Khamis, 23 Ogos 2012
Novel:REDHA TAKDIRMU (BAB 12- SAMBUNGAN)
IDHAM menelefonku lagi. Tak tahulah apa mimpinya, kerap pula menghubungiku sejak hari itu.
“So, Lidya, abang nak tanya sikit. Sekarang umur Lidya pun dah larut, bila nak berumah tangga?” Lagi-lagi kahwin. Lagi-lagi persoalan kahwin yang ditimbulkan. Sebenarnya aku bagaikan tawar hati. Tambahan pula, aku bercadang untuk menyambung pengajianku. Aku bercadang untuk belajar balik dengan cara pengajian luar kampus. Biar tak kahwin sampai bila-bila. Tak perlulah lelaki di dalam hidupku. Aku mahu belajar dan memajukan kerjayaku.
“Tak mahulah, bang. Lidya nak sambung belajar. Abang kan tahu, lepas upper six dulu, Lidya terus bekerja sebab keluarga tak mampu nak support jika Lidya masuk U.” Aku memberi alasan. Namun, itulah hakikatnya.
“Lepas kahwin pun boleh belajar! Bukan ke ramai orang yang berbuat begitu?” Idham memujuk lagi. Sebenarnya aku dapat mengagak soalan berikutnya.
“Atau Lidya dah frust sebab putus tunang tu?” Idham cuba meneka apa yang tersembunyi di hatiku. Aku telah menceritakan tentang Wahid kepada Idham. Bagiku tidak ada apa yang mesti disembunyikan.
“Lidya dah tak percaya pada lelaki! Semuanya begitu! Buat perempuan macam anak patung. Macam perempuan tak ada perasaan. Biar tak kahwin sampai tua. Tak jadi masalah apa-apa. Belajar. Dapatkan pekerjaan yang lebih baik. Simpan duit untuk hari tua. Tak payah pening kepala,” suaraku agak tegang walaupun perlahan. Aku tidak pasti adakah nada suaraku itu menyembunyikan kekecewaan dan kehampaan hatiku?
“Itu namanya emosional! Dulu kan Lidya seorang yang rasional. Berfikiran terbuka. Selalu mengambil jalan tengah. Bukan semua lelaki macam tunang Lidya tu. Habis tu Lidya tak percaya abang juga ke?”
Aku mengerti sangat dengan Idham. Dirinya akan dibuat perbandingan. Akhirnya aku yang terjerat.
“Lidya tak percaya kepada abang ke? Maklumlah Lidya selalu mendengar cerita-cerita buruk tentang abang!” Idham bersuara sedih. “Kalau macam itu, hari ini hari terakhirlah abang telefon Lidya,” suara Idham sebak.
Sayu pula rasa hatiku. “Mengapa pula?” Pantas aku bertanya. Tiba-tiba muncul. Tak semena-mena pula hendak pergi.
“Lidya tak percaya pada abang ke?” Suara Idham lembut dan seolah merajuk. Hai, lelaki ini telah hampir 11 tahun aku kenali. Aku tidak pernah mempersoalkan kejujurannya. Hanya yang buat aku tidak tahan ialah sikapnya yang terlalu tegas dan cepat marah. Mudah terguris. Hatinya bagaikan kulit bawang merah yang terlalu nipis dan rapuh. Tersilap sikit melenting. Tersilap sedikit tersinggung.
“Percaya! Bila Lidya cakap Lidya tak percaya. Lidya belum jawab apa-apa pun abang dah nak merajuk. Sangka yang bukan-bukan!” Aku bersuara manja.
“Habis tu, katakanlah suatu hari nanti Lidya terbuka hati kembali untuk berkahwin, lelaki yang macam mana yang Lidya pilih.” Idham berteka-teki lagi.
Sakit kepala aku seketika. Idham yang bertanya, takkanlah aku hendak kata aku mahukan lelaki seperti Richard Gere atau Mark Hormon atau Ryan O’Neal, semua pelakon yang aku minat. Tentunya dia akan berkecil hati dan merajuk lagi. Lagipun pelakon-pelakon ini aku hanya kenal paras rupa sahaja. Hati dan peribadinya aku tidak tahu.
“Hmm... macam abanglah.” Tak tahu bagaimana bibirku boleh memberi jawapan sebodoh itu. Mustahil Idham ingin menjadikan aku isterinya. Bukankah dia sudah mengenaliku sejak aku di bangku persekolahan lagi? Tempoh perhubungan kami sehingga ke hari itu melebihi satu dekad. Kalau dia ingin menikahiku, peluang itu sudah terbuka terlalu lama dulu.
“Benar?” Idham meminta kepastian. Aku yang terlajak kata, akulah yang menerima padahnya. Jika ditarik balik kata-kata itu, Idham tentu berasa dirinya tiada harga.
“Hmm...” Aku mengakuinya lagi tanpa bermaksud apa-apa.
“Terima kasihlah, Lidya. Alhamdulillah... Bila?” Idham sekali lagi memberi soalan teka teki.
“Bila apanya?” Aku kurang mengerti maksud lelaki itu.
“Bila Lidya nak kita di satukan?” Idham bersuara serius. Astaghfirullahhilazim. Alamak! Mengapa jadi begini? Tiba-tiba saja. Bukankah dulu sewaktu aku mengujinya, kalau benar jujur dan mengasihi diriku supaya datang melamarku, Idham menolakku mentah-mentah. Aku seolah tiada berharga walau satu sen di hatinya. Harga diriku seolah dipijak-pijak di bawah tapak kakinya. Hatiku koyak rabak. Hancur lebur. Remuk redam. Akhirnya untuk membalut hati yang luka dan kecewa, aku merantau selepas tamat tingkatan enam.
“Bila Lidya? Bila Lidya nak kita disatukan?” Idham mengulangi pertanyaannya itu. Terasa seolah kepalaku telah dipakaikan mahkota yang amat berharga.
“This year. Before end of this year.” Ya, ALLAH betapa beraninya bibir ini mengungkapkan kata-kata itu. Waktu itu sudah berada di bulan Februari. “Selain dari itu Lidya tidak mahu!” Aku bersuara lembut, namun ada ketegasan di dalamnya. Sangkaku Idham akan menolak cadangan itu. Maklumlah, Idham sangat tebal keeogannya.
“Kalau begitu Lidya balik kampung next week, abang nak kenalkan Lidya kepada emak abang dan kita berbincang pasal hari pernikahan.” Idham bersuara lega dan tegas.
Persetujuannya itu amat mengejutkan aku. Aku terkedu. Fikiranku kosong. Perasaanku kosong. Aku bagaikan telah memasuki sebuah lorong yang penuh dengan duri dan api. Bagaimana dengan Michael? Apa yang harus aku katakan kepada pemuda itu?
~~BERSAMBUNG~~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan