Khamis, 4 Oktober 2012

Novel: REDHA TAKDIRMU (BAB 17)





S
ESUNGGUHNYA ALLAH sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.’ Di waktu wang simpananku tinggal beberapa ratus lagi, rupanya ada peruntukkan untukku dari perbendaharaan ALLAH.  ALLAH tidak pernah menghampakan doa hambaNYA.  
Begitulah pada suatu hari, sewaktu aku pergi ke kedai runcit di kawasan perumahan untuk membeli barang-barang dapur. Terlihat beberapa buah kedai sedang diubah suai untuk di buat kilang kecil. Pada agakanku waktu itu, beberapa buah mesin sedang dimasukkan ke dalam ruang  bangunan.  Pengalamanku yang lalu, menyebabkan aku tertarik hati untuk bertanya kepada beberapa orang yang terdapat di dalam bangunan itu.
“Nak buka kilang ke?” Aku bertanya, berterus terang. 
Seorang lelaki Cina kurus, bercermin mata menghampiriku.  Bajunya berseloteng dengan minyak berwarna hitam.
“Ya... Ya... Mau bukak kilang.”  Dia menjawab dalam pelat Cinanya.
Product apa?” Aku semakin berminat. Mudahan adalah jawatan kosong untukku. Jika di bayar tiga empat ratus sebulan pun aku akan terima.
“Ha! Wa tatak faham!” Bodohnya Cina ini, soalan yang mudah pun tidak faham. Hatiku mengerutu.
“Bikin apa barang?” Aku pula terpaksa menggunakan bahasa yang aku rasakan sesuai dan difahami oleh lelaki Cina itu.
“Oh! Kita pasang komponen pada PCB.” Lelaki Cina itu menerangkan. PCB? Aku pula terasa bodoh kerana tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan PCB. Yang aku tahu PCB, Pantai Cinta Berahi di negeri Kelantan.
“Ohh! Sistem umbrela la ni.” Enggan menunjukkan kebodohanku, aku menunjuk pandai kepada perkara lain pula. Aku faham dengan system umbrella atau payung ini sejak dari dulu. Sewaktu aku bekerja di kilang. Banyak proses yang tidak perlu dijalankan di kilang di serahkan kepada sub-kontraktor. Sub-kontraktor akan menyerahkan kerja-kerja tersebut untuk diproses di rumah-rumah. Bekerja dari rumah. Lebih menguntungkan. Sesetengah sub-kontraktor ini akan menyediakan satu tempat khas untuk memproses barangan tersebut sekiranya ada modal, lalu wujudlah industri-industri kecil ini.
“Apa itu umbelela! Wa tatak faham! Haiya! Itulah kita ada pasang PCB untuk barang-barang elektlonik dan komputer.” Si kurus itu terus bercerita.
“Jadi nak pakai ramai pekerjalah nanti?” Aku mencuba nasib. Untung sabut timbul. Jika tak ada tuah, jadilah seperti batu, tenggelam tak timbul-timbul.
“Lu mau ke amoi! Tunggu ya wa ambil borang. Lu kasi isi, nanti wa bawa ke Penang. Tunjuk sama kita punya bos.” Cina tadi terus menuju ke keretanya yang diletakkan tidak jauh dari situ. Beberapa ketika kemudian dia datang kembali dengan sehelai kertas ditangan.
“Amoi! Lu ada experience ke?”  Eh! Pandai pula si Cina ini menggunakan perkataan Inggeris.
Aku mengangguk-angguk dan tersenyum. Borang permohonan sudah berada di tanganku. “Dulu saya kerja di Selangor! Company besar juga! Hampir sepuluh tahun!  Pengalaman macam-macam ada! Production, quality qontrol,  purchasing, warehouse, finance.” Aku bercerita sejujurnya sambil mengamati borang permohonan.
“Manyaklah lu punya gaji?”  Si Cina menyoal.
Aku mengangguk. “Adalah sikit-sikit. Kerja dah lama.Seribu lebih sikit saja.”  Aku merendah diri.
“Kenapa lu berhenti dari sana? Lu kena buang kerja ke?”  Lelaki Cina itu cuba meneka pula. Dahinya berkerut dan memandang aku dengan curiga.
“Bukanlah! Saya kahwin dan ikut husband balik ke sini.Now dah hampir tiga bulan menganggur. Bosanlah. Dah biasa kerja.” Aku menjawab sambil ketawa. Mungkin peluang untukku bekerja tertutup sekiranya aku pernah dibuang kerja seperti yang disangkakan oleh lelaki Cina itu.  Aku lihat Si Ah Chong, (aku telah bertanyakan nama lelaki Cina tadi) menekan-nekan punat di telefon bimbitnya. Seketika dia berbual riuh dalam Bahasa Mandarin sambil mengawang-gawangkan tangannya ke udara.
“ Amoi, wa sudah tanya sama wa punya bos. Dia kata, lu boleh kelija sama kita punya company kalau lu mau. Tapi bos kita kata, kita tatak boleh bayar lu sama harga tinggi sebab kita cuma subcon saja.” Ah Chong tersengih-sengih. 
“Kita bayar lu RM 400.00 saja. Tengok macam mana lu kerjalah. Nanti company kasi tambah.”
400 ringgit? Alhamdulillah... Daripada tak dapat satu sen pun jika duduk di rumah baiklah bekerja dengan gaji 400 sebulan. Sekurangnya tidaklah aku merasakan diri seperti kucing kurap. Mengharapkan belas ehsan orang. “Bila boleh mula?” Tidak sabar aku untuk memulakan tugas.
“Cukup bulanlah amoi. Sikalang kita kasi bawa masuk mesin sama material dulu. Lu kasi isi borang ini juga.” Ah Chong menerangkan lagi.
“Saya jadi operator pengeluaran ke?” Aku menyoal lagi kerana tidak mengharapkan lebih daripada itu. Asalkan ada pekerjaan yang mendatangkan pendapatan yang halal, aku bersyukur.
“Tatak...  bukan operator. Nanti lu datang sini buat kelija production clerk. Lu sudah ada experience manyak. Kita tak payah kasi turun Penang punya clerk tunjuk atau ajar lu. Lu sudah boleh buat kelija sendiri.” Oh! Begitu ceritanya. 
Namun begitu, aku tidak kisah. Untuk pertama kalinya selepas bernikah dengan Idham, itulah hari yang paling menggembirakan hatiku. Aku tersenyum di sepanjang jalan dari kedai ke rumah. Aku bernafas dengan bebas. Di sekelilingku bagaikan ada bungaan yang sedang berkembang dan mengharum. Penuh warna-warni.




AKU tidak sabar menanti kepulangan Idham pada petang itu. Makanan kesukaannya dan yang telah dipesannya semua aku telah sediakan. Sambal tumis sotong, kari hati lembu, masak lemak taugeh dan kuchai beserta udang dan tauhu serta ikan keli juga telah tersedia di dalam peti sejuk untuk digoreng.  Hanya menunggu arahan daripada Idham. 
Untuk juadah petang itu aku akan menyajikan kuew teow kung fu dan puding telur serta teh tarik. Namun begitu, dadaku tetap bergemuruh kencang. Aku takut untuk memberitahu Idham yang aku akan mula bekerja beberapa hari lagi.  Aku bimbang Idham akan marah. Aku risau, Idham tidak mengizinkan aku bekerja. Tambahan dengan gaji sekecil itu.
“Abang, Lidya ada perkara nak cakap.” Aku duduk di hadapan Idham. Sebuah kerusi plastik telah disediakan untuk aku. Sememangnya, kami selalu begitu. Selepas minum petang, jika cuaca baik dan redup, Idham gemar mengambil angin di belakang rumah. Di bawah pokok jambu air yang sedang lebat berbuah. Di belakang rumah kami, belum dibangunkan dengan projek perumahan lagi. Pokok-pokok renik seperti pokok ubi kayu yang tumbuh meliar banyak berjejeran. Jika waktu petang, di situ memang berangin dan mendamaikan.
“Cakaplah, Asalkan jangan benda bukan-bukan! Abang tidak mahu dengar.”  Idham bersuara tegang dengan wajah yang serius.
“Abang, Lidya dah dapat kerja.” Aku memberanikan diri bercerita. Suara, sengaja aku manja-manjakan. Aku rasa bersyukur dan bangga kerana tidak payah termakan budi Idham mencarikan pekerjaan untukku. Mata Idham tajam merenungku sambil dahinya berkerut.
“Kerja? Kat mana? Kalau kerja yang bukan-bukan tu jangan nak mengada-ngada. Kalau perlu pergi seorang-seorang naik bas, jauh dari daerah ini jangan harap abang akan izinkan!”  Idham bersuara kasar tanpa memandang ke wajahku.
“Ada kilang yang nak di buka di sini.”  Aku memperlahankan suara. Telingaku siap sedia untuk mendengar leteran daripada Idham.
“Dekat mana?”  Idham terus menyoal. Aku sudah faham sangat dengan karektornya. Setiap satu perkara akan diselidiki sehingga ke akar umbinya. 
“Dekat kawasan perumahan kitalah.” Aku bersuara perlahan dengan nada yang ceria.
“Jadi apa? Operator pengeluaran?” Idham menyoal lagi dengan nada yang agak menghina. Sememangnya Idham bersikap begitu. Suka mengukur orang lain berdasarkan jawatan dan kelulusan. Berpangkat rendah dipandang hina.  Jika bersekolah setakat tingkatan lima atau enam macam aku, ada-ada sahaja yang tidak kena di matanya. Semuanya diperlekehkan. Yang menjadi sanjungannya, keluarganya sahaja. Semua berpangkat besar.  Semua berpelajaran tinggi lulusan universiti luar negara.
“Bukan operator, Lidya rasa production clerk tu okey juga!  Lidya boringlah bang duduk terperap di rumah. Lainlah kalau kita ada anak.”  Aku menjawab dengan nada tenang. Hatiku bagaikan tergigit apabila menyebut perkataan ‘anak’. Entah-entah sampai bila-bila pun aku tidak akan memiliki anak.
“Berapa mereka nak bayar Lidya?” Idham menyoal lagi. 
Telah aku faham sangat dengan perangainya. “400, bang.”  Aku menjawab dengan jujur. Jawapanku mengundang tawa di bibir Idham.
“400 mana cukup! Kalau empat ribu tak apa! Hey... Lidya kan ada banyak pengalaman! Kelulusan pun bukannya darjah enam sekolah atap! Eh, abang tak benarkan! Sabar dulu.”
Hancur hatiku apabila mendengar jawapan daripada Idham. Mengapalah suamiku ini tidak memahami apa yang aku ingini? 
“Kalau abang tak bagi, Lidya nak pergi kerja juga ke?”  Idham menyoal lagi. Dia benar-benar sedang menguji aku. 
Bukannya aku tidak faham. Kesilapan memberi jawapan, leteran panjanglah yang akan aku terima. Hal itulah yang akan diungkit tujuh hari tujuh malam. Bosan aku. “Kalau abang tak izinkan, takkan Lidya nak pergi. Tak apalah kalau abang kata begitu. Lidya tak pergi,”  suaraku gementar menahan tangisan yang kusembunyikan di dalam hati. Batinku meraung, namun aku harus merahsiakannya. Di hadapan Idham aku harus menunjukkan wajah yang tenang. Senyum sepanjang waktu walau hati dirobek-robek bertalu.
“Bang, Lidya nak mandi.” Menyedari yang kolam air mata menanti waktu untuk runtuh empangannya, aku segera beredar dari meja makan dan mencapai tuala mandi lalu meluru memasuki bilik mandi. Air paip aku buka semaksima mungkin. Deburan air dari paip yang jatuh ke dalam kolah akan menyembunyikan suara tangisanku.

30 March. Esok 1 April.  Hari sepatutnya aku pergi melapor diri dan memulakan tugas sebagai production clerk. Harapanku berbunga hampa. Entahlah. Malamnya aku tidak banyak bercakap. Hari-hari sebelumnya pun aku tidaklah ramah sangat dengan Idham.
Aku tidak mahu membohongi hatiku yang hakikat sebenarnya antara hatiku dan hati Idham ada jurang yang besar. Tetapi pada malam itu aku sengaja menjauhkan diri darinya. Di kala dia menonton televisyen, aku berpura-pura membaca majalah di dalam bilik tidur.
“Lidya! Esok masuk kerja pukul berapa?” Terdengar suara Idham dari sebalik dinding. 
“Kerja? Kan abang tak bagi Lidya pergi?” Aku tersentak dengan pertanyaannya lalu bangun dari katil dan menghampiri Idham yang sedang bersila panggung di atas kerusi rotan.
“Abang izinkan tetapi dengan syarat...” Idham bersuara tegas.
Idham tidak habis-habis dengan syarat. Tidak putus dengan peraturan. Adakah aku ini orang tawanannya?




                                                                                                     ~bersambung~~~












Tiada ulasan: