Ain Wahida membuka kembali baju yang dipakainya. Skirt potongan lurus dan berbelah di belakang
itu dirasakannya tidak sesuai. Tambahan pula warnanya yang biru tidak begitu
garang. Mahu bertemu dengan seseorang yang istimewa biarlah memakai pakaian
yang berwarna terang dan garang.
“Hai! Pakai baju kurung sahaja. Senang
cerita. Dah dua almari baju yang kau cuba, semuanya tak kena.” Linda yang sedang meniarap di atas tilam
sambil membelek majalah fesyen dari luar negara menegur. Pelik dengan telatah
teman seapartment yang asyik mencuba pakaian dari petang tadi.
“Takkan model terkenal ingin bertemu dengan
anak datuk untuk makan malam, nak pakai baju kurung pula! Sorry!”
Ain Wahida menjawab dengan nada bergurau.
“Wow!
Anak datuk lagi. Kali ini siapa pula yang termakan umpan kau.
Dulu pun anak datuk juga, ke hulu hilir macam belangkas. Puas diusangnya kau ke
sana sini. Jangan-jangan dah kena gomol.” Linda ketawa sambil menjeling Ain
Wahida dengan ekor matanya.
“Si Adzman tu! Entah! Menyampah aku dengan
dia! Satu sen pun tak guna! Cerita dengan aku kononnya dia anak tunggal! Anak hartawan! Anak jutawan!
Kau tahu Linda, hampir dua tahun aku main cinta dengan dia, tak ada satu benda
hadiah pun dia pernah beri dengan aku. Birthday
aku pun dia tak tahu! Puas aku perli untuk dapatkan hadiah atau apa-apa
pemberian daripadanya, dia buat bodoh saja!” Ain Wahida meluahkan rasa tidak
puas hatinya kepada Linda.
“Tengok tu, bila dah benci tak ada satu
kebaikan Adzman pun yang kau kenang! Adzman kan pernah bawa kau pergi melancong
ke Eropah selama dua minggu. Kau dah lupa ke Ain?” kata Linda sambil tersenyum
menyindir.
“Alah! Itu hadiah sebab dia menang
pertandingan foto peringkat Asean tu! Percuma, ada sponsor, bolehlah dia bawa aku! Bukannya dia keluar duit poket
sendiri pun! Jangan-jangan selama ini dia berbohong dengan aku! Entah-entah,
dia orang biasa macam kita juga! Jika tidak, buat apalah dia usung kamera ke
hulu ke hilir ambil gambar. Lebih baik dia kerja dengan syarikat bapa dia,
duduk kerusi empuk, pakai driver.
Kalau dia nak berbaik balik dengan aku, aku akan tolak mentah-mentah!” kata Ain
Wahida dengan nada bongkak.
“Yalah! Orang cantik jelita macam kau ni Ain,
sekali petik sepuluh orang lelaki datang berlutut kepada kau.” Lagi sekali Linda menyindir Ain Wahida.
“Macam mana kau boleh dapat contact
anak datuk ni?” Matanya terus menatap helaian majalah fesyen yang sedang
dibaca.
“Oh! Syarikat bapanya anjurkan majlis makan
malam! Secara kebetulan, pengurus agensi
tempat aku bekerja ni sepupu kepada salah seorang lembaga pengarah di syarikat
itu. Kami sebenarnya sekarang sedang mengutip dana untuk tabung pesakit kanser.
Jadi, pengurus agensi menawarkan pertunjukkan fesyen pada malam itu.
Terpulanglah kepada mereka untuk memberi sumbangan berapa ribu pun.” Ain Wahida
bercerita dengan penuh minat.
“Sewaktu sedang memperagakan pakaian di
celah-celah susunan meja di majlis itu bersama dengan model-model yang lain,
aku terpandanglah seorang lelaki ni. Wow! Handsome
habis. Apabila aku lemparkan senyuman, dia balas kembali. Lalu... berputiklah
bunga-bunga cinta di hati aku. Cinta pandang pertama.” Nada suara Ain Wahida
berlagu-lagu.
Linda menghumban sebiji bantal ke arah
temannya itu. "Eh! Sudahlah tu! Sepuluh kali bercinta, semuanya kau kata
cinta pandang pertama.” Dia bangun dari katil sambil menerpa ke arah Ain Wahida
yang sedang tertawa bertali-tali. Dia
sengaja menekan-nekan pangkal leher Ain Wahida untuk berseloroh dengan temannya
itu.
“Itulah sebabnya Adzman tinggalkan kau.
Bukannya kau yang tinggalkan dia. Yang ini pun tak tahu boleh bertahan berapa lama.” Dia terus membidas Ain
Wahida.
“Nantilah! Cerita belum habis lagi Linda. Kau
jangan tekan leher aku begitu! Nanti patah! Hmm... aku belum terfikir lagi
untuk insurankan leher ni.” Ain Wahida melarikan diri daripada Linda.
“Okey! Teruskan cerita kau!” Sekali lagi
Linda menghumbankan dirinya di atas
katil.
“Kemudian, aku hantar secebis kertas yang
telah tertulis dengan nama dan nombor telefonku. Aku minta dia menghubungi aku kembali
sekiranya dia ada kesempatan.”
“Bila dia contact
kau? Semalam? Dan terus ajak
pergi dinner? Bertuahnya kau.” Linda
yang tidak sabar mendengar cerita selanjutnya terus meneka.
“Hmm...” Ain Wahida menyembunyikan perkara
sebenar. Yang berlaku adalah sebaliknya.
“Siapa nama boyfriend baru kau ni. Anak datuk manalah pula ya!” Linda bertanya
dengan gaya mengejek.
“Aldi, anak Datuk Haris.” Beritahu Ain Wahida
sambil tersenyum bangga. Di matanya masih terbayang senyuman Aldi yang memikat. Walaupun lelaki itu menyimpan
jambang tanpa misai, lelaki itu kelihatan menawan sekali. Tambahan lagi apabila
merenung sesuatu dengan matanya yang jernih dan berbulu mata lentik itu.
Renungannya sangat tajam.
Linda ketawa besar apabila melihat cara Ain
Wahida bercerita tentang Aldi. Semuanya yang elok-elok sahaja. “Dulu, kau kata
kau tak suka kepada lelaki berjambang.
Mentang-mentanglah sudah berkenalan dengan anak jutawan, spesis yang kau
tak suka pun kau sapu juga.” Dia terus menempelak.
“Itu dulu! Hmm... tak sangka pula, lelaki
yang berjanggut tanpa misai ini nampak
lebih istimewa, macam Aldi aku tu.
Percakapannya pun, hey... sesiapa pun boleh tertarik hati.” Ain Wahida meletakkan kedua tangan ke
dadanya, sambil memejamkan mata. Telinganya seolah terdengar suara Aldi yang
lembut dan menggunakan bahasa yang teratur sewaktu bercakap.
“Hah! Eloklah tu. Dulu si Adzman tu anak
datuk mana?” Linda masih ingin
mencungkil rahsia.
“Dia tu penipu . Dia kata dia anak Datuk Harun.
Hisy... Jangan kau sebut namanya
lagi. Sakit telinga aku. Tengok, aku dah merajuk beberapa bulan, sedikit pun
dia tak nak datang pujuk. Telefon pun tidak!” Ain Wahida menyarung skirt
berwarna merah dari fabric chiffon ke
tubuhnya. Skirt yang berpotongan
mendedahkan sebahagian besar belakangnya agak menarik pada pandangan matanya.
“Buat apa dia datang pujuk kau. Agaknya dia tahu, kau mahu harta bukannya ikhlas mahukan dirinya. Naluri lelaki kadangkala tajam juga! Kau jangan teruskan tabiat pisau cukur tu, Ain. Tak berkat hidup kau nanti!” Linda menutup mukanya dengan bantal. Dia tahu Ain Wahida sedang menjeling tajam kepadanya.
Nurlisa menyinsing lengan bajunya. Tangan yang basah disental dengan apron
yang dipakainya. Kemudian gadis itu terhincut-hincut berjalan ke ruang depan
restoran itu. Jam dinding di bahagian kaunter restoran itu berdenting sepuluh
kali. Dia tersenyum gembira. Bunyi itu menandakan dia sudah boleh bersiap-siap
untuk pulang ke bilik sewaannya.
Semenjak dia keluar dari Vila Kencana Emas,
dia mencari rezeki di tempat itu pada sebelah malam. Dari pukul 8.30 hingga
10.30 malam. Kerjanya hanya mencuci pinggan mangkuk sahaja. Pelanggan di kedai
itu ramai dan tidak berhenti-henti. Kadangkala dia rasa penat membasuh pinggan
yang tak pernah selesai. Namun kerana mengenangkan diri yang sebatang kara dan
perlu berusaha untuk menanggung hidup sendiri, gadis itu terpaksa bersabar.
“Hujan ni. Macam mana awak mahu balik.”
Rahman yang sedang menjaga kaunter menegur Nurlisa yang mendatanginya.
Nurlisa
tidak menjawab, namun turut sama mengintai ke arah luar restoran. Titisan hujan
masih lebat.
“Terima kasih, uncle.” Nurlisa mengenggam
pendapatannya untuk malam itu.
Lelaki India Muslim itu tersengih-sengih
membalas senyuman Nurlisa. “Malam esok ada mari?” Rahman, pengusaha restoran
mamak itu mengangkat keningnya sambil bertanya.
“Ada...” jawab Nurlisa ringkas sambil
tersenyum memandang wajah Rahman.
“Marilah pagi-pagi, balik sebelah petang.
Malam-malam boleh rehat. Tidur!” nasihat Rahman. Rasa simpatinya pada gadis itu
menggebu. Kalau tidak kerana perasaan belasnya kepada gadis yang berkaki
tempang itu, mustahil dia akan menerima permintaan Nurlisa untuk bekerja hanya
untuk dua jam sahaja. Nurlisa tidak pernah menetapkan upah yang diinginkannya.
Rahman memberinya upah sebanyak RM25 pada setiap malam dan membekalkan makanan
kepada gadis itu untuk di bawa balik walaupun Nurlisa kerapkali menolak.
“Pagi-pagi saya kerja di tempat lain, uncle.
Saya balik dulu, uncle. Assalamualaikum...” Terhincut-hincut Nurlisa meninggalkan kaunter dan menghala keluar
restoran.
“Lisa! Mari! Angkat ini bawa balik.” Rahman
memanggil Lisa yang baru melangkah keluar sambil mengangkat sebungkusan plastik
dan menunjukkan kepada Nurlisa.
Nurlisa menggoyang-goyangkan tangannya tanda
tidak mahu pemberian itu.
“Mat! Ambil ni, hantar pada Lisa! Kalau dia tak mahu, masukkan saja ke dalam beg dia.” Rahman menghulurkan bungkusan itu kepada Mat, pekerjanya yang bertugas sebagai pembancuh air.
Berhati-hati Aldi memandu untuk pulang ke rumah. Hujan lebat pada malam itu menyebabkan dia
perlu cermat ketika memandu. Semua kenderaan bergerak dengan perlahan
menyebabkan keadaan jalan raya agak sesak dengan kereta.
Dia dalam perjalanan pulang selepas menikmati
makan malam bersama dengan Ain Wahida, model terkenal negara. Begitulah yang diceritakan oleh Ain Wahida
kepadanya. Entah, Aldi tidak tahu
mengapa dia begitu cepat menerima pelawaan gadis itu untuk makan malam bersama.
Adakah itu petanda yang dia sudah melupai cinta Arishal dan ingin menggantikannya
dengan orang lain? Apakah kini dia sudah
tidak sanggup lagi bertemankan kesepian dan kerinduan seorang diri, lalu
inginkan seseorang yang dapat menjadi temannya berbicara, bergurau senda.
Cepat-cepat tangannya menekan hon. Seorang
gadis terhincut-hincut melintas di hadapan keretanya tatkala kereta baru
bergerak sedikit, setelah tersangkut di situ hampir sepuluh minit.
“Ai, budak ni! Pantang dapat peluang sedikit,
terus saja melintas! Hisy!” Aldi merengus dan tersenyum sendiri mengenangkan ragam-ragam
manusia di kota yang terlalu mengejar masa sehingga tidak mempedulikan
keselamatan diri. Susuk tubuh gadis yang terhincut-hincut itu diekori dengan
hujung matanya sehingga kelibatnya tidak kelihatan. Hilang di sebalik bangunan.
“Allah!” Di dalam kereta yang sunyi, Aldi tiba-tiba tersentak dan teringatkan sesuatu. Sesalannya tidak terhingga. Matanya terus memerhati ke bangunan yang melenyapkan pandangannya terhadap gadis tempang yang melintas di hadapan keretanya tadi. Dia mengeluh dengan sesalan yang amat panjang. ‘Mungkin bukan dia. Mungkin orang lain,’ pujuk hatinya.
Turun dari bas Nurlisa berjalan laju-laju. Malam semakin larut. Sesekali
langkah kakinya terhenti kerana terasa ada tapak-tapak kaki yang sedang
mengekorinya. Apabila dia menoleh ke belakang, tidak ada sesiapa pun. Dia
perasan, hal ini hampir seminggu dua berlaku, namun dia tidak mempedulikannya. Mungkin mainan perasaannya sahaja.
Lantas gadis itu terus melangkah tanpa rasa
takut. Insya-allah, Allah sentiasa
melihat dan melindunginya daripada bencana dan bahaya. Itulah titipan doanya
pada setiap hari.
Sampai di bilik sewanya, Nurlisa terus
berbaring di atas lantai. Badannya terlalu penat. Bagaikan tercabut segala urat
dan tulangnya. Yang ada di dalam bilik itu hanyalah sehelai tikar, sejadah,
telekung, dua biji bantal dan beberapa helai baju serta temannya yang paling
setia, kitab suci al-Quran berserta tafsirannya. Menjadi penghibur dikala
dirinya di dalam kesepian. Gadis itu
terus merebahkan dirinya kerana keletihan.
Bunga-bunga mekar berkembangan. Ada merah,
kuning, ungu, biru, putih, merah jambu dan bermacam lagi. Nurlisa berlari-lari
di celah-celah rimbunan bunga-bunga itu bersama adik-adiknya sambil
diperhatikan oleh emaknya, Mak Cik Hasnah. Kadangkala dia terjatuh lalu tergolek-golek
di atas rumput yang lembutnya bak permaidani. Alangkah gembiranya mereka. Mak
Cik Hasnah turut tertawa memerhatikan telatah anak-anaknya yang asyik bermain
berkejar-kejaran.
Di tengah keasyikan bermain itu, tiba-tiba
datang sebuah kereta berwarna keemasan. Ada seorang pemandu membukakan pintu
untuk Nurlisa. Seorang lelaki kacak sedang menunggu Nurlisa di dalam kereta
sambil tersenyum apabila melihat Nurlisa datang. Lelaki itu menghulurkan
tangannya kepada Nurlisa, menjemput gadis itu masuk ke dalam kereta. Lelaki itu seperti pernah dijumpai, namun
Nurlisa tidak tahu di mana pertemuan mereka. Lelaki itu sentiasa merenung Nurlisa dengan
matanya yang jernih.
“Kak Lisa! Jangan pergi! Jangan pergi!” Suara
adik-adiknya berkumandang dan bergema di seluruh kawasan itu. Mereka berkejaran
ke arahnya dan menarik tangannya.
Nurlisa kembali berlari-lari bersama
adik-adiknya di rimbunan bunga-bunga yang beraneka warna. Kegembiraan bersama
adik-adik dan emak tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apa pun. Itulah yang
difikirkannya. Nurlisa terus menari-nari dengan riang dan bebas sambil
memejamkan mata dan mendepang-depangkan tangannya.
Beberapa ketika kemudian, dia membuka kembali
matanya. Dia terkejut kerana semuanya telah lenyap. Tidak ada taman. Tidak ada emak. Tidak ada
adik-adik. Dia hanya berada di tanah yang sangat lapang, luas dan keseorangan.
“Astaghfirullahaladzim! Aku bermimpi
rupanya.” Nurlisa meraup-raup mukanya. Rupa-rupanya dia tertidur kerana terlalu
letih. Dia menguap beberapa kali. Dia meraba jam tangan di dalam beg sandangnya
yang selalu diusung ke hulu dan ke hilir. Pukul 2.00 pagi. Dia menguap lagi dan terus
merebahkan dirinya kembali di atas lantai.
Dia berharap mimpi tadi dapat bersambung kembali. Dia terlalu rindu
kepada keluarganya.
Telah beberapa kali dia pergi ke kawasan
setinggan yang ditimpa bencana itu sambil berharap dapat menemui jirannya yang
tahu tentang keluarganya, namun tidak ada siapa yang ditemuinya. Siapa lagi
yang sanggup datang ke tempat itu kecuali dirinya? Dia juga telah pergi ke sekolah tempat
adik-adiknya bersekolah. Jawapan yang diperolehi juga mengecewakan.
Adik-adiknya tidak lagi datang ke sekolah semenjak hari kejadian.
“Mak...” Rintih gadis itu di dalam kegelapan.
Air mata pilu mengalir dan membasahi bantal yang semakin lusuh.
Adakah dia masih berpeluang untuk bertemu
dengan keluarganya? Air matanya semakin deras mengalir. Dia terkenangkan
mimpinya sebentar tadi. Aldi. Nama lelaki itu tiba-tiba muncul di benaknya.
Baru dia teringat, lelaki yang dimimpikannya tadi adalah Aldi. ‘Hmm... mungkin
dia sudah kembali ke tanah air!”
Begitulah bisik hatinya. Bertemu
atau tidak lagi dengan lelaki itu, dia hanya pasrah.
Kenangan sewaktu berada di Vila Kencana Emas
sentiasa bermain di ingatannya. Bibirnya
tersenyum-senyum sewaktu mengenangkan gelagat Aldi yang cepat naik darah
sewaktu duduk di kerusi roda.
“Alhamdulillah. Akhirnya Aldi sudah sembuh
dan ingin membina hidup baru. Semoga dia bahagia.” Di keheningan malam, gadis
itu mendoakan kesejahteraan Aldi.
Tiba-tiba kedengaran pintu bilik sewanya
ditolak oleh sesuatu dari arah luar. Bunyi ketukan dan tolakan itu semakin
kuat. Dia mendiamkan diri sambil berserah diri kepada Allah.
Yang dia tahu, di rumah itu tidak ada sesiapa
lagi. Tuan rumahnya tidak ada. Penghuni
yang mendiami dan menyewa di bilik
sebelahnya pun tidak ada di rumah. Sudah tiga hari janda anak dua itu pulang ke
kampungnya.
Bunyi-bunyi yang semakin kuat di depan pintu
semakin meresahkan gadis itu. Matanya singgah di daun pintu yang semakin lama semakin renggang. Tidak ada
tempat lagi untuk dia melarikan diri. Tidak ada pintu yang lain. Jendela di dinding tidak memungkinkan dirinya
menerobos keluar.
“Diam!” Suara lelaki itu tiba-tiba berbisik
keras di telinganya. Tangan Nurlisa dikilas ke belakang dengan kasar. Gadis itu terketar-ketar di dalam kegelapan.
Tiba-tiba lelaki itu menyuluhi ke wajah Nurlisa dengan lampu suluhnya.
“Wow! Cantik!”
Suara lelaki yang penuh bernafsu itu semakin
menakutkan Nurlisa. Badannya mengeletar ketakutan. Dia cuba meronta untuk
melepaskan dirinya apabila dipeluk oleh lelaki yang berbau hapak itu. Dalam kesuraman cahaya, wajah lelaki itu
dapat juga dilihatnya sekilas.
“Bodoh! Tak ada siapa di rumah ini!”
Nurlisa tidak dapat bersuara atau menjerit
meminta tolong kerana mulutnya dipekup oleh lelaki itu dengan tangannya yang
melekit-lekit dan berbau hapak. Lelaki itu mencium Nurlisa bertubi-tubi,
kelakuannya seolah binatang yang kelaparan meratah mangsanya.
Gadis itu cuba untuk melawan dengan sekuat
hatinya. ‘Ya Allah Ya Tuhan-ku, peliharalah aku daripada keburukan perlakuannya
yang maha dahsyat ini.’ Kepada Allah dia berharap dan berdoa memohon bantuan.
Kudrat seorang lelaki, walaupun bertubuh
kecil namun kekuatannya menjadi luar biasa kala minda disambar oleh nafsu yang
bergelora. Puas menggigit, menyepak,
menerajang, Nurlisa mencakar pipi lelaki itu sekuat hatinya.
Dalam keadaan kelam kabut itu, Nurlisa sempat
memetik switch lampu di bilik itu
lalu bilik itu menjadi terang benderang. Lelaki itu terkejut lalu melepaskan
Nurlisa dari pelukannya. Nurlisa sempat melihat wajahnya dengan jelas, sebelum
lelaki itu berlari keluar sederas peluru.
Lelaki itu bagaikan pernah dilihatnya
baru-baru ini. Oh ya. Lelaki yang menghantar komputer untuk anak tuan rumah
tempat dia menyewa bilik itu. Secara kebetulan pada waktu itu, Nurlisa bertemu
dengan Mak Cik Salasiah untuk membayar sewa bilik. Lelaki itu hanya memandang kepadanya tanpa
berkata apa-apa. Dan Nurlisa sebagaimana biasa selalu melemparkan senyuman
kepada semua orang tanpa niat apa-apa.
Selepas itu dia bagaikan pernah ternampak
kelibat lelaki itu beberapa kali, namun terlupa di mana tempatnya mereka
bertembung lagi. Allah! Allah! Subhanallah! Itulah yang diucapkan dibibirnya
dengan nafas yang tercungap-cungap.
Nurlisa menyandarkan tubuhnya ke dinding. Dadanya masih berdegup kencang
mengenangkan peristiwa ngeri yang baru dialaminya sebentar tadi. Bibirnya
terasa sakit. Mungkin bibirnya luka angkara lelaki keparat itu. Dia
membelek-belek lehernya. Di cermin tangan itu jelas kelihatan lehernya yang
berbekas. Syukurlah, ya Allah. Engkau telah selamatkan aku daripada bencana
yang sangat besar ini. Sambil menangis,
gadis itu terus sujud tanda kesyukuran kepada ilahi.
~~~~~~ bersambung~~~~~~~~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan