Novel Kasihnya DIA-(BAB 14)
PANASNYA cahaya mentari di tengah hari itu mungkin tidak sama dengan ledakan api kemarahan di hati Datin Jazima, isteri Datuk Johan. Panasnya cahaya mentari ciptaan TUHAN, memberi nikmat kepada sekalian makluk ciptaan-NYA. Namun ledakan kemarahan yang menyelusup ke urat dan nadi serta menerobos masuk ke dalam hati wanita itu akan membakar seluruh akalnya, dan syaitan pun bertepuk tangan.
Datuk Johan pengsan di salah satu kondominium milik mereka. Sewaktu kejadian itu, ada seorang gadis bersamanya. Gadis itulah yang telah memanggil ambulan dan mengiringinya sehingga ke hospital. Tindakan segera gadis itu telah membantu menyelamatkan nyawa Datuk Johan kerana serangan jantung. Begitulah berita yang diterima oleh Jazmi, anak sulungnya.
“Emak, pergilah tengok ayah di hospital,” pujuk Jazmi.
“Tidak! Emak tak mahu pergi tengok dia! Sampai bila-bila. Jangan cuba pujuk emak!” tegas Datin Jazima. Hatinya tidak dapat menerima ada wanita lain di hati suaminya itu, di kala usia menapak senja. Matanya mengerling anak sulung yang sedang duduk di sofa depannya.
“Habis tu, kalau emak tak mahu jaga ayah di hospital, siapa yang nak jaga dia? Saya sibuk!” Jazmi memandang emaknya yang masih mencuka wajahnya. Emaknya memang panas baran. Karektornya itu memang tidak boleh berubah. Berbeza dengan ayahnya, seorang yang lembut dan sentiasa tenang.
“Eh! Kan dia ada simpan perempuan muda! Biar perempuan itu yang jaga ayah!” Percakapan Datin Jazima terhenti seketika. Matanya merenung Jazmi sekali lagi.
“Emak!, lebih baik kita selidik dulu apa sebenarnya yang terjadi. Jangan mengikut emosi. Mujurlah gadis itu cuba membawa ayah ke hospital. Kalau ditinggalkannya begitu sahaja, mungkin mak dah kehilangan ayah!” Jazmi masih cuba memujuk emaknya.
“Jazmi, keputusan emak tidak siapa yang boleh bantah! Ingat sikit!” Suara Datin Jazima semakin meninggi. Berdesing telinganya apabila cuba dinasihati oleh anak yang telah dilahirkannya itu.
“Ayah kau tidak habis-habis dengan perangai lamanya. Perempuan. Perempuan. Perempuan.”
“Emak ni! Jangan menuduh sembarangan! Tetapi, kalau layanan begini yang emak tunjukkan kepada ayah, saya tidak hairan jika ayah ada menyimpan wanita lain di luar sana!”Jazmi membalas rungutan si ibu lalu cepat-cepat meninggalkan ruang tamu. Sebelum itu, kunci kereta di atas meja kecil di hadapannya dicapai.
“Saya nak ke hospital tengok ayah, selepas itu saya nak balik. Raina dan Raihan, tak lama lagi nak dijemput dari sekolah. Budak-budak dua orang tu, bukannya mahu orang lain yang menjemput mereka.” Bagaikan mengeluh dengan dirinya sendiri, Jazmi mengungkap kata-kata itu sambil mengenakan kasut yang tersedia ternganga di muka pintu.
Datin Jazima tidak memberi sebarang reaksi kepada percakapan anak sulungnya itu. Wajahnya tetap selamba. Kecewa hatinya setelah menerima panggilan telefon daripada gadis itu. Rina Melati. Suara gadis itu yang memperkenalkan dirinya terngiang di telinganya. Secara kebetulan ada pula jiran yang bertembung dengan Datuk Johan yang dikejarkan ke unit kecemasan hospital. Jiran itulah yang bercerita ada seorang gadis muda yang cantik dan seksi mengiringi Datuk Johan yang terlentang di atas stretcher.
JAZMI memandu dengan tenang. Bibirnya bersiul-siul mengikut alunan lagu yang keluar daripada corong radio di dalam kereta. Namun begitu, seperti juga emaknya dia juga sedang memikirkan tentang Rina Melati. Sebuah nama yang indah. Mungkin tuan punya tubuh yang memiliki nama itu pun seorang yang cantik dan indah. Hatinya bagaikan berbisik. Bibirnya tersenyum.
Lama juga dia mencari tempat parkir yang masih kosong. Perlahan-lahan kakinya melangkah keluar dari kereta sebaik sahaja keretanya diparkirkan.
“Datuk Johan!” Bibirnya terus menyebut nama ayahnya sebaik sahaja tiba di kaunter pertanyaan. Ada dua orang jururawat yang sedang bertugas di situ.
“Oh! Tingkat 1, encik! Bilik nombor 3.” Tanpa melihat wajahnya, jururawat petugas di kaunter memberitahu.
Jazmi beredar dari situ dan menuju ke bilik yang dikatakan. Daun pintu bilik No. 3 ditolak sebaik sahaja tubuhnya tiba di muka pintu. Bola matanya dilontarkan di atas katil di mana tubuh ayahnya sedang terlantar. Sayu hatinya melihat bapa bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga.
“Assalamualaikum, ayah.” Bibirnya tersenyum, cuba menceriakan hati ayahnya yang sedang merenungnya. “Emak kirim salam. Dia tak dapat datang.”
“Tak apa.” Datuk Johan menjawab dengan suara lemah. Dia faham dengan karektor Datin Jazima. Cemburu buta. Dia yakin yang isterinya itu tidak akan melawatnya di hospital sampai bila-bila. Bahkan hal itu akan diungkit-ungkitnya sehingga bertahun.
Bibir Jazmi bergerak-gerak ingin menanyakan tentang gadis yang bersama ayahnya pagi tadi. Bukankah sepatutnya pada waktu itu, ayahnya berada di rumah atau dalam perjalanan ke pejabat.
Bunyi pintu ditolak menyebabkan Jazmi menoleh ke arah pintu. Seorang gadis menghampiri mereka. Berderau hati Jazmi apabila melihat raut wajah perempuan muda yang sedang mendatangi mereka. Wajahnya sungguh mempersonakan. Kecantikannya memukau sesiapa saja yang memandangnya. Kalau tidak tertarik dengan gadis ini, mungkin ada sesuatu yang tidak kena kepada jiwa dan raga lelaki berkenaan. Begitulah bisik hati Jazmi. Dia terpegun sejenak.
“Melati...” Datuk Johan menghulurkan tangannya kepada gadis itu lalu menyentuh lengannya. Secara kebetulan Rina Melati telah ada disisi katilnya, di sebelah kiri.
“Perkenalkan, anak sulung saya, Jazmi,” perkenal Datuk Johan.
Jazmi dan Rina Melati berjabat salam. Mereka berbalas renungan.
Rina Melati melontarkan senyuman.
“Terima kasih kerana membawa ayah saya ke hospital,” ujar Jazmi sambil tersenyum. Benarlah. Nama Rina Melati seindah orang yang memilikinya. Bola matanya merenung rambut Rina Melati yang terurai ke paras belakangnya. Ikal dan hitam. Pipinya gebu dan licin. Bibirnya merah dan basah. Bulu matanya hitam, panjang dan lentik.
Meskipun hanya mengenakan jeans putih dan sehelai blaus berwarna merah jambu, tubuh itu begitu mempersonakan. Rina Melati bak bidadari dari syurga yang diturunkan ke bumi. Sedang Jazmi asyik menyaksikan keindahan ciptaan ALLAH yang berada dihadapannya, sekali lagi bunyi keriutan di pintu mengganggu pendengarannya.
“Hmm... Anas pun ada,” kata Datuk Johan.
Anas menghampiri katil yang menempatkan Datuk Johan.
Rina Melati berasa serba salah berada di antara mereka. Dia ingin beredar dari situ secepatnya. Dirinya seolah seorang pesalah menjadi mangsa renungan kedua lelaki yang mengelilingi Datuk Johan. Tambahan apabila bertemu pandangan dengan lelaki yang baru memasuki bilik itu.
Anas memberi isyarat mata kepada Jazmi, bertanyakan kepada abangnya siapa gerangan si gadis yang berada di antara mereka. Matanya singgah ke ulas bibir gadis itu yang cuba mengukirkan senyuman paksa. Namun tanpa mengukirkan senyuman pun, wajah itu sememangnya manis berseri.
“Melati... ini anak saya juga. Yang kedua!” Suara Datuk Johan perlahan memperkenalkan kedua mereka. “Melati duduk di sini, jangan pergi.” Sambung Datuk Johan lagi dengan suara yang amat lemah.
“Anas!” Pemuda yang berbaju T putih, berbelang hitam dihujung lengannya mengenalkan diri sambil mengangguk apabila matanya merenung wajah gadis manis itu.
Rina Melati mengangguk sambil melemparkan senyuman kepada Anas.
“Err... minta maaf. Saya hendak ke bilik air.” Rina Melati sekali lagi mencari alasan untuk menjauhkan dirinya dari kelompok manusia-manusia itu. Dia terasa amat asing. Terasa segala gerak gerinya menjadi perhatian tiga pasang mata lelaki yang berada di situ. Dia seolah seorang pesalah. Dia berasa resah di dalam situasi itu.
“Siapa gadis tu ayah?” tanya Anas sebaik sahaja Rina Melati berlalu pergi.
“Dia dibesarkan di rumah anak yatim piatu,” jawab Datuk Johan perlahan sambil menggosok-gosok dadanya berulang kali. Matanya merenung Anas yang sedang memerhati ke arah pintu, mungkin mengharapkan susuk tubuh Rina Melati muncul kembali. “Ayah hendak bantu dia.” Suaranya seolah tersekat dikerongkongnya.
Jazmi merenung Anas sambil mengeleng. Cuba menghalang Anas daripada terus menyoal siasat bapa yang sedang sakit. “Siapa yang akan tunggu ayah di hospital ni?” Jazmi merenung ke wajah adiknya itu.
Anas tidak memberi jawapan. Bahkan takut untuk menentang pandangan matanya.
Jazmi merenung ke wajah Anas, mengharapkan jawapan daripada adiknya itu.
“Saya pun sibuk. Saya balik ni pun sekejap saja! Sepatutnya sekarang ni saya sudah bertolak ke Putrajaya!” Anas pula menjawab. “Abang Jaz minta tolong Kak Noralah tunggu ayah, kalau benar emak tidak sihat.” Saranan diberikan oleh Anas kepada abang sulungnya itu. Meminta bantuan daripada isteri Jazmi dirasakannya ada kewajaran.
“Isteri kau saja yang tunggu ayah, Anas. Bukankah Alia tu menantu kesayangan ayah.” Sekali lagi Jazmi mengusulkan cadangan. Kali ini mengharapkan bantuan adik iparnya pula, isteri kepada Anas.
Anas mencebikkan bibirnya. ‘Alia tidak boleh diharap.’
“Kenapa bertekak? Jangan bergaduh kerana ayah.” Suara Datuk Johan bersulam batuk dan tarikan nafas yang panjang-panjang. Sakit telinganya apabila mendengar perbincangan dua beradik yang tidak menghasilkan keputusan yang menyenangkan hatinya. “Jangan bertengkar lagi!”
Lagi sekali dada diurut-urut perlahan. “Melati akan jaga ayah! Melati!” Datuk Johan memanggil gadis itu dengan isyarat tangan. Secara kebetulan, Rina Melati telah balik dari bilik air dan berada di sisi katilnya.
Jazmi dan Anas saling pandang memandang. Perasaan mereka berbaur.
“Melati mahu jaga saya?” Tidak sekadar menguji, Datuk Johan bertanya dengan suara yang amat perlahan. Dia harap gadis itu tidak akan mengecewakannya hatinya yang sudah lama terabai.
“Kalau tak ada sesiapa yang hendak tunggu Datuk Johan, biarlah saya tolong.” Rina Melati bersuara lambat-lambat. Matanya merenung ke lantai. Bimbang niat hatinya itu disalah erti oleh anak-anak, lelaki tua itu. Jawapan daripada gadis itu melegakan hati Datuk Johan yang mulai hampa dengan sikap anak-anak yang sambil lewa terhadapnya yang sedang sakit. Bibirnya mengukir senyuman tipis.
~~~BERSAMBUNG~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan