Deburan ombak memutih di gigi pantai. Adzman terus berjalan-jalan di persisiran
pantai. Sudah dua hari dia
bercuti di pulau itu. Dia datang bersama Linda. Wanita yang baru dikenalinya, lebih kurang
empat bulan yang lalu. Linda juga
seorang pragawati sama seperti Ain Wahida. Namun Linda mempunyai wawasan yang positif
untuk meningkatkan dirinya. Selain mempragakan pakaian, Linda memiliki sebuah
butik. Bidang peragaan hanyalah untuk sambilan sahaja.
Pada waktu ini, Linda sudah jarang-jarang
terlibat dengan pertunjukkan fesyen lagi. Dia lebih senang dengan kerja-kerja
dibutiknya. Adzman mengenali Linda sewaktu berkunjung ke butik itu, menemani
seorang kenalannya untuk membeli pakaian buat dihadiahkan kepada isteri.
“Selain dari seni foto, apa lagi yang menjadi
kegemaran, Adzman!” Memecah keheningan antara mereka berdua, Linda
bersuara.
Adzman asyik memetik kameranya dari pelbagai
sudut. “Oh, ya! Bercuti, hmm...
barangkali juga muzik. Untuk cari ketenangan, begitulah caraku.” Dia
melabuhkan pinggulnya di sisi Linda yang duduk di atas pasir yang halus. Badai
yang datang, membasahi hujung jari kaki mereka.
“Maksudnya, kini hati kau tidak tenanglah.
Sebab itu, kau datang bercuti ke sini?” soal Linda lagi. Matanya menyoroti ke
wajah Adzman yang sedang membuang pandangnya ke tengah laut.
Adzman menganggukkan kepalanya. Sejak Nurlisa
meninggalkan Vila Kencana Emas, dia berasa satu kehilangan. Walaupun dia jarang berada di rumah, dan
jarang-jarang berbual dengan gadis itu, namun gadis itu seolah telah mendiami
hatinya.
“Itulah caraku. Hmm... cuba kau lihat di sana
Linda, burung-burung yang berterbangan kadangkala mendadak melepaskan bulu-bulu mereka ke udara.” Adzman
menudingkan jarinya ke arah angkasa.
Mata Linda mengikuti arah jari Adzman. Benar, beberapa ekor burung yang sedang
berterbangan melepaskan bulu mereka. Bulu-bulu halus berterbangan dan jatuh ke
atas permukaan laut.
“Mungkin itu cara mereka mencari
ketenangan!” Adzman menyambung kembali
bicaranya yang terputus tadi.
Linda ketawa kecil. “Yalah Adzman, kita
mempunyai cara masing-masing untuk setiap apa yang kita lakukan. Macam aku, kalau tak ada fesyen show, aku sibuk di butik aku,” ujar Linda pula sambil mengepal-ngepal pasir
di dalam genggamannya dan dilontarkan ke gigi air.
“Kau ada masalah ke, Adzman? Ceritalah, jika boleh membantu, aku tolong.
Jika tidak, sekurangnya jiwa kau taklah terbeban dengan permasalahan itu. Masalah percintaan ke?” Linda cuba meneka.
Adzman bangun dari sisi Linda. Linda
mengekorinya. Pertanyaan dari wanita itu
tidak dijawab oleh Adzman. Dia terus
berjalan perlahan-lahan sambil menundukkan wajahnya.
“Adzman! Aku tanya, kau ada masalah dalam
percintaan ke?” Suara Linda agak kuat kerana cuba mengatasi deburan ombak yang
sedang menghempas batu-batu di situ. Batu-batu yang agak besar-besar membentuk
bukit-bukit batu yang memanjang. Pemandangan yang amat mengasyikkan tatkala
ombak-ombak menghempas pada batu-batu tersebut.
Buih-buih putih terpercik di sekitarnya.
“Cinta? Oh ya, aku tidak pernah terjerat!” Adzman menjerit dengan nada riang. Sememangnya dia tidak pernah terperangkap
dalam alam itu. “Siapalah aku Linda. Takkan ada wanita yang menginginkan aku.
Tambahan wanita di zaman ini yang memandang material dan wang ringgit. Hmm... baca tak dalam akhbar baru-baru ini,
tentang gadis-gadis zaman ini yang lebih rela bersuamikan orang tua asalkan
dapat kesenangan hidup!” Matanya merenungi wajah gadis yang berada di
hadapannya.
Linda ketawa agak kuat. “Ya! Ya! Aku ada
terbaca. Kalau begitu, kau kena kerja kuat dari sekarang, kumpul duit dan harta
banyak-banyak. Tambahan pula jika ada gelaran ‘datuk’, larislah kau nanti!”
Dia cuba berseloroh.
Adzman turut ketawa. “Kau pun nak cari
datuklah ya? Ataupun sekurang-kurangnya anak datuk.” Dia cuba mengusik dan
menduga hati Linda. Kebiasaannya gadis yang cantik seperti Linda akan memilih
kesenangan dengan cara begitu. “Nanti bolehlah bercuti sehingga ke Mauritius.
Orang macam aku ni setakat ke Pulau Pangkor ni, bolehlah!”
“No!
No! Kau silap! Jangan sangka semua gadis atau wanita begitu! Harta dan pangkat tidak akan menjamin kebahagiaan.
Yang pentingnya di sini!” Linda menekan
jari telunjuknya ke dadanya.
“Apa masalah kau? Ceritalah.
Sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit bebanan fikiran kau tu. Itupun
jika kau percaya aku!” Linda cuba memujuk Adzman.
“Entahlah Linda. Kebelakangan ini aku diburu
rasa bersalah.” Adzman bersuara perlahan. Dia teringat Nurlisa.
“Bersalah? Pada siapa?” Suara Linda agak kuat
kerana tiba-tiba ada ombak besar yang datang menghempas pantai. Deburan ombak itu seakan menelan suaranya.
“Tak tahu!” Adzman pula bersuara kuat.
Sebenarnya itulah hakikatnya. Rasa bersalah itu tidak pernah lepas daripada
hatinya semenjak kejadian itu. Dia meninggalkan mangsa yang dirempuh keretanya
begitu sahaja. Masih terbayang dimatanya bagaimana tubuh insan itu melambung dan
terus terhumban di tepi jalan. Apabila Nurlisa datang ke Vila Kencana Emas,
ketempangan yang dimiliki oleh gadis itu semakin menghumbankan dirinya di dalam
perasaan yang tertekan.
Hati kecilnya seolah selalu membisikkan
bahawa insan yang dilanggar itu ialah Nurlisa. Nurlisalah yang telah menjadi
mangsa rempuhan keretanya itu. Dari hari ke hari hatinya ingin menceritakan
perkara yang sebenar kepada gadis itu. Namun entah mengapa, apabila ada peluang
berdepan dengan gadis itu, Adzman menjadi gugup. Bibirnya tidak terungkap walau
satu ayat pun. Tidak sampai hatinya untuk memberitahu hal yang sebenar kepada
Nurlisa apabila dilihatnya wajah polos gadis itu. Apabila gadis itu pergi, dia
seolah tercari-cari.
“Sebentar ya!” ujar Linda apabila terasa
telefon bimbitnya bergetar. Dia mencari tempat yang agak lapang untuk menjawab
panggilan itu. Panggilan telefon daripada pembantu butiknya. “Maaf ya Adzman!
Panggilan dari pembantu butik aku! Hmm... bila kita nak balik? Petang ini atau
esok pagi?” dia kelihatan resah.
“Ada masalah apa-apa ke? Sekarang ni juga
kita boleh balik jika kau ada masalah!” Adzman pantas menjawab.
Linda tersenyum meleret sambil mengelengkan
kepalanya. “Pembantu butik aku demam. Dia yang call tadi. Kesian, kena
tunggu kedai sendirian walaupun demam. Yang lagi seorang tu, hmm... aku tak
ada, dia pun tak datang.” Dia seakan merungut. “Yang tempang lebih bagus dari
yang sempurna!” Rungutannya bersambung
lagi.
“Tempang? Bagusnya kau Linda. Sanggup
mengambil pekerja daripada golongan kurang upaya!” ujar Adzman pula. Dia
teringat Nurlisa lagi. Hatinya ingin bertanya Linda lebih lanjut lagi mengenai
pembantu butik yang tempang itu, namun hasratnya itu disembunyikan untuk
mengelakkan segala rahsianya bocor. Bapanya, Datuk Haris seorang yang berpengaruh
dan jutawan yang agak dikenali juga. Dia bimbang jika gadis-gadis yang
merapatinya hanya kerana dia anak Datuk Haris bukan kerana keikhlasan hati
mereka dan kerana dirinya sendiri.
“Kalau kita tidak bantu, siapa lagi nak bantu
mereka.Pembantu aku tu, kecacatannya hanya sedikit sahaja. Itupun disebabkan
kemalangan yang telah menimpanya. Rupa paras, tingkah laku, percakapan dan
sopan santunnya, begini.” Linda
mengangkat ibu jari tangan kanannya ke udara.
“Aku mempercayainya. Hmm...
pelanggan-pelanggan yang datang pun berasa senang dengannya.” Linda tersenyum lagi. Dirinya berasa bertuah
kerana memiliki pekerja seperti Nurlisa.
“Linda, boleh aku tanya kau satu perkara.”
Adzman bersuara perlahan.
Linda hanya mengangguk kepalanya.
“Kalau kau telah melanggar seseorang dan
menyebabkan dia cacat, apa yang kau akan lakukan?”
“Mestilah aku minta maaf dan bertanggungjawab
di atas kecacatannya,” jawab Linda dengan nada agak kuat kerana mengatasi
deburan ombak yang menghempas hujung kaki mereka.
“Itu kalau kau yang langgar. Kalau kau yang
kena langgar, macam mana? Kau akan maafkan ke?” ujar Adzman lagi. “Orang yang
menyebabkan kau cacat... hilang kesempurnaan buat selamanya?”
Linda hanya menggigit-gigit bibirnya dan
mengelengkan kepalanya perlahan tetapi berulang kali.
Keengganan Linda memberi pendapat menyebabkan Adzman tambah berasa bersalah. Bersalah terhadap Nurlisa, jika benar gadis itu yang dilanggarnya. Ingin memohon kemaafan, Nurlisa pula entah di mana.
“Assalamualaikum. Selamat tengah hari, cik.” sapa Nurlisa setiap kali ada
pelanggan yang masuk ke butik tempatnya bekerja. Senyumannya mesra.
Ain Wahida hanya memerhatikan langkah kaki
Nurlisa yang tinggi rendah itu sambil tersenyum di hujung bibirnya melihat
kecacatan gadis itu. ‘Macam mana tauke butik ni boleh mengambil dia bekerja di
sini?’ bisik hatinya.
“Hmm... tauke mana?” Nada suara Ain Wahida
agak keras sambil matanya meninjau ke sekitar butik itu. Di atas meja kelihatan
majalah-majalah fesyen yang ada di antaranya memaparkan dirinya sebagai penghias
kulit. Hairannya Ain Wahida apabila gadis tempang itu sedikit pun tidak
bertanya tentang dirinya atau menunjukkan minat terhadapnya.
“Dia cuti, cik. Cik nak cari baju apa?”
Nurlisa bersuara mesra dan cuba mengeluarkan satu per satu baju-baju yang bergantungan
dan menunjukkannya kepada Ain Wahida.
Ain Wahida tidak mempedulikannya. Dengan
lagak popularnya, dia hanya bercekak pinggang sambil berjalan di celah-celah
susunan baju-baju yang bergantungan dan sesekali membelek-beleknya. Bibirnya
mencebir seolah tidak berpuas hati.
“Tak apalah. Saya cari di butik lain.” Ain Wahida terus keluar dari situ dengan langkah yang megah dan gaya
bongkak. “Jomlah... Tak jadi beli pakaian di sini.” Dia menarik tangan Aldi
yang baru saja sampai di situ. Di muka pintu butik, lelaki itu mengelap peluh
yang mengalir di dahi kerana kepenatan mencari tempat memakirkan kereta dan
cuaca panas terik pula.
“I tak maulah beli di situ. Pengurusnya tak ada. Susah nak berurusan
nanti. Yang ada hanya pembantunya yang tempang. Buat-buat tak kenal I pula.”
Ain Wahida merungut-rungut. Hatinya menggerutu kerana gadis tempang yang tidak
mengendahkan kedatangannya, seorang model terkenal ke butik itu. “I kan model
popular! Sekurang-kurangnya tanyalah khabar I!” Dia merungut sendiri seolah
bercakap dengan dirinya sendiri. Hatinya berasa megah dengan diri sendiri.
“Buat apalah tuan punya butik itu mengupah
gadis tempang untuk bekerja di kedainya. Buat mencemarkan reputasi kedainya
saja.” Ain Wahida merungut sambil mencebirkan bibirnya yang merah. Dia seolah
bercakap dengan dirinya sendiri sekali lagi.
Aldi menyimpan senyuman. “Apa yang you rungutkan?” soalnya lembut. Matanya cuba meninjau ke
dalam butik, mengintai di sebalik cermin kaca.
Dia tertarik dengan cerita Ain Wahida tentang
gadis tempang, pembantu butik itu. Matanya meninjau ke dalam butik sekali lagi,
namun tidak nampak pula wajah gadis yang dimaksudkan oleh Ain Wahida. Ada
beberapa orang lagi pelanggan yang baru masuk ke butik itu. Dia bertekad untuk menemui gadis tempang yang
dikatakan oleh Ain Wahida itu, pada hari itu juga.
“Budak tempang yang kerja di butik
itulah. Eee...menyampahlah! Takkan dia
tak kenal I. Sedangkan di atas meja ada majalah yang sedang terpampang wajah
I!” Ain Wahida cuba mengadu dan mengharapkan sokongan daripada pujaan hatinya
itu.
Aldi tidak mempedulikan rungutan gadis itu
kerana hatinya lebih terfokus kepada gadis tempang yang diceritakan oleh Ain
Wahida. “Ain! Pukul 1.00 nanti saya ada urusan di luar daerah! Kita balik sekarang, boleh?” Dia memberi
alasan untuk membebaskan dirinya daripada perempuan itu.
Ain Wahida yang sedang memegang lengan Aldi
sedikit terkejut. Tangan yang sedang memegang lengan lelaki itu dilepaskannya.
Ingin dihamburkan kemarahan, bimbang lelaki idaman akan terbang menjauhkan
diri.
“Okay! I faham! Sempat ke nanti? Sekarang dah
pukul 12.45. Biarlah I balik naik teksi saja.” Ain Wahida berpura-pura senyum
dan melunakkan suaranya.
Aldi turut tersenyum. Lega rasa hatinya dapat
membebaskan diri dari wanita yang merimaskan itu. “Jumpa lagi!” Aldi menahankan teksi yang
secara kebetulan lalu di hadapan mereka. Dia membalas lambaian tangan Ain Wahida yang melangkahkan kakinya untuk
menaiki teksi. Beberapa ketika kemudian
teksi yang dinaiki oleh wanita itu meninggalkan Aldi.
“Assalamualaikum. Selamat tengah hari, encik. Nak cari baju untuk siapa,
encik?” Nurlisa terus menyapa lelaki yang baru sahaja menguak daun pintu kaca
di butik itu. Dia hanya mengerling dengan hujung matanya yang lembut dan redup
kerana masih sibuk melayani seorang wanita dan anak gadisnya membeli pakaian.
“Tengok-tengoklah dulu, encik.” Kemesraan dan
keramahannya terpancar melalui nada dan intonasi suaranya. Walaupun tempang, pergerakannya pantas
seperti lipas kudung.
“Terima kasih, puan. Sila datang lagi.” Nurlisa
berjabat tangan dengan wanita itu yang kelihatan gembira dengan pakaian yang
dibeli.
Aldi yang berpura-pura membelek-belek pakaian
di gantungan, tersenyum sendiri. Apabila melihat wajah pembantu butik itu, dia
yakin yang dia tidak silap orang. Dia terkenangkan nostalgia yang pernah
ditempuhinya bersama gadis itu. Sewaktu dirinya masih berkerusi roda. Gadis
berhati batu, namun itulah yang dirindui pada setiap saat.
Susah untuk ditawan hatinya, namun gadis itu
tersangat sabar dan tabah melayaninya tanpa merungut walau sepatah kata pun.
Yang dia tahu ucapkan hanya, baiklah encik.Maafkan saya encik. Terima kasih
encik. Biar saya bantu encik. Encik
majikan saya. Saya menghormati
encik. Tanpa bosan dan jemu.
“Lisa!” Suara Aldi seolah membisik. Dia mengulum
senyuman. Nurlisa bercelana panjang hitam yang longgar dan berblaus tangan
panjang warna hijau muda, bertudung putih yang dikelilingi oleh manik-manik
yang berkilauan. Wajah Nurlisa sedikit
pun tidak berubah malahan bertambah manis dan cantik daripada dulu. Tubuhnya
sedikit berisi. Bibir mungil dikenakan dengan lipstick yang tipis berwarna merah jambu, menambah seri wajahnya.
Hanya rona wajahnya sedikit muram, seolah sedang menyembunyikan sesuatu yang
amat berat dijiwanya.
Nurlisa memandang lelaki yang berada di
hadapannya. Lelaki muda berbaju kemeja
lengan panjang biru muda berkotak halus.
Hatinya berkocak seketika. Tidak disangka, saat yang dirindukannya itu
akhirnya datang juga. “Encik Aldi!” Sapanya. Dia sedikit tergamam. Senyuman
yang terlukis dibibirnya mempamerkan kegembiraan hatinya.
Dadanya tiba-tiba dipalu dengan debaran yang
tidak bersempadan. Bibirnya mengukir senyuman paling manis, namun ada air mata
yang menitis dipipinya. Dia sendiri tidak mengerti mengapakah tiba-tiba sahaja
dia menangis.
Aldi menatap mata gadis itu yang lembut dan
redup. Kerinduan yang terhimpun
sekian lama seolah ingin dilepaskannya pada saat itu juga. Spontan dia meraih tubuh gadis itu dan
menariknya ke dalam pelukannya.
Nurlisa kaget dan cemas bercampur malu. Dia
turut menatap wajah lelaki itu yang masih seperti dulu. Janggutnya masih tersisir rapi. Matanya masih
lagi jernih. “Allah tengok!” Dia berbisik lembut sambil menolak dada Aldi
dengan kedua tapak tangannya. Pipinya terasa panas dan tegang. Dia terasa malu
dengan perlakuan Aldi itu, namun degup dadanya bertambah bergemuruh.
“Oh! Maaf!” Aldi melepaskan pelukannya lalu
mengundur dua tapak sambil ketawa perlahan. Wajahnya nampak berseri-seri
apabila ketawa. Sedikitpun dia tidak berkecil hati dengan tindakan gadis itu.
“Encik Aldi apa khabar? Err... er... nak beli
baju untuk siapa?” tanya Nurlisa, memecah keheningan di antara mereka
berdua.
“Untuk isteri!” usik Aldi sambil memerhatikan
riak wajah Nurlisa.
Hati Nurlisa bergelombang deras apabila
mendengarkan ungkapan itu, namun dia berpura-pura seolah ungkapan itu tidak
memberi kesan kepada hatinya walaupun sedikit.
Seperti selalu, dia tetap menunjukkan ketenangannya.
“Tak... tak ada untuk siapa.” Aldi berterus
terang. Bola matanya sempat menangkap riak di wajah Nurlisa yang sedikit
berubah. Namun gadis itu terlalu bijak menyembunyikan perasaannya. “Saya
bergurau saja tadi,” ujarnya lagi. Matanya terus menatap wajah Nurlisa yang
hampir dengannya. Haruskah dia
memberitahu kedatangannya di situ semata-mata ingin bertemu dengan gadis itu?
Untuk memastikan gadis tempang yang diceritakan oleh Ain Wahida sama ada benar
gadis tempang yang pernah menjadi pembantu rumahnya atau gadis lain. Gadis yang
tidak pernah lekang daripada hati dan fikirannya semenjak hari pertama gadis
itu dikenali.
Nurlisa tertawa kecil diikuti oleh Aldi.
Sudah lama dia tidak ketawa bersama-sama lelaki itu.
“Oh ya! Maaf Lisa. Boleh Lisa carikan
sepasang dua baju kurung untuk mak dan tudungnya sekali!” Spontan idea itu
timbul di benak Aldi.
Nurlisa tersenyum. Di matanya terbayang susuk
tubuh Datin Rabiatul yang agak gempal dan berkulit cerah.
“Untuk sambutan Hari Ibu. Hmm... esokkan 14
Mei...” Aldi menyambung bicaranya dengan nada yang
lembut. Matanya masih merenung Nurlisa yang berdiri di hadapannya. “Saya
terkejut lihat Lisa yang ada di sini. Itu yang tersasul dan tidak ingat hendak
beli untuk siapa!”
“Hmm... yang ini okey tak, Encik Aldi. Warna
pinang masak. Sangat sesuai
untuk mak cik.” Nurlisa menarik sepasang baju kurung yang tergantung pada
penyangkutnya lalu menggaya-gayakannya di hadapan Aldi.
“Lisa! Masih hendak berencik-encik dengan
saya. Panggil Aldi dah cukup.” Aldi
memegang kain baju kurung moden yang ditunjukkan Nurlisa. Ada sedikit manik dan labuci yang menghiasi
hujung lengan dan keliling leher baju itu. Lembut dan sejuk jenis fabriknya.
“Encik pelanggan saya.” Beritahu Nurlisa
dengan hormat dan senyuman. Dia menarik lagi sepasang baju kurung yang berwarna
biji kundang muda.
“Saya menghormati encik.” Sambung Aldi pula
sambil ketawa. Dia sudah hafal bait-bait ayat yang biasa keluar daripada bibir
gadis itu.
Nurlisa hanya tersenyum dan memahami usikan
lelaki itu. “Yang ini pun cantik untuk mak cik. Warna ini encik suka kan?”
“Mana Lisa tahu saya suka warna ni?” Aldi
mengambil baju yang berada di tangan Nurlisa. Matanya terus menatap wajah gadis
itu yang sedang meneliti satu per satu baju di gantungan untuk mencari warna
dan corak yang bersesuaian dengan Datin Rabiatul.
“Dulu...” Nurlisa tidak jadi bercerita. Dia
tidak mahu mengenang masa lampaunya sewaktu dia menjadi pembantu rumah di Vila
Kencana Emas. Biarlah segala kenangan manis itu dia sendiri yang mengenangnya.
Terbayang di matanya yang anak majikannya itu selalu menyentuh bunga-bunga yang
berwarna biji kundang dan menelitinya dengan penuh minat. Sewaktu itu, dia
selalu menemani Aldi bersiar di perkarangan Vila Kencana Emas. Aldi yang sedang
melatih kekuatan urat saraf kakinya untuk berjalan kembali dengan sempurna.
“Maafkan saya, encik. Saya hanya meneka.”
Dia tertunduk malu.
“Lisa memang pandai memilih. Saya berkenan
dengan kedua pasang baju ini untuk dihadiahkan kepada mak saya.” Aldi tersenyum lagi. Jika diikutkan rasa
gembiranya, dia ingin membeli semua baju di kedai itu dan menghadiahkan kepada
emak serta gadis itu.
“Saya datang lagi nanti. Terima kasih.” Beg
yang mengisi kedua pasang pakaian itu bertukar tangan. Hati Aldi berasa lega. Pencariannya kini mungkin telah
berakhir. Alhamdulillah. Rasa kesyukuran dipanjatkan kepada ilahi. “Kenapa dengan bibir Lisa tu?” Mata Aldi terpandang bibir Lisa yang ada
kesan luka di hujungnya.
“Err... err... tak ada apa-apa,” jawab Nurlisa perlahan sambil mengekang air
mata merembes daripada kolam matanya. Peristiwa hitam yang terjadi pada dirinya
lima hari dulu terbayang di matanya. Sakitnya masih terasa. Kehancuran hatinya masih segar.
“Betul ni tak ada apa-apa?” Aldi merapatkan
wajahnya ke wajah gadis itu sambil memerhatikan hujung bibir Nurlisa. Hujung jarinya menyentuh hujung bibir gadis
itu yang ada kesan luka yang mengering dengan perasaan bimbang.
Nurlisa agak kaget seketika dan berasa
malu. Aldi yang tidak segan-segan
menunjukkan sikapnya yang penyayang itu agak menerujakannya.
Aldi
mengulangi pertanyaannya sekali lagi. “Betul ni? Tak ada apa-apa?” Suara lelaki
itu seolah berlagu.
Nurlisa mengangguk-anggukkan kepala dengan
mata yang berkaca. Hatinya seolah di hiris sembilu yang amat tajam.
“Nanti, kalau ada apa-apa hal, Lisa hubungi
saya, ya.” Aldi mengeluarkan sekeping kad daripada dompetnya dan menyerahkan kepada
Nurlisa. Nurlisa hanya tersenyum. Dia mengiringi langkah Aldi yang keluar
daripada butik itu dengan matanya. Di hati Aldi seolah ada bunga-bunga yang
sedang kembang dan mekar. Adakah
bunga-bunga itu akan menjadi haknya dan boleh dipetik untuk menghiasi
jambangan?
Datin Rabiatul membuka beg yang terletak di atas katilnya. Bibirnya tersenyum apabila mengeluarkan isi
perut beg itu. Dua pasang baju kurung
moden yang begitu cantik terus melekat di hatinya.
“Pandai pula orang tua ini memilih baju untuk
aku. Oh ya, agaknya dia minta setiausahanya belikan untuk aku.” Datin Rabiatul meneka-neka sendiri. Dia terus
mencuba kedua pasang baju tersebut. Senyumannya tambah melebar apabila kedua
pasang baju itu muat dan selesa dipakai.
Malam itu Datuk Haris terkejut apabila Datin Rabiatul beria-ia mengucapkan
terima kasih kerana pemberian baju kurung yang amat menarik hatinya itu. “Baju
kurung? Bukan saya yang belikan. Eh! Takkanlah saya belikan baju yang dah siap
untuk awak, Tun. Biasanya saya beli kain, dan awak pergi tempah.”
“Saya yang belikan tengah hari tadi, mak.” Aldi yang sama-sama menghadap hidangan makan
malam menjawab untuk mengelakkan kekecohan.
“Iya? Terima kasih Aldi.Kalau begitu, lain
kali bolehlah mak beli di butik itu. Jahitannya sangat kemas. Potongannya juga
baik, selesa di pakai.” Cerita Datin Rabiatul.
“Hadiah untuk hari ibu, esok.” Aldi memeluk
bahu emaknya dengan penuh kasih sayang.
Datin Rabiatul tersenyum. Aldi sudah banyak
berubah. Sudah pandai menunjukkan kasih
sayang. “Aldi ke yang pilih? Atau ada bawa sesiapa yang tolong pilihkan untuk
mak?” Dia cuba mencungkil rahsia.
Aldi tersenyum lebar. Dia tidak pasti sama
ada hendak memberitahu tentang Nurlisa kepada maknya atau tidak.
“Warnanya begitu sesuai dengan mak. Dulu,
sewaktu si Nurlisa tu kerja di sini, dia pun selalu beritahu mak begitu. Warna pinang masak tu sangat sepadan dengan
mak.” Datin Rabiatul terdiam seketika. Dia amat rindukan Nurlisa.
“Aldi,
bagaimana dengan tapak projek perumahan yang ayah katakan itu? Dah pergi tengok
ke belum?” Datuk Haris yang tidak berminat mendengar perbincangan dua beranak
berkenaan dengan pakaian terus menyampuk.
“Sudah! Semua laporan dan ulasan saya
berkenaan dengan tapak itu, saya dah draft.
Isnin nanti saya akan serahkan semuanya pada ayah,” terang Aldi kepada Datuk
Haris.
Datuk Haris tersenyum. Nampaknya segala
tugasnya sedikit demi sedikit telah diserahkan kepada Aldi. Aldi anak yang amat
membanggakannya. “Adzman tak balik-balik ke, Tun? Nanti awak pujuk dia suruh
datang ke pejabat untuk berjumpa dengan saya. Saya ada banyak tugasan yang
hendak diserahkan kepadanya. Saya ni dah tua, dah tak larat lagi. Otak pun dah
letih hendak memikirkan itu dan ini. Biar mereka dua beradik terajui Roda Emas
sahaja.” Datuk Haris seakan mengeluh.
“Saya dengar dia selalu keluar dengan model
tu, siapa ke namanya, Ain Wahida. Begitu cerita yang disampaikan oleh orang
kepada saya.” Datuk Haris bercerita kepada Datin Rabiatul.
Aldi hanya mendengar cerita ayahnya tanpa
memberi apa-apa komen. Ain Wahida, Ain Wahida. Berita yang didengarinya itu
menguatkan lagi hasrat hatinya untuk menjauhkan dirinya daripada gadis
itu.
~~~~BERSAMBUNG~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan