Isnin, 15 Oktober 2012

Novel:Sebelum Nafas Terhenti(Bab 19)




Linda menyusun baju-baju yang baru tiba ke butiknya dengan penuh berhati-hati. Wanita berumur lewat dua puluhan itu tinggi lampai orangnya. Berwajah tirus dan bermata galak.  Rambutnya melepasi belakang dan telah diperangkan. Dia mengenakan jeans putih dan blaus berlengan panjang putih juga.
“Kak! Baju-baju ni, nak letak berapa harganya sepasang?”  Nurlisa memerhati tulisan pada invois. Banyak juga pakaian yang sudah siap, sampai di butik pada hari itu. Dia sedang memunggah kotak-kotak yang mengandungi pakaian yang sudah siap dijahit itu dan menyemaknya dengan invois yang dikepilkan.
“Tambah 40%. Semua begitu. Termasuk tudung, kain ela,” jawab Linda dengan suara agak kuat kerana jarak antara mereka jauh. Sejak kehadiran Nurlisa di kedai itu, kerjanya bertambah ringan. Nurlisa seorang pekerja yang rajin dan tekun. Dia bersyukur kerana telah dipertemukan dengan Nurlisa di kedai makan tempoh hari.
“Nanti kalau pelanggan minta diskaun, boleh bagi berapa?” tanya Nurlisa sekali lagi sambil jari-jemarinya menekan punat-punat di calculator dan melabelkan harga pakaian-pakaian yang sedia digantung dan dipamerkan.
Tidak sempat Linda menjawab, telefon di atas mejanya berdering. “Butik Mesra. Ya... Selamat tengah hari, encik,”  jawab Linda sambil menggawangkan tangannya untuk memanggil Nurlisa. 
Nurlisa kehairanan. Selama dia bekerja di butik itu, dia tidak pernah menerima panggilan telefon daripada sesiapa pun. Dengan kaki yang terhincut-hincut, dia melangkah ke arah Linda dan menyambut gagang telefon yang dihulurkan.
“Helo... Assalamualaikum, Lisa.”
Gemersik suara lelaki menyinggahi telinganya.  Gadis itu semakin berdebar.  Nurlisa menjawab salam dengan perlahan dan hati yang penuh tanda tanya.
“Lisa, sudi keluar makan tengah hari bersama saya hari ni?” Pelawaan lelaki yang tidak diketahui tambah menggoncang gegarkan hati Nurlisa. Dia tidak tahu menjawab apa. Sebelum ini dia tidak pernah menerima panggilan telefon daripada sesiapa pun. “Aldi!” Lelaki yang menelefon mengenalkan diri.
“Oh! Saya tengah kerja ni.” Terkejut dengan panggilan itu, Nurlisa cuba menolak. Matanya melirik ke arah Linda yang seolah sedang mencuri dengar perbualan mereka.  Debaran jiwanya semakin memuncak apabila mendengar suara Aldi di telefon. Dia sendiri tidak mengerti mengapakah perasaannya jadi tidak menentu.
“Habis kerja pukul berapa?” Aldi terus mengharap. Banyak yang ingin dibualkan dengan gadis itu. Setahun berpisah, perasaan hatinya tidak pernah berubah. Walau ramai gadis yang ditemui, tidak setanding Nurlisa.
“Pukul 6.00 petang.”  Nurlisa menjawab perlahan seolah berbisik. Degup dadanya semakin bergemuruh. Matanya menjeling Linda yang berada tidak jauh daripada situ. Linda sedang membetul-betulkan susunan pakaian yang tergantung untuk dipamerkan di butiknya itu. Namun Nurlisa yakin yang Linda tidak mendengar perbualannya dengan Aldi.
“Saya datang ambil.” Suara Aldi agak tegas. 
Nurlisa teruja.  Bagaikan sang puteri di datangi putera yang dirindui.
Aldi menukar rancangan untuk menyesuaikan waktu kerja gadis itu. Dia faham komitmen yang selalu diberikan oleh Nurlisa terhadap tugasnya. Sentiasa tekun dan rajin.  Bertanggungjawab.
Sebaik sahaja tubuh Nurlisa ditelan kereta yang dipandu Aldi, hujan mulai turun rintik-rintik. Terasa janggalnya gadis itu apabila duduk bersebelahan dengan seorang yang amat dihormatinya. Aldi yang baru pulang dari pejabat terus datang mengambilnya di butik. Lelaki itu menunggu hampir sepuluh minit di dalam kereta. Aldi masih dalam pakaian pejabatnya. Berkemeja lengan panjang kuning air dan berseluar panjang hitam serta bertali leher.
“Hmm... Lisa tinggal di mana sekarang?” Aldi bersuara setelah beberapa lama mereka ditakluki dengan kebisuan. Ekor matanya mengerling Nurlisa yang duduknya terlalu rapat dengan pintu kereta. Dia menyimpan senyuman. Pemalu.  Begitulah desis hatinya terhadap Nurlisa. Nurlisa berbaju kurung hijau muda berbunga kuning lembut dan dipadankan dengan tudung beige yang bermanik sekelilingnya.
“Saya menyewa bilik, encik,” jawab Nurlisa jujur. 
Aldi terdiam seketika. Matanya terus memerhati ke hadapan kerana kereta yang berada di depannya terlalu rapat.  Kecuaian yang sedikit akan menyebabkan perlanggaran tentunya. “Kita makan di Restoran Sri Melaka, ya.” Dia membelokkan kereta ke kiri sebaik sahaja melalui Jalan Bendahara. 
Nurlisa tidak berkata apa-apa. Aldi yang memandu, terserahlah kepadanya untuk membawa walau ke mana sahaja.
Nurlisa tidak tahu untuk memesan apa-apa apabila pelayan restoran menghulurkan menu padanya. Dia tidak pernah datang ke restoran sebesar itu. Rasa malu dan rendah dirinya terhimpun di seluruh benaknya. Tambahan pula sewaktu dia masuk ke restoran itu tadi, semua mata memerhatinya.  Ketempangannya menjadi tumpuan. Dia rasa hendak berpatah balik ke belakang. Namun rasa rendah dirinya itu seolah terpinggir apabila Aldi memeluk bahunya sambil berjalan.  Sememangnya lelaki itu seolah memahami kemelut yang bertandang di jiwanya.
“Mengapa Lisa tinggalkan vila?” Spontan ayat itu terkeluar daripada bibir Aldi sebaik sahaja selesai membuat pesanan makanan untuk mereka berdua.
Nurlisa diam.
“Pokok bunga di taman semuanya sudah merajuk. Tak mahu berbunga lagi. Taman di Vila Kencana sudah tidak indah lagi, sejak Lisa pergi.” Aldi cuba mengusik. Nurlisa yang berada di hadapannya masih berwajah bersahaja. “Bila saya balik ke rumah, Lisa tak ada. Saya rasa kehilangan.” Aldi berterus terang dengan suara yang amat perlahan. 
“Lisa dah janji dengan saya, akan tunggu kepulangan saya di rumah itu,” ujar Aldi lagi dengan nada perlahan seolah berbisik.
“Saya masih ingat lagi kata-kata saya kepada encik tempoh hari. Insya-allah, sekiranya ketentuan Allah menginginkan begitu...” Nurlisa cuba mengimbas kenangan lalu. 
“Wah! Tidak lari walaupun satu perkataan. Saya hanya menguji Lisa saja tadi.” Aldi ketawa seketika.
“Lisa ingat semuanya, ya?” Lagi sekali lelaki itu menduga gadis di hadapannya itu.
“Ya, encik. Saya tidak pernah melupainya walau sesaat.  Alhamdulillah,” kata Nurlisa. Bagaimana dia harus melupakan detik-detik waktu  bersama lelaki itu? Segalanya terpahat di dalam kenangan.
“Mengapa Lisa pergi sebelum saya kembali?” Aldi mengulangi pertanyaannya lagi.  Dirinya seolah tidak lengkap apabila kembali ke vila itu, gadis itu sudah tidak ada lagi.  Saat ini, apabila dia berada di sisi Nurlisa, segalanya seolah kembali sempurna.
“Saya hendak cari keluarga saya, Encik Aldi.” Ada getar di hujung suara gadis itu.
Aldi menatap ke wajah Nurlisa yang tunduk memandang permukaan meja. Dia memahami kesedihan yang sedang berlabuh di hati gadis itu.
“Tapi sehingga kini belum berjumpa.” Nurlisa menyapu hujung matanya dengan jari telunjuknya. Air mata yang terkumpul di penjuru mata cuba disembunyikan. 
“Insya-allah Lisa, satu hari pasti Lisa akan berjumpa dengan mereka.”  Aldi cuba memujuk.  Dia faham kemelut yang melingkari hati gadis itu. Tentu dia berasa keseorangan. “Saya akan bantu Lisa...” Dia merenung wajah Nurlisa yang kelihatannya sedang bersedih. Sanggupkah hatinya melihat gadis yang menyinari hatinya dalam kesedihan?
“Lisa...” Suara Aldi lembut sambil menghulurkan tangannya kepada gadis itu. “Kita cipta perhubungan yang baru, boleh? Saya bukan lagi anak majikan atau majikan Lisa.”  Dia cuba meruntuhkan tembok yang terbina antara mereka berdua. Selagi gadis itu beranggapan begitu, kemesraan antara mereka tidak akan terjalin.
“Saya masih banyak kekurangan dan tidak setara dengan encik. Saya tidak layak untuk membina perhubungan dengan mana-mana lelaki pun.”  Nurlisa bersuara perlahan. Dia berasa sangat terhina dengan peristiwa hitam yang telah dilalui.  Walaupun kesuciannya tidak tercemar, tetapi sehingga hari ini dia berasa sedih dan kecewa. Dia yang selalu memelihara kehormatan dirinya, tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki, seolah telah dicalit dengan kekotoran yang amat menjijikkan. Ujian ini amat sukar dan memedihkan hatinya.  Segala-galanya masih segar di dalam ingatan.
“Saya takut!”  Tiba-tiba bibirnya mengeluarkan perkataan itu. Sememangnya dia takut untuk menjalin perhubungan dengan lelaki. Dia takut untuk dicintai, disayangi lelaki.  Wajah Mak Cik Hasnah terbayang di mata gadis itu.  Telinganya seolah terdengar esakan-esakan emaknya kerana menyesali diri yang ditinggalkan oleh suami. Esakan emak di tengah malam sepi, sehingga kini seakan didengari.
“Awak ni prejudis terhadap lelaki, ya?” Aldi merenung ke mata Nurlisa sambil tersenyum. 
Nurlisa terdiam lagi. Haruskah dia bercerita segalanya kepada Aldi? Haruskah segala kedukaannya dikongsinya bersama dengan orang lain?
“Bukan prejudis encik! Tapi... entahlah. Hendak diceritakan pun tidak memberi makna apa-apa lagi.” Untuk apa dikenang kisah lalu yang telah menyebabkan air matanya seolah menjadi kering. Apatah lagi setelah peristiwa pahit yang ditempuhinya pada malam yang mengukir sejarah hitam dalam hidupnya, dia semakin merasakan yang dirinya tidak layak untuk Aldi dan mana-mana lelaki pun. Biarlah seluruh cintanya menjadi milik Allah. Mencintai Allah, tidak akan mengecewakan. Itulah yang selalu dibacanya di dalam buku-buku agama.
Dia ingin melaporkan kepada polis, tetapi dia berasa takut dan malu. Takut mereka tidak mempercayainya tambahan pula dia tempang. Entah-entah dirinya pula akan difitnah yang bukan-bukan. Sekeping kad yang dijumpainya dalam bilik, selepas kejadian itu masih dalam simpanannya. Tidak tahu sama ada kad itu milik lelaki durjana itu, atau kad itu salah satu kad yang menjadi miliknya dan tercicir. ‘Abdul Hakim bin Roslan. Juruteknik Komputer.’ Itulah nama yang tercatat pada kad itu.
“Hmm... teruskan.” Aldi masih berharap Nurlisa terus berkata-kata. Dia tidak pernah jemu melihat bibir gadis yang comel itu menuturkan satu demi satu perkataan.
“Teruskan apa?” soal Nurlisa kembali. Sukar memahami maksud lelaki yang berada di hadapannya. “Encik! Sebenarnya pukul 8.30 malam nanti saya ada kerja lain.” Dia melihat jam di lengannya. Dia mengalih topik perbualan mereka. 
Aldi sedikit terkejut. “Kerja?” Benaknya mula memikirkan sesuatu. Apakah jenis pekerjaan yang dilakukan oleh gadis di depannya itu malam-malam begitu? Seharusnya dia berehat atau pergi berhibur.
“Saya basuh pinggan di restoran, encik.”
“Lisa... jangan panggil saya begitu. Tolong! Jangan menyeksa saya dengan panggilan itu. Saya rasa fikiran saya terbeban.” Aldi bersuara lunak di dalam tawa. 
Nurlisa turut ketawa kecil, namun sekejap sahaja.
“Bukankah mak selalu membahasakan Abang Aldi? Lisa panggil aje Abang Aldi.”
“Saya basuh pinggan di restoran, Abang Aldi!” Nurlisa mengulangi kembali jawapannya tadi dengan panggilan yang diingini oleh Aldi. Dia terasa sangat janggal.
Lelaki itu ketawa.
“Ha, begitulah. Sekarang ceritakan tentang diri Lisa selepas tinggalkan Vila Kencana.” Aldi seolah memujuk. 
Nurlisa mengelengkan kepalanya. “Tak ada cerita yang menarik pun. Saya harus berusaha gigih untuk menyara kehidupan sendiri dan mengumpul duit untuk masa depan saya. Di samping itu, saya terus mencari keluarga saya!” Dia berterus terang. Kolam matanya berasa pedih sekali lagi.
“Buat apalah Lisa tinggalkan Vila Kencana? Mereka semua akan bantu Lisa!” Aldi seolah mengeluh. Kekecewaan hatinya disembunyikan apabila kepulangannya tidak disambut oleh gadis itu.
“Maaf! Saya orang  susah, tidak sempuna, cacat. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Datin telah banyak membantu saya. Budinya sehingga kini saya junjung serta  kenang, tapi saya tidak tahu untuk membalas dengan cara apa.” Nurlisa terus menundukkan wajah apabila direnung oleh Aldi.
“Lagipun, datin ambil saya bekerja untuk menjaga Abang Aldi. Apabila Abang Aldi sudah sihat, saya rasa khidmat saya tidak diperlukan lagi,” kata Nurlisa dengan dengan lembut sambil menundukkan wajahnya. Dia masih terkenangkan kebaikan dan layanan Datin Rabiatul terhadapnya.  Wanita itu seorang yang baik. Tidak sombong dan merendah diri.
“Lisa, sekarang ni Lisa tak ada sesiapa lagi, kan?  Sementara bertemu semula dengan keluarga, siapa yang akan jaga Lisa!” Aldi seolah ingin memujuk. Mahukah gadis itu kembali ke Vila Kencana Emas? “Baliklah ke Vila Kencana. Mak tentu gembira bila Lisa balik ke sana.” Pujukan Aldi tidak pernah berhenti. Bagaikan cintanya terhadap gadis itu yang tidak pernah mengira waktu.
“Saya suka dengan keadaan sekarang ini. Keseorangan tetapi saya merdeka. Bilik yang saya sewa itu sempit, tetapi saya rasa bebas. Insya-allah, saya boleh menjaga diri dan Allah akan pelihara saya!” Nurlisa menegaskan pendiriannya. 
Aldi terdiam. Mengapakah Vila Kencana Emas begitu menakutkan gadis itu? ‘Rumah ini indah dan menakjubkan tetapi ditambat kesunyian.’ Bagaikan terdengar kata-kata yang pernah diucapkan oleh Nurlisa pada suatu waktu dulu.
Nurlisa menghulurkan gelas minuman yang diletakkan oleh pelayan restoran di depannya kepada Aldi.
“Lisa tak mahu tanya tentang saya?” Aldi cuba menduga lagi. Bibirnya mengukir senyuman.
“Hmm... saya tahu Abang Aldi kini sudah sihat, berjaya dan bahagia.” Nurlisa cuba meneka dengan nada suara yang lembut dan tenang.
“Pandainya. Dari mana Lisa tahu? Semalam tahu tentang warna kesukaan saya. Hari ini nampak pula apa yang ada dalam hati saya.” Senyuman Aldi semakin melebar.
“Air muka itu cermin hati. Wajah kita akan mencerminkan segala apa yang ada dalam hati kita, Encik Aldi.” Nurlisa masih lagi tersasul memanggil Aldi. 
“Hmm... saya setuju dengan kata-kata tu, tetapi kadangkala ada juga orang berkata, hati yang gembira akan ditunjukkan dengan wajah yang gembira. Wajah yang gembira belum tentu menunjukkan rupa hatinya pada waktu itu. Ramai orang suka menyembunyikan kesedihan dengan ketawa, Lisa.” Aldi seolah memerangkap Lisa dengan kata-katanya.
“Lisa, semenjak kehilangan isteri, dunia saya menjadi gelap seketika. Saya pernah rasakan dunia ini seolah semakin menyempit dan menghimpit saya. Sehinggalah tuhan anugerahkan seorang insan dalam kehidupan saya dan mengembalikan sinaran di hati. Jika sebelumnya saya rasa ingin mati pada setiap hari tetapi setelah bertemu dengan insan istimewa itu, saya rasa ingin hidup seribu tahun lagi.” Dia mengucapkan kata-kata yang tersimpan di hatinya dengan penuh perasaan sambil tersenyum kepada Nurlisa.
“Dia umpama lilin. Menyinari hati saya yang kegelapan.”  Aldi masih menyembunyikan perasaannya. “Saya merinduinya. Amat merinduinya.” Suaranya agak perlahan sambil tersenyum memandang Nurlisa.  
Gadis itu hanya membalas senyuman Aldi kerana tidak tahu untuk berkata apa lagi. Cuma di dalam hatinya membisikkan, bertuahlah siapa yang menjadi insan itu
“Selepas ini bagaimana?” Lagi sekali Aldi menyoalkan sesuatu yang kelam. 
Nurlisa terus gelisah. “Maksud, encik?” Kegelisahan dan keresahan itu menyebabkan gadis itu tersasul sekali lagi.
“Encik lagi. Lisa... Lisa. Okeylah, beginilah tidak kisahlah memanggil saya apa pun, asalkan Lisa berasa selesa bersama saya.” Aldi mengangkat keningnya.
“Malam ini, sebelum tidur... Lisa praktis lidah.Programkan diminda. Abang Aldi... Aldi... Aldi.” Aldi tertawa dengan gurauannya sendiri diikuti oleh Nurlisa. Sedikit demi sedikit Aldi dapat merasakan yang gadis itu telah merebahkan tembok yang menghalang kemesraan di antara mereka berdua.
“Maafkan saya. Saya akan cuba.” Nurlisa tersenyum sambil membariskan kata-kata itu.  Debaran dijiwanya masih belum reda daripada tadi.
“Hmm... Lisa, saya ada belikan sesuatu untuk Lisa.” Aldi menghulurkan sebuah kotak ke dalam genggaman gadis itu.  Nurlisa menyambutnya dengan senyuman.
Aldi turut tersenyum. Di hatinya tersemai perasaan yang hanya dimengertikan oleh dirinya sendiri.
“Terima kasih!” Kotak yang comel terus disimpan ke dalam beg yang tersandang di bahu.
“Tak sudi ke nak tengok barang pemberian saya tu?” soal Aldi, cuba bergurau.
“Boleh ke saya buka sekarang? Dulu, sewaktu saya kanak-kanak, mak selalu berpesan. Kalau orang beri sesuatu, jangan dibuka di hadapan orang berkenaan...”  Sampai di situ, suara Nurlisa menjadi sebak. Dia terkenangkan emaknya yang amat dirindui.
“Baiklah Lisa. Sampai di rumah nanti, Lisa bukak ya. Saya hanya bergurau,” ujar Aldi pula apabila dilihatnya Nurlisa tiba-tiba bersedih. Mungkin terkenangkan emaknya.  Hatinya tersentuh apabila melihat Nurlisa berada di dalam kesedihan.
“Sekiranya selepas ini, saya ingin bertemu dengan Lisa lagi, sudi ke?” Bibir Aldi tersenyum lagi sebaik sahaja menghabiskan kalimah itu. Dia cuba mengalih perhatian Nurlisa kepada hal lain supaya gadis itu tidak berduka lagi.
“Pertanyaan Abang Aldi ni buat saya rasa malu. Encik eh Abang Aldi dah lama kenal saya. Lama saya menjadi orang gaji di vila itu. Sekiranya Abang Aldi ingin bertemu dengan saya, saya rasa itu penghormatan yang sangat besar.” Nurlisa menjawab dengan terang dan jelas. Matanya bercahaya. Wajahnya kembali berseri.
“Sebab itu saja? Tak ada sebab lain?” Aldi cuba menduga riak di hati gadis itu. Dia kagum dengan ketabahan gadis itu.  Di dalam kesedihan yang teramat, dia cepat menyembunyikan kesedihan itu dan kembali menunjukkan keceriaan di wajah.
Nurlisa tidak menjawab. Entah mengapa dia selalu buntu apabila Aldi mengeluarkan pertanyaan seperti itu. Semenjak dia berada di Vila Kencana Emas lagi, lelaki itu suka mengajukan persoalan yang serupa.
“Sewaktu saya berada di luar negara, Lisa langsung tidak ingat kepada saya. Tak pernah tanya khabar saya pun.  Agaknya dulu Lisa banyak berkecil hati dengan saya, ya.” Aldi menduga lagi dengan suara yang lembut. Seolah dia hanya menanggung kerinduan seorang diri. Kerinduan yang seolah mengalir di setiap aliran darahnya.
“Saya banyak melukakan hati Lisa.” Gementar suara Aldi. Matanya menatap ke wajah Nurlisa yang tenang. Mata beningnya amat indah dan begitu dirindu.
“Tak! Tak ada apa yang mengecilkan hati saya. Tak ada apa yang melukakan,” jawab Nurlisa di dalam senyuman, menafikan sangkaan lelaki itu.
“Saya tunggu Lisa call saya. Tetapi sehingga saya kembali ke tanah air, saya tidak pernah menerima walau satu panggilan pun daripada Lisa.” Aldi bersuara dengan perlahan dan dengan nada yang lembut.
“Rupa-rupanya saya dilupai orang!” Suara Aldi terlalu bersahaja, namun seolah menghiris perasaan gadis yang berada di depannya.
“Encik...” Suara Nurlisa terputus sehingga di situ.  Haruskah bibirnya mengucapkan begini. ‘Sebenarnya Lisa tidak pernah melupai walaupun sedetik.’ Namun dia terus membisu kerana tidak tahu untuk menjawab apa serta tidak sanggup untuk mengucapkan kalimah yang sedang bermain di hati kecilnya. Siapalah dirinya untuk berkata begitu kepada anak bekas majikannya?
“Abang Aldi!” tegur Aldi.
“Saya hanya orang gaji.” Nurlisa meluahkan perasaan yang tersembunyi di hatinya. 
“Kalau saya call, saya nak cakap apa?” tanya Nurlisa kembali dengan nada yang perlahan. Matanya menatap wajah Aldi. Sungguh dia tidak mengerti apa yang diingini oleh lelaki itu. Dia tidak mahu memahaminya kerana takut dengan perasaannya sendiri.
“Lagipun mustahil saya boleh menghubungi encik eh Abang Aldi di luar negara. Saya hanya duduk menumpang di Vila Kencana Emas, sebagai orang gaji saja. Apa kata datuk dan datin nanti?” Nurlisa meluahkan isi hatinya sambil menyoal Aldi. Perasaan yang tersemai disembunyikan juga.
Persoalannya disambut dengan tawa oleh Aldi. “Lisa selalu jadikan status antara orang gaji dan anak majikan sebagai penghalang dalam komunikasi kita berdua.  Saya tahu Lisa ada banyak benda yang hendak diceritakan,  diguraukan.  Tapi Lisa sengaja mengujudkan batu penghalang antara kita.Sedangkan saya tidak pernah menganggap Lisa sebagai orang gaji pun.” Aldi masih cuba menduga gadis di depannya.  Mengapalah hati gadis ini terlalu keras dan sukar ditembusi?  Namun mungkin kekerasan itu yang menjadikannya terlalu istimewa.
Nurlisa terdiam. Haruskah dia memberitahu Aldi yang dia pernah terdengar percakapan Datuk Haris yang enggan menerimanya jika Aldi mempunyai hubungan dengan orang gajinya yang tempang? “Antara enggang dan pipit, terlalu jauh bezanya!” Akhirnya bibir mungil gadis itu meluahkan ungkapan itu di pendengaran Aldi.
 Aldi ketawa. “Lisa, terlalu merendahkan diri! Siapa pula enggang? Dan Siapa pula pipit?” Matanya terus menatap ke wajah Nurlisa. Wajah yang dirindui dalam diam. “Itu pendapat lama Lisa. Kita semua hamba Allah. Sama sahaja.  Kaya atau miskin, ternama atau tidak dikenali, itu semua hanya ukuran manusia. Pandangan saya berbeza.”
“Bukan mudah saya menyukai seseorang, Lisa.  Sejujurnya saya sukakan karektor Lisa, semenjak hari pertama Lisa berada di Vila Kencana Emas lagi.” Aldi, memberanikan hati untuk berterus terang.
Nurlisa agak terkejut dengan kenyataan itu. Bukankah pada hari pertama dia di Vila Kencana Emas itu, Aldi kelihatan berada di dalam jiwa yang sangat tertekan? Bertempik seperti orang hilang akal. Melempar surat khabar dan melontar pinggan mangkuk ke lantai. “Datuk tentu tidak suka jika Encik Aldi rapat dengan saya. Encik, bakal mewarisi Roda Emas. Seharusnya memilih kawan yang setaraf dengan keluarga dan status, encik.” Nurlisa menuturkan ungkapan itu perlahan-lahan.
‘Saya pernah mendengar Datuk Haris berkata begitu.’  Suara hati Nurlisa seolah membisikan ayat itu untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu kata-kata itu sampai di pendengaran Aldi. Hatinya terasa pilu tiba-tiba dan seolah ada sesuatu yang sedang menyekat kerongkongnya. 
“Lisa!” Tanpa disedari tangan Aldi mengenggam tangan gadis yang sedang mengalirkan air mata di pipi itu.
 “Saya tempang. Tidak layak bergandingan dengan, encik.” Nurlisa bersuara pilu. Air matanya semakin lebat.
“Lisa sentiasa berada di sini!  Suara Aldi seolah membisik sambil telapak tangan kanannya ditekap ke dadanya.
Nurlisa semakin teruja.  Layakkah dirinya menerima kasih sayang itu? Sekiranya benar di manakah penghujungnya?   



                                                    ~~bersambung~~ 

Tiada ulasan: