Khamis, 6 September 2012

Novel Redha TAKDIRMU-(BAB 13)

“AKU terima nikahnya, Lidya... dengan mas kahwinnya seperti yang telah disebutkan.” Idham melafazkan ijab kabul dengan lancar. Aku turut mendengar suaranya melalui pembesar suara dengan jelas. Dadaku semakin berdebar. Dari celah langsir tingkap bilikku, aku dapat melihat Idham yang bersila bergaya di atas tilam baldu biru dan bertekad emas dengan wajah yang tenang. Dia berbaju melayu sedondong dengan baju kebaya modenku, warna krim. Sahlah hari ini aku menjadi isteri Idham. Hatiku kosong. Gembira tidak, bahagia tidak. Duka pun tidak. Seolah hari itu tiada sebarang makna buatku. Selamat tinggal zaman bujang. Bermulalah kehidupan sebagai seorang isteri.
“LIDYA, baik kau putuskan saja pertunangan dengan Idham ni! Kau carilah orang lain. Mak bimbang Lidya! Kau akan menderita nanti. Penat mak mengandungkan Lidya, sakit bila melahirkan. Mak jaga Lidya dari sebesar ibu jari sehinggalah besar begini, tak pernah mak atau ayah menyepak terajangmu nak!” Itulah kata emakku. Hatinya dibanjiri oleh perasaan bimbang. Kebimbangannya bukanlah disebabkan jodoh yang dipilih olehku, yang bezanya lebih sepuluh tahun. Tetapi Idham adalah seorang duda. Idham suka pukul isteri. Idham cemburu buta. Seribu satu macam lagilah yang didengarnya tentang keburukan Idham. Perubahan yang dilihat emak pada diriku semenjak bertunang dengan Idham, menguatkan lagi hajat emak untuk membatalkan saja pertunangan itu.
Semenjak bertunang, tubuhku semakin susut. Wajahku semakin cengkung, air muka pun tidak ceria lagi. Badan aku penat kerana Idham memaksa aku balik ke kampung setiap hujung minggu. Jika kehendaknya tidak aku turuti, aku akan lebih terseksa. Dia akan menjadi seperti orang tidak siuman. Dia akan menelefonku berkali-kali. Di pejabat atau di rumah. Idham akan menjerit-jerit. Dia akan memaki hamunku. Dia akan mengeluarkan kata-kata kesat dan kotor. Bukan aku seorang saja yang dimaki hamun dan disumpah seranahnya, bahkan sesiapa saja yang mengangkat telefon akan disemburnya jika tidak dapat bercakap dengan aku. Sepanjang pertunangan kami, beribu wang aku habis kerana membayar bil telefon.
“Dahlah, abang! Kita sembang sikit-sikit cukuplah. Habis duit simpanan Lidya nanti. Bulan lepas dah hampir 1000 ringgit, bil telefon. Kita ni berjauhan. Kos panggilan mahal! Duit itu kita boleh guna untuk perkara lain.” “Pentingkan abang ke, pentingkan duit?” suara Idham melengking. Hari pernikahan semakin hampir. Memutuskan? ‘Abang akan minum racun jika kita tak jadi kahwin! Abang malu kepada emak dan adik beradik! Seolahnya kegagalan rumah tangga abang dahulu menjadi sumpahan dan abang tidak layak lagi untuk memiliki rumah tangga yang lain. Biar abang mati!’ Begitulah ancamannya. Dan aku harus menyelamatkan jiwa itu. Itulah pendirianku. Lalu setiap bantahan yang aku terima dari kawan-kawan atau keluarga, terutamanya emak, aku sentiasa ada jawapannya.
“Alah... janganlah bimbang yang bukan-bukan. Tak baiklah meneka-neka hal-hal yang akan datang. Itu semua dalam pengetahuan ALLAH. Lagipun, kan ALLAH itu maha adil. Baik atau tak baiknya Abang Idham itu, terserahlah kepada-NYA. Manusia ni selalu berubah! Hari ini baik, esok belum tentu kebaikannya akan berterusan. Begitulah sebaliknya.” Demikianlah jawapanku kepada mereka.
‘Jodoh itu dalam perencanaan ALLAH. TUHAN telah menetapkan jodoh setiap insan. Hanya ALLAH yang mengetahuinya. Apa yang berlaku adalah ujian untuk hamba-NYA. Baik atau buruk terima sajalah. Bukankah kehidupan ini pun sebenarnya adalah ujian?’ Atas dasar inilah aku tetap dengan keputusanku untuk menikahi Idham.
“Setiap yang ALLAH jadikan ada hikmahnya!” Aku pernah berkata begitu kepada emak. “Hikmah? Sebelum merasai hikmah itu, kau akan menerima musibah terlebih dulu Lidya. Suka hati kamulah, kalau dah berkeras juga. Siapa punya sampan, dialah yang mendayungnya. Terserahlah. Pandai-pandailah!” suara emak berbunga kecewa dengan kekerasan hatiku.
“Kenapa? Sedih? Kalau sedih tak payah ikut abang! Nangis-nangis ni kenapa? Abang tak suka. Faham!!” Aku terkejut dengan sergahan daripada Idham. Terlalu jauh lamunanku dari tadi. Rupa-rupanya kini aku berada di dalam kereta bersama Idham. Selepas saja majlis pernikahan tadi, Idham terus memaksa aku bersiap dan mengikutnya balik ke rumahnya.
Hidangan pengantin pun belum sempat aku jamah, pelamin terhias indah hasil usaha emak dan adik beradik perempuanku belum pun diduduki kerusinya. Ada beberapa pasang pakaian pengantin belum lagi aku memakainya. Aku terpaksa pergi meninggalkan segalanya. Bagaimana tangisan tidak terlepas daripada tambatannya?
“Faham ke tidak? Jawab bila ditanya, abang bukan cakap dengan tunggul!” Tambah Idham lagi. Telunjuknya ditekan ke dahiku. Suaranya melengking. Nasib baiklah semua cermin tingkap kereta tertutup, jika tidak tentu suara pengantin lelaki itu akan terdengar kepada beberapa orang saudaraku. “Faham, bang! Lidya minta maaf!” Aku menjawab dengan nada perlahan sambil mengesat air mata.
Idham mencebikkan bibir. Bila kereta bergerak meninggalkan halaman rumah, aku dan Idham sama-sama melambai tangan kepada kaum keluarga. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku di antara kami. Sepanjang perjalanan aku berpura-pura tidur sambil di dalam hati tidak berhenti berdoa. Berdoa dan berdoa. Ya ALLAH... kau tabahkanlah hatiku! Berilah aku kesabaran dalam menghadapi dugaan yang bakal mendatang. Kau bimbinglah hatiku, Ya ALLAH.
Di hari pertama dalam perkahwinan, aku bagaikan telah terbayang episod-episod yang akan kuharungi. Mungkin penuh duri dan api. Aku mula terasa hangatnya. Aku mula terasa pedihnya. Aku mula terbayang dan terkenangkan Michael. Aku teringatkan nasihat emak. Aku terkenangkan nasihat ayah. Namun saat itu, nasi telah menjadi bubur. Aku telah terikat dengan Idham dengan ikatan yang amat kuat. Ikatan keramat. Ijab dan kabul.
~~BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan: