Khamis, 4 Oktober 2012

Novel:Kasihnya DIA (Bab 18)


TENGAH HARI, sekali lagi Rina Melati dipanggil oleh Datuk Johan. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam pejabat lelaki itu. Teman sepejabat yang lain mula memandangnya dengan ekor mata masing-masing.
“Duduk Melati!” pelawa Datuk Johan tanpa melihat ke wajah gadis itu. Namun, keharuman minyak wangi yang digunakan oleh gadis itu menerobos lubang hidungnya. Dan dia sudah lali dengan haruman itu.
“Datuk, saya…” kata Rina Melati tergagap-gagap dengan suara serak. Rasa serba salah mengelilinginya. Sekeping sampul surat diletakkan di atas meja Datuk Johan dan ditindih dengan telapak tangannya.
Datuk Johan menjeling dan mengulum senyuman. Hal yang telah dijangka akan berlaku telah berada di hadapan mata. Dia merenung Rina Melati. Wajah yang selalu melontarkan senyuman saat itu dikepung kesedihan. Kolam mata Rina Melati masih berona merah.
“Saya hendak berhenti kerja, datuk.” Perlahan dan sebak suara Rina Melati. Air matanya hanya menunggu waktu untuk menjurai membasahi pipi.
“Melati, ambil surat tu balik. Saya tidak terima. Melati hendak berhenti kerja gara-gara kena serang dengan isteri saya? Malu?” tanya Datuk Johan. Dia bersuara perlahan tanpa mengangkat mukanya. Mukanya masih tunduk kerana meneliti laporan kewangan dan status projek-projek yang sedang diselenggara oleh JJ Holding. 
“Saya sudah berfikir masak-masak,” kata Rina Melati lagi, cuba bertegas dengan keputusannya, walaupun tidak tahu ke mana haluan yang harus dituju setelah berhenti dari JJ Holding.
“Saya malu, Datuk! Malu sangat. Datuk kata, berita ini tidak akan bocor. Macam mana pula Datin boleh datang menyerang saya pagi tadi?” Suara Rina Melati perlahan dan tersangkut-sangkut kerana menahan tangis.
“Saya akan keluar dari rumah itu. Pergi jauh dari daerah ini.” Lambat-lambat bibirnya meneruskan bicara. Bibirnya digigit-gigit. Perasaannya tidak tentu arah. Perasaan bersalah terus melingkarinya apabila melihat Datin Jazima marah-marah. Dia percaya rumah tangga Datuk Johan sedang berantakan gara-gara perhubungannya dengan lelaki itu.
“Berhenti kerja dari syarikat ini atau keluar dari rumah itu, saya tidak mengizinkannya. Jangan menurut emosi. Melati bertenang dulu di rumah sehari dua, lepas tu kembali bekerja seperti biasa.” Datuk Johan membetulkan kaca matanya sewaktu memandang ke wajah gadis yang sedang tunduk dan berwajah muram dihadapannya.
“Melati, saya minta maaf bagi pihak isteri saya. Saya rasa bersalah dan akan mengambil tanggungjawab di atas peristiwa yang telah terjadi ini,” pujuk Datuk Johan sambil memegang hujung jari gadis itu. Peristiwa pagi tadi sedikit sebanyak mengocak ketenangannya juga. Dia faham dengan perasaan Rina Melati pada saat itu. Maklumlah, perkara yang amat memalukan itu sedikit sebanyak telah mencemar maruah mereka berdua.
Pagi tadi, selepas menghantar Rina Melati sehingga ke muka pintu, sememangnya dia ingin segera beredar dari rumah itu, tetapi tiba-tiba dia berasa pernafasannya tidak begitu selesa. Lantas, gadis itu memintanya berehat dulu di ruang tamu beberapa ketika.
Apabila dirasakan pernafasannya pulih kembali, dia meminta Rina Melati mengambilkan segelas air. Ketukan dipintu rumah Rina Melati pagi tadi amat mengejutkannya.  Terperanjat besar dia sebaik daun pintu di buka, yang terpacak di hadapan pintu, empat orang lelaki bersongkok. Di tengah gelora perasaannya yang berbaur pada ketika itu, dia terpaksa bersikap tenang dan memberi kerjasama kepada pegawai-pegawai dari pejabat agama yang sedang menjalankan tugas itu.
Mata Datuk Johan terus memerhatikan Rina Melati yang sedang menggigit-gigit bibir. Esak sedunya masih tersisa.
“Dah lunch? Jom kita pergi bersama-sama.” Datuk Johan cuba memujuk lagi. Sekali lagi dia merenung ke dalam mata gadis itu. Kesan air mata masih bersisa. Air mata itu sudah tentu menggambarkan hatinya yang sedang terluka. Luka dan berdarah. Kelukaan itu tidak mungkin akan terpadam dengan kata-kata maaf. Kata-kata yang dilemparkan oleh Datin Jazima tadi amat menyakitkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“Maafkan saya, Datuk. Saya tidak mahu timbul fitnah antara kita berdua.” Rina Melati berterus terang. Staf yang lain telah mula berbisik-bisik di belakangnya sebaik sahaja Datin Jazima meninggalkan pejabat itu pagi tadi.
“Kalau begitu duduk dulu. Saya ada hal yang hendak dibincangkan.” Datuk Johan sekali lagi mempersilakan gadis itu yang sudah mengangkat pinggulnya untuk beredar dari situ. Matanya merenung tubuh gadis yang masih tercegat di hadapannya.
“Saya bertanggungjawab di atas segala kejadian yang telah menimpa diri Melati.” Lunak suaranya memulakan bicara sekali lagi. Wajah Rina Melati disoroti tanpa jemu. “Kerana saya, kehormatan Melati telah tercemar. Orang-orang diluar sana mesti sedang mengumpat tentang Melati.”
Satu keluhan yang berat mengiringi kata-kata itu. Datuk Johan menarik laci dan mengeluarkan sesuatu. Kotak itu sudah disimpannya seminggu yang lalu. Isinya tidaklah seberapa harganya jika dibandingkan perasaan sayangnya terhadap gadis itu. Ketulusan hati Rina Melati yang sanggup menjaganya di hospital selama dua minggu sewaktu dia mendapat serangan jantung dulu telah membuat hatinya benar-benar terpikat. 
“Saya tidak memaksa Melati jika di hati sudah ada seseorang yang istimewa. Saya redha dengan ketentuan ALLAH dan akan terus menjaga Melati seikhlas hati saya.” Senyuman terukir di bibir lelaki itu sewaktu mengungkapkan kata-kata.
“Terima kasih, Datuk. Saya akan fikirkannya, insya-ALLAH.” Rina Melati berjanji sambil melemparkan senyuman kepada lelaki itu. “Saya keluar dulu.”
Sekembalinya di tempat duduknya, punggungnya dihenyakkan di atas kerusi dengan perasaan yang memberat. Pernahkah dia mengimpikan kekayaan atau kemewahan? Benarkah tidak ada sesiapa yang istimewa di hatinya.
Umar, dapatkah kita bertemu lagi pada masa akan datang? Atau pertemuan kita hanyalah pada waktu yang dulu dan tidak akan berulang kembali pada masa akan datang. Di manakah Umar kini? Rasa bersalah yang tertancap di hatinya seolah terpelohong dan semakin melebar. Kosentrasi terhadap tugasnya sedikit terganggu selepas pertemuannya dengan Datuk Johan tadi.
Jam di dinding pejabat menunjukkan angka 5.00 petang tanpa disedari. Rina Melati mengemas serta menyimpan fail yang berselerakan di atas meja. Selepas itu dia bergerak ke lif. Di dalam lif mindanya terus memikirkan tentang lamaran Datuk Johan tadi. Haruskah dia menyerahkan segalanya kepada takdir?
Pintu lif terbuka sahaja, gadis itu melangkah laju sambil meraba-raba kunci kereta di dalam beg tangan.
“Nini! Nini!”
Suara seorang lelaki yang tiba-tiba mengekorinya mengejutkan Rina Melati. Dia menoleh. Pandangan matanya bertembung dengan sepasang mata yang amat dikenalinya. Darahnya berderau dan dadanya berdegup kencang. “Aaa...abang! Abang Khalid...” Tergagap-gagap Rina Melati. Wajah lelaki di hadapannya ditatap dari hujung dahi hingga ke hujung kaki. Perasaannya agak cemas dengan pertemuan yang tidak diduga itu.
Khalid merenung Rina Melati sambil bibir tebalnya mengukir senyuman penuh yang sukar dimengerti. “Ya, Khalid Afandi! Kamu apa khabar? Puas aku cari. Aku rindu kau.” Suaranya seolah berbisik sambil tangannya menepuk-nepuk bahu gadis itu.
Rina Melati terpempan.
“Jom ikut aku!” Khalid memegang lengan gadis itu lalu mengheret Rina Melati berjalan beriringan dengannya.
Mereka menuju ke restoran di seberang jalan, berhadapan dengan JJ Holdings.
“Ceritakan tentang diri kau selepas perpisahan kita. Siapa yang bawa kamu ke sini?” Khalid seolah tidak sabar ingin mengetahui cerita tentang gadis itu.
Rina Melati bercerita seringkasnya.
Khalid terkejut apabila Rina Melati menyebutkan nama Bambang. “Bambang? Apa nama sebenar dia? Macam pernah kudengar,” ujar Khalid lagi. Pura-pura tidak mengenali. Sedangkan dia sudah diberitahu tentang Bambang oleh Hakimi.
“Rio Irawan.” Terpacul nama itu dari bibir Rina Melati.
“Rio Irawan!” Khalid menepuk meja dengan agak kuat. Perbuatannya itu menarik pandangan mata orang beberapa orang di restoran itu. Perasaan marahnya melahar di hati. Berguni-guni maki seranahnya terhadap Rio Irawan di dalam hati. ‘Awas kau!’
“Dia ada hubungi kau lagi Nini?” Bola matanya menikam ke dalam anak mata gadis itu.
Rina Melati mengeleng.
“Berapa harga kau?” Spontan bibir Khalid bertanya.
Persoalan itu mengejutkan Rina Melati. Bambang menjual aku kepada Datuk Johan? Dia terkedu seketika. Dia tidak pernah memikirkan hal itu sebelum ini.
“Berapa lama kamu berada di sini?” Khalid menyoal lagi, bagaikan seorang peguam.
“Lama juga,” jawab Rina Melati perlahan sambil menggigit bibirnya. Kini dia bagaikan seekor burung merpati yang akan ditangkap pada bila-bila masa dan dihumbankan ke dalam sangkar atau setidak-tidaknya sebelah kakinya akan diikat.
“Kamu tinggal di mana?” Soalan daripada Khalid bertubi. Gadis cantik seperti Rina Melati, tentu sahaja ramai orang ingin membantunya. Tambahan pula hatinya seumpama sang merpati. Mudah jinak, apabila dirapati terbang tinggi.
“Rumah Datuk Johan,” kata Rina Melati perlahan. Suaranya bagaikan tersangkut dikerongkong Rina Melati.
Khalid merenungnya tajam. Tepat sekali tekaannya. Perasaan cemburu menjulang dan menyelinap ke lubuk hatinya. Sekali lagi matanya menjilat ke wajah gadis yang berada di hadapannya.
“Siapa Datuk Johan? Pemilik JJ Holding ke?” soal Khalid. “Kau jadi perempuan simpanannya?” Dengan rakus persoalan itu dilontarkan.
Gadis itu mengeleng. Menafikan tuduhan Khalid itu. “Nini perlu balik sekarang!” Rina Melati bangun dari kerusinya. Dia berasa tidak tenteram jika bersama lelaki itu.
Khalid memegang serta menarik tangannya untuk menghalang gadis itu pergi.
“Tolong! Lepaskan! Nini perlu pulang ke rumah sekarang!” Suara Rina Melati seolah merayu. Matanya merenung ke anak mata lelaki itu untuk meraih simpati. Dalam pada berusaha melepaskan tangannya dari pegangan Khalid, beg tangannya terjatuh ke lantai lalu memuntahkan isinya.
Khalid mencapai kotak baldu berwarna biru yang terpelanting di hujung sepatunya.
Rina Melati mengambil kotak itu dari genggaman tangan Khalid lalu meninggalkan lelaki itu tanpa sepatah kata.
“Nini!” laung Khalid.
Rina Melati tidak ingin menoleh. Seperti mana ketidakinginannya menoleh hari-hari di belakangnya bersama lelaki itu.

          ~~ bersambung~~ 



Tiada ulasan: