Khamis, 20 September 2012

Novel :Kasihnya DIA ( BAB 16)


Bagaikan kemusnahan sebuah perkampungan akibat letusan gunung berapi atau gempa bumi, begitu jugalah dengan hati Khalid. Harapannya untuk bertemu kembali dengan Rina Melati kian punah. Remuk hatinya, sekembalinya dia ke Pulau Pinang, Rina Melati telah tiada. Rumah sewanya kosong.
Khalid cuba menjejaki gadis itu di tempatnya belajar dengan menyamar sebagai abang saudara gadis itu. Kenyataan yang didengar tambah memberatkan hatinya. Rina Melati @ Eryna Natasha telah dibuang dari pengajiannya. Khalid syak Rina Melati disingkirkan dari universiti itu kerana gambar-gambar separuh bogelnya telah tersebar ke pengetahuan pentadbir universiti. Kecewa kerana pencariannya tidak mendatangkan hasil, akhirnya dia berhijrah ke Johor.
Sewaktu berada di sana, dia melakukan apa saja kerja yang boleh memberinya pendapatan kepadanya. Jika dikatakan untuk mengisi perutnya, dia tidak perlu bersusah-susah. Tabungannya masih terlalu banyak. Dia bekerja sekadar memenuhi waktu dan menambah kenalan serta mencari gadis yang sangat dirinduinya. Rina Melati miliknya. Khalid Afandi. Bukan milik lelaki lain.
‘ Aku, Khalid Afandi. Tidak ada siapa yang dapat melarikan dirinya dariku, tanpa aku jejaki.’ Bibirnya merungut-rungut sendiri. Sambil berjalan matanya meliar ke sana dan ke sini.

 IKLAN JAWATAN KOSONG: JURUGAMBAR

Iklan mencari pekerja yang tertampal di hadapan sebuah studio gambar yang agak besar, menarik minat lelaki itu. Kakinya terus melangkah ke dalam kedai gambar itu untuk melamar jawatan yang ditawarkan. Sudah lama juga dia meninggalkan bidang itu. Semenjak berpisah dengan Rina Melati dan kehilangan gadis itu apabila dia kembali ke Malaysia. Gian pula rasa tangannya untuk menyentuh kamera.
“Ada pengalaman?” Lelaki China berkaca mata tebal menyoalnya.
Khalid mengangguk.
“Boleh kita cuba? Ambil gambar saya,” ujar lelaki China itu lagi.
Khalid tersenyum. Dia mencuba segala peralatan penggambaran yang ada di studio gambar itu seperti yang diarahkan oleh lelaki itu. 
Kesudahannya dia berjaya setelah lelaki China itu nampak berpuashati dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh Khalid. “Malam ini kita mula kerja!” Vincent Teoh merenung wajah Khalid yang sedikit berpeluh.
“Baik! Tapi di mana? Sudah tentu bukan di sini,” soal Khalid berterus terang. Mungkin dirinya bertuah, terus diterima bekerja.
“Malam ni, pukul 8.30 tunggu di sini. Kita pergi sama-sama.” Vincent Teoh membetulkan cermin mata yang melorot atas batang hidungnya. “Jangan lupa datang. 8.30 malam.” Sekali lagi dia mengingatkan Khalid sebelum lelaki itu keluar meninggalkan premisnya.
Khalid mengangkat tangannya tanda mengucapkan selamat tinggal.
DATUK Johan tersenyum meleret. Entah mengapa, kebelakangan ini dia seolah berada di dunia yang asing. Dunia yang amat indah. Peperangan yang baru tercetus antaranya dengan Datin Jazima seolah tidak memberi kesan di sanubarinya. Segala-galanya berpunca daripada perasaan cemburu isterinya itu. Entah perkhabaran dari siapa yang didengarinya, konon Datuk Johan asyik mengulit si cantik manis Rina Melati, eksekutif pemasaran di syarikat mereka.
“Awak pilih dia atau saya,” ugut Datin Jazima dengan matanya yang mencerlang.
Ugutan itu menyebabkan Datuk Johan ketawa agak kuat. Ketawa Datuk Johan yang bertali, mengusir Datin Jazima dari ruang tamu itu.
Malam itu, Datuk Johan bersiap-siap di hadapan cermin di dalam bilik tidur mereka. Sambil menyikat rambut matanya menjeling ke wajah Datin Jazima yang belum kurang mencukanya.
“Betul awak tak mahu ikut saya?” Sekali lagi Datuk Johan mengulangi pelawaannya untuk membawa isterinya itu ke majlis ulang tahun perkahwinan Datuk Mahboob.
Datin Jazima tidak menjawab walau sepatah kata. Hatinya terlalu luka. Entah mengapa kebelakangan ini dia terlalu sensitif walaupun perkara yang sangat kecil. Jika hendak dikatakan kerana simpton-simpton monopaus, dia telah lama monopaus.
“Ayah nak ke mana? Bergayanya ayah mertuaku.” Alia yang baru tiba di hadapan banglo milik Datuk Johan menyapa lelaki itu yang sedang menuju ke kereta.
“Raikan ulang tahun perkahwinan Datuk Mahboob,” jawab Datuk Johan sambil tersenyum. Langkah kakinya pantas bagaikan lelaki berusia 25 tahun.
Alia tersenyum penuh makna apabila melihat bapa mertuanya sendirian, tidak ditemani oleh Datin Jazima. “Hai, ayah tak pakai drebar malam ni?” tanyanya.
Datuk Johan tidak menjawab pertanyaan dari menantunya itu. Dia terus membuka pintu kereta dan menghidupkan enjinnya sebaik sahaja duduk di tempat pemandu. Beberapa saat kemudian, kereta Mercedes Benz yang dipandunya meluncur laju meninggalkan perkarangan banglo itu.
Alia masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam sebaik sahaja bunyi enjin kereta ayah mertuanya lenyap dari pendengaran. Pinggulnya terus dilabuhkan di atas sofa.
“Anas mana?”
Terkejut wanita itu sebaik sahaja duduk di sofa, suara ibu mertuanya menjerkah dari arah belakang. Alia menoleh. Datin Jazima berdiri di belakangnya dengan wajah yang mencuka. Sudahlah begitu bercekak pinggang pula.
“Abang Anas sibuk! Dia kata emak tak begitu sihat. Alia datanglah jenguk emak.”
Wanita itu merengus lalu meninggalkan Alia seorang diri di situ. “Lain kali, kalau Anas tak ada, Alia tak payah datang pun tak apa.” Suara Datin Jazima kedengaran sayup dari arah dapur.
Berdesing telinga Alia mendengarkan kata-kata ibu mertuanya. Terasa kehadirannya di situ tidak dihargai. Kulit wajahnya terasa tebal. Dengan perasaan marah, dia terus beredar dari ruang tamu sambil menghentak-hentakkan kakinya menuju ke pintu lantas keluar tanpa memberitahu Datin Jazima.
Datin Jazima terkejut apabila datang semula ke ruang tamu sambil menatang dulang yang mengandungi dua cawan teh panas serta beberapa potong kek lapis, Alia sudah tiada di situ. Deruman enjin kereta terdengar di telinga. Dia mencebikkan bibirnya. “Alah! Kau datang pun tidak diundang, kau nak balik pun aku tak halang. Kurang adab punya menantu, datang dan pergi begitu saja.”

KHALID kelihatan sibuk di dalam kamar gelap yang sesekali disuluhi cahaya berwarna merah. Dia melakukan tugasnya dengan tekun. Pengalaman yang lalu, menyebabkan tugasnya menjadi sangat mudah. Dulu, sewaktu memproses foto-foto Rina Melati, dia melakukannya dengan penuh minat. Sering sahaja dia berasa tidak sabar untuk melihat hasilnya.
“Buat dalam dua copy, warna dan hitam putih! Yang hitam putih, saiz besar.” Vincent Teoh mengarahkan. Kembali sahaja dari banglo tempat keraian tadi, mereka meneruskan tugas tanpa bertangguh lagi. Pagi esok, Datuk Mahboob ingin melihat hasilnya.
Dalam pada asyik memerhatikan imej yang terakam satu per satu, bola mata lelaki itu terlontar kepada sekeping foto yang masih lagi terendam di dalam bahan kimia. Imejnya semakin jelas apabila kepingan foto itu diangkat dari rendamannya dan dianginkan untuk mengeringkan cecair kimia yang melekat.
Dadanya berdebar. Dia semakin rakus melihat foto itu satu demi satu. Memang banyak foto yang merakam orang yang sama. ‘Bagaimana aku tidak perasan tadi.’ Hatinya berbisik. Mungkin dia sibuk merakamkan foto di dalam rumah, manakala foto-foto yang sedang diprosesnya itu dirakam oleh Vincent, berlokasi di luar banglo yang dihias indah dengan lampu-lampu berwarna warni dan bunga-bungaan beraneka warna. Bagaikan berpesta di dalam taman.
Bibirnya mengukir senyuman penuh makna. Pencariannya membawa harapan. Rina Melati. Sejauhmana kau berlari, pasti aku berjaya menjejaki. Aku, Khalid Afandi. Keterujaannya untuk melihat imej-imej yang dirakam tadi, membuatkan dia melakukan tugas dengan tekun.
Vincent pun kagum melihat cara Khalid bekerja. Penuh tumpuan dan minat yang sangat mendalam. Lelaki China itu rasa beruntung kerana memiliki pekerja yang nampaknya sudah berpengalaman di dalam bidang itu.
“Siapa lelaki ini? Diakah Datuk Mahboob?” Khalid berpura menanyakan Vincent Teoh yang menghampirinya sambil menunjukkan imej lelaki yang terakam bersama dengan gadis yang sedang dirinduinya. Hangat pelukan gadis itu disaat akhir mereka bertemu masih terasa.
“Eh, bukan. Dia bukan Datuk Mahboob. Yang itu Datuk Johan.Yang ini Datuk Mahboob,” ujar Vincent Teoh sambil menunjukkan sekeping foto yang baru kering. Datuk Mahboob berperut gendut di sebalik baju batik lengan panjang yang dipakainya.
“Ini orang ada satu bangunan. Aiya... saya sudah lupa berapa tingkat. JJ Holding!” Tanpa dipinta, Vincent Teoh bercerita. Dia pun ingin memiliki bangunan seperti Datuk Johan juga. Yang dia tahu, lelaki itu seorang lelaki yang berjaya, kaya dan berpengaruh di bandar itu. “Dia sangat kaya. Ada ladang sawit, nenas, kilang tayar, kilang perabut.  Bisnesnya besar.” Nampaknya Vincent Teoh begitu mengenali Datuk Johan.
“Perempuan ni, dia punya nyonya?” Khalid menyoal sambil menunjukkan gambar Rina Melati. Hatinya diwarnai rasa cemburu. Datuk Johan dan Rina Melati sentiasa bergandingan dan nampak begitu mesra.
“Itu perempuan sangat muda, lawa. Mana-mana orang kaya pun pasti mahu simpan.” Terjuih senyuman di bibir lelaki China itu sewaktu mengungkapkan kata-kata itu.
Jiwa Khalid semakin terbakar. Kata-kata itu menyakitkannya. Bagaikan tertusuk hatinya dengan sebatang busar. Rina Melati menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki tua? Adakah itu realiti atau sekadar tekaan lelaki China yang sedang berada bersamanya itu sahaja.
“Esok, pukul 10.00 pagi mesti hantar foto yang telah siap ini kepada Datuk Mahboob.” Lelaki China itu mengarahkan Khalid. Dia sendiri sudah beberapa kali menguap. Matanya memerhati jarum jam di lengan kiri yang menunjukkan waktu menghampiri 1.00 pagi.
Khalid meneruskan kerjanya tanpa rasa kantuk. Satu demi satu foto Rina Melati yang sudah siap diproses ditatapi. Mungkinkah dia akan menangis, meratapi takdir kesedihan yang memahat luka-luka cinta yang tak kesampaian bersama gadis itu.
‘Ah! Aku Khalid Afandi,’ bisik Khalid sambil menepuk-nepuk dadanya dengan keyakinan setinggi langit. 



        ~~~~~~~~~~ BERSAMBUNG~~~~~~~~~ 

Tiada ulasan: