RUMAH beratapkan zink lama serta berdindingkan papan nipis yang buruk
menjadi tempat perteduhan mereka kini.
Rumah buruk, walaupun dibersihkan macam manapun tetap akan kelihatan
kotornya kerana papan-papan dinding yang kehitaman. Sungguhpun begitu, kawasan
setinggan ini lebih selesa daripada yang dulu. Air paip pun lebih banyak dan
bersih Namun awan mendung itu kadangkala
tidak pernah berhenti jika musim masih belum berubah.
Semalam jiran-jiran ada memberitahu Mak Cik
Hasnah. Ada beberapa orang pegawai kerajaan dan pegawai dari syarikat perumahan
datang meninjau kawasan itu. Mungkin rumah-rumah mereka akan dirobohkan. Jika
dirobohkan, ke manakah dirinya dan anak-anaknya hendak menumpang berteduh?
Rumah sebelum ini musnah dijilat kebakaran.
Habis hancur semuanya menjadi abu walaupun tidak banyak harta benda yang ada.
Mujurlah pada hari kejadian, Mak Cik Hasnah tidak ada di rumah. Anak-anak semua
bersamanya. Jadi semuanya selamat dan
tidak menjadi korban dalam kebakaran itu.
Sewaktu kejadian, dia dan anak-anak dalam
perjalanan pulang selepas seharian bekerja di gerai yang diusahakan oleh
mereka. Tapak gerai itu diperolehi hasil bantuan Pak Hassan. Wang pemberian
Nurlisa pada setiap bulan dikumpul dan dijadikan modal berniaga. Pada malam itu,
dari jauh lagi kelihatan berkepul-kepul asap dan nyalaan api yang
melambung-lambung ke udara. Pihak bomba telah membuat sekatan dan menghalang
sesiapa yang ingin masuk ke kawasan yang sedang terbakar itu.
Apabila bomba selesai memadamkan api, semuanya
telah lenyap menjadi abu. Mak Cik Hasnah menyapu air mata yang meleleh
dipipinya. Mujurlah ada sejumlah wang tunai bersamanya hasil daripada jualan
pada hari itu. Walaupun tidak banyak, cukup untuk menyara kehidupan mereka
untuk beberapa hari. Wang pemberian Nurlisa yang ditabungkan juga turut
membantu. Nasib baiklah semua dokumen penting sentiasa dibawa olehnya sewaktu
berniaga.
“Aina! Ani! Berhenti potong keledek tu, nak.
Jom kita sembahyang,” arah Mak Cik Hasnah. Anak-anak lelakinya pun sibuk
membantu. Fitri dan Hambali membungkuskan nasi lemak. Faez pun sudah boleh
diharap untuk menyusun nasi-nasi lemak itu ke dalam bakul. Ada tiga bakul
semuanya. Setiap bakul akan diisi dengan
20 bungkus nasi lemak. Sebungkus
berharga lima puluh sen. Nasi lemak berlaukkan sambal tumis ikan bilis dan
telur rebus serta berulam timun itu sentiasa laris. Setiap hari Sabtu dan Ahad,
Fitri, Hambali dan Faez akan bersama menjaja di kawasan pembinaan yang berada
tidak berapa jauh dari kawasan setinggan mereka. Di sana ramai pekerja-pekerja
kontrak akan membeli barang jajaan mereka.
“Mak, kalau rumah kita kena roboh, kita nak
tinggal di mana lagi?” Aina menyuarakan pertanyaan yang terbuku dihatinya sejak
semalam. Selesai sembahyang, dia terus menyambung tugasnya memotong keledek
untuk dibuat goreng dan cucur badak.
“Yalah, mak. Di mana lagi kita nak
tinggal? Ani pun ada terdengar cerita
yang kawasan setinggan ni akan dijadikan kawasan perumahan. Di mana kita nak duduk nanti?” Aini pula
menyoalkan perkara yang serupa kepada emaknya.
Mak Cik Hasnah diam. Fikirannya menjadi
semakin berat.
“Mak! Jomlah kita cari Kak Lisa. Kita cari
rumah datuk yang kaya tu... tempat Kak Lisa bekerja.” Nur Aina memberi
pendapat. Dia tahu, emaknya terlebih lagi merindukan Nurlisa, tetapi kerinduan
itu dipendamkannya sahaja.
“Aina, nak cari di mana? Mak tak tahu rumah mereka. Nama datuk tu pun emak tak tahu.” Mak Cik
Hasnah bersuara kesal. Kesal kerana tidak begitu mengambil berat tentang alamat
dan nama majikan anaknya itu. Yang dia tahu majikan Nurlisa orang yang baik dan
mulia budi mereka. Di sebabkan kebaikan Datin Rabiatul itu, dia tidak kisah
untuk mengambil tahu tentang perkara-perkara lain.
“Datin pernah beri nombor telefonnya pada
mak, tak?” Nur Aini pula bertanya.
Hatinya berkobar-kobar untuk menjejaki kakaknya, Nurlisa.
Mak Cik Hasnah mengelengkan kepalanya.
“Kita minta polis carikan Kak Lisa, mak.” Faez yang sedari tadi mendengarkan perbualan
emak dan kakak-kakaknya tiba-tiba menyampuk.
“Yalah mak. Betul kata Faez tu.” Nur Aina
bersuara kuat dan di matanya terpancar sinar harapan. Dia sangat merindui
kakaknya itu.
Mak Cik Hasnah terdiam. Kotak fikirnya ligat berfikir. “Kita tak boleh buat begitu. Nanti memalukan
Kak Lisa kamu dan datuk tu. Mereka orang berpengaruh. Beginilah anak-anak. Sabar dan kita serahkan kepada Allah.
Insya-allah, Kak Lisa akan bersama kita kembali. Tentang rumah ni, tak apalah,
kalau nak kena roboh, kita cari setinggan lain untuk menetap. Rumah lebih buruk
daripada reban ayam pun tidak mengapa, asalkan kita sekeluarga bersama.” Mak
Cik Hasnah bersuara tenang. Dia yakin Allah sentiasa bersama dengannya dan akan
mengaturkan segala-galanya untuk mereka.
Aldi dan beberapa orang yang lain memerhatikan kawasan yang akan
dibangunkan oleh Roda Emas. Mereka hanya berdiri di tepi jalan raya dan
memerhatikan kawasan yang dikatakan daripada jauh.
“Inilah tapak projek terbaru kita, Encik
Aldi!” Makhfuz menundingkan jarinya ke arah rumah-rumah yang didirikan
rapat-rapat itu dan menunjukkan kawasan yang dimaksudkan di dalam peta pelan
tapak projek mereka. Makhfuz merupakan orang lama di dalam Roda Emas. Lelaki
berusia hampir 40 tahun itu menjadi orang kepercayaan Datuk Haris selama ini.
“Di depan sini kita akan dirikan bangunan
kedai. Di belakang bangunan ini kita akan bangunkan kawasan perumahan.” Makhfuz
terus menunjukkan satu per satu kawasan di muka peta yang terbentang di atas
bonet kereta.
“Kita akan namakan projek ini sebagai Taman
Rasa Sayang.” Makhfuz menunjukkan dengan ibu jari tulisan huruf besar yang
mengepalai pelan induk kawasan itu.
“Masalahnya sekarang ialah, ini kawasan
penduduk. Ada lebih kurang 200 buah
keluarga yang menetap di sini secara haram. Encik tengoklah, semua rumah tu.”
Sekali lagi Makhfuz menudingkan jarinya
ke arah kelompok-kelompok rumah yang rapat-rapat, buruk serta daif.
“Kalau kita robohkan di mana mereka hendak
berteduh?” Aldi menyoal Makhfuz. Dia
mengambil sapu tangan dan menyapu peluh yang mula membasahi pipi dan dahinya.
Baru pukul 10.00 pagi tetapi bahang mentari begitu memeritkan.
“Roboh mesti roboh, encik. Mereka pun duduk di sini secara haram. Nanti
bila dah kena roboh rumah-rumah ni, tahu-tahulah mereka hendak menyelesaikan
masalah sendiri. Nak hidup! Tanah ni kita dah beli, Encik Aldi.” Makhfuz
memberi pandangan sambil menghembuskan asap rokok ke udara. “Cuma... waktu
hendak merobohkan itu saja yang kita belum tetapkan lagi!” Dia menyambung lagi
kata-katanya tanpa rasa bersalah
“Encik
Makhfuz, hal ini kita boleh bincangkan. Belum ada kata putus lagi.” Aldi tidak
bersetuju dengan pendapat Makhfuz yang menunjukkan sikap pentingkan diri
sendiri. Mentang-mentanglah tidak ada
keluarganya yang duduk di kawasan itu, dia boleh bercakap mengikut kepentingan
dirinya sendiri. “Saya hendak masuk ke dalam kawasan sana! Awak semua boleh
balik ke pejabat!” arahnya.
Setelah kelibat kereta yang dinaiki oleh
Makfuz dan yang lain hilang daripada pandangannya, barulah Aldi memulakan
langkah untuk memasuki kawasan setinggan itu. Itulah pengalaman pertamanya.
Sedari bayi dia hidup dengan kemewahan. Apabila dewasa, kemewahannya semakin
bertambah kerana perniagaan Datuk Haris semakin berkembang maju. Sesekali dia
memicit hidungnya apabila melangkahi parit yang berlimbah. Bau masam dan tengit
memualkan anak tekaknya.
Sebuah kedai runcit yang kecil dan sempit
serta sarat dengan barang-barangnya betul-betul didirikan berhampiran dengan
jalan masuk ke kawasan itu. Mata Aldi tidak lepas daripada memerhatikan
rumah-rumah yang didirikan satu per satu. Semakin jauh ke dalam, keadaan jalan
semakin besar dan boleh memuatkan sebuah kereta melaluinya.
“Nasi lemak! Nasi lemak! Abang, nak beli nasi
lemak.”
Seorang anak lelaki tiba-tiba menegurnya.
Aldi memerhatikan wajah budak itu sambil mengerling ke dalam bakul yang masih
terisi dengan tiga bungkus nasi.
“Tak mahu tak apa, bang. Terima kasih.” Tidak
sempat Aldi memberi jawapan, budak lelaki sudah melangkah pergi.
Aldi meneruskan perjalanannya untuk meninjau
keadaan penempatan di situ. Kajian terperinci harus dilakukan terlebih dahulu
sebelum pembangunan dimulakan. Konsep
pembangunan dan perancangan pelan induk mesti berdasarkan faktor-faktor alam
sekitar. Matahari semakin meninggi. Tekaknya terasa haus dan kering. Matanya
meliar ke sana sini sambil mencari kedai runcit yang lain sekiranya ada.
Bolehlah membeli sebotol air untuk membasahi tekak yang tersangat dahaga.
“Assalamualaikum, mak cik. Ada kedai tak
dekat-dekat sini?” Sewaktu mencari tiba-tiba Aldi ternampak kelibat seorang
wanita sedang menjemur kain di belakang rumahnya. Ampaian yang terlalu rapat
dengan ampaian jirannya barangkali.
“Walaikummussalam... Kedai? Tak ada, encik.
Kedai ada satu saja. Di luar sana, tepi jalan tadi.” Mak Cik Hasnah
memerhatikan wajah lelaki itu yang kelihatan berpeluh-peluh. Baju kemeja yang
dipakainya sudah basah lencun oleh peluh. Alangkah jauhnya perjalanan untuk
menuju ke kedai itu semula untuk mendapatkan seteguk air.
“Mak cik, boleh saya minta segelas air?”
Kedahagaan yang teramat sangat menyebabkan bibirnya laju meminta bantuan. Aldi
memandang ke wajah wanita separuh umur yang sedang mendongakkan wajahnya.
Wanita berbadan kurus itu tersenyum.
“Boleh. Mari ke pintu depan, encik.” Wanita
separuh umur itu menjawab laju dan ramah. Dia terus menghilangkan dirinya dari
situ dan masuk ke dalam rumah yang daif.
Aldi menyusup di bawah ampaian dan menuju ke
pintu depan yang dimaksudkan oleh wanita itu.
“Air kosong saja, encik. Tak ada air batu. Rumah mak cik tak ada peti ais. Minta
maaflah, encik.” Sambil menghulurkan gelas plastik putih yang berlapik dengan
piring plastik yang serupa warna, wanita itu tersenyum apabila memandang wajah
Aldi. “Maaflah, encik. Gelas plastik saja,” ujar wanita itu lagi.
“Tak apalah, mak cik. Minta maaflah kerana
menyusahkan mak cik.” Aldi
benar-benar berasa lega selepas menghirup air itu. Dia duduk di atas lantai
simen yang beralas dengan tikar mengkuang. Matanya menerawang melihat
sekeliling rumah itu. Rumah itu beratapkan zink yang berlubang-lubang di sana
sini. Dia pasti, sekiranya hujan lebat, di dalam rumah itu akan bertakung
dengan air kerana atapnya bocor. Perasaannya berasa sayu. Sekiranya rumah ini
dirobohkan, mampukah mereka mencari penempatan baru? Kalau ada, sewanya berapa?
Mampukah mereka? Beberapa persoalan berbisik-bisik di hatinya.
“Aina, Ani! Bawa abang ni, kuih tu sikit. Ada tak yang sudah bergoreng?” Wanita itu
melaung kepada kedua anak gadis suntinya.
“Sekejap lagi, mak.” Terdengar satu suara menjawab dari arah
belakang.
“Tak apa mak cik. Jangan susah-susah. Dapat
seteguk air pun alhamdulillah, mak cik. Panas betul cuaca.” Aldi bangun untuk
beredar dari rumah itu.
Baru bibirnya ingin mengucapkan terima kasih,
tidak semena-mena pula terdengar titik-titik hujan jatuh menimpa atap.
Tiba-tiba sahaja keadaan sekelilling menjadi gelap kerana di langit, awan
bergulung-gulung hitam dan bergerak dengan laju.
“Alamak! Tiba-tiba saja hujan turun!” Aldi bercakap sendiri. Patutlah panas
semacam. Desisnya di dalam hati.
Terbantut hasrat hatinya untuk beredar dari rumah itu.
“Nama mak cik, Hasnah!” Wanita itu
memperkenalkan dirinya tanpa dipinta.
“Mak!” Tiba-tiba muncul Fitri dan Hambali
yang menjinjing bakul masing-masing. Mereka tercungap-cungap kerana berlari
bagi mengelakkan hujan yang tiba-tiba turun.
“Hmm... kau orang berlari macam kambing kalau
hujan!!” Mak Cik Hasnah cuba berseloroh
dengan anak-anaknya.
Aldi yang mendengar cuma tersenyum.
“Habis. Semua habis, mak.” Mereka mengerumuni
Mak Cik Hasnah dan menghulurkan bakul serta pendapatan yang diperolehi tanpa
menyedari kehadiran tetamu di rumah mereka.
Aldi melihat telatah keluarga itu dengan senyuman. Hatinya berasa sedikit terhibur.
“Sudah! Sudah tu. Hambali, Fitri, nanti
cerita lain. Mak pening
kepala, tak tahu mana satu nak dengar. Semuanya nak bercerita serentak. Pergi
salam dengan abang tu!” Mak Cik Hasnah menunjukkan tangannya ke arah Aldi.
Barulah budak-budak itu sedar akan kehadiran
tetamu dan semuanya terdiam malu. Mereka menghulurkan tangan bersalaman seorang
demi seorang.
“Siapa nama abang? Tadi saya nak jual nasi lemak pada abangkan?”
Laju sahaja bibir Hambali menyuarakan pertanyaan. Tidak disangka orang yang
tidak mahu membeli nasi lemak jualannya datang ke rumah mereka.
“Ya, dik. Tadi tu, belum sempat abang cakap
apa-apa, adik terus pergi,” terang Aldi sambil menggosok-gosok belakang
Hambali.
“Nama abang siapa?” Hambali yang paling ramah terus bertanya.
“Aldi.” jawan Aldi mesra sambil tersenyum.
Telapak tangannya terus menggosok-gosok belakang Hambali. Kanak-kanak itu amat menarik hatinya.
“Abang ni datang nak roboh rumah kami ke?
Tadi saya ada ternampak beberapa orang di tepi jalan sana, bawa kertas besar
dan tunjuk-tunjuk rumah-rumah di sini!” Hambali tanpa rasa takut terus
bertanya.
“Roboh?” Aldi mengeleng-ngelengkan
kepalanya. Hatinya gelisah. Dia semakin
keresahan apabila mendengar titik-titik hujan semakin lebat dan berterusan. Rumah itu pun mulai bocor di sana dan sini.
“Abang datang ke sini untuk apa?” Hambali
tidak jemu untuk mengetahui tujuan Aldi datang ke situ.
“Cari saudara. Tapi dah tak ingat alamatnya.”
Aldi menjawab lambat-lambat. Bibirnya tersenyum dan hatinya berasa lega kerana
titik-titik hujan yang jatuh menimpa atap tidak selebat tadi. Hujan lari.
Begitu istilah yang selalu diberi kepada hujan yang sekejap datang dan seketika
kemudian pergi. “Terima kasihlah, mak cik. Saya minta diri dulu.” Dia bangun dan
berjalan menuju ke pintu.
“Yalah! Minta maaflah dengan telatah
anak-anak mak cik ni. Hambali ni memang ramah sedikit tapi rajin
budaknya.” Nada suara Mak Cik Hasnah
seakan mengusik Hambali yang sedang tersengih.
“Saya hantar abang sampai tepi jalan, ya.”
Hambali menawarkan khidmatnya. Sekaki payung kertas sudah ada di
tangannya.
Aldi mengangguk-anggukkan kepalanya tambahan
apabila didengarinya titik-titik hujan kembali lebat.
Hampir sepuluh minit berjalan berpayung
bersama dengan Hambali, akhirnya mereka sampai ke tempat Aldi memakirkan
keretanya.
“Wah! Ini kereta abang ke? Mesti abang ni
orang kaya.” Hambali menggosok-gosok
permukaan Mercedez warna perak yang berada di hadapannya.
“Hambali pun boleh beli kereta macam ni. Tapi ini bukan kereta abang, ini kereta company. Abang tak mampulah dik, nak
pakai kereta begini.” Aldi merendah diri.
“Hmm... abang, saya ada seorang kakak. Dia
kerja di rumah orang kaya. Agaknya orang kaya tu pakai kereta macam ni ya?”
Hambali bertanya jujur.
“Kakak saya cantik, tapi lepas kena langgar
dia terus tempang.” Hambali terus bercerita.
Aldi
terkejut mendengar cerita dari Hambali. Dia ingin bertanya lebih lanjut, namun
di dalam keadaan yang begitu, lidahnya tidak tahu untuk mengeluarkan pertanyaan
yang bagaimana.
“Kami pun dah lama tak jumpa dia. Mungkin
kakak sudah lupakan kami atau kakak sangka kami dah mati dalam kebakaran.”
Hambali masih mampu tersengih walau pun menceritakan perkara yang menyedihkan.
“Apa nama kakak?” Setelah dapat bertenang,
akhirnya pertanyaan itu yang terkeluar daripada bibir Aldi.
“Nurlisa. Assalamualaikum, bang.” Hambali
membantu menutupkan pintu kereta itu lalu berpaling dari Aldi untuk
meninggalkan tempat itu.
Di tempat duduknya, Aldi berasa teruja.
Beberapa langkah berlari, Hambali
menghentikan langkahan kakinya. Dia menoleh ke arah kereta Aldi yang masih
belum bergerak dari tempatnya tadi.
Aldi menurunkan tingkap keretanya apabila
melihat larian Hambali terhenti. Dari kejauhan dia melihat Hambali berpaling ke
arahnya sambil berteriak.
“Abang Aldi! Betul rumah kami tidak akan
dirobohkan?” Begitulah kata-kata yang
keluar daripada bibir Hambali. Suaranya kedengaran dari jauh oleh Aldi. Lelaki
itu hanya mampu melambaikan tangannya dan memberi isyarat ibu jari yang
dinaikkan ke atas untuk maksud apa dirinya sendiri pun tidak mengerti. Hambali
dilihatnya terus berlari-lari sambil membawa payung kertas dengan girang.
Sambil memandu fikiran Aldi ligat berfikir. Keligatannya mungkin sama
seperti tayar kereta yang sedang bergerak.
Keramahan dan kemesraan Mak Cik Hasnah sekeluarga begitu menyentuh
hatinya. Miskin dengan harta benda tetapi kaya dengan budi pekerti yang mulia.
Dia memberhentikan keretanya di tepi jalan. Segera dia mencapai telefon
bimbitnya dan mendail nombot telefon tempat Nurlisa bekerja.
“Butik Mesra! Selamat petang, encik!” Jelas di telinganya suara wanita yang
mengangkat telefon.
“Selamat petang. Boleh saya bercakap dengan
Nurlisa?” Aldi menyuarakan keinginannya.
Bibirnya tersenyum. Mungkin senyuman
gadis itu lebih lebar daripada senyumannya selepas mendengar berita yang akan
disampaikannya seketika nanti.
“Maaf, encik. Nurlisa dah berhenti kerja.”
Begitulah jawapan yang didengari. Bagai ada sesuatu yang menyekat di
kerongkongnya sewaktu mendengar jawapan itu. Kekecewaan berputik di hatinya.
Bagaikan layang-layang yang disayangi telah terputus talinya sewaktu asyik
bermain-main. Layang-layang itu pula terbang melayang entah ke mana.
“Bila dia berhenti?” Aldi terus menyoal
dengan nada perlahan. Kehampaan berlagu.
“Dah seminggu, encik.” Itu jawapan yang
diterima.
Dalam kekecewaan yang masih belum reda, dia
terus menuju ke pejabat kembali kerana ada beberapa urusan yang belum
diselesaikannya. Kotak fikirannya terus memikir-mikirkan Nurlisa. Lebih malang,
sewaktu berpeluang bersama dengan gadis itu, dia langsung tidak bertanya alamat
tempat tinggalnya. Sangkanya tidak akan terjadi lagi perpisahan antara mereka
selepas pertemuan itu.
Dia baru bercadang-cadang untuk menjemput
Nurlisa makan malam bersamanya sekali lagi pada hujung minggu itu. Seterusnya
akan menyatakan hasrat hatinya untuk memperisterikan gadis itu secepatnya walau
apa yang terjadi. Pernikahan. Itulah
yang sebaik-baiknya untuk memelihara perhubungan mereka. Bagaimana menunjukkan
kasih sayang dan cinta sekiranya pergaulan mereka ada jurang yang
memisahkan?
Dia bukanlah jenis lelaki yang suka
berpeleseran dengan gadis-gadis. Ke hulu dan ke hilir tanpa ikatan yang halal.
Itulah yang menyebabkan Datuk Haris membantah pernikahannya dengan Arishal.
Arishal baru dikenalinya selama dua bulan.
Belum kenal hati budi. Itulah komen Datuk Haris dulu.
‘Encik Aldi, sila
hubungi Encik Radzi. Dia ada menghubungi encik beberapa kali hari ini.’
Begitulah pesanan yang diterima daripada setiausahanya. Pesanan dicatat di kertas dan diletakkan di
atas meja. Dalam keletihan Aldi terus
mendail nombor telefon itu. Bekas bapa mertua harus dihormati dan disayangi
bagaikan bapa sendiri.
“Ya, ayah. Assalamualaikum. Ayah apa khabar?
Sihat?” Aldi menyusun kata-kata yang
terbaik untuk bekas bapa mertua.
Bibirnya mengukir senyuman seolah ayah mertua sedang berada di
hadapannya.
“Waalaikummussalam. Alhamdulillah. Khabar
baik.Boleh tak Aldi balik ke sini hujung bulan ini? Ayah nak buat kenduri
tahlil untuk Rishal. Dan satu perkara lagi, ayah dan mak nak kenalkan Aldi
dengan adik arwah. Sebelum ini Aldi tidak pernah berjumpa, kan?”
“Belum! Maafkan saya, tak sempat hendak
berkenalan dengan keluarga Rishal!” jawab Aldi dengan santun dan lemah lembut.
“Hmm... eloklah berkenalan. Manalah tahu
nanti, jika Ida sesuai dengan Aldi, bolehlah disatukan kamu berdua. Aldi, tak elok membujang lama-lama
sangat. Yang dah pergi tu, biarkanlah
dia pergi. Kita yang tinggal ini, perlu teruskan kehidupan dengan
sempurna. Ada isteri, keluarga dan anak-anak!” Nasihat
bekas bapa mertuanya pula dengan nada lembut.
Walaupun agak terkejut dengan kata-kata bekas
bapa mertuanya itu, Aldi tetap menjawab dengan hormat dan lemah lembut. Harga
diri dan maruah lelaki itu harus dipelihara. “Insya-allah. Baik. Saya akan
fikirkan ayah.” Aldi meneliti segala
kata-kata bekas bapa mertuanya. Dirinya seolah terbelit dengan duri yang amat
mengikat.
Nurlisa! Ah! Mengapa pula gadis ini tiba-tiba
menghilangkan diri? Dia yang mencari keluarganya tapi aku pula yang menemui
mereka. Nurlisa pula hilang entah ke mana? Indahnya aturan dan takdir Allah.
Tentu ada muslihat disebalik segala kejadian ini. Aldi menyandarkan tubuhnya ke
kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan