khalid.” Rina Melati menelan air liurnya. Teringat kembali, Khalid telah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa beberapa orang lelaki. Khalid telah berbudi kepadanya. Jika tidak, mungkin juga dia telah menjadi seperti Ria. Kerana budi Khalid, sehingga kini dirinya tetap melati suci. Walaupun kuntumannya telah dihinggapi debu-debu yang kotor, sakar madunya masih terpelihara.
“Kata kau, hanya Khalid yang bersama kau, tapi siapa lelaki yang bersama kau malam tadi?” Bambang menyoal Rina Melati. Dia bersama tiga teman yang lain sudah beberapa hari mengekori gadis itu. Dia pun baru berkenalan dengan tiga orang itu. Hakimi, Riko dan Rikie. Merekalah yang mengajaknya untuk mengintip gadis yang kelihatannya amat menawan.
“Teman sekolej! Dia budak kampung yang jujur.” Rina Melati tiba-tiba menangis. Kepiluan meredah belantara jiwanya tiba-tiba. Dia benar-benar bimbang akan keselamatan pemuda itu. Pemuda budiman yang sedikit sebanyak telah mencuit hatinya. Pemuda yang diharapkan untuk menjadi pelindung dan pembimbingnya. Pemuda yang sedang ditawan hatinya. Namun, usahanya belum menampakkan hasil.
“Bambang...” panggilnya perlahan. Dia ingin meminta bantuan Bambang untuk menyelamatkan Umar. Jika terjadi sesuatu yang buruk kepada Umar, dia tidak dapat memaafkan dirinya sampai bila-bila. Belum sempat dia meminta, lelaki itu telah memintas percakapannya.
“Kamu tinggal di sini. Jangan pergi ke mana-mana. Aku akan pergi mencari teman kau yang tadi! Harap-harap dia masih ada di sana,” beritahu Bambang. “Bawa saya sekali. Saya takut tinggal sendiri. Malam. Gelap. Tak ada sesiapa di sini. Saya rasa selamat jika bersama kamu,” kata Rina Melati. Dia memujuk dengan suara lembut. Matanya merenung gerak geri Bambang. Dia bersyukur teramat sangat kerana Bambang ingin mencari Umar. Benarlah di sebalik wajahnya yang bengis itu masih tersembunyi nilai kemanusiaan di jiwanya.
“Bagaimana kamu boleh mempercayai aku yang baru beberapa jam dikenali? Tidak! Kamu tinggal di sini sehingga hari siang! Aku pergi mencari kawan kamu! Jika dia masih bernyawa, insya-ALLAH kamu akan bertemu kembali,” arah lelaki itu lagi. Suara Bambang parau. Dia merenung Rina Melati lalu menyambung bicaranya.
“Jika aku tidak kembali ke sini, esok pagi kamu keluarlah dari sini. Kamu tidak perlu bimbang apa-apa kerana di luar sana hanya hutan batu bata, bukannya hutan belantara yang ada binatang buas yang bisa membaham kamu.” Bambang menghentikan bicaranya seketika.
“Melati, jangan mudah mempercayai orang dan jangan cepat rasa terhutang budi. Akibatnya maruah akan tergadai. Dan lagi aku tidak mahu memulakan perhubungan dengan kamu. Kamu jangan cepat untuk memulakan perhubungan peribadi dengan orang lain!” Bambang bersuara tegas, menasihati bagaikan seorang abang.
“Tapi...” Suara Rina Melati tersangkut di kerongkongnya. Bambang sudah meninggalkannya sendirian di situ. Sekelilingnya gelap dan gelita. Tidak ada sesiapa. Yang terdengar hanyalah hembusan nafasnya. Dirinya tersepit antara keinginan yang meronta dan ketakutan yang menggila. Bayangan Umar tidak hilang di matanya. Dia rasa bersalah. Kalaulah dia tidak mengajak Umar datang ke rumah, perkara buruk ini tentu tidak akan berlaku. Sekarang Umar entah di mana. Hidup atau mati tidak siapa yang mengetahui. Gelap di luar rumah bagaikan tidak ada cahaya seolah menggambarkan lautan hati gadis itu yang sedang meraba-raba mencari jawapan.

Tiada ulasan: