Khamis, 2 Ogos 2012

Novel:SEBELUM NAFAS TERHENTI (BAB 10)

HAMPIR tiga jam Aldi menunggu di atas kerusi rodanya. Sebaik sahaja dia keluar dari bilik mandi pagi tadi, sarapan pagi telah tersedia di atas meja di dalam biliknya. Sehingga kini, dia belum pun meneguk walaupun seteguk kopi panas yang telah disediakan.
Dari semalam, Aldi asyik memerhatikan pintu sambil mengharapkan kemunculan Nurlisa ke kamarnya. Namun gadis itu tidak juga muncul. Biasanya pada waktu itu, Nurlisa sudah muncul di kamar itu dan mengemaskan tempat tidurnya. Dan dia akan memerhatikan gadis itu melakukan segala tugasnya.
Gadis itu terhincut-hincut ke sana sini dengan wajah yang menggambarkan kesabaran yang tidak bersempadan. Namun semenjak dari tengah hari semalam, Nurlisa menghilangkan diri. Makanan tengah hari, minuman petang dan makan malam dihantar oleh Bibik Sunarti ke bilik itu. Semua makanan itu tidak disentuh oleh Aldi. Keresahan melanda jiwanya apabila gadis yang ditunggu tidak kunjung tiba. Kesabaran dihatinya terkoyak lalu lelaki itu menuju ke meja tulisnya dan menekan punat interkom. Dia berasa rindu. Kerinduan yang mendesir-desir dari setiap penjuru hatinya. Dia resah. Keresahan dan kerinduannya bersilih ganti di hatinya. Dia inginkan gadis itu sentiasa di sisinya.
“Budak! Bawa surat khabar!” Suaranya berkumandang di seluruh rumah dan halaman rumah. Beberapa minit kemudian, Sunarti muncul di dalam biliknya dan menghulurkan senaskah akhbar.
“Ini! Anak Aldi! Surat khabarnya!” Sunarti meletakkan surat khabar itu di atas meja. Matanya memerhatikan makanan yang tersaji di atas meja. Semuanya belum dijamah. “Budak itu ke mana bibik? Panggil dia naik ke sini dan baca akhbar untuk saya! Suruh dia tinggalkan kerja-kerja lain!” arah Aldi dengan suara dan air muka yang tegang.
“Aduh nak Aldi! Budak! Budak! Namanya Lisa! Tak baik memanggilnya begitu! Dia sudah kepergian!” beritahu Sunarti dengan tergagap-gagap kerana berbohong. “Nak Aldi bukankah boleh membaca sih! Matanya masih ada. Yang enggak boleh cuma berjalan!” Dia pantas memberikan pandangan dan juga menyindir.
Air muka Aldi yang tegang berubah menjadi muram. Keresahannya semakin bertambah. Rasa bersalah mulai berputik di jiwanya. Dia yang sengaja melukakan hati gadis itu untuk menguji kesabarannya. Adakah gadis itu sudah merajuk? Mungkin hatinya benar-benar terluka.
“Kepergian? Dia pergi mana?” Aldi terus menyoal. Apakah tindakannya semalam benar-benar telah meruntuhkan kesabaran dan ketabahan gadis itu? Lantas gadis itu mengambil keputusan untuk meninggalkan vila itu. Mengapakah semua orang menghindarkan diri daripadanya? Mengapakah tuhan mengambil semua yang ingin dimilikinya? Beribu persoalan menerkam ke benak Aldi.
“Enggak tahu! Dia enggak bilang sama saya! Jangan-jangan dia sudah berhenti kerja!” Sunarti cuba mereka-reka cerita sambil melihat riak di wajah lelaki yang berada di hadapannya.
“Berhenti? Siapa yang berhentikan? Siapa?” Aldi terjerit dengan suara yang serak dan garang. Matanya memandang ke wajah Sunarti. Sunarti gugup dan tidak mampu menjawab. Wanita itu benar-benar tidak mengerti dengan anak majikannya. Tiba-tiba sahaja naik angin.
“Keluar! Bibik keluar dari sini! Keluar!” Aldi menengking lalu menepis pinggan mangkuk yang berisi makanan untuk sarapan pagi. Makanan itu habis bertaburan di atas permaidani. Akhbar yang dibawa oleh Sunarti tadi dilontarkannya ke luar pintu yang ternganga dengan perasaan yang geram dan marah.
“Bibik keluar sekarang! Ampun nak!” Terkocoh-kocoh wanita itu menuruni tangga. “Bibik!” Tiba-tiba suara Aldi menjerit di interkom kembali. Sunarti yang baru saja sampai di tingkat bawah, menjadi geram dengan telatah Aldi. ‘Aduh! Apa aja dengan pemuda ni!’ Dia merungut-rungut di dalam hati. “Ya nak! Ada apa, nak Aldi!” Suara tuanya diperlunakkan untuk pendengaran Aldi melalui interkom di ruang dapur.
“Mak dan bapak ke mana?” Aldi bersuara agak kuat. “Oh! Ibu sama bapak ke Singapura! Lusa baru pulang!” Sunarti menjawab lembut. Wanita itu berasa lega kerana tidak mendengar lagi suara Aldi. Sangkanya anak muda itu sudah kehabisan idea untuk menyoalnya.
“Bersihkan kamar ini! Sekarang juga!” Aldi mengarahkan dengan suara yang kuat. Terkejut Sunarti mendengar sergahan daripada Aldi. Hampir melompat wanita separuh umur itu akibat terkejut. “Baik bapak! Eh anak! Eh bapak! Saya bersihkan sekarang! Ya! Ampun! Ampun!” Dia terlatah-latah Terkocoh-kocoh wanita itu berjalan menuju ke kamar Aldi untuk membersihkan bilik itu seperti yang diarahkan.
Di dalam biliknya, Aldi bergerak ke sana ke sini dengan kerusi rodanya. Keresahan yang bermukim di hatinya sejak semalam semakin mekar. Sehingga ke malam, vila itu tetap sunyi seperti biasa. Pada waktu itu, hanya yang kedengaran ialah titik-titik hujan di luar rumah. Sejak dari petang tadi, hujan turun tidak berhenti. Walaupun hanya gerimis, namun menimbulkan suasana dingin, tambahan di rumah itu yang seluruhnya berhawa dingin.
Aldi termenung lagi. Dia merenung kakinya. Dia terkenangkan Nurlisa. Sudah dua hari Nurlisa pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesanan untuknya. Gadis itu kini sudah boleh berjalan tanpa tongkat, walaupun satu ketika dahulu dia terpaksa menggunakan alat itu untuk membantunya berjalan.
Aldi berasa cemburu. Nurlisa seorang gadis yang mempunyai semangat yang kuat. Matanya merenung jam di dinding. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.15 malam. Matanya sedikit pun tidak rasa mengantuk. Akan lenakah nanti tidurnya jika batin asyik menjerit dan memekik?
‘Membosankan. Apatah lagi jika aku berterusan duduk di kerusi roda ini. Benar kata Nurlisa, kebosanan ini, aku yang pilih. Ketidaksempurnaan ini, aku juga yang pilih. Aku tidak pernah cuba untuk menghentikan semua ini. Aku hanya cuba untuk menghentikan kehidupanku. Bolehkah? Hati kecil Aldi terus berbisik sendiri. Kenangannya sewaktu bersama Nurlisa sedikit terganggu dengan bisikan hati kecilnya.
Sekali lagi matanya memerhatikan sekeliling biliknya. Semua kelengkapan ada. Ada peti sejuk. Ada set home theatre. Ada komputer dan internetnya. Ada telefon dan interkomnya. Katilnya ditempah khas dengan harga puluhan ribu ringgit. Lantai katilnya boleh diturunkan ke paras permaidani di atas lantai dan dinaikkan ke paras kerusi rodanya dengan menggunakan alat kawalan.
Segalanya mudah. Dari tempat tidur sehinggalah ke dalam bilik mandinya. Semuanya disediakan. Empayar niaga bapanya yang besar dan maju. Kewangannya kukuh. Segala apa yang diinginkan oleh Aldi dari segi materialnya akan diadakan oleh Datuk Haris. Sekiranya peralatan yang diperlukan, tidak ada di dalam pasaran, Datuk Haris akan menempahnya dari negara luar. Semuanya akan dipenuhi oleh Datuk Haris, namun kesunyian juga yang menghimpit.
Semenjak kecil dia telah dihidangkan dengan kemewahan. Namun jiwanya terlalu kosong, sehinggalah dia berkenalan dengan Arishal. Arishal telah memberinya kebahagiaan dan keriangan. Mengajarnya tentang kasih sayang. Mengingatkan Arishal, belantara duka dijiwanya semakin sendat. Menghimpit, menindih terlalu kejap. Seolah tiada ruang rongga-rongga nafas. Lemas tidak terlontar. Gelisah resah menggenggam hati. Membelit, mengikat.
Nurlisa pula bagaikan sebutir bintang yang hadir di rumah itu. Namun, hati gadis itu pula sengaja dikoyakkan. Kesabaran dan ketabahan gadis itu menawan hatinya. Dia sengaja menduga gadis itu dengan bermacam-macam perkara. Tengkingan. Sergahan. Usiran. Kemanjaan. Alangkah indahnya saat gadis itu melayaninya dengan kelembutan dan kesabaran.
Aldi dapat merasakan sentuhan kasih sayang tatkala gadis itu menyuapkan makanan ke mulutnya. Kasih sayang yang amat dirindukannya. Didambakannya. Saat ini dia begitu rindu kepada gadis itu. Dua hari dia di dalam penantian, namun gadis itu tidak muncul. Penantian ini seolah bebola tajam yang merejam hatinya lalu mengirimkan penyeksaan yang amat menyakitkan. Dia ingin berjalan kembali supaya satu saat nanti dia dapat berjalan beriringan dengan gadis itu. Itulah tekadnya untuk hari esok. Aldi menolak kerusi roda berhampiran dengan katilnya lalu perlahan-lahan cuba mengangkat tubuhnya dari kerusi roda itu dan menghumbankannya ke atas katil. Beberapa ketika kemudian, dengan susah payahnya, dia cuba menjuntaikan kakinya di birai katil. Bismillahirrahmanirahim... Sudah lama dia tidak melafazkan kalimah itu dibibirnya. ‘Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat mengasihani.’
Kaki kanannya dipijakkannya di lantai dengan perlahan. Seluruh sendinya terasa ngilu. Beberapa saat, Aldi mengerut-ngerutkan wajahnya kerana menahan kengiluan. Dengan tiba-tiba dia merasakan kengiluan itu. Sedangkan sudah berbulan saraf-saraf dikakinya tidak merasai apa-apa. Keras bagaikan batu. Dia melihat gambarnya bersama Arishal yang tergantung di dinding. Setiap pagi, dia akan menatap potret itu dengan berkerusi roda.
Namun, entah mengapa, pada malam ini, Aldi berazam untuk menatap potret wajah wanita yang telah merebahkan cintanya itu dengan keadaan dirinya yang berdiri gagah, walaupun sesaat. Mungkin esok dia berpeluang pula untuk berjalan bersama-sama dengan Nurlisa. Gadis yang telah membawa sirna ke dalam hatinya.
Lelaki itu meletakkan kaki kirinya pula di atas lantai lalu dia cuba berdiri sambil tangannya memegang birai katil. Kini seluruh sendi di kedua kakinya terasa amat ngilu dan menyakitkan. Seolah seluruh uratnya telah dipintal-pintal dan disentap-sentap berkali-kali. Air mata tergenang di kelopak mata lelaki itu kerana menahan kesakitan. Ya Allah, bantulah aku, ya Allah. Di tengah malam yang menyepi itu, dia mendoa untuk pertama kalinya setelah dia menerima kemalangan itu.
‘Ya Allah, dengan kasih sayang-MU, limpah kurnia-MU, berilah kesembuhan kepada hamba-MU ini.’ Dengan perasaan yang merendah diri dan malu, dia memohon pertolongan daripada Allah. Allah yang telah menciptanya. Tuhan yang telah ditinggalkannya kian lama. Sejak dia tidak redha dengan kehilangan Arishal yang amat dicintainya itu. Selangkah demi selangkah lelaki itu cuba untuk berjalan. Baru tiga langkah, hatinya sudah tidak tertahan menahan kesakitan lalu dia rebah di atas lantai. Kerusi roda yang dicapai untuk berpaut, rebah bersama tubuhnya. Dia cuba pula untuk merangkak. Dia cuba merangkak sehingga ke dinding. Di dinding, dia cuba untuk berdiri benar-benar hampir dengan frame gambarnya yang bersaiz sama seperti dirinya itu. Apabila dia berjaya berdiri sambil berpegang kepada dinding dan bingkai frame, jejarinya menyentuh-nyentuh permukaan gambar itu pada bibir Arishal.
Dia tidak dapat menahan sebak dan pilu. Untuk ke sekian kalinya, dia menangis teresak-esak. Rasa-rasanya sudah beberapa bulan dia tidak menangis. Mengapakah hari ini air mata ini tidak dapat ditahan lagi? Siapakah sebenarnya yang sedang dirindui? Arishal atau Nurlisa? Aldi terduduk di bawah frame itu sambil menangis teresak-esak. Hatinya terlalu rindu. Jiwanya terasa kosong. Terlalu kosong. Tiba-tiba bahunya bagaikan disentuh oleh tangan yang lembut. Dengan air mata yang berlinangan, dia terus menoleh. Sepasang mata yang lembut dan redup sedang memandangnya sambil tersenyum. Di bawah sinar lampu di kamar itu, Arishal bagaikan menjelma untuk menghapuskan segala kerinduannya. “Rishal!” Spontan, Aldi terus mendakap tubuh yang duduk bersimpuh di sisinya. Seluruh kerinduan yang terhimpun kepada Arishal selama ini ingin dilepaskannya pada waktu itu juga. Adakah tuhan telah mengembalikan Arishalnya? Dakapannya amat kuat, namun Arishal yang dicintai sepenuh hati, tiba-tiba menolaknya. Dia kaget dan terkejut. Sekelip mata, insan yang dirindu hilang dari pelukannya.
~~~~BERSAMBUNG~~~

Tiada ulasan: