Khamis, 13 September 2012

Novel Kasihnya DIA (BAB 15)


Dua bulan berlalu…

SUASANA pejabat JJ Holding semakin sepi kerana seorang demi seorang telah meninggalkan tempat masing-masing untuk pulang ke rumah. Jam di dinding telah menunjukkan waktu 6.00 petang. Datuk Johan tersandar di kerusinya. Rona wajahnya merah. Tangannya masih memegang gagang telefon.
“Saya tak mahu! Awak bawalah perempuan simpanan awak ke majlis itu!” Suara Datin Jazima yang memekik marah terngiang di telinganya. Perasaan cemburunya terhadap Rina Melati belum terhakis. Acapkali Datuk Johan menerangkan duduk perkara yang sebenarnya. Namun, wanita itu tidak dapat menerimanya. Ada kesempatan sahaja, perkara itu akan diungkit-ungkitnya dengan kata-kata yang amat menyakitkan hati.
‘Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.’ Begitulah pendapat kawan-kawannya apabila Datuk Johan menceritakan tentang rumah tangganya yang berantakan gara-gara niatnya ingin membantu seorang gadis. Senyuman terukir dibibir tuanya. Di matanya tergambar Rina Melati. Gadis cantik yang diperkenalkan oleh Rio Irawan itu telah dilantik menjadi eksekutif pemasaran di syarikatnya, JJ Holding.
Rina Melati sudah memulakan tugasnya di situ selama sebulan. Wanita muda itu cekap dalam mengendalikan tugasnya. Juga disenangi oleh kakitangannya yang lain dan pelanggan-pelanggan yang berurusan dengan syarikat itu.
“Helo, Melati!” Lunak suaranya apabila mendengar gagang telefon di hujung sana telah diangkat. Bibirnya tersenyum apabila membayangkan wajah wanita muda itu. Wanita yang diharapkan dapat menerangi hatinya yang gelap rawan.
“Helo, Datuk,” jawab Rina Melati dengan suara yang lembut.
“Hmm... malam ini saya mahu Melati temankan saya untuk majlis makan malam.” Suara Datuk Johan semakin perlahan.
Rina Melati tersenyum. Dia sudah terbiasa dengan lelaki itu. Sebagai majikan. Juga sebagai teman. Dan sejujurnya dia berasa senang dengan lelaki itu. Mungkin sebelum ini dia tidak pernah menikmati perasaan kasih sayang dari seorang lelaki bergelar ayah. Lantaran kehadiran Datuk Johan menjadi tempatnya untuk menumpang kasih secara sembunyi daripada lelaki berkenaan. “Arahan atau jemputan, Datuk?” Rina Melati cuba bergurau dengan lelaki itu.
Datuk Johan melebarkan senyuman. ‘Hmm... gadis ini sudah pandai untuk memutarkan kata-kata.’ Peribadi yang dimiliki oleh wanita muda itu telah membuat hatinya tertawan. Perasaan sayangnya kepada Rina Melati pun semakin dalam. Entah sampai bila. Kotak fikirnya terkenang pula isterinya yang bengis dan kasar. Rasa bosan pula yang menelusuri hatinya. Dia bagaikan sudah muak dengan Datin Jazima yang sikapnya tidak pernah mahu berubah. Malahan bertambah teruk dari hari ke hari.
“Datuk...” panggil Rina Melati apabila tidak mendengar sebarang suara dari lelaki itu.
 “Tidak kisah istilahnya yang bagaimana, yang pastinya saya mahu Melati, temankan saya. Saya akan datang jemput Melati jam 8.30 malam nanti,” ujar Datuk Johan lagi. Bayangan Datin Jazima hilang dari pandangannya.
“Di mana lokasinya Datuk?” Rina Melati cuba mendapatkan penjelasan daripada Datuk Johan. Majlis makan malam di rumah tentu tak sama dengan majlis di hotel. “Hmm, kalau tidak salah, Grand Bluewave Hotel.” Dia cuba mengingatkan nama hotel yang dikatakan oleh rakan niaga yang menjemputnya semalam.
“Baiklah, Datuk. Akur perintah,” jawab Rina Melati disambut oleh tawa lelaki itu.  Rina Melati kini sudah pandai bergurau dan sedikit manja kadangkala.
“Pakai baju berwarna hijau, biar sedondong dengan saya tau,” pesan Datuk Johan. Sekali lagi Rina Melati menyatakan persetujuannya. Kerelaan gadis itu menemaninya ke majlis, menggembirakan hati Datuk Johan. Bangga rasa hatinya. Dia telah membayangkan bagaimana perasaan kawan-kawannya apabila melihat dirinya ditemani oleh wanita muda yang mempersonakan siapa saja yang memandang.
 “Baiklah.” Rina Melati menjawab selembut mungkin lalu meletakkan gagang telefon. Mustahil dia dapat menolak pelawaan lelaki itu. Terlalu banyak budinya. Diberi menginap di kondominium mewah. Disediakan pekerjaan yang pendapatannya lumayan. Dihadiahkan sebuah kereta untuk kemudahannya ke tempat kerja atau kemana-mana. Dan yang paling penting, dia telah terselamat daripada cengkaman Khalid serta Bambang. Tidur malamnya juga amat lena, tidak diganggui oleh sesiapa. Hanya sesekali Datuk Johan membawanya keluar untuk makan malam.
Tepat 8.30 malam, Datuk Johan tiba di tempat yang telah dijanjikannya tadi. Rina Melati melontarkan senyuman paling manis apabila lelaki itu merenungnya. Pandangan mata lelaki itu agak mendebarkannya. Sebagaimana biasa, Datuk Johan sentiasa kelihatan tenang.
“Cantik! Umpama sekuntum bunga. Saya suka melihat wanita berbaju kebaya seperti ini. Nampak anggun dan berseri.” Itulah yang diucapkan oleh Datuk Johan sebaik sahaja pinggul Rina Melati duduk di sisinya di dalam kereta.
Rina Melati hanya melebarkan senyumannya di dalam kegelapan malam itu tanpa menjawab apa-apa.
“Melati tidak rasa segan berjalan berduaan dengan saya?” Sambil memandu, Datuk Johan mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan gadis itu. Rambut Rina Melati yang ikal sesekali bergoyang lembut apabila gadis itu menoleh kepadanya. Sebahagian besar rambutnya dibawa ke hadapan menutupi dadanya yang sedikit terdedah kerana potongan baju kebaya itu berleher empat segi.
“Maklumlah, saya ni lelaki tua. Dah kerepot.” Sambung Datuk Johan sambil menjeling Rina Melati di sisi yang sedang memain-mainkan hujung rambutnya. Kata-kata yang diungkapkan oleh lelaki itu disulami dengan tawa kecilnya. Dia cuba menduga hati wanita yang sedang duduk disisinya.
“Bimbang juga saya kalau Melati mengganggap saya ni lelaki miang.” Tawanya semakin panjang. Dia berasa senang dengan wanita muda itu dan tidak peduli jika sikapnya yang ingin mengambil berat itu disalah anggap oleh sesiapa pun.
“Hmm... datuk ni. Tua atau muda, yang membezakan hanya usia. Saya rasa dihargai bila berjalan bersama dengan datuk,” jawab Rina Melati perlahan sambil melirik ke arah lelaki itu.
Lirikan mata wanita muda itulah yang menyebabkan hati Datuk Johan selalu terkenang. Malu juga untuk mengakui yang hatinya seolah muda kembali kebelakangan ini.
“Ya ke? Kembang hati saya bila mendengar kata-kata Melati tu. Kata-kata yang lahir ikhlas dari hati ke atau sekadar hendak mengambil hati saya?" Datuk Johan cuba bergurau.
Rina Melati ketawa. “Terpulanglah kepada datuk untuk menilainya. Saya ni tak biasa lain di bibir lain di hati. Apa yang saya katakan di bibir, itulah penyataan hati saya, datuk,” ujarnya dengan nada lembut.
Datuk Johan seakan teruja mendengar kata-kata itu. Rina Melati, kata-kata yang diungkapkan menunjukkan kematangan dan kedewasaannya sebagai seorang wanita. Sungguhpun beza umur mereka hampir 30 tahun, namun pemikiran gadis itu bagaikan selari dengannya. “Alangkah bertuahnya saya…”
Rina Melati hanya tersenyum.
TERBELIAK mata Alia apabila terserempak dengan bapa mertuanya di majlis makan malam amal gabungan syarikat korporat Johor Bharu yang berlangsung di hotel Grand Bluewave itu. Dia menelan air liur melihat gadis muda itu memegang lengan Datuk Johan sambil berjalan memasuki dewan makan. Sudahlah begitu, warna pakaian pula sedondong. Cemburu juga hatinya apabila melihat banyak mata yang memandang ke arah gadis itu.
Kecantikannya memang tidak dapat dinafikan. Gadis itu seumpama seorang ratu yang menghadiri majlis itu. Bibir Alia tiba-tiba menyungging senyuman dan ketawa. ‘Biar padan muka emak mertua aku! Sombong sangat. Sekarang, suami dah kena heret dengan perempuan lain.’ Hatinya terasa puas menyaksikan peristiwa itu.
Alia mencelah-celah antara orang yang ada di situ, mengelakkan dirinya dari dilihat oleh bapa mertuanya. Dia meninggalkan majlis itu sebaik sahaja selesai upacara perasmiannya. Hatinya terkinja-kinja ingin bertemu dengan Datin Jazima untuk menceritakan hal itu. Biar hati ibu mertuanya meletup kerana marah dan geram.
Dia akan menceritakan kepada Datin Jazima, betapa cantiknya gadis itu mengenakan kebaya lace berwarna hijau yang sedondong dengan warna baju batik yang dipakai oleh Datuk Johan. ‘Bagai pinang dibelah dua.’ Itulah yang akan dikhabarkannya sambil melihat wajah ibu mertuanya yang sombong dan angkuh.
Dia tersengih-sengih sambil memandu bersendirian menuju ke rumah ibu mertuanya. Lama kelamaan, kesabaran ayah mertuanya terkoyak juga dengan sikap ibu mertuanya itu. Dia terus membayang-bayangkan pertengkaran yang bakal tercetus di antara ibu mertua dan ayah mertuanya nanti. Mesti perang besar! Dia sudah meneka kata-kata kesat yang akan dilontarkan oleh ibu mertuanya itu. Pasti berapi dan tajam. Dia terus tersenyum.


                      ~~~BERSAMBUNG~~~ 

Tiada ulasan: