Khamis, 2 Ogos 2012

Novel:Kasihnya DIA (BAB 9)

DETIK waktu terus berlalu. Sudah empat bulan Khalid pergi meninggalkannya. Tiada kabar berita. Meskipun ketiadaan Khalid menyebabkan dirinya lebih ceria, namun sesekali Rina Melati terasa gusar. Masih bernafaskah lelaki itu atau sudah meninggalkan dunia ini? Atau lelaki itu sudah disumbat ke penjara. Apa yang hendak dilakukannya dengan senjata api yang pernah ditunjukkan kepadanya? Pelbagai persoalan yang timbul di benak Rina Melati. Yang dia tahu Khalid berasal dari kepulauan Aceh. Memiliki ijazah di dalam bidang kejuruteraan kimia dari universiti luar negara. Namun, tiada peluang pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang dimiliki di negara tumpah darahnya. Khalid datang ke Malaysia kerana di negaranya tidak mempunyai peluang pekerjaan.Takdir pula telah menemukannya dengan lelaki dari seberang itu lalu mengukir sejarah hitam hidupnya. Lantaran itu, dia mengubah penampilannya. Dia juga lebih senang menggunakan nama keduanya, Eryna Natasha di tempat pengajiannya. ( kakju tambah ini ) “Assalamualaikum, Rin. Mengelamun jauh nampaknya?” sapa Umar kepada Eryna Natasha yang sedang termenung di bangku, bawah pokok berhampiran kafetaria. Cahaya lampu yang tiangnya beberapa langkah dari situ menyuluhi wajahnya. Malam itu cuaca nampak elok. Bintang-bintang bertaburan menghiasi langit yang luas terbentang. “Waalaikummussalam...” jawab Eryna Natasha. Kenangannya terhadap Khalid hilang lenyap. Bibirnya mengukir senyuman manis menyambut kehadiran Umar di sisinya. Wajah pemuda itu selalu nampak bersih dan tenang. “Kata Faizul, Rin nak jumpa saya?” Umar terus mengajukan pertanyaan. Matanya merenung tajam ke wajah gadis itu. Malam itu Eryna Natasha berbaju kurung biru. Rambutnya ditocang satu. “Umar, free ke sekarang?” Eryna Natasha tersenyum kepada pemuda itu. Umar hanya mengangguk. Kini, hubungannya dan Eryna Natasha bertambah rapat. Ada juga nilai-nilai diri gadis itu yang menyenangkan hatinya. Eryna Natasha tidak pernah dilihatnya bergurau-gurau atau berbual-bual dengan pelajar lelaki di kampus itu seperti pelajar perempuan yang lain. Pendek kata Eryna Natasha bukan jenis gadis yang mengada-ngada. “Terima kasih kerana sudi datang,” ujar Eryna Natasha lagi kepada Umar. Umar hanya mengangguk sambil tersenyum lebar sehingga menampakkan sebahagian giginya. Pemuda itu masih ditutupi oleh perasaan silu. “Hmm... jom kita pergi bersiar.” Tanpa segan, Eryna Natasha mempelawa Umar yang masih dengan sikap pemalunya. “Jomlah...” Spontan tangannya menarik lembut lengan Umar. Berderau darah pemuda itu. Panas dirasakan seluruh wajahnya. Mujur tiada pelajar lain yang sedang lalu lalang di situ. “Kita pergi, ya,” pujuk Eryna Natasha dengan jelingan manja. Umar rasa serba salah. Jika ditolak, tentu si dia akan berasa malu dan tidak dihargai. Jika dituruti, diri sendiri pula berasa kekok dan janggal kerana tidak pernah ada pengalaman keluar berdua-duaan dengan kaum berlainan jenis. Dalam keadaan serba salah, langkahan kaki Eryna Natasha dituruti. Eryna Natasha memeluk lengannya. “Nak ke mana ni?” tanya Umar. Hatinya berasa tidak tenteram kerana Eryna Natasha masih memeluk lengannya. Dia terasa janggal diperlakukan begitu. Alangkah malunya nanti jika dilihat orang. “Hmm... Rin, lepaskan tangan saya. Tak manis orang tengok nanti,” kata Umar. Mahu tak mahu dia terpaksa menegur perlakuan Eryna Natasha dengan lembut dan jujur. Dia bimbang mereka akan terbiasa dengan perlakuan itu. Walaupun pada pandangan anak muda di zaman ini memegang tangan dan bersentuhan antara kawan-kawan lelaki dan perempuan itu perkara biasa, namun dari segi peraturan agama ianya tetap berdosa. Eryna Natasha melepaskan tangan Umar sambil ketawa. “Maaf, Rin terlupa...” kata gadis itu. “Okey... masuklah!” pelawanya sambil membuka pintu kereta. Umar masih malu-malu. Bagaimana pun punggungnya segera dilabuhkan di tempat duduk sebelah pemandu. Eryna Natasha menghidupkan enjin kereta. “Kita ke Padang Kota, ya. Boleh makan rojak, laksa atau mi goreng mamak,” cadangnya. Jika boleh dia kepingin berada di sisi jejaka itu sepanjang masa. Semenjak ditinggalkan Khalid, Umarlah satu-satu teman karibnya. Namun, Umar bukanlah pengganti Khalid. Khalid bukan siapa-siapa dalam hidupnya. Selain daripada terhutang budi dengan lelaki itu. Dia mengharapkan Umar dapat menerimanya lebih daripada seorang sahabat. “Hari dah malam ni,” beritahu Umar. Sebenarnya dia rasa keberatan dan cuba memberi alasan. “Pakai tali pinggang tu. Nanti kena saman,” suruh Eryna Natasha. Dia bersuara dengan lembut lalu melonggarkan tali pinggangnya sendiri supaya membolehkannya membantu Umar mengenakan tali pinggangnya. Dadanya tergesel pangkal lengan pemuda itu dan bau perfume yang dipakainya menerjah ke hidung Umar. “Tak apa, Rin. Saya boleh kenakan sendiri,” ujar Umar sambil merapat dan menekan tubuhnya ke kerusi mengelakkan tubuh Eryna Natasha bersentuhan dengannya. Dia terasa resah dan gelisah teramat. “Kita bergerak sekarang, ya,” beritahu Eryna Natasha. HAMPIR 35 minit berada di dalam kereta yang bergerak perlahan, barulah mereka sampai ke tempat yang dituju. Jalan raya di pulau itu memang selalu sesak tambahan pada waktu malam. “Hmm... Umar, cuti minggu depan Umar balik kampung ke?” soal Eryna Natasha. Pertanyaannya itu memecah keheningan di antara mereka berdua, sementara menantikan makanan yang dipesan tiba. Matanya mengitari kawasan itu yang dipenuhi dengan pengunjung. Banyak peniaga kecil yang berniaga pada malam itu. Bermacam-macam jenis makanan ada. “Ya, Insya-ALLAH! Balik kampung boleh membantu ayah di laut,” jawab Umar penuh ketulusan dengan suara perlahan.Sememangnya itu menjadi tanggungjawabnya. “Rin nak ikut boleh?” tanya Eryna Natasha, menyuarakan keinginannya. Pertanyaan itu mengejutkan Umar. Bagaimanapun dia berasa tidak sampai hati untuk menolak hajat Eryna Natasha dengan serta merta. Eryna Natasha yang mula menarik perhatiannya. Tambahan pula apabila gadis itu tidak lagi memakai pakaian seksi dan menggoda mata lelaki sewaktu ke kampus. Cuma gadis itu belum memakai tudung kepala buat menutupi rambutnya. “Umar... mengelamun ke mana? Rin tanya tadi, boleh ke Rin ikut Umar balik kampung?” soal Eryna Natasha lagi sambil tersenyum meleret apabila melihat Umar tersentak seketika. “Kalau sudi apa salahnya. Emak ayah Rin bagaimana pula? Mereka tidak risau ke kalau cuti semester begini Rin tidak balik ke rumah?” soal Umar. “Umar, saya dibesarkan di rumah anak yatim piatu,” beritahu Rina Melati. Wajahnya bertukar menjadi muram. Dia menundukkan wajahnya. Sehingga kini dia tidak pernah ada keinginan untuk mencari ibu bapa atau keluarganya. Yang dia tahu, dirinya anak yang tidak diingini oleh ibu yang telah melahirkannya. Jika tidak masakan dia ditinggalkan di depan sebuah masjid. Mujur benarlah ALLAH memelihara keselamatannya dan masih bernafas sehingga ke hari ini. “Saya tidak tahu siapa ibu bapa saya. Saya tidak pernah merasai kasih sayang mereka walau sesaat,” beritahunya dengan suara sedikit bergetar. Kesayuan hati cuba disembunyikan dengan senyuman. Berbagai kepahitan hidup harus ditelan bersendirian tanpa sesiapa di sisinya. “Rin, maafkan saya,” kata Umar. Dia benar-benar rasa bersalah dengan pertanyaannya tadi. Pertanyaan yang mungkin telah menyentuh hati gadis yang berada di hadapannya. Belum sempat Eryna Natasha menjawab, makanan yang dipesan dihantar oleh pelayan. “Hmm... dah sampai pun.Bau laksa ni sungguh menyelerakan,” katanya dengan suara ceria. Bagaikan tidak sabar, dia terus mencedok kuah laksa dan disisipnya perlahan untuk menikmati keenakan rasanya. Selepas itu, dia mencedokkan sesudu lagi lalu sudu yang sama didekatkannya kepada bibir Umar. Umar yang malu-malu tidak dapat menolaknya lagi demi menjaga hati gadis itu. Dia menghirup kuah laksa yang disuapkan oleh Eryna Natasha. “Makanlah, Umar. Tak cukup kita order lagi,” kata Eryna Natasha dengan suara yang ceria. “Ayah kerja nelayan ya?” soalnya inginkan kepastian. Matanya menatap ke wajah Umar sewaktu berkata. Air muka Umar yang jernih dan nampak tenang itu mendamaikan jiwanya. Tutur kata pemuda itu selalu menyenangkan hatinya. Dia tidak dapat mendustai hatinya yang mulai menyayangi pemuda itu di dalam diam. Bukan sahaja menyayangi, bahkan mungkin juga menyintai. “Ya Rin, saya anak nelayan... anak orang miskin. Rumah emak bapak saya di kampung tu serba kekurangan. Walau bagaimana pun, jika Rin sudi untuk ke rumah saya di kampung, kurang tapak tangan… lautan di depan tu saya tadahkan,” kata Umar sambil memuncungkan bibirnya ke arah laut di hadapan mereka. “Saya ada seorang adik perempuan yang cacat, seorang adik lelaki yang nakal,” cerita Umar lagi. “Asalkan tidak sebatang kara seperti Rin, itu lebih baik Umar,” tukas Eryna Natasha sambil menggosok-gosok lengan Umar cuba memujuk hati pemuda itu yang mungkin sedang dilanda kesedihan. Umar resah dengan perlakuan gadis itu. Dia menjauhkan lengannya dengan lembut supaya tindakannya itu tidak mencalar hati Eryna Natasha. “Kalau Rin jadi ikut, kita naik keretapi ya?” cadang Eryna Natasha. Hatinya begitu gembira sekali kerana keinginan hatinya akan tertunai. Umar hanya mengangguk. Sebenarnya fikirannya terasa dibebani sesuatu. Apa kata orang kampung apabila melihat dia membawa seorang gadis ke teratak buruknya? Gadis yang tiada kena mengena dengan keluarganya. Apa kata Pak Samad? “Rin suka dengan laut. Laut yang penuh dengan keindahan. Irama ombaknya boleh mendamaikan jiwa yang bergelombang ganas. Pukulan ombak di pantai mengukir pandangan yang sangat indah. Berbuih putih, seketika kemudian buih itu hilang. Kemudiannya timbul kembali,” kata Eryna Natasha sambil memegang tangan Umar yang berada di atas meja sekali lagi. Umar tidak sempat mengelak. “Umar, rumah di tepi laut mesti seronok, kan?” teka Eryna Natasha. Dia mengulangi keinginannya. Senyuman yang diukir serta merta menghilangkan kesan mendung di wajahnya. Umar dengan dada berdebar mengangguk. Apabila gadis itu melepaskan tangannya, hatinya lega kembali. “Rasa tak sabar nak ikut Umar,” tukas Eryna Natasha sambil menatap wajah Umar. Umar tersenyum bila pandangan matanya bertembung dengan anak mata gadis itu. “Tapi... rumah saya rumah orang kampung yang jauh dari kemudahan moden seperti rumah-rumah di bandar.” Dia cuba membayangkan penerimaan Pak Samad, MakNab, Zahra dan Azim nanti sekiranya dia membawa pulang Eryna Natasha. Sedangkan Pak Samad merupakan salah seorang yang disegani di kampungnya. Mereka diam beberapa ketika kerana menikmati hidangan masing-masing. “Umar tak teringin ke tinggal di luar kawasan kampus?” Persoalan dari Eryna Natasha secara tiba-tiba mengejutkan Umar. Bagaimana pun dia kembali tenang beberapa ketika kemudian. “Tinggal di kampuskan bagus. Lebih jimat, senang nak studi. Lagipun hanya itu yang saya mampu,” jelas Umar sambil tersenyum. Bola matanya yang tajam merenungi wajah Eryna Natasha yang sedang menyedut minumannya. Hatinya tertanya-tanya juga tentang kemewahan yang dimiliki oleh gadis di depannya itu. Bukankah baru sebentar tadi, dia bercerita yang dia dibesarkan di rumah anak yatim piatu. “Rin...” Pemuda itu sudah berani dan cuba membiasakan dirinya untuk memanggil Eryna Natasha dengan panggilan yang lebih mesra. Ingin sahaja bibirnya menceritakan tentang persamaan raut wajah Eryna Natasha dengan gadis pertama yang telah menyapa hatinya di dalam keretapi sewaktu perjalanan ke Butterworth satu ketika dulu. Rina Melati abadi dalam kenangan. Dia ingin bertanyakan Eryna Natasha tentang foto Rina Melati yang tercicir dari celahan bukunya tempoh hari, namun bibirnya bagaikan diikat. Foto itu masih disimpannya. Mungkin waktu itu belum sesuai untuk dia bertanyakan tentang Rina Melati kepada Eryna Natasha. “Kita balik. Waktu isyak sudah lama masuk.” Entah mengapa bibir Umar mengungkapkan ayat yang berbeza dari yang diingininya. Tidak perlu terburu-buru bertanyakan soal itu kepada Eryna Natasha. “Banyak waktu lagi ni. Tadi Rin tengok Umar bagaikan ada sesuatu yang ingin ditanyakan?” “Tanya? Er... tak... tak ada apa-apa.” Umar tergagap kerana fikirannya bagaikan dapat diteropong oleh Eryna Natasha. “Betul?”Eryna Natasha bersungguh-sungguh menyoal. Bibirnya tersungging senyuman nakal. “Sumpah!?” Dia cuba mengusik Umar pula. Dia gemar melihat raut wajah Umar yang malu-malu. Umar melarikan pandangan matanya apabila Rina Melati merenung ke wajahnya. “Sebenarnya...” bicaranya terhenti seketika. Dia menggaru-garu belakang telinga yang tidak gatal. Ragu-ragu untuk terus menyuarakan persoalan yang kerap bermain di fikirannya. Apa perhubungan Eryna Natsha dan Rina Melati? “Itulah.. yang saya ingin katakan tadi. Kita kena balik sebab dah lewat malam. Saya belum solat isyak.” Umar terus menyembunyikan pertanyaan hatinya. Baginya biarlah Rina Melati menjadi rahsia hati sendiri. Itulah yang terbaik. “Rin pun mesti nak solat juga,” ujar Umar lembut. Eryna Natasha berpura-pura tidak mendengar kata-kata itu. Sudah lama dia tidak menyentuh telekung dan sejadah. Semenjak Khalid menghumbankan dirinya di lembah hina. Dia berasa malu untuk berhadapan dengan ALLAH. “Okeylah! Tapi sudi ke Umar keluar dengan Rin lagi?” Sementara itu, tangannya menolak lembut tangan Umar yang sedang menghulurkan wang untuk membayar makanan mereka kepada pelayan gerai yang datang. “Tak apa, Rin bayar.” “Terima kasih, Rin.Buat susah saja. Dahlah bawa saya bersiar, belanja makan minum lagi.” Umar tersenyum. “Rin, kita dah lewat ni. Waktu isyak pun dah lama masuk. Kita balik ya?” Umar memerhatikan jam di lengan kirinya. Sememangnya sejak dari tadi hatinya berasa resah. Kebiasaannya masuk waktu sembahyang sahaja dia sudah bersedia untuk mengadap TUHAN. Sekarang ini sudah pukul 10.00 malam. “Rin ada nak hadiahkan Umar sesuatu.” Eryna Natasha bagaikan tidak mendengar kata-kata Umar. Dia mengeluarkan sebuah kotak kecil dari dalam beg. “Happy Birthday. Semoga panjang umur.” Suaranya seolah berbisik. Sebentuk cincin suasa berkerawang bulat. Ada huruf UM ditengah bulatan itu. Umar terkedu seketika. “Bila birthday saya? Alamak saya pun dah tak ingat lagi.” Umar ketawa. “Umar, Umar... hari lahir sendiri pun terlupa. “Jangan-jangan nanti kalau bila dah tamat belajar, kita berpisah, cepat saja Umar lupakan Rin.” Sambung Eryna Natasha lagi dengan senyuman meleret. Sambil itu pantas tangannya mengambil cincin yang terselit di dalam kotak lalu menyarungkannya di jari manis Umar. “Sengaja Rin nak beri malam ini. Esok lusa takut tiada kesempatan untuk bertemu. Kita pun sedang bersedia untuk exam, kan? Lepas itu dah cuti semester.” “Terima kasih, Rin.” “Cincin tu Rin memang tempah menggunakan bahan suasa. Lelaki haram pakai emas, kan? Tengok ni!” Eryna Natasha menunjukkan jari manisnya kepada Umar. Dia juga memakai cincin yang sama bentuk dan ukirannya. Umar tidak mengerti dengan perasaannya pada ketika itu. Mungkin senyaman angin yang sedang membelai mesra tubuh mereka. “Okey! Kita balik sekarang.” Eryna Natasha bangun dari kerusi. Seterusnya mereka berjalan beriringan menuju ke kereta. MALAM semakin gelap, namun suasana jalan raya yang dilalui seolah hari siang kerana dilimpahi lampu jalan yang terang benderang. Eryna Natasha tidak melalui jalan yang sama sewaktu mereka datang tadi. “Rin, nak ke mana ni? Ini bukan laluan balik ke kampus ni!,” soal Umar. Hatinya tiba-tiba semakin resah. Gadis yang sedang memandu di sebelahnya hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaan Umar. Hampir 20 minit kemudian, mereka memasuki ke perkarangan sebuah rumah. Eryna Natasha memberhentikan keretanya di bawah porch. Sunyi kawasan itu. Rumah di kiri dan kanan pun seolah tidak berpenghuni. Jarak antara antara rumah di situ kira-kira tujuh hingga lapan meter. Suasana pun gelap. Hanya di hadapan rumah kediaman gadis itu disuluhi cahaya lampu yang kabur. “Jomlah, masuk. Ini rumah Rin.” Eryna Natasha menarik Umar keluar supaya dari kereta. Umar menurut sahaja tanpa sepatah kata walaupun hati terasa berat. “Rin ingin mengenalkan Umar dengan Rina Melati,” ujar Eryna Natasha sambil membuka kunci pintu rumah. Umar benar-benar terkejut dengan pernyataan itu. Entah apa yang dimaksudkan oleh gadis itu. Namun, hatinya tidak pula berbunga curiga. “Rin, saya tak mahu masuk!. Rin tinggal seorang di rumah ini, kan? Tak baik kita berdua-duaan dalam rumah begitu. Kita tak ada pertalian apa-apa.” Umar bersuara lambat-lambat menegaskan pendiriannya. Bimbang kata-katanya itu akan mencalarkan hati gadis itu. “Umar!!! Please. Lima minit sahaja. Lepas itu kita keluar. Rin akan hantarkan Umar balik!” Eryna Natasha merayu. Dia benar-benar ingin berterus terang kepada Umar pada malam itu. Sewaktu makan tadi, dia tidak tahu hendak memulakan cerita dari mana. Haruskah dia memberitahu Umar berkenaan Khalid dan peristiwa malang yang telah menimpanya? Kalau dia berterus terang, sudikah Umar untuk bersahabat dengannya? Dia gadis kotor dan keji. Umar pula, nampaknya seperti seorang yang kuat pegangan agamanya. Dia harus berlaku jujur kepada pemuda yang mula mencuri hatinya itu. Walau apapun yang terjadi, dia ingin Umar terus bersamanya. Tempatnya mencurahkan kasih atau cinta. Tempatnya bermanja. “Please, Umar!” Eryna Natasha terus menarik tangan Umar supaya mengikutnya masuk. Namun, belum sempat Umar melangkahkan kakinya untuk masuk ke dalam rumah, tubuhnya ditarik ke belakang oleh satu tangan yang kasar dan keras. Serentak dengan itu, sebiji penumbuk hinggap ke mukanya. Umar yang belum bersedia menghadapi serangan terpelanting ke atas tanah. Dia terus ditumbuk, diterajang, ditendang bertubi-tubi tanpa kesempatan untuk mempertahankan diri walaupun sesaat. Yang dia tahu penyerangnya lebih daripada seorang. Bertubuh tegap dan besar. Kepalanya terasa pening dan sakit akibat dihentak dengan siku salah seorang daripada mereka. Dalam cahaya suram, Umar nampak Eryna Natasha dipekup mulutnya dan sedang meronta-ronta untuk melepas diri daripada pelukan salah seorang daripada mereka. Selepas itu pandangannya gelap dan gelita.

Tiada ulasan: