Di sambut oleh Wak Dollah di lapangan terbang, Aldi tidak sabar untuk
sampai ke rumah. Dalam perjalanan, dia asyik menceritakan tentang kehidupannya
di rantau orang. Tidak sedikit pun dia bertanya tentang Nurlisa. Perasaan
hatinya yang tersimpan terhadap gadis itu terus disembunyikan daripada
pengetahuan semua orang. Biarlah menjadi
rahsia sehingga satu waktu yang telah ditentukan oleh Allah. Begitulah bisik hatinya.
Tubuhnya dihempas atas katilnya yang empuk.
Matanya meliar melihat sekeliling. Hampir sepuluh bulan dia meninggalkan kamar
itu. Matanya terpaku kepada frame yang tergantung di dinding. Kedudukan frame itu sedikitpun tidak berubah.
Segala-galanya masih serupa. Senyuman Arishal pada gambar itu, bunga-bunga di
jambangan yang diletakkan di beberapa sudut bilik, komputer, set home theater dan semuanya tetap
sama.
Bangun dari baringannya, dia terus membelek
satu per satu barang-barang yang ada di dalam kamar itu, seolah ingin
melepaskan rasa rindunya melalui hujung jarinya. Berhampiran dengan katil yang beralas dengan
cadar beropol berwarna krim, tersandar kerusi rodanya yang masih dalam keadaan
baik. Dia mengusap-ngusap pemegang kerusi roda itu. Bayangan dirinya sewaktu
berada di kerusi itu bagaikan tertayang di depan matanya.
Dia tersenyum sendiri apabila teringatkan
keadaan dirinya yang terlalu mengikut emosi dan enggan mengakui takdir yang
ditentukan kepada dirinya. Mujurlah ada gadis tempang itu. Gadis berhati batu.
Sungguhpun begitu, gadis itu telah menyedarkannya dan akhirnya Aldi telah
memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk berubah. Hatinya lebih tenang
apabila dapat menerima qada dan qadar Allah dengan redha.
“Lisa!” Aldi menekan punat interkom.
Sementara menanti kedatangan Nurlisa ke kamarnya, dia mengeluarkan sesuatu dari
dalam begnya. Dia ada membeli sesuatu untuk gadis itu sebagai hadiah. Sekian
lama tidak bertemu, ada rindu yang tersimpan untuk gadis itu. Matanya yang
bening dan indah. Senyumannya.
Pertuturannya yang bersahaja dan selamba.
Segalanya tidak mudah dilupai begitu saja.
Lama menunggu, Nurlisa tidak juga muncul. Dia
keluar dari kamarnya dan menuruni tangga menuju ke dapur. Pada sangkaannya,
kabel interkom itu sudah rosak kerana lama tidak digunakan.
“Bibik! Wak! Lisa mana?” Deras suaranya
menyoal sebaik sahaja melihat dua orang lagi pekerja di rumah itu sedang berada
di dapur.
“Lisa dah berhenti,” jawab Wak Dollah pantas.
Matanya merenungi ke wajah Aldi yang tiba-tiba kelihatan muram.
Aldi cuba menutupi resah di hatinya. Dia cuba
menunjukkan wajah yang tenang. “Kenapa dia berhenti? Ada
apa-apa masalah yang timbul di rumah ini ke sewaktu peninggalan saya?” soal
Aldi dengan suara yang agak gementar.
Semangatnya seolah melayang.
“Keluarga dia hilang dalam kebakaran di kawasan setinggan tempat
tinggal mereka. Mayat mereka tidak dijumpai. Lisa berharap keluarganya masih
ada dan telah berpindah ke tempat lain. Masalahnya dia tidak tahu di mana? Mereka pun tidak pernah mencarinya di
sini. Mungkin mereka tak tahu
alamat vila ini.” Wak Dollah bercerita tanpa selindung.
“Lalu Lisa ambil keputusan berhenti kerja
untuk mencari keluarganya. Puas kami pujuk, tapi dia berkeras juga!” Bibik
Sunarti menyambung cerita Wak Dollah.
“Bila dia pergi?” soal Aldi lagi. Wajahnya
semakin muram.
“Dua bulan lepas, encik,” jawab Wak Dollah
lembut sambil matanya menyoroti wajah lelaki itu yang kelihatan mendung, tetapi
disembunyikannya.
“Kenapa tak ada siapa yang beritahu saya?”
Aldi sedikit merungut. Wajahnya bertambah muram dan hatinya kecewa.
“Ada perkara penting ke Di, yang perlu
disampaikan kepada Lisa. Nanti Wak Dollah tolong carikan dia sampai dapat.” Wak
Dollah menawarkan khidmatnya.
“Tak apalah, bibik, wak. Saya sekadar bertanyakan khabarnya sahaja,” ujar Aldi. Lelaki itu meninggalkan Wak Dollah dan Bibik Sunarti di dapur dan kembali ke kamarnya. Dari tingkap jendelanya, dia memerhatikan ke taman bunga yang keindahannya masih tetap meriah. Namun begitu, hari demi hari keindahan itu pasti akan luntur. Telinganya bagaikan terdengar suara Nurlisa yang asyik bercerita dengan riang, serta ketawa bersama Wak Dollah. Masih adakah peluang untuk dirinya mendengar hilaian tawa gadis itu, atau segalanya akan hilang bagai mimpi? Terhumbankah kerinduan yang selama ini tersembunyi di sanubarinya? Tanpa Nurlisa di rumah itu, hatinya seolah gelap kembali. Kerinduannya seolah tidak tertanggung.
Pertama kali Aldi menjejakkan kakinya di rumah orang tua arwah isterinya.
Entah mengapa, sekembalinya ke tanah air dia teringin menjenguk ke rumah bapa
dan ibu mertuanya itu. Tiba-tiba saja perasaan aneh timbul di hatinya.
Beberapa minggu sebelum kembali, dia telah
bermimpikan Arishal. Barulah dia teringat yang dia tidak pernah menzirahi ibu
dan bapa mertuanya selepas sahaja jenazah Arishal disemadikan. Hari Arishal disemadikan, dia masih berada di
ICU, di hospital luar negara kerana masih berada di dalam keadaan koma.
Rumah teres itu sunyi sepi sewaktu Aldi
memakirkan keretanya di perkarangan rumah. Mujur pintu pagar terbuka dan kereta
lelaki itu terus meluncur sahaja ke bawah porch
yang cukup-cukup memuatkan sebuah kereta.
“Assalamualaikum...” Aldi melangkah ke muka
pintu yang tertutup. Dia meninjau-ninjau di sekitar rumah jika ada penghuninya.
Sekali lagi ucapan salam dilaungkan dengan suara yang kuat.
“Waalaikumsalam!” Terdengar suara wanita
menjawab dan daun pintu di depannya terkuak. Wanita itu kelihatan agak terkejut
melihat Aldi. “Encik siapa?”
Aldi membuka kaca mata hitam yang dipakainya
dan terkedu dengan pertanyaan itu. Sememangnya dia tidak pernah bertemu dengan ayah dan ibu Arishal. Sewaktu
pernikahan mereka, Pak Cik Radzi dan Mak Munah enggan datang ke London. Mereka hanya memberi keizinan pernikahan itu
melalui surat. Aldi dan Arishal berwalikan hakim.
“Siapa tu Munah? Ajaklah masuk!” Beberapa
ketika lelaki yang bersuara itu muncul juga di depan pintu.
“Ini
rumah Arishal bt Radzi ke, mak cik?” Aldi sempat bertanya sebelum membuka kasut
di muka pintu.
Wanita tua itu menganggukkan kepalanya
perlahan. Air mukanya tiba-tiba bertukar muram. “Mak
cik emaknya!” Mendatar suaranya
menjawab. Matanya masih merenung lelaki yang berada di hadapannya. “Silalah
duduk, encik.”
“Saya Aldi!” Aldi memperkenalkan dirinya.
Matanya memandang wajah wanita tua yang berada dihadapannya. Ada iras-iras Arishal. “Mak...” Aldi terus
menyambar tangan wanita itu. “Ayah...” Tangan lelaki itu juga disambar dan
dikucup.
“Aldi!” Suara Pak Cik Radzi agak kuat.
Genggaman tangan Aldi cepat dilepaskannya.
Lelaki itu terkejut dengan kedatangan Aldi.
“Buat apa kamu datang sini? Anak kami dah tak
ada lagi!” Mak Munah bersuara agak kuat.
Pak Cik Radzi merenung ke wajah Mak Munah
sambil mengerutkan dahinya. Memarahi Mak
Munah dengan isyarat wajahnya.
“Maafkan saya mak, ayah. Saya langsung tidak
menjenguk mak dan ayah selepas Rishal tak ada.” Suara Aldi agak sayu. Arishal seolah berada di tempat itu bersama
dengannya. Dia tidak dapat membendung air matanya.
“Yalah! Apalah ada pada kami. Sudah tentu
kamu ada pengganti Rishal. Orang berduit. Anak orang ternama pulak tu. selama
ini, pada Arishallah kami gantung seluruh harapan!” Mak Munah menyuarakan kekesalannya.
Disebabkan rasa kesal, hatinya berasa tawar untuk membahasakan mak kepada
menantu yang tidak sempat dilihat paras rupanya.
Selepas sahaja urusan pengkebumian jenazah
selesai, tidak pernah ada seorang pun dari keluarga Datuk Haris datang
menjenguk mereka untuk bertanya khabar. Hal itu tambah melukakan hati Mak
Munah.
Aldi cuba bertenang dengan tuduhan yang
dilontarkan oleh bekas mertuanya. Bolehkah duit membeli kasih sayang, cinta?
“Mak... Sebenarnya selepas kejadian tu, saya tidak sedarkan diri beberapa lama.
Apabila saya sedar dari koma, segalanya telah hancur musnah.” Dia tidak dapat
menahan kesedihannya. Segalanya seolah baru berlaku.
Alangkah pilu rasa hatinya pada waktu itu,
apabila sedar sahaja dari komanya, dia diberitahu bahawa Arishal sudah selamat
dibawa pulang ke tanah air dan telah disemadikan. Tidak sempat dia menatap wajah Arishal buat kali terakhir. Alangkah sesal rasa hatinya kerana diri
sendiri terselamat. Segala-galanya tidak
bermakna lagi tanpa Arishal. Tuhan begitu kejam. Itulah yang dirasakannya pada
waktu itu dan untuk beberapa lama. Dia kesal dan kecewa.
“Sudahlah tu Aldi. Sudahlah. Syukurlah kerana
hari ini Aldi teringat untuk menjenguk kami.” Pak Cik Radzi menepuk-nepuk bahu
bekas menantunya itu.
“Pergilah maknya buatkan minuman untuk Aldi
ni. Sudahlah. Jangan disalahkan dia atas segala kejadian. Dia tidak
bersalah. Ini semua takdir,” ujar Pak
Cik Radzi.
“Mak dan ayah Adli, bagaimana? Sihat?” Pak
Cik Radzi bertanyakan khabar bekas besannya.
Aldi mengangguk-anggukkan kepala sambil
merenung ke wajah Pak Cik Radzi dengan mata yang masih berona merah.
“Hampir dua tahun saya duduk di kerusi roda
akibat kemalangan itu dengan perasaan yang amat tertekan! Puas ayah dan mak
saya membawa doktor-doktor dan pakar-pakar untuk merawat saya...” Suara Aldi
sedikit gementar sewaktu dia bercerita. Bukan niatnya untuk meraih simpati
bekas bapa mertua yang sudah dilupa sekian lama, tetapi Aldi mahu Pak Cik Radzi
dan Mak Munah memahami keadaan dan perkara sebenar.
“Apabila saya boleh berjalan kembali, saya
menyambung kembali pengajian saya yang terbengkalai dulu selama sepuluh bulan.
Minggu lepas baru saya balik ke sini. Mujur saya masih simpan alamat rumah ini.
Maafkan saya, ayah.” Aldi berasa lega sebaik sahaja berjaya meluahkan segala
isi hatinya.
“Sudahlah tu, Aldi. Ayah faham. Faham
segala-galanya. Janganlah kamu berkecil
hati. Mak kamu tu memang begitu. Orang
perempuan memang suka ikut perasaan. Sudah janjinya Arishal hendak sampai ajal
dengan cara begitu, di negara orang! Ikut mana pun janji Allah itu akan sampai
juga. Semuanya sudah ditakdirkan ALLAH,” nasihat Pak Cik Radzi panjang
lebar.
Aldi menganggukkan kepalanya dan menyetujui
apa yang dikatakan oleh bekas bapa mertuanya itu.
“Aldi dah bernikah lain ke? Tak bawa isteri ke sini?” Pak Cik Radzi mencungkil rahsia menantu yang
belum sempat dikenali hati budinya itu.
“Belum ayah,” jawab Aldi ringkas. Matanya melilau sekitar dinding ruang tamu
itu. Sebuah rumah yang sederhana. Jauh
bezanya jika dibandingkan dengan Vila Kencana Emas.
“Jemputlah minum. Ini sahaja yang ada. Pagi
tadi mak cik ada buatkan cucur udang. Silalah.” Mak Munah mengatur cawan kopi
dan piring yang berisi cucur udang berserta kuah kacangnya.
Pak Cik Radzi merenung wajah Mak Munah. Dia
berasa kurang senang dengan sikap Mak Munah yang masih berkeras, masih
membahasakan diri mak cik dengan Adli.
“Terima kasih. Mak, marilah minum sekali.”
Aldi mempelawa sambil tersenyum memandang ke wajah Mak Munah. Mak Munah yang
masih berwajah muram.
“Minum Aldi. Selepas tu, bolehlah kita pergi
ziarah pusara Arishal!” Pak Cik Radzi menghulurkan cawan kopi kepada Aldi.
Aldi menganggukkan kepalanya. Dia berjanji
akan bertanggungjawab terhadap keluarga itu. Ibu dan bapa mertua sama tarafnya
dengan ibu dan bapa sendiri. Walaupun isterinya sudah pergi untuk selamanya,
dia tetap akan mengambil tanggungjawab untuk memelihara keduanya sehingga ke
akhir hayat mereka.
Pak Cik Radzi melambaikan tangannya sambil mengucapkan selamat jalan kepada
Aldi yang bergerak meninggalkan perkarangan rumah itu. Ada perasaan sayu yang
menyusup masuk ke ulu hatinya. Dia teringatkan Arishal.
Masuk ke dalam rumah, Pak Cik Radzi tersandar
di atas sofa, di ruang tamu. Mak Munah turut berada di situ.
“Puas hati awak. Bukan semua orang berada
bersikap sombong. Saya tengok Aldi
tu elok budi pekertinya, merendah diri.” Puji Pak Cik Radzi. Dia menyeluk saku baju Melayunya. Tadi sebelum balik, Aldi sempat memasukkan
sesuatu ke dalam poket bajunya walaupun dia melarang.
“Tengok!
Betapa pemurahnya dia. Alhamdulillah... Awak simpan ni.” Pak Cik Radzi memasukkan
gumpalan kertas ke dalam genggaman Mak Munah.
Mak Munah meletakkan gumpalan kertas itu di
atas meja. “Aldi ada beri kepada saya juga.” Dia tidak dapat menahan rasa sebak
dan sedihnya di atas semua peristiwa pada hari itu.
“Saya tidak pernah pegang duit sebanyak ini,
bang. Dia beri saya RM1000.” Mak Munah bercerita dengan nada sayu disulami
tangisan. Dia mengeluarkan gumpalan kertas dari poket baju kurung Kedah yang
dipakainya.
Pak Cik Radzi mengambil kembali gumpalan duit
yang terletak di atas meja. Dia mengira helaian not 50 yang masih baru itu.
“Aldi, Aldi, semoga Allah memurahkan
rezekimu, nak. Moga terbuka
hatimu untuk beristeri lain. Ahamdulillah! Eloklah kita buatkan kenduri tahlil
untuk Arishal dengan menggunakan wang pemberian suaminya. Pada saya pun dia
beri RM1000 juga ni.” Cadang Pak Cik Radzi.
“Yalah, bang. Eloklah tu. Kita jemput Aldi sekali. Suruh Ida balik. Saya nak kenalkan dia dengan
Ida. Manalah tahu Ida boleh
ganti tempat Arishal di hati Aldi tu. Dapatlah kita terus bermenantukan dia.
Kacak, kaya.” Mak Munah mengemukakan cadangan. Sayang rasanya hendak melepaskan menantu yang
baik budi, kacak dan berharta ke tangan orang lain.
“Jangan ukur orang lain dengan harta yang
dimilikinya.” Pak Cik Radzi mengingatkan
Mak Munah yang kelihatannya ghairah benar dengan harta kekayaan Aldi.
“Pulak! Kalau tak ukur dengan kekayaan, nak
ukur dengan apa lagi, bang? Zaman sekarang ni, wang ringgit menjadi raja, tau
tak? Takkan nak biarkan anak gadis kita
yang cantik tu berkahwin dengan penoreh getah? Mana padan dengan si Ida tu!”
Mak Munah terus mempertahankan pendapatnya.
“Ha, itu tak betul. Tak baik mengimpikan
kekayaan dan rezeki yang dimiliki oleh orang lain. Selama ini rezeki kita cukup saja. Tak pernah
putus pun.” Pak Cik Radzi menegur Mak Munah yang terlalu taksub dengan harta
dunia.
“Memanglah ada. Tapi cukup-cukup saja. Kalau
lebih sikit, bolehlah saya beli rantai tangan sebesar ibu jari kaki ni.”
Terjuih bibir Mak Munah sewaktu mengungkap kata-kata itu.
“Malas nak layan awaklah. Lebih baik awak
buatkan saya kopi sebelum saya ke masjid ni!!”
~~~~~~~~~~~ bersambung~~~~~~~~~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan