Isnin, 15 Oktober 2012

Novel:Kasihnya DIA (Bab 19)


MENDUNG hari ini bagaikan melukiskan warna hati seorang lelaki yang semakin resah. Cintanya seolah direnggut oleh waktu. Waktu yang menemukan dia dan gadis itu. Waktu juga telah memisahkan mereka. Apa erti pencariannya selama ini jika sekadar melihat waktu berputaran tanpa membuat apa-apa, sedang gadis yang diburu telah terlihat bayang dan tubuhnya. 
Khalid seorang lelaki yang tetap akan mengotakan janjinya walau apapun yang terjadi. Hatinya tidak boleh menerima hakikat yang Rina Melati akan menjadi milik lelaki lain. Sejak hari dia bertembung dengan gadis itu di hadapan bangunan JJ Holding, hatinya tidak betah untuk bersenang dan membiarkan Rina Melati terus dipunyai oleh Datuk Johan. Dia terus menjejaki gadis itu sehingga ke tempat tinggalnya.
Ketukan di pintu rumahnya pada suatu malam mengejutkan Rina Melati. Dia menyangka Datuk Johan yang datang tapi rupa-rupanya Khalid. Lelaki itu berdiri di ambang pintu. Dalam keterpaksaan, Rina Melati membuka pintu dan membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah.
“Nini!!!” Khalid terus menerkam dan memeluknya.
Rina Melati terkejut. Terlalu terkejut. Dia menolak lelaki itu dengan cara yang kasar dan marah.
Menjadi kepantangan Khalid jika perempuan bersikap kasar dengannya. Dia akan menjadi lebih kasar dan ganas. Tubuh gadis itu dipeluknya dengan kuat. “Kau jangan terima lamaran dari lelaki keparat tu! Kau milik aku! Aku dah janji! Aku dah janji dengan kau. Sekembalinya aku ke sini, aku ingin menebus dosaku!
Aku tidak akan mensia-siakan kau! Kau ingat Nini!” Pipinya yang kasar dilaga-lagakannya dengan pipi Rina Melati. Tidak cukup dengan itu, pipi gadis itu menjadi mangsa tangannya juga. Khalid meraba-raba pipi Rina Melati dengan perasaannya yang tidak keruan.
“Nini tak percaya! Nanti kau peralatkan Nini untuk kepentingan kewangan kau!” Tiba-tiba datang keberanian di hati gadis itu. Dia berasa bebas dan merdeka sejak berpisah dengan Khalid. Apabila lelaki itu muncul kembali dalam hidupnya dia rasa terbelengu. Pernafasannya terasa sempit.
“Kau pentingkan wang! Wang lebih berharga dari kasih sayang! Bukankah itu prinsip kau?” Rina Melati semakin berani bersuara apabila Khalid membebaskan tubuhnya.
“Nini, aku sesal. Demi tuhan!” Khalid memperlahankan suaranya. Keegoannya bagaikan tersungkur. Dahulu Rina Melati tidak pernah membantah arahannya. Rina Melati bagaikan sehelai kain putih. Cuma dia yang telah mengotorkan kain putih itu.
“Tapi aku tetap berusaha menjaga kau, walau aku tidak pernah kata sayang!” Suaranya semakin bergetar.
Rina Melati terbelit oleh rasa serba salah. Memang Khalid telah berbudi dengannya. Namun, kata-kata yang pernah diucapkan oleh Bambang juga ada kebenarannya. Kata Bambang, Khalid telah memperalatkannya untuk memperolehi wang.
“Tidak. Tak boleh!” Rina Melati cuba berkeras dengan perasaannya. Dia harus mempertahankan kehendak akalnya yang tidak ingin dipergunakan lagi oleh lelaki itu.
“Nini, apakah kamu sudah menyerah kepadanya? Kepada lelaki itu?” Rasa cemburu Khalid semakin melahar. Lagi sekali dia menarik tubuh Rina Melati dan menenggelamkan gadis itu di dalam dakapannya. Khalid mendakap Rina Melati dengan kemas. “Kerana wang ringgit?” Dia menuduh lagi. 
“Kau fikir aku ni apa?” ujar Rina Melati. Matanya merenung Khalid, tajam. Lelaki ini selalu memandang rendah kepada kaum wanita.
“Bagus! Kau milik aku. Aku tidak mahu memaksa kau! Tapi aku mahu kau sayang aku setulus hati seperti mana aku menyayangi kau!” Tenungan matanya amat tajam menentang kembali anak mata Rina Melati. “Jom kita nikah, Nini. Aku akan jadi suami terbaik buat kau!” Suara bisikan Khalid semakin dalam. 
Rina Melati terdiam seketika. Makna kata-kata yang dilontarkan oleh Khalid itu terlalu dalam, terhumban di dalam lautan hatinya. Apakah perpisahan mereka beberapa ketika menyebabkan lelaki itu telah mengubah prinsipnya? ‘Wang lebih berharga dari kasih sayang, lebih bernilai dari cinta.’
“Segala yang ada pada kau milik aku,” ujar Khalid lagi. Dia kelihatan tidak keruan sekali lagi. Tidak tertahan hatinya memikirkan yang Rina Melati akan menjadi milik lelaki, selain dari dirinya.
“Hanya aku sahaja yang layak menyentuh kau! Bukan si tua keparat itu!” Lagi sekali dia cuba merangkul tubuh Rina Melati.
Deringan telefon menyelamatkan gadis itu daripada dikurung di dalam dakapan lelaki yang sedang kemaruk kemesraan itu. Rina Melati menjawab panggilan. Air mukanya berubah pucat. “Khalid, Datuk Johan ada di bawah! Tolonglah turun dan keluar dari rumah ini. Tolonglah!!!” Rina Melati benar-benar rasa tertekan dengan situasi yang sedang dialaminya itu.
Khalid merengus. Sikap panas barannya kadangkala tidak dapat dikawal. “Baiklah, aku keluar dari sini! Awas! Jangan kau terima lamarannya. Kau kepunyaan aku! Khalid Afandi!” Dia menepuk-nepuk dadanya apabila menyebut namanya itu. Khalid tergesa-gesa keluar dari rumah itu. Dia bertembung dengan Datuk Johan di depan pintu lif. Mereka saling berpandangan.
Datuk Johan terkejut apabila Rina Melati terus menerkamnya sebaik sahaja dia muncul di pintu. Gadis itu menangis tersedu-sedan dan teresak-esak. Tak sampai hati membiarkan, Datuk Johan memeluk Rina Melati dan cuba mententeramkannya kembali.
“Bertenang! Duduk dulu dan ceritakan. Siapa yang datang ke sini tadi?” Dengan lemah lembut dia cuba memujuk gadis yang dibawanya duduk di sisinya di atas sofa.
Rina Melati belum mampu menjawab. Air mata masih mengalir di pipinya.
“Dia lelaki dari Indonesia, kan? Dia ugut Melati?” Datuk Johan cuba meneka.
Rina Melati mengeleng. “Teman Melati?”
Datuk Johan meneka lagi apabila dilihatnya tangisan gadis itu belum berhenti.
Rina Melati mengeleng lagi. “Dia ingin mengotakan janjinya. Tapi waktu ini berbeza dengan waktu yang dulu!” Tersangkut-sangkut bicara gadis itu disulami esakan.
“Dia siapa?” Datuk Johan terus mendesak Rina Melati memberi jawapan. Wajah manis di hadapannya ditatap tanpa rasa jemu. Pipi dan mata gadis itu dibasahi air mata. Rona wajah yang muram dan berduka itu begitu menyentuh hati dan perasaan Datuk Johan.
“Melati menyayangi dia?”
Sekali lagi Rina Melati mengeleng. Perasaannya terhadap Khalid sukar dimengertikan.
“Saya tidak boleh terima lamaran, Datuk! Saya perempuan yang tidak elok untuk dijadikan isteri. Kehormatan saya telah tercemar. Saya pernah menjadi model foto yang tidak elok, tidak bermoral! Saya perempuan yang tidak diketahui keturunannya.” Rina Melati meluahkan apa yang sedang bermain difikirannya. Esakan halusnya mula kedengaran.
“Saya sudah tahu. Saya sudah tengok kebanyakan dari foto yang Melati katakan itu.” Datuk Johan berterus terang. “Bambang minta saya sejumlah wang apabila saya minta dia mengenalkan Melati kepada saya.” “Saya penuhi kemahuannya, dengan syarat dia tidak ganggu Melati lagi” 
Rina Melati tersentak mendengar cerita jujur daripada Datuk Johan.
“Tadi tu mesti Khalid. Bambang ada bercerita tentang Khalid pada saya.” Datuk Johan akhirnya berterus terang tentang perkara yang diketahuinya. Bambang pernah menjadi pekerja ladangnya. Tidak tergamak Datuk Johan menceritakan kepada gadis itu yang Bambang cuba mengeskploitasi tubuh gadis itu kepadanya. “Saya mahu melanggani Rina Melati untuk selamanya.” Itulah jawapannya kepada Rio Irawan. Tidak untuk nafsu, niatnya untuk menyelamatkan gadis itu dari dilontar ke lembah kekufuran oleh kaum sejenisnya. Lelaki yang sepatutnya menjadi pembimbing, pelindung kaum hawa.
Lantas, wang ringgit baginya sudah tiada harga lagi, demi Rina Melati. Meskipun pada waktu itu dia hanya melihat foto. Raut wajah gadis itu yang penuh kelembutan telah menawan hatinya.
“Kalau tidak ada sesiapa yang menjaga Melati, mereka akan terus mengganggu. Hari ini Khalid datang. Esok lusa mungkin Bambang pula. Melati harus meletakkan diri Melati di tempat yang sepatutnya,” pujuk Datuk Johan lagi. Jika wanita muda di hadapannya itu tidak diselamatkan, ramailah orang yang akan mengambil kesempatan.
“Saya perempuan kotor, Datuk! Tidak layak digandingkan dengan Datuk. Seorang lelaki yang mulia hati dan berpengaruh.” Rina Melati sudah teresak. “Kelahiran saya ke dunia ini tidak diingini oleh sesiapa. Tidak dialu-alukan. Saya dibuang macam sampah. Tak tahu kerana apa.” Kata-kata itu diiringi esakannya yang semakin deras. “Dari satu lelaki ke satu lelaki saya digadai macam barang dagangan. Macam boneka yang tidak ada perasaan.” 
“Melati, di antara ribuan tiram yang terbenam di dalam selut lumpur di dasar lautan, ada sebiji tiram yang mengandungi mutiara yang sangat bernilai. Dijadikan barang perhiasan yang sangat bernilai dan tinggi harganya. Yang kotor dan berselut hanyalah pada kulit tiram itu. Setiap kotoran boleh dibasuh dan dibersihkan.”
“Saya takut akan kecewakan, Datuk. Takdir hidup saya tak pernah indah. Satu demi satu. Mungkin saya tidak layak untuk nikmati bahagia. Layak untuk memamah derita saja. Mungkin yang menanti di hujung sana, neraka.” Suara Rina Melati semakin pilu. Esakannya semakin kuat.
“Subhana-ALLAH... mengucap Melati. Istighfar banyak-banyak. Apa yang Melati katakan itu tidak benar. Syurga neraka itu kerana rahmat dan kurnia daripada ALLAH. Tak usah fikir pada pandangan manusia kerana ALLAH yang akan mengadili kita nanti.” Panjang nasihat Datuk Johan kepada gadis yang masih lagi tersedu.
“ALLAH kasih kepada hamba-NYA yang berusaha membersihkan dirinya. Syurga itu milik hamba-NYA yang sentiasa beramal soleh untuk mendapat keredhaan-NYA.” 
Rina Melati semakin keliru dengan perasaannya terhadap lelaki itu. Dia memang perlukan seseorang untuk membimbingnya, tetapi jika dia menerima lamaran lelaki itu tidakkah nanti dia dituduh sebagai perampas suami orang? Ingin mengikis harta Datuk Johan?
“Melati tak sudi terima saya? Sebab saya dah tua?” Datuk Johan menyoal Rina Melati dengan nada perlahan. Matanya terus menatap ke wajah wanita muda itu. Rina Melati yang sedang menggigit bibirnya dan sesekali menggosok-gosok tepi hidung dengan jari kelingkingnya. Sedu sedannya masih bersisa.
“Rasulullah menikahi Siti Aishah, sewaktu Siti Aishah berusia sembilan tahun,” jawab Rina Melati perlahan sambil menundukkan wajahnya.
Datuk Johan tersenyum apabila mendengar jawapan itu. Dia menanti-nanti lagi Rina Melati menyambung bicaranya. Namun, gadis itu hanya melayan air matanya yang masih berjejeran.
“Percayalah, Melati. Saya benar-benar ikhlas. Saya ingin membantu Melati. Membimbing. Niat saya itu akan terhalang jika perhubungan kita berterusan begini. Kita tidak boleh berterusan di dalam maksiat! Walaupun saya sekadar bertemu Melati, ajak Melati temankan saya ke sana dan ke sini, hukum ALLAH itu tetap berjalan,” ungkap Datuk Johan perlahan, bimbang mengguriskan hati Rina Melati yang telah bertapak di hati. Sememangnya dia tidak dapat menahan kehendak hatinya untuk sering mengunjungi gadis itu. Hatinya berasa tidak puas sekadar pertemuan mereka di pejabat sahaja.
 “Saya faham, Datuk! Dosa saya pun dah banyak terhimpun. Saya tidak mahu tambah dosa lagi,” kata Rina Melati, berterus terang. Nada suaranya dan senyuman yang dilontarkan kepada Datuk Johan, seolah memberi lelaki itu harapan.
“Tapi saya bimbang!” Bicara Rina Melati tersangkut seketika. Dia menelan air liur kerana dirasakan tekaknya sudah mulai kering. “Bimbang tak dapat memberikan Datuk apa-apa. Apalah yang ada pada saya.” Sambungnya dengan nada sebak. Sayu hati Datuk Johan mendengar kata-kata itu.
“Melati ada apa yang saya inginkan! Kasih sayang dan penghargaan. Belaian dan kemesraan. Itu sahaja,” ucap Datuk Johan seolah berbisik. “Hati saya perlukan seorang teman.”
“Terima kasih, Datuk,” ucap Rina Melati sambil menundukkan wajahnya. Kekusutan difikirannya kini mungkinkah terlerai? Di kala hati masih mengharapkan Umar, lambakan kasih sayang dari lelaki di hadapannya kini menyebabkan perasaannya terlontar di lembangan yang mengelirukan. Sungguh, dia tidak tahu untuk membuat keputusan.


                            ~~~~ bersambung~~~






Tiada ulasan: