Khamis, 27 September 2012

Petikan Novel:Kasihnya DIA (Bab 17)


JAM dilengan kirinya menunjukkan pukul 1.20 pagi. Alia masih berada di hadapan blok kondominium di Jalan Desaru. Hampir 25 minit dia berada di luar pintu pagar yang mengelilingi blok-blok kondominium itu. Tidak berapa lama kemudian, bibirnya mengukir senyuman apabila melihat Mercedes Benz milik bapa mertuanya meluncur masuk dan berhenti di pondok pengawal beberapa ketika.
Dia pasti bapa mertuanya itu tidak perasan keretanya yang sedang diparkirkan tidak jauh dari pondok pengawal. Dia keluar dari kereta seraya mengunci pintunya. Dia berjalan perlahan sambil membimbit beg tangannya dengan tangan kanan. Keinginannya untuk mengekori bapa mertuanya dibatalkan. Dia berpatah balik ke kereta. Dia menunggu disitu hampir sepuluh minit, namun kereta Datuk Johan masih belum keluar dari kawasan kondominium itu. Dia menunggu lagi dengan sabar. Hampir 15 minit, namun kereta Merzcedes bapa mertuanya itu tidak juga keluar semula. Sekali lagi melintas fikiran nakalnya untuk mengajar ibu mertuanya yang angkuh dan sombong.
Alia meraba telefon bimbit di dalam beg tangan lalu membuat panggilan telefon. Setelah itu, dia menghidupkan enjin kereta dan pulang ke rumah dengan perasaan yang puas. Wajah ibu mertua yang bongkak, terbayang diruang mata. Dia ketawa sendiri sambil meneruskan pemanduan.
Setibanya di rumah, Anas juga baru pulang. Entah dari mana, Alia tidak pernah memeriksa. Dia tidak pernah mengongkong pergerakan suaminya itu, asalkan Anas memenuhi tanggungjawabnya sebagai suami. Anas pun tidak pernah mengawal pergerakannya, walaupun dia balik jauh malam.
Asalkan pulang ke rumah dan tanggungjawab sebagai isteri tidak terabai, itu sudah memadai. Jarang-jarang mereka bertengkar pun. Boleh dikatakan, Anas dan Alia saling memahami.
Keesokan paginya barulah dia bercerita tentang ibu mertuanya kepada Anas. Tentang Datin Jazima yang meradang kerana Anas tidak datang menjenguknya. Alia juga bercerita tentang bapa mertuanya yang segak bergaya bagaikan anak teruna sewaktu ke majlis ulang tahun perkahwinan Datuk Mahboob.
“Saya rasa mesti ayah bawa Rina Melati bersamanya ke majlis itu,” ujar Alia sambil menuangkan air Nescafe ke dalam cawan.
“Rina Melati? Awak ni jangan memandai buat cerita, Alia!” Anas menjawab acuh tidak acuh. Wajah Alia dipandanginya sekilas.
“Betullah. Dulu pun ayah pernah bawa dia sekali. Di Hotel Grand Bluewave. Saya ada di majlis tu.” Baru hari ini Alia bercerita kepada Anas berkenaan dengan peristiwa itu.
“Lepas itu awak ceritakan kepada emak? Patutlah emak berperang dengan ayah.” Anas menjeling Alia dengan ekor matanya.
Alia mengangguk. Hatinya berasa puas kalau dapat menyakitkan hati ibu mertuanya yang sombong dan bermulut celupar itu. Dia yakin hati ibu mertuanya kini bagai disalai dengan api. Maklumlah, suami menjalin hubungan dengan wanita lain. Muda dan cantik. Tidak ada wanita bergelar isteri di dalam dunia ini yang rela suaminya mencurahkan kasih sayang kepada wanita lain.
“Awak ni, Alia! Lain kali jangan cerita apa-apa kepada emak tu! Emak tu, tua-tua pun kuat cemburu! Panas barannya tak habis-habis.” Anas mula meleteri Alia kerana berasa tidak puas hati dengan kelakuan isterinya itu.
“Kenapa abang marahkan saya pula? Niat saya baik. Supaya emak berhati-hati menjaga ayah. Jangan suka naik angin tidak tentu pasal. Lama-lama ayah akan bosan dan cari perempuan lain buat teman bermanja!” Alia bersuara perlahan dan lambat-lambat. Tersentuh pula hatinya, dileteri suami pagi-pagi begitu.
“Sudahlah, Alia. Yang dah lepas tu biarkan. Yang akan datang ni, awak jangan suka sampaikan apa-apa cerita ayah kepada emak. Biarlah ayah tu nak berkepit dengan siapa pun. Nak bernikah dua, tiga... ayah tu ada kemampuan.” Sambung Anas lagi sambil menghabiskan sisa minumannya.
Baru bangun dari kerusi, telefon di ruang tamu pula menjerit-jerit minta dilayani. Anas menjawab panggilan itu. “Haaaa! Apa mak? Hisy!” Gagang telefon diletakkan. Anas bercekak pinggang seketika sewaktu Alia datang menghampirinya. Dia merenung ke wajah isterinya, Alia. Sukar untuk mempercayai kata-kata emaknya tadi. Mustahil ayahnya berkelakuan seumpama itu. Mesti ada kesilapan di mana-mana.
“Ayah kena cekup dengan pegawai pencegah maksiat ke?” tanya Alia.
Soalan dari Alia diiringi senyuman menjadi tanda tanya di benak Anas. “Macam mana awak tahu?” Anas menyoal isterinya itu. Matanya merenung Alia yang berpura menuang Nescafe ke dalam cawannya.
 “Alah! Saya teka sahaja. Kan selalu jadi begitu. Dah resam dunia.” Alia memberi alasan. Menyesal dengan keceluparan mulutnya tadi yang nyaris membocorkan tembelangnya.
“Mustahil! Ini mesti perangkap. Takkan ayah hendak berkelakuan begitu. Ayah tu dah tua.”
“Hai bang, memanglah ayah tu dah tua, tetapi biasalah orang lelaki ni, tua macam mana pun kalau kena pujuk rayu dengan perempuan semacam...” Percakapan Alia terhenti kerana tiba-tiba pula dia terlupa nama gadis yang sedang difitnahkannya itu.
 “Rina Melati.” Anas menyampuk cuba membantu. Di matanya membayangkan Rina Melati.
“Ya! Rina Melati tu cantik! Gebu! Semua orang terliur melihatnya. Ayah tu, tua-tua pun nafsunya belum kering lagi!!” kata Alia mempertahankan pendapatnya.
“Emak pula bukan nak layan ayah. Asyik nak marah dan membebel tiap hari. Bosanlah ayah. Mestilah dia nak cari perempuan lain untuk menghiburkan hatinya. Ayah tu berharta, bang. Semua dia boleh beli.” Sambung Alia lagi sambil tersenyum lebar.
“Alia, saya tidak suka awak bersikap begini. Selidik dulu baru bercerita. Ini soal maruah ayah saya. Ayah mertua awak juga. Jangan mengaibkan orang,” kata Anas. Sungguh pun begitu, dia tidak menafikan kata-kata Alia. Dia sendiri pun terliur apabila melihat senyuman gadis itu.
“Kalau tidak percaya, abang telefonlah pejabat agama. Abang tanya kepada pegawai yang bertugas semalam.” Alia memberi pendapat.
Anas, tidak menjawab walaupun musykil dengan pendapat isterinya itu yang seolah terlibat sama di dalam kes itu.
Rina Melati memendam rasa pilu di dalam hatinya sejak subuh tadi. Hari ini dia melangkah menuju ke pejabat dengan langkah yang sumbang. Peristiwa subuh tadi, benar-benar mengganggu perasaannya. Dia berasa sangat malu. Namun mujurlah, Datuk Johan kelihatan tenang melalui segalanya. Datuk Johanlah yang telah memujuknya.
Baru sahaja dia sampai di pejabat, seorang wanita datang menyerangnya. Wanita itu datang bercekak pinggang dan memaki hamunnya. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan kepadanya. Mujurlah Datuk Johan datang menyelamatkannya apabila mendengar suara riuh rendah di dalam pejabat itu. Wanita itu dibawa masuk ke dalam bilik Datuk Johan.
Rina Melati pun ikut sama. Tidak berpeluang mengamuk dengan Datuk Johan di rumah, Datin Jazima datang ke pejabat pula untuk bertemu muka dengan suami dan gadis yang dicekup bersama suaminya itu.
“Abang ni tak tahu malu ke? Pada anak? Pada menantu? Pada cucu?” Wanita itu terus menjerit sebaik sahaja pintu bilik dikunci dari dalam oleh Datuk Johan. Dari semalam Datuk Johan tidak balik ke rumah. Tiba-tiba dia menerima panggilan telefon entah dari siapa yang memberitahu suaminya itu ditangkap khalwat pada jam 3.00 pagi di kondominium mereka bersama dengan Rina Melati.
“Melati, perkenalkan isteri saya, Datin Jazima.” Datuk Johan bersuara tenang.
Rina Melati cuba menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan wanita itu, namun tidak disambut oleh wanita itu.
“Datin, saya minta maaf.” Suara Rina Melati gugup dan tergagap. Walaupun kesalahan bukan di pihaknya, namun sebagai orang yang jauh lebih muda daripada wanita yang sedang naik angin itu, dia wajar merendah diri.
“Eh! Kamu ni tak tahu malu ke. Ada hati nak rampas suami orang? Banyak lagi lelaki-lelaki muda di luar sana yang sesuai dengan kamu! Yang boleh kamu goda! Yang boleh kamu angkut sehingga ke atas katil! Mengapa kamu hendak ambil datuk juga? Kamu nak kikis harta bendanya?” Datin Jazima menjerit-jerit bagaikan orang tidak siuman. Tangannya tergawang-gawang cuba menampar Rina Melati, namun tidak berjaya kerana Datuk Johan memegang tangannya yang meronta itu.
Rina Melati hanya membisu dan sempat memandang Datuk Johan sambil tersenyum pahit.
“Melati boleh pergi sekarang. Buat kerja macam biasa.” Masih dengan ketenangannya, Datuk Johan menyuruh gadis itu keluar. Dia faham hati Rina Melati pada waktu itu. Di mata gadis itu tersimpan rasa sedih apabila mendengar kata-kata yang dilemparkan oleh isterinya itu. Mata Rina Melati yang berkaca memilukan hati lelaki itu. Dia benar-benar rasa bersalah terhadap Rina Melati yang menjadi mangsa kemarahan isterinya.
 “Baik, Datuk. Terima kasih,” jawab Rina Melati dengan suara yang sebak sambil menahan air mata daripada tertumpah. Dadanya bagaikan terhimpit oleh batu yang sangat besar. Dia rasa terhina sangat.
Mata Datin Jazima mengiringi susuk tubuh gadis itu dengan jelingan. Bagaikan terbakar hatinya melihat lenggang lengguk gadis itu dari arah belakang. Patutlah suaminya tergoda dan terasa diri kembali muda. Walaupun memakai baju kebaya moden yang longgar, susuk tubuh gadis itu tetap kelihatan seksi dan menggoda.
“Ceraikan saya! Saya malu dengan perangai awak! Dah tua-tua ditangkap oleh pegawai pencegah maksiat kerana berkhalwat Saya malu! Malu!”
Datuk Johan merenung Datin Jazima yang sedang marah. Dia mengeleng berkali-kali. Entah bagaimana berita itu boleh sampai ke telinga isterinya. Berita itu tidak seharusnya bocor kepada sesiapa pun.  
“Perangai awak tak pernah berubah. Suka bersangka buruk, cemburu, pendendam. Dari muda sampai tua tidak ada bezanya.” Datuk Johan meluahkan perasaan tidak puas hatinya. “Tuduhan awak itu tidak benar!” Datuk Johan cuba membela diri. Matanya merenung Datin Jazima. Wajah isterinya itu tetap masam dan muncung.
“Melati tidak bersalah. Saya yang bersalah. Saya yang hendak hantar dia balik. Saya yang ajak dia teman saya ke majlis itu. Saya yang hendak usung dia ke hulu dan ke hilir. Bukan dia yang menggoda saya tetapi saya yang sedang menggoda dan menawan hatinya!”
“Awak dah kena guna-guna!” tuduh Datin Jazima. Suaranya kuat.
“Tak payah guna-guna pun saya memang tidak boleh lupakan dia walaupun sesaat! Senyumannya, tutur kata dan kelembutannya! Saya berasa dihargai bila di sampingnya!” Datuk Johan terus menitipkan kata-kata itu tanpa berselindung. Matanya memerhatikan wajah Datin Jazima yang seolah ingin menerkam kepadanya.
“Ubah sikap awak! Jadilah seorang isteri yang menyenangkan hati saya. Jangan sakiti hati saya. Saya suami. Jika tidak, segala sangkaan awak akan jadi kenyataan. Awak tengoklah nanti! Pisau dan timun ada di tangan saya!” Suara Datuk Johan semakin tegas. Bosan dengan telatah isteri yang kuat cemburu tidak menentu. Kemewahan yang ditaburkan kepadanya, tidak mendatangkan kesyukuran bahkan bertambah sombong dan angkuh.
 “Johann!!!Ahhhhh!!!” Datin Jazima tidak dapat mengawal kemarahannya lalu memekik memarahi Datuk Johan, setelah itu menghentak-hentakkan kakinya lalu keluar daripada bilik suaminya itu. Bibirnya merungut-rungut sendiri.

                            ~~~~~ bersambung~~~~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan: