Khamis, 18 Oktober 2012

Novel:Kasihnya DIA (BAB 20)


RINA MELATI lagi. Jazmi memandang ke wajah emaknya. Datin Jazima seolah perempuan yang tidak siuman lagi. Wajahnya keruh. Pelupuk matanya bengkak. Kolam matanya berona merah. Entah berapa banyak air mata wanita itu yang tertumpah sejak kelmarin. Semua orang disalahkan. Perempuan gatal dan tidak tahu malu! Orang tua tidak sedar diri! Berulang kali kata-kata itu dilemparkan kepada gadis itu.
“Perkara dah berlaku, emak. Tak boleh nak ubah lagi. Emak terimalah segalanya sebagai ketentuan yang telah ditetapkan untuk emak!! Ayah ada hak dan berkemampuan!” Jazmi cuba menasihati emaknya yang dirasakan sudah kehilangan pedoman.
“Ketentuan apa? Ayah kau dan budak perempuan tu memang gatal! Kau ingat kalau ayah kau tidak berharta, tidak berkedudukan, dia nak ke? Dia nak kikis harta kita! Semua kerana harta!” Datin Jazima semakin menyinga. Nafasnya turun naik.
“Emak...” Suara Jazmi seolah tersangkut di situ. Dia mengambil keputusan untuk membiarkan emaknya melayani rasa marahnya sendiri. “Saya baliklah emak! Nanti bila senang saya datang lagi jenguk mak,” ujarnya sambil meneguk sisa kopi yang masih ada di dalam cawan.
“Tak payah datang lagi! Biarkan emak seorang! Biar emak mati! Senang ayah kau nak kelek perempuan muda tu ke sana sini!”
Jazmi hanya menggeleng.
Belum sempat Jazmi menggerakkan kereta untuk keluar, Anas pula tiba. Alia yang turut bersama dengan suaminya hanya mendiamkan diri. Tidak mahu masuk campur di dalam perbincangan dua beradik itu. Sungguhpun begitu, hatinya bagaikan digeletek apabila mendengar cerita tentang ayah mertuanya dengan Rina Melati.
Lebih menggelikan hatinya lagi, apabila mendengarkan Datin Jazima, ibu mertuanya yang angkuh itu rebah terguling. Dia menyembunyikan tawanya, bimbang dimarahi Anas.
“Masuklah! Pujuk emak tu. Abang beredar dulu!” Jazmi akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan niatnya meninggalkan rumah itu.
Anas dan Alia beriringan memasuki rumah itu. Datin Jazima sedang duduk tersandar di atas sofa tanpa bersuara sepatah kata. Hatinya benar-benar luka. Kelukaan itu mungkin tidak akan sembuh sampai bila-bila.
“Sabarlah, emak! Dah memang takdir emak nak bermadu!” Suara Alia nyaring cuba memujuk dan menyindir sinis. Di dalam hatinya dia bertepuk tangan dan bersorak gembira. “Kan sabar itu sebahagian daripada iman!”
“Takdir! Takdir! Tak habis-habis kau menyebut takdir! Ketentuan!” Datin Jazima terus menjerkah menantunya itu. “Kalau Anas madukan kau, kau boleh bersabar ke Alia?” Soalan itu pula dilontarkan oleh Datin Jazima kepada Alia.
“Alah, emak! Kalau emak menjerit ke, marah ke, melompat ke, ayah tu, suami mak tu tetap dah jadi suami Rina Melati juga! Rina Melati tu muda, lawa, manja. Bercakap pun lembut saja. Jangan sampai ayah tak ingat nak balik rumah jenguk emak sudahlah.” Alia sengaja mengapi-apikan ibu mertuanya itu.
“Menantu jenis apa kamu ni Alia! Kamu ni nampaknya macam suka saja aku dimadukan!” Suara Datin Jazima semakin kuat. Perasaan radang dan marahnya semakin melahar. “Anas, bawa isteri kamu balik sekarang! Menyampah emak tengok muka dia!” tempik Datin Jazima lantas meninggalkan ruang tamu itu menuju ke biliknya di tingkat atas. Tidak sanggup lagi hatinya yang keras itu mendengar kata-kata dari menantunya yang tidak sopan.  Yang Anas pula langsung tidak pernah menegur perlakuan isterinya itu.
Anas merenung Alia dengan perasaan tidak puas hati “Tunggu apa lagi! Jomlah!” Dia terus mengheret tangan Alia keluar dari rumah itu. Kereta Anas terus bergerak laju meninggalkan bunglo itu yang kembali sunyi.
Siang semakin memasuki lorong malam dan semakin jauh. Hati Anas pun seolah malam yang semakin mendatang. Berita pernikahan ayahnya dengan Rina Melati membuat perasaannya bagai tersula.

                       ~~ BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan: