Isnin, 15 Oktober 2012

Novel:Redha Takdirmu (Bab 18)



BEBERAPA bulan menjadi kerani pengeluaran, aku dinaikkan pangkat menjadi kerani kanan di kilang itu. Gaji pokokku dinaikkan sebanyak 250. Dari 400 menjadi 650 puluh. Termasuk lain-lain elaun dan kerja lebih masa pendapatanku sebulan mencecah seribu ringgit. Alhamdulillah. Tidak pernah melupai pesanan ibu dan bapaku, ‘berbelanja biar hemat, berkata biar berpatut’, setiap bulan aku memperuntukkan 500 ringgit untuk simpanan peribadiku.
Selama perkahwinanku, Idham tidak pernah memberi nafkah untukku. Walaupun dulu, sebelum aku memperolehi pekerjaan, Idham hanya menyediakan wang untuk belanja dapur sebanyak lima ringgit sehari. Segala keperluan peribadiku, aku gunakan wang simpananku yang dulu. Bahkan kadang-kadang Idham menggunakan wang simpananku untuk kegunaannya pula. Semenjak dari hari pertama perkahwinan kami, aku tidak pernah bertanyakan pendapatan Idham.  Sebulan berapa ribu atau berapa ratus. Aku tidak pernah menuntut Idham memberi nafkah kepada aku walaupun aku tahu, itu hak yang harus aku terima.
Idham tidak pernah mengizinkan aku membuka dompetnya. Bukan itu saja, dia juga tidak membenarkan aku membasuh seluar yang digunakannya sewaktu pergi kerja.  Mana-mana seluar yang telah dimasukkan oleh Idham ke dalam bekas pakaian kotor, itulah yang aku cucikan. Jika tidak, aku tidak boleh memandai-mandai.
Setelah aku mempunyai pendapatan sendiri, Idham jarang-jarang lagi menghulurkan wang untuk perbelanjaan dapur. Aku menggunakan wangku sendiri untuk perbelanjaan rumah tangga kami.

“LIDYA ni, tiap bulan simpan duit sampai 500 tu buat apa?  Tinggallah sikit untuk diri sendiri dan rumah.” Begitulah komen Idham pada setiap bulan. Melarang aku menyimpan wang, adalah sesuatu yang aku tidak boleh terima.
“Kenapalah bil letrik bulan ini banyak sangat ni?” Itu rungutan Idham setiap kali menerima apa-apa bil. Dia membebel dan memicit-micit kepala.
Dan bagai selalu aku akan mengalah. “Bil-bil tu semua, nanti Lidya bayarkanlah.” Begitulah, akhirnya setiap bulan semua bil keperluan rumah tangga aku yang mengeluarkan wang untuk menjelaskannya. 
Pada suatu hari, teringat aku tentang rumah yang kami diami. Masih dibayar ansuran ke atau sudah dimiliki sepenuhnya. Aku tidak pernah menemui sebarang resit yang membuktikan pembayaran ansuran rumah. Mungkin Idham menyimpan semua dokumen di pejabatnya. Namun, sebagai seorang isteri aku rasa aku berhak untuk mengambil tahu dan bertanggung jawab.
“Abang, hutang rumah ni abang dah habis bayar ke?”  Niatku ialah untuk membantunya. Dengan nama ALLAH, aku bersumpah aku tidak pernah terniat untuk memiliki rumah itu.
“Kenapa? Yang awak sibuk sangat apa hal! Suka hati abanglah, sama ada masih berhutang atau pun tidak, bukannya ada kena mengena dengan awak.” Begitu jawapan yang dilontarkan oleh Idham kepadaku. Kekasaran bahasanya seolah sembilu menghiris hatiku.
“Sibuk sangat nak tanya pada tuan rumah, apa hal? Bodoh! Jangan tanyakan hal ini lagi! Abang tak suka. Orang tahulah tanggungjawab orang! Nak mengajar kita pulak!”  Idham menyambung leterannya lagi.
“Maafkan Lidya, bang. Lain kali Lidya tak tanya. Lidya ingat, kalau abang masih berhutang, tiap-tiap bulan Lidya nak bantu abang, beri seringgit dua.” Aku bersuara perlahan, menahan sebak di jiwa.
“Gaji Lidya banyak sangat ke?” Lagi sekali aku ditempelak. “Baru kerja kilang begitu dah berlagak.”
Celupar sungguh mulut Idham ini. Hairan aku mengapa aku terlalu sabar dengan sikapnya. Aku tidak menjawab lagi.  Biarlah aku mengalah. Biarlah aku diperbodohkan pada setiap hari. ALLAH ada dan akan mengadilinya nanti.

PEJAM celik hampir dua tahun kami menjadi suami isteri.  Meskipun setiap hari aku merasakan seolah berada di neraka dunia, rumah tangga ini tetap akan aku pertahankan. Tetapi sampai bila? Setakat manakah kesabaran manusia?
“Bayar saja ansuran talian telefon tu! Kan Lidya yang mahu perkhidmatan telefon tu semula.”  Idham mengingatkan aku tentang hutang yang sedang aku tanggung. Perkhidmatan telefon menjadi sangat perlu kepada aku untuk berhubung dengan ibu bapa dan keluargaku di kampung. Hanya itu saja caranya untuk aku melepaskan rindu dan bertanya khabar mereka. Aku terpaksa menyanggupi bayaran ansuran bil telefon yang tertunggak hampir 3000 ringgit itu. Setiap bulan aku perlu membayar seratus ringgit untuk tujuan itu. Tempoh ansuran itu ialah selama 30 bulan.

SUATU hari, sekembalinya aku dari tempat kerja, aku terlihat sepucuk surat di dalam kotak pos rumah kami.  Secara kebetulan sampul suratnya terjulur keluar dapatlah aku mengambil surat itu. Surat bersampul surat coklat bercop majlis daerah tempatan mengandungi surat berwarna merah. Hatiku meronta-ronta untuk membaca isi kandungannya. 
Namun, ketakutan menyelubungi hatiku. Aku takut Idham marah sekiranya dia tahu. Idham telah berpesan kepadaku, jangan sesekali membuka surat yang dialamatkan atas namanya. Puas aku membelek-belek, rupa-rupanya sampul surat itu tidak bergam. Dengan tangan yang mengeletar aku pun membaca surat itu dengan mata yang terbelalak kerana terkejut.

Sehingga ke tarikh yang disebutkan di atas, tunggakan bayaran ansuran rumah atau premis yang tuan duduki adalah berjumlah RM 48 000.68.  Sila jelaskan keseluruhan jumlah itu dalam tempoh dua minggu selepas tarikh surat ini. Sekiranya tuan gagal berbuat demikian atau engkar, pihak kami akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menyita atau melelong rumah/premis tuan.

Terduduk aku sebaik sahaja membaca surat tersebut.  Bagaikan dihempap dengan batu besar, kepalaku tiba-tiba menjadi sakit. Jika benarlah rumah itu akan dilelong, ke mana kami akan berteduh?Alangkah malunya. Ke mana muka hendak disorokkan. Kesedihan menjalar-jalar ke seluruh perasaanku.
 Aku menangis bersendirian kerana diburu rasa bimbang. Ingin saja aku menghubungi Idham di pejabat dengan segera untuk mengkhabarkan hal itu, namun hasrat itu aku batalkan kerana takut dimarahi Idham. Akhirnya aku membuat keputusan, mendiamkan sahaja perkara itu. Biarlah Idham mengetahuinya sendiri setelah membaca surat amaran itu.  Biarlah aku berpura-pura tidak tahu.
Lambat laun, aku akan tahu juga kisah yang berlaku di sebaliknya. Aku meletakkan surat yang diterima di atas meja telefon. Tiada tanda-tanda surat itu telah aku buka dan baca, kerana aku melakukan semuanya dengan amat berhati.

SEKEMBALI dari pejabat pada petang itu, setelah selesai minum petang dan ketika Idham duduk berehat-rehat di bawah pokok belimbing di belakang rumah, barulah aku memberitahunya.
“Abang, ada surat untuk abang. Atas meja telefon.” Aku yang duduk disisinya memberitahu dengan suara perlahan sambil menunggu arahan daripadanya.
“Surat apa?” Idham menyoal dengan suara rendah. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulutnya.
“Entah!  Lidya tak tahu. Abang nak Lidya ambilkan ke?”  Seperti seorang hamba, aku sentiasa bersedia untuk menabur bakti. 
Idham mengangguk. Bibirnya mengepit sebatang lagi rokok yang baru dikeluarkan dari tin. Tangan kanannya memetik lighter, sambil tangan kirinya menghadang angin yang cuba memadamkan nyalaan api lighter. Setiap hari Idham menghisap rokok paling kurang 40 batang. Puas aku menasihati supaya berhenti merokok, tetapi sedikit pun tidak diendahkannya. Sebaliknya aku teruk dimarahi.
“Lidya dah buka ke?” Idham memandang ke wajahku sambil tangannya mengambil surat yang aku hulur. 
Aku menyembunyikan degupan jantung yang agak kencang. “Kan abang dah pesan pada Lidya, jangan buka surat abang.” Suaraku agak gugup dan gementar.  Aku bimbang jika Idham berterusan menyoal, aku akan mengakui segalanya.  Aku akan berkata benar bahawa aku telah membuka dan membaca surat tersebut.
“Sampul surat itu memang tidak bergam! Tapi memang Lidya tak baca pun sebab abang dah pesan.” Pembohonganku berterusan untuk melindungi diri daripada dikasari oleh Idham.
Idham tidak menjawab. Mungkin dia mempercayai apa yang aku katakan. Aku memerhatikan riak di wajah Idham tatkala dia membaca surat itu. Seolah tidak ada apa-apa, Idham membaca dengan wajah tenang. 
“Pergi simpan surat ni dalam laci meja tulis tu.” Idham mengarahkan dengan suara perlahan.
Aku menurut katanya. “Apa isi surat tu bang?” Aku bertanya sebaik sahaja kembali duduk di sisinya. Idham menghembus asap rokok. Asap rokok yang berkepul-kepul semakin lama menipis dan seterusnya hilang di udara.
“Surat biasalah! Suruh bayar cukai pintu.” Selamba sahaja dia berkata tanpa menoleh kepada aku. Memang lelaki ini pandai berahsia. Menyembuyikan pembohongan.  
Aku pura-pura tidak mengetahui isi kandungan surat itu. “Banyak ke bang?”  Aku menyoal lagi sambil tersenyum.
“Alah! RM 44.00 sahaja.” Sekali lagi Idham berbohong. 
Aku merenungnya sambil menggeleng. Apalah salahnya berterus terang denganku. “Abang ni macam susah hati saja hari ni kenapa?” Aku memandang ke wajah Idham. Aku berharap dia akan menceritakan perkara yang sebenarnya. Sememangnya sejak balik dari pejabat, sebelum aku memberikan surat itu pun Idham telah kelihatan muram. Namun, dia menyembunyikan kemuramannya dengan menunjukkan wajah yang garang kepada aku.
“Tak ada apa. Abang penat. Banyak kerja di pejabat.  Banyak program nak diadakan sempena Jubli Emas yang akan disambut pada tahun ni,” mendatar suara Idham menjawab.  Naluri hatiku mengatakan yang Idham sedang menyembuyikan sesuatu daripada aku. Bukankah aku isterinya? Walaupun aku tidak menerima hak-hak yang sepatutnya diterima oleh seorang isteri, hati kecilku membisikkan yang Idham sedang menghadapi permasalahan. Bukan soal rumah yang akan dilelong, bahkan ada perkara lain lagi yang sedang disembunyikannya.

MALAMNYA selepas sembahyang isyak, aku mengeluarkan kemeja yang akan dipakai oleh Idham ke pejabat.
“Lidya, malam ni tak payah gosok baju abang,” tersentak aku apabila Idham menjengahkan kepalanya di pintu bilik tidur kami. Aku baru sahaja memanaskan seterika.
“Kenapa? Esok abang cuti ke?” Aku menyoal kembali sambil memandang kepadanya dan terus menghentikan tugasku yang baru bermula.
“Biar abang gosok sendiri! Esok abang ada hal nak pergi mahkamah syariah!” Idham menerangkan. 
Mahkamah?  Oh! Inilah perkaranya yang disembunyikannya daripada aku.
“Itu saja yang abang nak beritahu! Jangan tanya apa-apa!” Amaran daripada Idham terus menguncikan bibirku daripada berkata.
Sememangnya dia selalu bersikap begitu tanpa menyedari sikapnya itu telah mendera fikiranku. Aku ingin bertanya, Idham melarang. Aku puas memikir tetapi tidak pernah mendapat jawapan.Idham terus menyepikan diri sambil menonton televisen. Aku melayani fikiranku sendiri.





                                        ~~~  bersambung~~






Tiada ulasan: