Khamis, 20 September 2012

Novel:REDHA TAKDIRMU (BAB 15)





BARANG siapa yang bertaqwa kepada ALLAH, nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan ke-luar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.’ Berpegang kepada surah al-Thalaq ayat 2-3 itu, aku menghulurkan surat perletakan jawatan kepada ketua jabatanku. Jawatanku sebagai penolong akauntan. Kelayakan yang aku ada hanyalah sijil STPM sahaja. Namun, itulah yang dikatakan rezeki.
“Lidya! Keputusan awak muktamad ke? Boleh tak tunggu hingga Februari tahun depan! You tentu fahamkan. End off the year, kalau kerja di bahagian finance ni, semua report nak di submit.”  Itulah komen Mr.Teoh sebaik sahaja membaca surat perletakan jawatanku itu. Sebenarnya bukan aku tidak mahu meneruskan khidmat, tetapi aku takut Idham akan marah dan menyangka yang bukan-bukan. Aku lebih mementingkan kerja daripada seorang suami. Aku, isteri yang mengabaikan tanggungjawab. Itulah yang akan dikatakannya kepadaku.
“I dah janji dengan husband, Mr.Teoh! But I promise, I takkan tinggalkan kerja yang terbengkalai! Percayalah.” Aku bersuara perlahan. Aku masih duduk di kerusi, di hadapan Mr. Teoh. Meredakan hati yang kegelisahan, hujung lengan baju kurungku yang dipakai menjadi mangsa. Sekejap dilipat.  Sekejap dipintal-pintal hujungnya.
“Awak mana ada kerja yang terbengkalai Lidya. Semuanya beres. Semuanya ikut schdule! Very effiecent! Beri tumpuan yang sangat cemerlang terhadap kerja, tidak suka berlengah, selalu follow-up terhadap apa-apa tindakan yang telah dibuat.  Mana nak cari pekerja sebagus awak. Itulah saya kata, awak jangan berhenti! Awak sambung belajar sedikit lagi dalam bidang perakaunan, mungkin tak berapa lama lagi awak akan dinaikkan pangkat.”  Mr. Teoh memandangku, bagaikan memujuk. 
Aku menundukkan wajah sambil menyembunyikan senyuman kelat. “Mr. Teoh, saya…”  Hatiku benar-benar tersepit antara keinginan memajukan krierku atau rumah tangga dan suamiku, Idham. Teringat pesanan emak. Terkenang nasihat Safina. Tidak lupa kepada layanan buruk dan kelukaan demi kelukaan yang telah dilakukan oleh Idham terhadapku walau beberapa hari menjadi isteri. Sesungguhnya perasaanku terasa sangat sukar. Berpintal-pintal. Bergumpal-gumpal.  Mahu tidak. Berhenti. Tidak. Idham. Kerja. Idham. Kerja.  ‘Syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami!’ Entah mengapa, di dalam hatiku sentiasa teringat kata-kata itu. 
“Saya dah buat keputusan ini dah lama! Sejak saya bersetuju untuk bernikah! Saya minta maaf Mr. Teoh! Saya amat menghargai segala pengharapan dan pujian dari Mr. Teoh. Mr.Teoh akan dapat pengganti yang lebih baik dari saya,” mujur aku diberi kekuatan untuk membuat keputusan yang menunjukkan ketegasanku.
Lalu seminggu kemudiannya, aku kembali ke negeri asalku. Perak Darul Ridzuan, ke daerah kelahiranku untuk bersama dengan suami yang telah diamanahkan oleh ALLAH kepada diriku. Semua barang-barang telah dipindahkan terlebih dahulu.  Aku pulang sendirian hanya membawa batang tubuhku dan jiwa yang tidak menentu. Sepanjang perjalanan sewaktu di dalam bas ekspres, aku menangis mengenangkan perpisahan yang berlaku. Kawan-kawan yang terpaksa kutinggalkan.  Keceriaan, kebebasan dan kemerdekaan jiwaku barangkali.  Aku memasuki ke dunia yang terasing. Aku seolah sedang berjalan menuju ke penjara yang tidak kelihatan.

HAMPIR dua bulan aku menganggur. Setiap pagi aku menghantar pemergian Idham untuk bekerja hingga ke luar pagar. Bersalam dan mengucup tangannya menjadi satu kewajipan.
“Kunci gate! Jangan pergi ke mana-mana. Abang tidak izinkan!” Begitulah pesanan Idham pada setiap hari. Aku hanya mengangguk tanda faham dan akan mematuhi segala kehendaknya.  
Idham bekerja di sebuah syarikat kewangan. Apa jawatannya, berapa gajinya semua Idham rahsiakan daripadaku. 
Sepanjang ketiadaannya, aku terdampar di rimba sepi.  Yang ada hanyalah peti televisen, radio, kaset dan cakera padat sekiranya aku ingin mendengar lagu. Perkhidmatan telefon pun telah ditamatkannya kerana tidak mahu membayar bil yang jumlahnya hampir tiga ribu ringgit. Jika ada telefon boleh juga aku menghubungi adik beradik dan ibu bapaku untuk meleraikan rindu.
Aku teringat reaksi Idham ketika bil telefon sampai. “Gara-gara Lidyalah ni! Lepas nikah nak pergi kerja juga!  Abang kena call  Lidya hari-hari. Inilah padahnya! Abang tak mahu bayar. Biarkan. Lagipun Lidya dah jadi isteri abang.  Siapa lagi yang abang nak hubungi dengan telefon tu! Tapi kalau Lidya ada sapa-sapa yang hendak di contact tak tahulah pula!” Idham berkata dengan muka selamba dan menyelit sindiran tajam dalam kata-katanya.
Aku pula yang dipersalahkan. Dulu nasihatku tidak diendahkannya. Kononnya aku lebih mementingkan wang daripada dirinya.
“Lidya ada sesiapa yang hendak dihubungi ke?  Boyfriend lama ke? Abang tahu, dulu Lidya ada ramai boyfriend.” soal Idham. Sengaja mengusik resah dan rasa serba salahku.  Menguji dan menduga hatiku.
“Tak ada bang. Lidya dah ada abang. Yang lain tu semua tak penting.”  Bibirku tanpa diarah mengeluarkan jawapan itu sambil wajahku menunjukkan air muka ceria.
“Bagus! Ingat sikit Lidya, Lidya dah jadi isteri orang.  Jangan cuba nak hubungi sesiapa pun sama ada lelaki atau perempuan. Ingati mereka pun tak boleh. Mulai hari ini, putus! Saudara mara pun tak boleh hubungi tanpa keizinan daripada abang.” Idham bersuara tegang.
Aku yang sedang melipat kain ditakluki kebisuan. “Bang! Kerja untuk Lidya macam mana? Bila Lidya boleh mula kerja. Lidya rasa bosanlah, bang.” Aku mengalihkan tajuk perbualan.  Mataku melirik ke arah Idham yang sedang duduk di kerusi malas sambil menonton rancangan televisen.
“Lidya ni, asyik tanya pasal kerja hari-hari kenapa?  Duduk rumah ni Lidya tak makan ke?  Dah... jangan nak desak-desak abang lagi pasal kerja ni! Abang tak suka!” suara Idham tiba-tiba melengking. Terperanjat aku. Mengelakkan diri dari terus dimarahi, aku pura-pura bangun dan mengangkat kain yang sudah dilipat untuk disusun di rak.
“Kan abang dah kata, abang hanya izinkan jika Lidya dapat kerja di bank atau kerja-kerja yang melibatkan hal pentadbiran pejabat. Pejabatnya mesti berdekatan dengan pejabat abang.  Selain daripada itu abang tidak benarkan!”
Kecewa dengan bicara Idham, aku berlambat-lambat menyusun kain. “Nak pergi mana pulak tu? Orang tengah bercakap dengan dia, dia bangun. Kurang ajar! Tunggu dulu, abang belum habis cakap lagi.” suara Idham terus keras.  Matanya merah memandangku. Aku diburu oleh perasaan takut. 
“Minta maaf, bang.” Seperti seorang hamba yang takutkan rajanya, aku terus duduk bersimpuh di lantai, di hadapan Idham.
“Maaf! Maaf!” Idham bagaikan mengejek. Matanya terjegil.
“Lidya nak tanya lagi tak pasal kerja tu?”  Idham menekan suaranya.
“Tak mahu, bang. Maafkan Lidya, bang. Lidya tak tanya lagi.” Aku menjawab terketar. Lautan hatiku bergelora.  ‘Idham suka pukul isteri,’ kata-kata itu bagaikan terngiang di telingaku.
“Orang tanya apa, kamu jawab apa? Sepatah perkataan pun cukup! Bodoh!” Idham memarahi aku.
Hari itu entah kali keberapa dia melempar perkataan bodoh kepadaku. Aku memendam duka. Begitulah setiap hari. Ada saja yang tidak kena pada pandangan matanya terhadapku. Hari-hari aku dimarahi. Di sakiti hati. Namun, aku terus bersabar. Ketiadaan Idham di rumah merupakan kelapangan untukku. Setiap hari apabila jam di dinding menunjukkan pukul 4.00 petang, hatiku telah diburu perasaan bimbang. Aku takut dan meneka-neka apakah perkara yang akan menjadi punca kemarahan Idham sekembalinya dari pejabat nanti.
Kebosanan di rumah, pada suatu hari aku bercadang menggantikan cadar di katil. Waktu itu baru pukul 8.30 pagi. Kain baju telah aku basuh. Idham pun telah pergi bekerja.  Mula-mula aku mencari cadar di dalam almari pakaian Idham.  Aku terjumpa setnya yang berwarna merah jambu. Perlahan-lahan aku mengangkat tilam yang agak berat itu untuk menanggalkan cadar.
Di bawah tilam, ada sehelai tikar mengkuang lama yang sudah berhabuk. Aku pun bercadang untuk menyapu keseluruhan permukaan katil itu.Untuk itu aku perlu mengangkat tilam dan menyandarkannya ke dinding.  Termengah-mengah aku melakukannya sendirian. Tikar mengkuang aku gulung. Alangkah terkejutnya aku.
“Hah! Baju tidur siapa ni?” Aku mengangkat sehelai baju tidur perempuan yang sengaja dibentangkan di bawah tikar itu. Terbentang cantik. Baju tidur daripada kain cotton berwarna putih dan berbunga halus merah jambu dan biru itu aku angkat dan libas-libas beberapa kali. ‘Jangan-jangan ini baju tidur isterinya yang dulu!’ Tidak ingin berburuk sangka yang bukan-bukan aku memujuk hatiku. Baju tidur itu aku kembalikan ke tempat asalnya. ‘Esok baru aku bakar,’ itulah bisik hatiku. Tidak rela aku tidur di tilam yang dibawahnya ada pakaian wanita lain. Seorang wanita yang pernah berhubungan dengan Idham tentunya.
Air mataku meleleh apabila terjumpa pula sampul surat bersaiz A4 yang terisi dengan kertas-kertas kosong yang masih ada tandatanganku.  ‘Patutlah marah, apabila aku menyoalkan hal pekerjaan yang dijanjikan. Rupa-rupanya kertas-kertas ini disimpan di bawah tilam,’ begitu bisik hatiku. Harapanku untuk bekerja semula semakin pudar. Apa peluangnya yang ada? Mencari jawatan kosong melalui akhbar, jika ada pun aku perlu meminta keizinan daripada Idham terlebih dahulu untuk membuat permohonannya. 
Sampul surat itu aku biarkan di tempat asalnya. Aku tidak mahu, Idham syak yang aku telah mengetahui rahsia yang disimpannya. Rahsianya membohongi aku. Permintaannya untuk mendapatkan tandatangan pada kertas-kertas kosong itu hanya alasannya sahaja untuk memaksa aku balik kampung dan menemuinya.
Selesai mengganti cadar aku bercadang mengemas almari solek pula. Sudah beberapa hari aku bercadang untuk mengemas laci almari berkenaan sewaktu Idham ada di rumah. 
“Hah! Lidya nak buat apa tu?” Itulah terjahan soalan daripada Idham sebaik sahaja mendengar aku menarik laci.  Aku membatalkan niatku.
“Jangan nak mengelidah! Abang tak suka!” Lagi sekali Idham melukai hatiku dengan kata-katanya. Siapa aku dirumah ini? Siapa aku dihatinya? Seorang isteri tidak boleh bebas di dalam rumahnya?
Kebosanan ditinggalkan bersendirian di rumah menyebabkan keinginan untuk membersih dan mengemaskan laci kembali semula. Tambahan pula peluangnya ada. Hari masih terlalu awal. Belum sampai tengah hari. Ada beberapa jam lagi sebelum Idham pulang dari pejabat. Aku memulakan operasi pembersihan. Satu demi satu sampul surat yang tidak tersusun aku keluarkan dari dalam laci. Tiba-tiba mataku terpandang kepada sehelai surat tulisan jawi yang kertasnya sudah bertukar kekuningan. Tepi kertas itu telah bergerigi kerana dimakan lipas. Mujur aku tidak buta jawi. ‘Surat Cerai’
Aku membaca isi kandungan surat cerai itu dengan hati-hati dan dada yang berdebar. Ternyata itu surat cerai kepunyaan Idham. Penemuan itu tidaklah sampai mengguris hatiku kerana sememangnya aku telah mengetahui status Idham, sewaktu kami bernikah. Yang menjadi perhatian serta tandatanya di pemikiranku ialah mengapa nama yang tertera tidak sama dengan apa yang telah diberitahu oleh Idham kepadaku? Tahun perceraian juga tidak bertepatan dengan apa yang telah diceritakannya. Yang aku tahu, nama bekas isterinya ialah Nur Hidayah tetapi nama pada surat cerai yang aku jumpa ialah Asmahani.
Mengapa ini semua terjadi? Diriku, isterinya yang ke berapa?Beribu persoalan timbul di benakku, namun tidak mendapat jawapan. Aku tersesat di dalam rimba fikirku sendiri. Aku tahu sekiranya hal ini kutanyakan kepada Idham, tentu dia akan marah. Aku tidak akan mendapat jawapan.  Lalu aku berjanji dengan diriku, aku tidak akan bertanya kepadanya. ALLAH itu maha kaya. Suatu hari nanti, ALLAH akan menunjukkan kebenarannya kepadaku.
Mula-mula terjumpa baju tidur perempuan, kemudiannya terjumpa dengan surat cerai yang faktanya berbeza dengan apa yang diceritakan kepadaku. ‘Adakah aku telah dibohongi juga oleh lelaki ini?’ Begitulah bisik hatiku. 
Meskipun keinginan hatiku begitu mendesak untuk terus menyelongkar mencari misteri yang tersembunyi, aku menghentikan niatku itu. Bukan niatku untuk mencari rahsia yang disembunyikan oleh Idham dari pengetahuanku.  Tujuanku ialah untuk mengemas. Lagipun, kini aku telah menjadi isterinya. Cerita silamnya yang pahit, menjadi nostalgia dirinya sendiri. Itu haknya.
Namun, apa yang menjadi pertanyaan hatiku ialah mengapa Idham tidak bersikap jujur.  Menceritakan segalanya dengan terus terang. Aku rela menerimanya seadanya. Atau lebih baik lagi, jika dia ingin merahsiakan segalanya daripada aku, janganlah ditinggalkan sebarang kesan atau tanda-tanda kenangan lama di rumah itu. Lambat laun, aku yang telah menjadi isterinya akan menemui segalanya. Aku akan terluka sekiranya apa yang kutemui berbeza ceritanya dengan apa yang diceritakan oleh Idham kepadaku.
Selesai mengemas katil, aku mencari penyapu lidi. Jam menunjukkan angka 1.30 petang. Secara kebetulan hari itu aku uzur syarie. Tidak boleh menunaikan solat.  Aku bercadang untuk membersihkan habuk-habuk di bawah permaidani yang menghiasi seluruh ruang tamu. Bukannya apa, ada beberapa kali ketika aku berjalan di atasnya, aku merasakan permukaan permaidani tidak rata. Idham mungkin hanya membersihkan di permukaannya sahaja kerana tidak ada masa.
“Astaghfirullahilazim!Apa ni?” Beberapa keping foto di tersusun di bawah hamparan. Aku melihatnya satu demi satu. Perasaanku sebak. Hatiku semakin tercalar. Foto-foto wanita separuh bogel! Yang aku benar-benar pasti, wanita itu bukan bekas isteri Idham. Idham telah beberapa kali menunjukkkan kepadaku gambar bekas isterinya.
Semua gambar-gambar itu diambil berlatar belakangkan rumah itu. Katil itu. Kamar itu. Sedangkan menurut kata Idham, dia tidak pernah membawa mana-mana perempuan ke dalam rumah itu. Segalanya disediakan untuk aku yang akan menjadi isterinya.
Yang menyedihkan ada di antara fotonya, wanita itu berkembankan kain pelikat Idham. Coraknya kukenalinya benar kerana kain pelikat itulah yang sering dipakai oleh Idham sewaktu berada di rumah. Tarikh yang tertera pada foto itu jelas yang gambar-gambar itu baru berusia setahun lebih. Maksudnya waktu itu beberapa bulan sebelum kami mengikatkan tali pertunangan. Hatiku bagaikan kaca yang pecah ditangan. Dapatkah aku mengkhabarkan kepada dunia betapa hatiku benar-benar kecewa? Kehampaan amat dalam dan aku harus menyembunyikannya dalam diam.



                 ~~~~~bersambung~~~~~~~~~~ 

Tiada ulasan: