Khamis, 2 Ogos 2012
Novel:REDHA TAKDIRMU (Bab 9)
SAMBIL terkuap-kuap kerana mengantuk, bola mata Yanti terus menari-nari di atas dada buku itu. Catatan Lidya semakin menarik hatinya. Syamil! Sehingga kini, Lidya masih belum bercerita tentang Syamil lagi. Dia berasa tidak sabar untuk berkenalan dengan lelaki itu. Namun, dia harus membaca catatan Lidya yang bercerita mungkin secara kronologi.
Hari aku bertemu Wahid bersama anak-anaknya, malamnya demamku semakin parah kerana berhujan. Aku termuntah-muntah beberapa kali. Badanku tersangat lemah kerana siang tadi berjalan agak jauh untuk mencari Wahid. Fikiranku runsing. Kepalaku sakit. Perasaan kecewa dan hampa bercampur baur di dalam hatiku. Urat di otakku bagaikan dipintal-pintal. Aku terbaring lesu dan mengharapkan tidurku pada malam itu akan meregut kenangan luka yang telah kulalui siang tadi. Aku benar-benar tidak berdaya lagi rasanya.
Telefon berdering berulang kali, namun tetap tidak menarik perhatianku kerana aku benar-benar rasa tidak berdaya. Kepalaku rasa sangat berat.
“La! Kenapa tak ambil telefon ni?” Suara Mahzan dengan kasar dan dalam nada menyindir. Kakinya dihentak-hentak di atas lantai dengan kuat.
Aku yang terkulai ditepi dinding tidak dihiraukan mereka. Dengan hujung mataku yang hampir layu, aku terpandang Lina menerkam telefon yang tidak berhenti deringnya.
“Helo! Lidya? Ada.” Lina memberi isyarat kepadaku yang panggilan telefon itu untukku. Sesungguhnya aku tidak larat untuk bangun pun dan melangkah walau selangkah. Dia menarik gulungan kabel telefon yang tersorok di belakang meja supaya telefon itu boleh di bawa kepadaku yang sedang terbaring di tepi pintu.
“Sekejap ya. Dia demam,” ujar Lina kepada pemanggil. Dia menghulurkan gagang telefon kepadaku.
“Helo...” Aku bersuara dengan amat payah. Suaraku teramat serak. Gatal dan perit rasa kerongkongku. Lidahku terasa amat pahit.
“Honey, kenapa ni?” Suara Michael memecah ke gegendang telingaku. Nada suaranya risau.
Hanya desahan nafasnya sahaja yang kedengaran di telingaku melalui gagang telefon itu.
“Demam!” Hanya itu saja yang mampu kukatakan. Suaraku serak. Air mataku meleleh tanpa dapat ditahan. Gagang telefon digenggamanku terjatuh. Aku mengambilnya dan kembali meletakkan ke tepi telingaku dengan lemah. Sebaik gagang telefon kulekapkan ke telinga aku hanya mendengar suara Michael mengucapkan,take care!
“Take care! Okay! Bye!” Michael tergesa meletakkan gagang telefon.
Aku tidak mampu untuk meneka apa-apa lagi. Memikirkan apa-apa. Adakah Michael berkecil hati dengan layananku seolah acuh tak acuh. Yang aku inginkan hanyalah bantal dan dapat memejamkan mata serta mententeramkan hatiku.
“Thanks, Lina!” Hanya itu yang mampu kuucapkan kepada Lina yang mengambil telefon dariku dan mengembalikan ke tempatnya. Mataku kian layu dan mengantuk.Aku merebahkan tubuh di tempat tidurku sambil mengerang-ngerang kerana rasa tidak selesa.
“Helo! Helo! Lidya!” Ketukan di pintu setengah jam kemudian, mengejutkan aku dan penghuni rumah yang lain. Ya ALLAH, siapa pula yang datang malam-malam buta begini. Ketukan yang berterusan memaksa Lina menabur baktinya sekali lagi. Dia membuka pintu dan membuka kunci gril.
“Sorry! I Michael, kawan Lidya. Boleh I masuk tengok dia?” Terdengar suara Michael dari muka pintu.
Aku benar-benar terharu. Hampir 11.00 malam. Aku tidak dapat bayangkan kelajuan kenderaan yang di bawa oleh Michael. Dari Petaling Jaya ke Pelabuhan Kelang dalam masa 30 minit, dengan keadaan jalan raya yang sibuk pada malam itu kerana ada perlawanan bola sepak di stadium Shah Alam.
“Masuklah! Dia dah tidur! Demam teruk tu!”
Aku mendengar Lina menerangkan.
“Kami semua dah nak tidur! Maaflah, biasalah rumah orang bujang!” Lina mengalihkan bantalnya yang berserakan. Rumah berbilik satu itu sememangnya sempit untuk di diami oleh lima orang penghuni.
Michael menghampiriku yang sedang terbaring di atas lantai di ruang tamu. Aku memandangnya dengan pandangan yang amat lemah sambil terbatuk-batuk. Mataku separuh terpejam. Pantas tangannya menjamah dahi dan leherku sebaik sahaja dia bersimpuh di sisiku.
“I bawa you pergi klinik!” Michael bersuara lembut tetapi tegas. Hah! Bawa aku ke klinik? Macam mana ni, aku tak larat hendak bangun apatah lagi berjalan. Tak berdaya untuk bernafas pun. Tak larat untuk berbuat suatu apa pun. Kepalaku berat. Aku merintih di dalam hati.
“Sayang! Larat bangun tak?” Michael memegang tanganku.
Aku mengeleng dalam keadaan terbaring. Mataku seolah terpejam. Aku terlalu lemah dan tidak berdaya.
“Boleh dapatkan kad pengenalan dia tak?” Michael meminta bantuan Lina yang berada tidak jauh dari kami.
Aku tahu, Lina boleh mengambil dompetku di dalam bag tangan. Dia tahu tempat simpannya. Sebelum ini, Lina amat rapat denganku.
“Thank you,” ujar Michael sebaik dompetku sampai ke tangannya.
“Mike, Lidya tak larat jalan!” Aku berbisik-bisik perlahan dengan suara yang serak dan terbatuk-batuk. Aku merintih-rintih. Mengerang-ngerang. Nafasku pendek-pendek. Air mataku mulai meleleh.
“Don’t worry! Small matter!” Sebaik mengungkapkan ayat itu, Michael menghulur kedua belah tangannya ke bawah punggung dan tengah belakangku. Aku dikendungnya seperti anak kecil. Mahu tak mahu, tanganku terpaksa memaut leher Michael apabila dia mengarahkan supaya aku berbuat demikian.
Michael mendukungku menuruni tangga flat sehingga ke kereta. Dia terpaksa memeluk aku dengan kuat sambil membuka kunci pintu kereta untuk menahan tubuhku supaya tidak terjatuh dari dukungannya. Aku mula terkeliru dengan perasaanku terhadapnya.
AKU mendapat cuti sakit tiga hari. Sepanjang waktu di rumah, aku menangis mengenangkan nasib diri. Bersendirian di rumah kerana teman-teman serumah yang lain bekerja, aku asyik berbaring sahaja sehingga ke petang. Sedang asyik melayani perasaan dan fikiran, telefon di atas meja tulis berdering.
“Helo! Sayang dah makan ubat?” Michael bersuara riang macam selalu. Aku tersenyum sendirian. Hatiku berasa lega kerana menerima panggilan telefon daripada Michael.
“Hmm... Dah, Mike,” suaraku perlahan. Masih ada serak-serak yang tersisa.
“Semalam boleh tidur tak?” tanya Micheal.
“Hmm... dah makan ubat, tidur lenalah. Terima kasih Mike, bawakan Lidya ke klinik semalam. Kalau tak, tak taulah macam mana,” suaraku sedikit merengek.
“Kalau begitu baguslah. Semalam lepas hantar sayang balik, Mike yang resah gelisah di rumah! Tak boleh tidur. Risau! Demam Lidya kuat sangat... panas!!!” Michael bercerita.
Aku tersenyum sendiri mendengar cerita Michael.
“Hari ni dah makan ke belum?” Kebimbangan Michael pada diriku masih belum berakhir lagi.
“Makan roti sikit. Lidya tak ada selera!” Aku menjawab sejujurnya. Sememangnya mulutku terasa pahit. “Mike tak kerja ke hari ni?” Giliranku pula menyoal Michael.
“Dah balik pukul 4.30 petang tadi. Mike tengah siap-siap ni nak ke sana,” terang Michael.
“Kita pergi cari sup ekor, ya? Sayang tunggu di rumah, nanti I datang. Tunggu kawan balik sekejap!” Michael berkata dengan nada mesra.
Pemuda ini, tidak pernah lokek dengan kebaikan. Kadangkala aku berasa bersalah pula kerana layananku kepadanya tidak sama seperti layanan Michael kepadaku.
KEBELAKANGAN ini, perhubungan aku dengan Michael semakin rapat manakala perhubungan aku dengan Wahid semakin meruncing. Namun, lelaki itu masih belum mahu membebaskan aku. Tidak berani untuk membuat keputusan. Michaellah menjadi tempat aku mengadu.
Malam itu Michael menungguku berhampiran flatku. Dari jauh aku sudah melihat dia menungguku di bawah cahaya lampu jalan di atas motor kesayangannya.
“Tak demam lagi, kan?” soal Micheal. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
Aku hanya menggeleng sambil tersenyum.
“Malam ini, kita pergi makan di Bagan ya, honey?” Michael merapati aku lalu memakaikan aku topi keledar.
Aku rasa serba salah. Rasa bersalah terhadap Wahid. Adakah aku telah memecahkan kesetiaanku terhadapnya? Namun, wajarkah aku untuk terus setia jika Wahid terus mengabaikan diriku? Lagipun sejak peristiwa minggu lalu, aku menganggap antara aku dan Wahid tidak ada pertalian apa-apa lagi. Putus. Itu keputusan hatiku. Yang aku tunggu perkataan putus itu keluar daripada mulut Wahid. Dan dia harus memaklumkan kepada ibu bapaku di kampung.
“Mengapa macam nervous ni?” Michael menyoal aku apabila dilihatnya aku kelihatan ragu-ragu.
Aku menolak tangan Michael dengan lembut, apabila dia cuba mengetatkan tali di topi keledar itu. Aku ingin melakukannya sendiri kerana berasa malu apabila dimanjakan oleh lelaki itu. Aku malu apabila berhadapan dengan Michael dalam keadaan begitu kerana matanya selalu merenung ke dalam mataku. Perasaanku akan menjadi tidak tentu arah. Tubuhku terasa panas.
“Mike, Lidya tak pernah naik motor dengan lelaki! Sumpah, kecuali dengan abang kandung Lidya di kampung sana!” Di dalam kesuraman cahaya malam, aku menatap wajah Michael dan memberitahu sejujurnya.
“You tak percayakan I?” ujar Michael lagi. Di bawah sinaran lampu yang suram itu, matanya tepat menikam ke dalam mataku. Dia mengetatkan tali topi keledarnya.
Aku sendiri masih terkial-kial. Akhirnya, aku mengalah dan merapatkan diri kepada Michael.
“Tolonglah kenakan ni! Lidya tak tahu!” Dalam nada perlahan dan malu, aku meminta bantuan pemuda itu.
“Lidya tak tahu? Tadi orang nak manjakan tak mahu. Now, nak bermanja pula. Gigit nanti baru tahu!” Dalam ketawa Michael mengejek aku sambil tangannya mengetatkan tali topi keledar itu mengikut kesesuaianku. “Nah... Pakai ni pula. Malam-malam ni sejuk. Lidya pun baru baik dari demam.” Dia menghulurkan jaket kulit berwarna hitam kepadaku.
Aku hanya menghulurkan lenganku. Dia sendiri mengenakan jaket kulit berwarna coklat muda.
“Manja lagi! Kadang-kadang garang!” Michael merungut sambil memakaikan aku jaket. Aku tahu Michael bergurau, namun aku senang dengan gurauan itu. Michael sememangnya seorang lelaki yang menyenangkan. Kasih sayangnya, perhatiannya, pengertiannya. Entah mengapa, aku sukar untuk menempatkan dia di hatiku. Aku bimbang dan ragu. Apatah lagi dia berlainan agama denganku.
“Mike! Nanti balik awal, ya? Janji!” Sebelum membonceng motor yang sedia dihidupkan enjinnya oleh Michael, aku meminta lelaki itu berjanji. Sebenarnya aku tidak pernah keluar malam-malam begitu. Dengan Wahid pun keluar seminggu sekali. Wahid datang menjemputku selepas aku solat isyak dan akan menghantarku pulang sebelum 10.30 malam.
“Don’t worry, honey! Before 11.00 I pastikan you dah ada di rumah! I Promise,” Michael berjanji dan mengangkat tangannya seolah bersumpah.
Mendengarkan janjinya baru aku terhegeh-hegeh cuba membonceng di belakang motornya. Sebaik sahaja aku duduk di atas motor, aku meletakkan kedua belah tangan di bawah pehaku. Aku dalam keadaan serba salah dan tidak tahu untuk memegang apa atau di mana bagi mengimbangi tubuhku di atas motor.
“Honey, pegang kuat-kuat. I bawa laju! Nanti you tercicir.” Michael berpesan sambil mula bergerak.
15 minit kemudian, kami sampai ke tempat yang dimaksudkan oleh Michael.
Angin laut begitu menyamankan. Restoran terapung di pinggiran laut itu dipenuhi ramai orang pada malam itu. Kami memilih meja yang paling tepi. Pemandangan sekelilingnya masih kelihatan walaupun berbalam. Bau air laut mencecah hidungku. Jauh di sana kelihatan cahaya lampu bersusun-susun.
“Selamat datang...” Pelayan restoran datang untuk mengambil pesanan kami. Dia menanti pesanan yang akan dibuat dengan sabar.
Aku membiarkan Michael memesan makanan untukku. Sebenarnya aku masih tiada selera makan. Lidahku terasa pahit.
“Honey, minum air suam sahaja tau! Tak boleh minum ais. Tu suara masih serak-serak lagi,” Michael seolah meminta persetujuan daripadaku.
Aku hanya mengangguk.
“Kalau sup ekor dah habis, bawa tom yam tapi kurangkan pedasnya!” Michael memesan makanan yang sesuai untukku.
Beberapa ketika kemudian, pelayan beredar meninggalkan kami.
“Honey! Happy birthday to you!” Michael yang duduk di sisiku mengeluarkan sesuatu dari kocek bajunya sebaik sahaja pelayan restoran beredar dari situ. Sebuah kotak kecil berbalut kertas kilat berwarna biru.
Aku terkejut. Macam mana Michael tahu hari lahirku? Aku sendiri pun terlupa. Wahid langsung tidak peduli.
“Birthday? Macam mana you tahu?”
Pertanyaanku tidak mendapat jawapan daripada pemuda itu. Sebaliknya dia hanya tersengih.
“This is for you!” Michael meletakkan kotak itu di dalam tapak tanganku.
“Mike, you bawa I ke sini untuk ini, ke? Kenapa susah-susah belikan I hadiah ni?” Sesungguhnya aku keberatan menerima pemberian orang. Bagaimanapun aku membuka kotak hadiah pemberian Michael dengan wajah yang mempamerkan kegembiraanku, untuk tidak melukakan hatinya.
“Wow! Mike, kenapa membazir duit belikan I ni?” Dengan perasaan serba salah, aku membelek-belek hadiah hari lahirku itu. Seutas rantai leher emas dan loket ‘ Lidya’ .
“Mana ada membazir!” Michael bersuara girang apabila dilihatnya aku bagaikan menyukai pemberian darinya. Matanya bersinar dan bibirnya tersenyum sewaktu melihatku seolah tidak sabar membuka kotak pemberiannya.
“Habis tu, membeli barang ni tak guna duit ke? Kan membazir, boleh digunakan untuk perkara lain.” Aku sengaja mengusik Michael pada malam itu.
“Mana ada beli. I curi!” Michael ketawa terkekek. Sempat aku menjelingnya. Geram pada gurauannya yang tidak menentu. “Suka tak? Hmm... minta maaf, harganya tak seberapa!” Dia merendah diri. Matanya tidak lepas-lepas memandang aku dari tadi.
Aku berpura tidak nampak dan memandang ke lain.
“Terima kasih Mike! Ingatan dari you lebih berharga dari segala-galanya. Tapi lain kali, jangan bazirkan duit untuk I. I takut....” Aku seakan berbisik.
“Takut apa? Takut I minta balasan? Di beri rantai, minta untuk dicium?” Michael menyoalku kembali.
Nak termuntah aku dengan pertanyaan Michael. Bagaimanapun aku cuba bersikap selamba. Aku benar-benar tidak suka jika lelaki bercakap atau bersikap tidak senonoh.
“Eleh... lelaki! Sekarang ni tak mintalah, nanti-nanti mana tahu!” Aku seakan merungut keseorangan. Mujur suaraku ditenggelami oleh deburan ombak.
“So, bagaimana perhubungan you dengan Wahid sekarang?” Michael tiba-tiba membuat aku teruja dengan pertanyaannya itu. “Ada dia call you?”
“Ah! Malaslah nak fikirkan lagi! I dah tak kisah lagi. Tapi dia mesti buat keputusan sebelum I buat keputusan! Lelaki ni macam itulah, bila nak bukan main. Bila dah jemu, buat kita macam anak patung.” Aku bersuara perlahan, meluahkan rasa geram dengan sikap Wahid.
“Eh! Bukan semua lelaki begitu! Kalau Mike, Mike akan sayang sampai bila-bila, bukannya sementara! Tapi orang yang disayang buat-buat tak faham, nak buat macam mana.” Michael bersuara sinis dan tersenyum kepadaku.
Aku tidak menjawab apa-apa. Fikiranku terbelengu. Ada ketikanya silence is gold. Jika dijawab, Michael akan meluahkan isi hatinya lagi. Aku takut terperangkap di dalam kata-katanya. Aku tidak pernah menaruh harapan dan tidak suka membina harapan orang terhadapku.
“Apa yang sebenarnya berlaku?” Michael cuba membujuk aku untuk menceritakan perkara yang sebenarnya terjadi.
“Tak ada apa-apa!” Aku cuba menyembunyikan lagi cerita sebenar tetapi rasa simpati menyelinap ke ruang hati apabila melihat rona hampa terpamir di wajah Michael.
“ Lidya boleh cerita, tapi...” Kolam mataku mula digenangi air. Semenjak peristiwa hari itu, tangisan akan kembali mendatangiku apabila sahaja nama Wahid menjelma.
“Dahlah sayang. Mike tidak bermaksud buat Lidya sedih begini! Kalau keberatan hendak bercerita tidak mengapa,” lembut suara Michael, menenangkan hatiku. “ Jangan nangis lagi!” Dia cuba memujuk. “Mike tak suka orang lukakan hati Lidya. Tengok tu, sampai jatuh sakit begitu!.”
Ungkapan yang keluar daripada bibir pemuda itu menyebabkan hatiku berasa sebak.
“Mike tak mahu sesiapa pun buat tak tentu hala kepada Lidya!” Michael mengulangi maksud hatinya dalam ungkapan yang berbeza. Dia terlalu mengambil berat.
“Segalanya dah hancur Mike! Musnah!!! Berderai!!!” Aku seolah berbisik dalam esakan yang tertahan. Akhirnya aku menceritakan kepada Michael hal yang terjadi daripada mula sehingga ke penghujungnya.
“Sabarlah Lidya. Nasib baik you tahu ketidakjujuran Wahid, sebelum you bernikah dengannya. Kalau tidak, kemudian hari nanti lagi bermasalah,” ujar Michael lagi sambil matanya lembut memandangku. Mungkin bersimpati.
Aku mengangguk-angguk tanda menyetujui pendapat Michael itu.
“Hati-hatilah sayang! Kejujuran amat sukar dicari pada zaman ini.” Michael menasihatkanku.
“Biar Lidya belanja!” Aku mengeluarkan wang dari dompet untuk membayar kepada pelayan yang datang membawa bil. Kemudiannya kami beredar dari situ. Michael menepati janjinya menghantar aku pulang sebelum 11.00 malam.
“Honey! Yang ini, you buka sebelum tidur nanti!” Michael menghulurkan lagi satu bungkusan yang disimpannya di dalam sampul surat dan diletakkannya di dalam raga motor.
“Apa lagi ni? Berapa banyak barang yang you nak bagi I?” Sungguhpun rasa berat hati, aku mengambil juga bungkusan itu dari tangan Michael. Jika menolak, bimbang pula dia berkecil hati. Sedangkan Michael terlalu rapat dihatiku walaupun aku tidak pernah ada impian atau harapan yang terlalu tinggi terhadapnya.
“Kalau boleh, batang tubuh I, I nak serahkan kepada you Lidya!” Michael bersuara di dalam tawa.
Panjang jadinya nanti jika aku menjawab gurauan itu. Badan aku penat. Mataku pun sudah mengantuk.
“Bye, Mike! Good night...” Aku ingin beredar.
“Nanti! Tak mahu ucap selamat kepada I.” Michael menarik lenganku dengan lembut. Sebelah tangannya memegang topi keledar yang baru ditanggalkan dari kepalaku.
“Kan Lidya dah cakap tadi. Good Night...” Aku melunakkan suara sambil mengukir senyuman.
“Kami selalu buat macam lain!!” Michael cuba menerangkan. Pipinya cuba dirapatkan ke pipiku. Aku mengelakkannya dan menolak pipi Michael dengan jariku.
“Ha! Kan I dah cakap tadi, lama-lama akan minta!!!” Aku tertawa kecil kerana mengingatkan perbualanku di restoran tadi.
“Tak sampai sejam dah berubah pendirian!” Aku menyambung lagi bicara yang tersangkut. Michael tertawa menyeringai, mungkin rasa tersindir.
“Honey! I cerita betul-betul. Kebiasaannya, kami kalau sebelum berpisah begini, tak jadi apa-apa. Sebaliknya bertambah kasih sayang dan mesra.” Michael, mungkin bercerita benar tentang budayanya. Dia serani dan beragama Kristian.
“Hai! Kan I Muslim?” Aku bersuara perlahan, bimbang mengecilkan hati Michael.
“Tapi ada juga yang perempuan melayu Islam yang buat lebih daripada itu! I selalu nampak!” Michael tertawa menyeringai.
Aku terasa malu dengan cerita itu.
“Jangan samakan Lidya dengan orang lain. Lidya tak suka!”
“I saja nak uji you Lidya!!” Michael bersuara dalam ketawa. “Pergilah naik! I tunggu di sini sampai you tiba di depan pintu rumah dan lambai pada I dari beranda tu!!! Okay, sweet dream darling.” Dia menaiki motornya dan menghidupkan enjinnya.
Aku berlari-lari anak menaiki tangga flat dan melakukan apa yang diingini oleh pemuda itu. Sebaik sahaja sampai di muka pintu rumah sewaanku, aku pun terjengkit melambai Michael dari beranda batu. Beberapa ketika kemudian, aku lihat motor Michael mula bergerak dari tempatnya tadi meninggalkan deruman enjinnya yang semakin hilang dari pendengaranku.
SELEPAS mandi dan sebelum tidur, aku membuka bungkusan yang diberikan Michael tadi. Di dalamnya terkandung sebuah frame bersaiz 8’ x 6’ terlukis pemandangan yang cantik. Tidak pasti sama ada Michael melukisnya sendiri. Aku membuka pula sampul surat yang berbau harum dengan dada yang berdebar. Apa pula si Michael ni?
Lidya sayang,
Maaf, kerana menulis warkah ini buatmu, sedangkan kita baru sahaja bertemu. Berdepan denganmu, merenung wajahmu menyebabkan aku tidak mampu untuk meluahkan apa yang berada dikalbuku. Sesungguhnya sayang, aku terlalu menyenangimu. Aku inginkan perhubungan kita menjadi lebih daripada seorang sahabat kerana hati ini tidak dapat membohongi yang ia amat menyintaimu..
Michael Collin.
“Ya ALLAH, apa kena dengan Michael ni?” Aku berbisik sendiri. Namun, aku harus bertenang menghadapi segalanya. Aku terkenangkan budinya. Aku harus menjaga harga dirinya. Tanpa Wahid, mungkinkah aku memilih Michael?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan