"ASSALAMUALAIKUM...” Suara di depan pagar mengejutkan aku. Aku tergesa menuju ke pintu untuk menyambut kepulangan Idham. Setiap hari aku harus begitu. Menunggunya dimuka pintu. Berdandan rapi. Harus berwajah manis, walaupun hati sedang terhiris.
“Lidya buat apa? Tidur ke?” Begitu soal Idham sebaik sahaja aku mengucup tangannya. Dia menghulurkan aku beg plastik berisi buah-buahan yang dibeli sewaktu perjalanan pulang. Buah lai memang menjadi kegemarannya.
“Tak bang! Lidya sedang siapkan minuman petang.” Aku menatap wajah Idham sambil tersenyum.
Idham duduk di sofa sambil menghulurkan kakinya kepadaku. Seperti seorang sahaya, aku menanggalkan stokin daripada kakinya. Stokin berwarna hitam sedondong dengan seluar yang dipakainya. Dia mengenakan baju kemeja lengan panjang berwarna kelabu pada hari itu.
“Ada buat air untuk abang?”
Idham menyoal sambil membuka baju kemejanya. Dia bangun daripada sofa dan
menuju ke dalam bilik.
Aku meluru ke dapur lalu mengambil tea o limau yang telah aku sediakan dan disimpan di dalam peti sejuk. Mug yang berisi tea o limau itu aku letakkan di meja makan di dapur.
“Lidya tukar cadar ke? Buat apa Lidya tukar semua tu? Kan bersih lagi! Lain kali tak payah salin selagi abang tak suruh.” Idham bersuara kuat sebaik perasan aku telah menukarkan cadar katil.
Aku menghampiri Idham dengan dada yang berdebar. Aku takut dia bertanyakan apa-apa yang telah aku jumpa di bawah tilam.
“Lidya ni cari penat saja. Duduk di rumah berehatlah. Sebelum ni kan dah puas kerja. Kerja tak habis-habis. Overtime pagi petang. Sekarang ni, bila dah kahwin dengan abang, abang suruh Lidya rehat. Tak payah buat kerja yang bukan-bukan pula.” Suara Idham semakin kendur. Nampaknya dia berpuas hati dengan cara aku menyusun bantal di atas katil. Dia menuju ke dapur lalu menghirup tea o limau yang aku sediakan.
“Abang, Lidya ada buat kuih cucur badak untuk petang ni! Tapi Lidya belum goreng lagi. Abang nak minum petang pukul berapa? Waktu itu baru Lidya goreng. Makan panas-panas baru sedap.” Aku mengalih topik perbualan. Aku mengambil baju kemeja di tangan Idham dan memasukkannya ke dalam bakul tempat menyimpan pakaian kotor.
“Gorenglah! Abang nak mandi dulu. Lepas abang sembahyang asar, bolehlah kita minum bersama.” Idham mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi.
Sambil menggoreng, hatiku runsing. Aku benar-benar rasa terganggu dengan foto-foto yang aku temui tadi. Jika ditanya, mungkin mendatangkan bencana. Jika didiamkan saja, hatiku akan jadi tidak tenteram. Sebenarnya aku bimbang sekiranya wanita di dalam gambar itu adalah kekasih Idham. Mengapa Idham tidak menikahinya? Jika sudah sanggup bergambar begitu, tentu wanita itu terlalu menyintai Idham. Wanita, kadangkala sanggup berkorban apa saja untuk membuktikan cinta mereka kepada lelaki.Adakah aku telah merampas kekasih orang? Merebut hak orang? Sungguh, hal ini tidak bersesuaian dengan jiwaku.
Aku menghidangkan juadah minuman petang di atas meja kayu bulat yang di letakkan di bawah pokok jambu air di belakang rumah. Suasana redup pada petang itu diiringi pula oleh desiran angin yang sesekali bertandang menimbulkan kenyamanan.
Idham duduk di kerusi bulat yang sememangnya untuknya. Kerusi yang tiada penyandarnya. Tea tarik yang masih berbuih dihirupnya perlahan.
“Mengapa diam saja ni?” Idham menerjahku dengan soalan. Tangannya mencapai sebiji cucur badak lagi. Sudah enam biji cucur badak masuk ke perutnya.
“Tak ada apa-apa.” Aku bersuara perlahan sambil berpura menuangkan air minuman untukku.
“Selalu tu, bila abang balik, Lidya ceria saja. Hari ini kenapa berlainan?” Idham terus memandang kepadaku.
“Ingat pada emak ke? Atau ingat kawan-kawan lama di pejabat?” suara Idham semakin kuat. Renungannya semakin tajam.
“Tak ada ingat sesiapa bang.” Aku terus menyembunyikan lagi. Aku berharap Idham akan mempercayai apa yang aku katakan. Aku menunjukkan wajah yang selamba.
“Lidya, abang dah banyak makan garam! Dah lama hidup! Pernah beristeri! Abang tahu Lidya menyembuyikan sesuatu. Lebih baik Lidya beritahu, sebelum abang dapat mencari jawapan yang menyebabkan Lidya runsing!” Idham memang pandai memerangi saraf orang lain.
“Lidya takut abang marah!”
Aku mula membuka ruang untuk bercerita.
“Berapa kali abang nak beritahu. Marah memang dah tak ada dalam kamus hati abang. Jika cara percakapan abang yang kasar ini, membuatkan Lidya menyangka abang marah, Lidya silap. Itu memang karektor abang. Kena terimalah! Abang suami Lidya.” Idham menghirup teh tarik di depannya.
Aku tidak dapat mencari nilai keikhlasan Idham dalam kata-katanya. Namun, kata-kata itu menyebabkan aku memberanikan diri untuk mengambil sampul surat yang berisi foto-foto yang telah aku jumpa tadi. Sampul surat itu aku hulurkan kepada Idham.
Terbelalak biji mata Idham. Dia bangun berdiri lalu melihat gambar itu satu per satu. Sinar kemarahan terpancar di matanya. Dia masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Aku mengekorinya.
“Di mana kamu jumpa semua
gambar ini hah!” Suara Idham keras. Tangannya yang keras terus mencengkam
lenganku.
Aku tidak dapat mengimbangi tubuhku lalu terdorong ke tubuhnya.
Idham menolak aku ke dinding dengan kasar. Dia meninggalkan aku seorang diri dan ke luar rumah semula. Mungkin cuba menenangkan hatinya.
Tiba-tiba saja aku teresak. Aku tersentak dengan perlakuan Idham. Baru tiga bulan menjadi isteri, tergamak dia mengasari aku? Bagaimana hari-hari mendatangku? Adakah aku akan terus dikasari seperti itu atau lebih teruk lagi?
“Cakap! Sekarang Lidya nak tanya abang apa mengenai gambar-gambar ini!” Idham menghampiriku kembali dengan bercekak pinggang. Esakanku sedikit tidak dipedulikannya.
“Abang beritahu dengan Lidya,
rumah ni abang sediakan untuk Lidya. Tak pernah mana-mana perempuan pun masuk,
kecuali Lidya! Tapi gambar-gambar tu...” Aku tidak dapat meluahkan seluruh
perkataan yang ingin aku katakan.
Idham menghampiriku lalu memulas telingaku pula. “Eh!!! Apa yang kamu kisahkan soal gambar tu? Sekarang ni siapa yang berada di dalam rumah ini? Dia ke kamu?” Idham mengoncang-goncang kepalaku dengan kedua belah tangannya. Seolah kepalaku buah kelapa muda.
Aku terus teresak. “Lidya tak mahu jadi perampas hak sesiapa pun!” Dalam tangisan yang belum reda, aku menyuarakan isi hatiku walaupun dengan perasaan takut.
Idham melepaskan tangannya
daripada memegang kepalaku. “Ya ALLAH, Lidya! Aku ingat kamu bijak! Mengapa
kamu bodoh sangat ni! Sepatutnya kamu bersyukur, aku berkahwin dengan kamu! Aku
telah pilih kamu. Tidak pilih dia. Kamu
yang terbaik, antara yang baik, tau tak?
Kalau abang tak kahwin dengan dia, tentulah ada sebabnya. Biarlah dia nak bergambar macam mana pun! Walau tidak memakai seurat benang pun! Kalau abang tak mahu, siapa tak boleh paksa. Kalau abang mahu tak siapa boleh halang! Faham!” suara Idham beransur kendur apabila melihat tangisanku masih belum reda.
Aku ternanti-nanti Idham datang kepadaku. Mendakap dan membelai tubuhku sambil meminta maaf, namun aku hampa. Air mataku seolah tiada harga baginya.
“Jangan cuba nak bercerita kepada sesiapa mengenai hal ini! Sama ada famili abang atau famili kamu! Dan kepada sesiapa juga! Sampai mati kamu harus simpan rahsia ini!” Idham memberi amaran kepadaku sambil menudingkan jari telunjuknya ke wajahku. Tangannya digoyangkan berkali-kali. Menandakan amarannya itu amat keras, tidak boleh dibantah.
“Last warning! Jangan cuba menggelidah apa-apa di dalam rumah ini! Kenangan lama abang jangan Lidya ungkit!.” Suara Idham bertambah keras.
“Lagipun tak ada siapa pun yang akan percaya kepada cerita kamu! Cerita itu akan kembali kepada aku! Dan awas sekiranya ia berlaku!” Idham menjegilkan matanya kepada aku.
Aku berdiri di hadapannya
dengan perasaan yang amat takut.
“Kamu nak cerita tak? Dah buat salah tak mahu minta maaf cepat-cepat! Isteri jenis apa ni?” suara Idham kembali melengking.
Ketakutan yang menggila di jiwa menyebabkan aku terlupa hati budi suamiku. Idham yang sentiasa ingin diistimewakan. Mesti berada di tempat yang tinggi di hati seorang isteri. Isteri atau wanita terlalu rendah pada pandangan matanya. Lalu sang isterilah yang harus tunduk dan memohon kemaafan, menyalahkan diri sendiri serta merelakan segala kemarahannya.
“Lidya minta maaf, bang. Lidya janji, Lidya tak akan menceritakan apa-apa pun mengenai rumah tangga kita kepada orang lain, bang! Lidya tahu hukumnya. Berdosa besar,” suaraku bersulam tangisan.
“Cukup! Tak payah nak cakap panjang-panjang. Jangan nak sebut pasal hukum-hakam. All nonsence! Cakap manis, kemudiannya jadi lain. Racun!” Idham memintas percakapanku dan merungut sendiri. Rupa-rupanya dia ada rasa dendam pada seseorang. Mungkin pada bekas isterinya. Tetapi mengapa aku yang menjadi mangsanya?
~~~~~~bersambung~~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan