Khamis, 13 September 2012

Novel REDHA TAKDIRMU (BAB 14)



DUA minggu bercuti kerana majlis perkahwinan adalah suatu kesilapan yang tidak dapat diperbetulkan.  Tiga hari berbulan madu di Genting Highland bukanlah sesuatu yang manis. Sebaliknya batinku terus merintih dan menangis tidak habis-habis. Sekembalinya dari berbulan madu, Idham asyik mengulangi rumah ibunya saban waktu, sedangkan rumah kedua ibu bapaku langsung tidak di jenguk. Seolahnya aku tidak mempunyai keluarga.Setiap kali aku cuba untuk bersuara aku akan kecewa dan terluka.
“Ingat bujang lagi ke?  Asyik nak terperap di celah ketiak emak bapak!  Kalau dah kahwin, dah berlaki buat cara dah berlaki!” Itulah jawapan yang aku terima. Idham bagaikan membina tembok antara aku dan keluargaku. Aku menjadi miliknya seorang dan tidak mempunyai sesiapa sebelum ini.
“Yalah bang! Lidya minta maaf.  Habis tu, cuti Lidya ada lagi sehari saja, abang izinkan ke Lidya balik bertugas ke tempat kerja!” Menyembunyikan perasaan kecewaku kerana tidak dibenarkan mengunjungi rumah orang tuaku, aku mengalih topik perbualan. Hatiku meronta untuk segera terbang dan meninggalkan rumah itu dan Idham.Jika boleh di saat itu juga.  Dan alangkah baiknya jika aku dapat pergi dari rumah itu, pergi dari Idham untuk selamanya.
           “Inilah yang membuat abang pening! Serba salah! Kalau terus berhenti tak rugi ke?” Idham menyoalku kembali.
Aku faham kerugian yang dimaksudkannya adalah dari segi kewangan. Lagi tiga minggu bonus hujung tahun akan dikeluarkan. Jika aku berhenti serta merta, semuanya akan hangus. Busuk-busuk pun wang bonus yang akan aku perolehi hampir 2000 ringgit. Tambah dengan gaji lagi, dekat 4000 ribu. Tetapi bagiku, wang itu perkara kedua. Yang paling penting aku ingin berjauhan dengan Idham. Mungkin hatiku akan tenang sedikit.
“Rugilah, bang! Tapi, nanti Lidya akan merindui abang...”  Percakapanku terhenti seketika. “Kalau kita berjauhan.” Aku memaniskan wajah dan bersuara manja. Itulah sandiwaraku.  Mungkin aku akan terus menjadi aktres di dalam pentas  rumah tanggaku selama kami terus bersama.
“Tapi bonus tu banyak juga! Tak apalah Lidya! Abang izinkan Lidya balik ke sana. Bekerja sehingga dapat bonus.   Awal tahun depan mesti berhenti dan balik ke sini! Tapi,  dengan syarat. Tiap-tiap minggu Lidya mesti balik sini!”Idham bersuara kendur. Hatiku meloncat keriangan, tetapi di wajah aku berpura-pura sedih.
“Makan minum abang macam mana?”  Aku bersuara sedih sambil memegang tangan Idham. 
Idham berwajah serius, langsung tidak mengendahkan sentuhan tanganku. “Abang dah biasa hidup seorang! Lidya tu, bila dah balik ke sana nanti, jaga diri! Jangan nak menggatal!”
Astaghfirullahalazim. Tergamaknya dia berkata kepadaku sebegitu rupa. Kalau aku gatal, kenapa mendesak aku menjadi isterinya? Lelaki ini sungguh pelik. Selalu pandang rendah kepada perempuan. Berkahwin dengan aku, kerana mengasihiku atau aku sebagai pelengkap rumah tangganya?
“Seronoklah tu! Abang tahu hati Lidya! Seronok sangat berjauhan dengan abang, kan? Tak usah berpura sedih.”  Pandai pula Idham serkap jarang.
Aku diam tidak menjawab. Jika dijawab nanti, terjadi pula sengketa. Rumah tangga yang terbina baru dua minggu.  Tiangnya pun belum kukuh lagi. Aku membayangkan bagaimana nanti aku menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, dalam keadaan sikap Idham yang begitu. Baru dua minggu pun hatiku sudah tak tahan. Aku menjeruk hati, memendam perasaan.
“ Lidya, kau ingat Idham boleh bagi kau duit sama seperti gaji kau setiap bulan itu,” kata-kata emakku bagaikan terngiang di telinga. Takut  Takut. Berkali-kali perkataan takut itu menerjah benakku. Aku takut untuk memikirkan tentang hari mendatang. Hari-hari aku bersama Idham.

HARI pertama di tempat bertugas selepas bercuti lama kerana melangsungkan perkahwinan sememangnya menyeronokkan.  Alangkah damainya hati, kerana tidak payah mendengar leteran Idham untuk beberapa hari.
“Wow! Pengantin baru dah balik! Hmm... macam mana?  Malam pertama macam mana? Line clear ke?”  Safina teman sepejabat menyergahku sebaik saja terperasan diriku.
Pada mulanya dia menyangkakan aku sebagai Rafeah, salah seorang kerani di pejabat. Penampilanku berbeza pada hari itu. Kebiasaannya aku ke pejabat dengan berbaju kurung moden potongan V di leher atau berbaju kebaya dan berkain ketat. Rambutku yang hitam dan ikal separas tengah belakang aku biarkan lepas tetapi rapi.
Hari itu, hari pertama aku bekerja selepas bergelar isteri. Aku berbaju kurung Johor berwarna hijau dan bermini telekung putih. Kalau sekali imbas, tentu mereka tidak perasan.  Idham yang menyuruh aku bertudung begitu. Aku bersyukur, setidaknya dia tahu juga serba sedikit tentang hukum agama.
“Alhamdulillah... Semuanya okey! Line clear!” Menyembunyikan kekecewaan di hati, aku menjawab pertanyaan Safina dengan ketawa yang dibuat-buat.
“Cik abang okey ke?  Mesti peluk awak tak lekang-lekang ni! Waktu malam mesti selalu kena kacau!” Celupar sungguh mulut Safina bergurau. Pipiku terasa panas. “Hah! Dah merah pipi dah! Mesti terkenang tu. Ceritalah sikit, waktu mula  hmm... hmm tu...” Dia terus menyakat aku. 
Aku diam tidak terkata. Sebenarnya jauh di sudut hati, perasaanku bagaikan tersula. Apa yang dinikmati oleh mereka di malam pertama, yang penuh dengan keindahan, kesyahduan berkasih sayang, tidak aku miliki. Hingga di saat ini, mahkotaku masih terpelihara. Hanya air mataku sahaja yang berderai pada setiap malam. Apa yang aku rasa ialah, belakangku bengkak kerana setiap malam tidur mengiring dan tidak boleh beralih dari memandang wajah Idham. Tidur menelentang pun tidak dibenarkannya. Alangkah seksanya aku rasa. Namun, aku terpaksa merahsiakan segalanya.
“Apalah engkau ni Fina! Mana boleh cerita-cerita hal suami isteri kepada orang luar. Berdosa tahu tak. Macamlah tak tahu. Eh! Kan engkau dah lama jadi isteri orang? Pengalaman sendiri ada… boleh kongsi dengan aku yang baru ni?” Aku pula mengusik Safina.
“Pirah! Aku pengantin dah basi!”  Safina tergelak-gelak dan berlenggang pergi ke mejanya. 
“Hmm... ini untuk kau.” Aku membontot Safina lalu meletakkan bunga telur yang aku bawa dari kampung sebagai tanda kenangan di atas mejanya. Bunga pahar warna emas itu memang pilihanku. Ranap duitku 200 ringgit untuk membeli 60 cucuk bunga itu.  Namun, senang hatiku apabila melihat emak tersenyum. ‘Bunga inilah yang emak nak!’. 
 Terima kasih.  Ingat juga awak pada kita,” ucap Safina. 
Aku hanya tersenyum.
“Habis tu! Jadi ke nak resign hujung tahun ni?” Safina menyoal lagi, sambil membelek bunga pahar. 
Aku mengangkat bahu. Ikutkan hatiku, aku tidak mahu berhenti. Bukan itu sahaja. Bahkan ikutkan hati, aku tidak ingin pulang atau kembali kepada Idham yang baru beberapa hari menjadi suamiku.
“Gaji awak dah banyak Lidya! Rugi! Lagipun kat sini, semua orang sayang awak. Kalau awak tak ada, sunyilah pejabat ni nanti!”
Kata-kata dari Safina mengundang rasa terharuku. Ada keikhlasan dalam kata-katanya. Ada kesedihan juga.
“Ala, kalau berhenti, aku balik ke sana, dia carilah kerja lain untuk aku. Dia dah janji,” ujarku kepada Safina.
Sememangnya, Idham telah berjanji akan membenarkan aku belajar, bekerja dan akan mencarikan aku kerja lain sekiranya aku berhenti kerja selepas pernikahan kami.  Aku masih ingat, pernah sekali Idham memaksa aku balik ke kampung semata-mata kerana ingin mendapatkan tanda tanganku. Tanda tangan pada kertas kosong. Kononnya kertas-kertas yang telah aku tandatangani itu akan digunakan untuk mencetak permohonan kerja untukku.
“Lidya,  dulu dia belum dapat awak! Dia janjilah macam-macam! Lelaki memang macam tu, sekarang ni dia dah dapat awak. Dah peluk awak. Dah dapat semuanya! Semua janji itu akan bertabur!”  nasihat Safina.
Benarkah kata-kata Safina itu? Benarkah itu yang akan terjadi? Aku buntu, namun masih terus berharap supaya Idham menunaikan segala janjinya.
“Awak kena prepare untuk diri sendiri! Dia tu pernah bercerai. Lidya, aku ni bukan nak menakutkan awak. Be careful. Terjadinya perceraian itu salah siapa? Diakah atau isterinya? So, kita nasihatkan awak, kalau awak berhenti pun, sampai di sana nanti awak usaha juga untuk bekerja. Dapat gaji dua tiga ratus sebulan pun tak apa. Ada duit sendiri. Ada jaminan untuk diri sendiri. Ingat tu!” Lagi sekali Safina mengingatkan
 “Fina, takkanlah hubby aku nak buat begitu pula! Dia dah janji dah! Lagipun setahuku, dia ada ramai kawan. Dia pun selalu menolong kawan-kawannya, takkanlah kawan-kawannya tak mahu tolong dia! Lagipun dia dah cerita, ada kawannya yang nak rekemenkan aku kerja! Insya-ALLAH, ada rezeki nanti.” Aku menutupi prasangka orang terhadap Idham. 
Sememangnya aku telah berjanji dengan diriku, walau apa yang terjadi rahsia rumah tanggaku tetap akan jadi rahsia.  Keburukan Idham melayani aku, tidak akan aku ceritakan kepada sesiapa pun. Tambahan lagi kepada keluargaku. Aku takut mereka akan memulang paku buah keras. Bukankah aku yang keras hati sangat? Ingin meneruskan perkahwinan ini walaupun ditentang oleh seluruh ahli keluarga? Terkenang aku perbincangan yang telahku buat dengan Idham beberapa bulan sebelum kami bernikah.
“Abang! Nanti kalau kita dah jadi suami isteri, kalau Lidya kerja kewangan rumah tangga kita macam mana?” Aku menyoal dengan hati yang lurus.
“Hmm, terpulang kepada Lidyalah. Abang ikut saja mana yang elok!” Begitulah kata Idham. 
“Lidya cadangkan begini, semua pendapatan kita campurkan dan bahagi dua. Sebahagian untuk perbelanjaan rumah. Sebahagian lagi untuk simpanan. Simpanan pun kita bahagi dua juga.  50-50. Abang setuju ke?” Pada pendapatku, itulah cara yang terbaik. Semuanya dapat dilaksanakan jika ada keikhlasan.Lagipun Idham memberitahuku dia tidak mempunyai sebarang hutang pun. Aku bersyukur sekiranya itu benar.
“50-50 simpanan tu, maksudnya macam mana?” Idham pura-pura tidak mengerti. Mustahil seseorang yang bekerja di dalam sektor yang melibatkan kewangan tidak faham apa yang aku maksudkan.
“Err... maksudnya kalau ada RM1000.00, RM 500.00 simpan dalam akaun Lidya, lagi RM 500.00 simpan dalam akaun abang.” Aku menerangkan. Seolah mengajar itik berenang.
“Kalau gaji abang lebih banyak daripada Lidya macam mana? Nak buat begitu juga?” Idham bersuara perlahan.  Berderau darahku. Sedikit sebanyak aku dapat meneka nilai keikhlasan yang ada di hati Idham. “Tak payah bincang hal ini lagi Lidya!  Dah duduk serumah nanti baru kita bincang!”  Dia bersuara tegang.
“Hah! Mengelamun kenapa?  Dalam dilema ke? Tak jadi resign? Kalau begitu kita buat pulut kuning nanti!” Sergahan Safina mengejutkan lamunanku.
Aku tersenyum. “Fina! Aku balik ke tempatku dulu, ya!  Nak start kerja dah!” Aku beredar dari tempat duduk Safina.  Lagi lama aku di situ, lagi panjang Safina berleter. Tambah berserabutlah fikiranku nanti. Aku mula terkenangkan Michael Collin.  Jika aku memilihnya untuk menjadi suamiku, adakah kini aku sedang menikmati saat seperti ini?
Perasan terkeliru dan duka yang tidak menentu atau aku sedang karam di dalam dakapan kasihnya? Michael yang selalu bersikap romantis. Aku ingin sekali menghubunginya, namun apakan daya kerana aku kini berstatus isteri. Niat itu akhirnya aku lontarkan jauh-jauh daripada ingatanku. Hampir setahun kami tidak bertemu semenjak pertemuan yang terakhir itu. 
Sumpah. Aku tidak berniat untuk mempermainkan perasaan Michael. Sesungguhnya aku menyayanginya.  Kedatangan Shamsiah di dalam perhubungan kami, telah mencalarkan sedikit hatiku. Aku tidak mahu melukai hati orang lain yang menyayangi Michael. Impian hati Michael untuk membawa aku menetap di Sarawak selepas bernikah dengannya, sukar untukku terima. Aku tidak mahu berjauhan dengan ibu dan bapaku. Aku juga telah terperangkap dengan kata-kata Idham. Jawapan yang kuberikan kepada Idham, telah memerangkap diriku sendiri.
“Maafkan saya Mike! Saya memang sayangkan awak, tetapi tidak lebih daripada seorang sahabat. Awak seorang yang baik, menghormati perasaan orang lain, tetapi saya kena jujur dengan hati kecil saya sendiri. Hati kecil saya kata, kita dipertemukan tidak untuk menjadi suami isteri. Harap you mengerti.” Aku menatap wajah Michael yang tenang. Kami bertemu di tempat biasa. Mungkin pertemuan itu adalah pertemuan yang terakhir. Angin malam yang berhembus, seolah mencengkam hatiku yang pilu.
It’s okay honey! Dah tak ada jodoh kita nak buat macam mana? Tapi saya bersyukur kerana ALLAH telah menemukan kita berdua. I suka kepada keperibadian you. Tak tinggal sembahyang.  Selalu I call di rumah you, kalau Lina yang jawab dia akan beritahu, you sedang sembahyang atau mengaji quran.  I beritahu Lina, jangan ganggu you dan jangan beritahu you, I call.”  Michael menelan air liurnya seketika.
Aku diam. Peluangku berikan kepada Michael untuk meluahkan apa yang ada di dalam hatinya. Sepuas-puasnya.
“You seorang yang penyabar, tabah dan kuat menghadapi apa juga dugaan hebat yang ALLAH datangkan kepada you.  Tak suka sangka buruk kepada orang, tidak suka mengata. Sebenarnya keperibadian you telah mempengaruhi I untuk memeluk Islam. Setiap kali I cerita pada you, ‘eh! Honey  mengapa you tak pindah saja dari rumah sewa tu, budak-budak tu semua tak tegur dengan you, selalu buruk-burukkan you, nanti mereka bubuh racun dalam makanan you!’ Tapi you tak pernah marah. You kata, biarlah. Mereka semua nak buat apa! Buat apa nak syak pada orang lain. Saya seorang Muslim!”  Panjangnya hujah Michael.
Kata-katanya terlalu menghiris hatiku. Aku terhiris kerana keikhlasannya. Tidak sedar aku menitiskan air mata terharu.
“Mereka pernah kata you macam-macam pada I. You playgirl... suka keluar malam. Waktu tu, I call sebab kita janji nak jumpa. Tapi pada waktu tu, you dah keluar dari rumah untuk jumpa I. Bila I cerita pada you dan suruh you pindah, sedikit pun you tak endah! You kata, biarlah... ALLAH ada... ALLAH sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar! I seorang Muslimlah Mike... tak boleh ada sikap begitu!  Pendendam, tak baik!” Michael terus mengulangi kenangan lalu.
“You pun tak pernah tanya kepada Mike begini, Mike tak mau peluk Islam ke? Sekali pun tak pernah tanya Mike begitu.  Ingat tak dulu, Mike pernah ajak pergi church. Temankan Mike pergi sembahyang. You tak kata pun mana boleh pergi church!  Sebaliknya you ikut Mike pergi ke sana. Apabila sampai di sana, you kata, Mike masuklah ke dalam. Lidya tunggu di luar sini. TUHAN Lidya ada di sini. Biar Lidya ingati DIA di sini,”  panjang cerita Michael, mengimbas kenangan lalu.
“You tunggu di luar church itu dengan sabar. Tidak merungut pun walaupun Mike lambat. Hampir dua jam di dalam sana. Maklumlah sembahyang seminggu sekali. You tak sama dengan kawan-kawan serumah you. Tak sama dengan perempuan-perempuan lain yang pernah Mike kenal!” Bibir Michael bergetar sewaktu berbicara.
“Sudahlah Mike, jangan ceritakan hal itu lagi... please.”  Aku cuba mencelah percakapan Michael. “Mike! Lepas ini kita tidak boleh berjumpa lagi macam selalu! Minggu depan Lidya akan balik kampung. Lidya akan bertunang dengan Idham. I pernah ceritakan tentang dia, kan?” Aku bersuara perlahan sambil menundukkan wajah.
“Congratulation!
 Aku tersenyum pahit. Namun, wajah Michael masih tenang. Aku faham hati lelaki itu. Pastinya terluka, namun keikhlasannya telah membalutkan segalanya.
“Insya-ALLAH... Oktober ni kami akan bernikah!”  Dengan Michael ini, tidak ada apa yang aku sorokkan. “ Dan I doakan you akan bertemu dengan seseorang yang lebih baik dari I.”
“Begitu cepat! Now, Februari, lagi lapan bulan lagi!  Tahniah sekali lagi.” Michael bersuara perlahan. Matanya masih merenungi wajahku.
“I Harap, Idham adalah pilihan you yang tepat dan dapat memberi kebahagiaan kepada you, Lidya!” suara Michael semakin perlahan sewaktu meluahkan kata-kata itu. Bibirku gementar untuk mengungkapkan kata-kata. Tidak siapa yang tahu, betapa sukarnya perasaanku dikala itu. Namun, aku terpaksa menabiri kedukaanku dengan senyuman.
“So, nanti you berhenti kerjalah, ya? Anyway, I doakan you berbahagia.” Michael mengukir senyuman.
“Lidya! I pasti akan rindukan you nanti!” Begitulah ucap Michael sebelum kami berpisah pada malam itu.
Aku mengerti Michael sedang menyembunyikan tangisan di matanya. Harapannya telah kecundang. Di saat itu aku rasa ingin berada di dalam dakapan kasihnya. Kini, hatiku mengakui yang aku sedang merindui pemuda itu. Aku rindukan segala-gala yang ada pada dirinya. Michael!!! Raungan hatiku menjerit dan memanggil Michael tidak didengari oleh sesiapa. 















Tiada ulasan: