Khamis, 18 Oktober 2012

Novel : REDHA TAKDIRMU(BAB 19)





KESIBUKAN di tempat kerja melalikan fikiranku seketika daripada memikirkan permasalahan yang melanda Idham. Sekembalinya aku ke rumah pada petang itu, aku lihat Idham bermenung panjang.
“Abang kena bayar nafkah melalui mahkamah,” kata Idham kepadaku dengan wajah yang masam mencuka. 
Namun, hari itu aku membantu Idham lagi untuk kesekian kalinya. Seorang isteri itu haruslah sentiasa berkorban untuk suami. Itu kata-kata nasihat yang selalu aku baca di dalam buku-buku agama dan majalah ilmiah kekeluargaan. Perbualan kami waktu tengah malam semalam akhirnya menjawab pertanyaanku tentang kes yang dihadapi oleh Idham sehingga menyeretnya ke mahkamah.
“Tak apalah, bang! Tak payahlah susah hati soal wang itu! Duit yang Lidya simpan tiap-tiap bulan tu abang keluarkanlah!” Suaraku perlahan. Tanpa diminta aku menghulurkan bantuan.  Menurut Idham, bekas isterinya telah menyamannya. Idham dituduh tidak membayar nafkah kepada anak-anak yang ditanggung oleh bekas isterinya itu semenjak mereka bercerai.
“Seronok betul jadi perempuan ni. Bercinta, ajak jantan kahwin. Bila kita tak mahu, merajuk sampai nak terjun lubuk.  Bila dah dikahwini, jadi bini, ditegur sikit, melawan! Lari! Bawa anak-anak lari! Balik rumah emak bapak!Lepas tu ajak laki berperang macam Israel dan Plestine.” Idham menyedut rokoknya dalam-dalam. 
Aku diam tidak menjawab. Aku biarkan dia meluahkan segala isi hatinya. “Sudahlah tu, bang! Perkara yang lepas tu jangan diungkit lagi. Dah perangai dia macam itu nak buat macam mana.” Aku cuba menenangkan hati Idham.  Sebenarnya sebelum ini Idham tidak pernah sekali pun menceritakan walaupun sekelumit tentang keburukan bekas isterinya kepada aku. Sungguhpun dia mempunyai sikap yang bengis, cepat marah.
“Perempuan gila! Menuntut yang bukan-bukan! Tapi Lidya, mungkin silap abang juga. Memberi duit kepada anak-anak tidak melalui mahkamah. Tidak membuat dokumen hitam putih. Abang tidak sangka akan jadi hal yang sebegini!  Anak-anak pula menjadi saksi kepada emak mereka. Ini yang buat abang kecewa sangat,” suara Idham melengking kembali.  Nadanya kecewa. Wajahnya sugul.
“Apa yang dia tuntut bang?” Aku ingin mengetahui cerita lebih lanjut. Tambahan pula Idham terlalu ghairah untuk bercerita kerana perasaan marah dan tidak puas hati terhadap jandanya.
“Nafkah dirinya dan anak-anak!  Gila!  Bodoh! Kalau ada masalah apa-apa datang berbincang dengan abang tak boleh ke? Kenapa nak bawa sampai ke mahkamah? Nak bagi malu abang? Kenapa sekarang? Kenapa tidak dulu?” Idham terus meluahkan perasaan marah. Aku tidak dapat menjawab bagi pihak jandanya.
“Bodoh! Ada ke nak tuntut nafkah untuk dirinya juga? Kalau begitu, seronoklah menjadi perempuan ni, bercerai, lepas tu ugut untuk dapatkan duit daripada bekas laki! Ikut hati abang, kena cekik perempuan tu di mahkamah tadi!”  Idham terus bercerita dengan perasaan marah dan geram.
“Abang geram betul dengan budak-budak itu. Boleh menjadi saksi untuk ibu mereka. Sedangkan setiap kali ada masalah kewangan, datang ke pejabat abang, tidak pernah abang tidak memberi mereka duit. Tak mengenang budi langsung. Kalau mereka datang ke rumah ini, jangan bagi mereka masuk! Abang tidak benarkan!” Nampaknya Idham benar-benar naik angin dengan bekas isteri dan berkecil hati kepada anak-anak yang bersikap kurang ajar.
“Mereka betul-betul kurang ajar. Derhaka!!!” Suara Idham bertambah kuat.
“Sudahlah tu bang!  Jangan marah-marah lagi.  Abang kena terima hakikat yang golongan perempuan ni pendek akalnya.  Suka mengikut emosi. Dulu sewaktu bergaduh dan berperang dengan abang, dia minta cerai. Dia ego. Kemudiannya apabila diceraikan, dia rasa megah pada mulanya, lama kelamaan  menyesal. Tetapi keegoan tu tetap kukuh! Jangan dilayan keegoannya! Abang bayar saja berapa yang disyaratkan oleh mahkamah tu. Duit boleh cari bang. Ketenangan rumah tangga kita, tiada ternilai harganya!” Pertama kali sejak berumah tangga dengan Idham, aku boleh berbicara panjang lebar sebegitu.
“Hisy... RM10, 000.00 nak bagi percuma begitu saja?  Abang dah buat rayuan tadi! Nasib baik dah diturunkan jumlahnya! Dari RM10,000.00 kepada RM5000.00 saja.  Itupun abang minta bayar secara bulanan. Sebulan RM1000.00! Tak guna punya perempuan!!!” Marah Idham masih belum reda. 
Aku pun tidak pasti samada Idham ada duit simpanan atau pun tidak. Jika tiada, mustahil. Nafkah untuk diriku pun tidak pernah diberi sejak aku menjadi isterinya. Segala keperluanku, aku gunakan daripada pendapatanku sendiri.  Namun, sebagai seorang isteri, aku bertanggung jawab untuk memberi ketenangan serta membantu kesulitan yang dihadapi suami. Apa juga hakku yang tidak dipenuhinya. Biarlah ALLAH yang menghukumnya nanti.
“Abang ada duit tak ni?”  Dengan lembut aku bertanya kepada Idham. Harapanku dia akan segera tenang. Walau pun tidak datang mendakap atau mengucup pipiku atas bantuan yang akan aku hulurkan, aku mengharapkan Idham dapat bercakap denganku dengan lemah lembut. Penuh kasih sayang. Seperti  suami isteri lain yang biasa aku lihat. Selalu aku dengar.
“Ahh! Tanya pulak! Kalau nak membantu tu, beri sajalah!  Tanya duit abang ada tak ada tu kenapa?”
Akhirnya seperti biasa dan kelazimannya, pada malam itu aku juga ditempelak. Keegoan Idham tidak pernah roboh.  Wajah bengisnya takut untukku tatap lama-lama. Aku beredar ke bilik mengambil kad ATMku, lalu kad itu aku serahkan kepada Idham beserta dengan nombor sulitnya sekali.
“Lidya ada simpanan sikit! Abang keluarkanlah berapa yang patut dan yang abang perlukan untuk selesaikan masalah abang itu!”  Dengan perasaan hati yang ikhlas aku memberitahu Idham. Jika aku menjadi isteri kepada lelaki lain, sudah tentu suamiku itu akan menerkam dan memeluk serta mencium aku bertalu-talu. Malangnya, aku menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Idham. Lelaki yang keras hati. Bengis. Ego. Takut martabat keegoannya gugur jika menunjukkan kemesraan dan kasih sayang kepada seorang isteri. Apatah lagi untuk membelai isteri. Akhirnya aku menjadi seorang isteri yang kesepian, kesunyian, kekosongan. Hatiku semakin lama semakin terbang tinggi. 
“Belakang hari jangan ungkit tentang ini! Abang tak minta! Tetapi Lidya yang beri!” Tanpa mengendahkan kad ATM yang aku letakkan di meja di hadapannya, Idham memberi amaran. Alangkah pilunya hatiku. Diriku, hatiku, perasaanku dan segala-galanya tentang aku bagaikan tidak berharga kepadanya.

BENARKAH kewujudan bakat berdusta atau mengesan dusta. Aku pun tidak tahu aku berada di golongan mana.  Mungkin hari ini aku berbakat untuk mengesan pendustaan yang dilakukan terhadapku. Atau mungkin juga ALLAH telah mengaturkan segala peristiwa untuk menunjukkan kebenaran kepadaku.  Mungkin untuk memberi kesedaran, mungkin untuk memberi ingatan kepadaku. Supaya aku lebih berhati-hati.
Pada suatu hari, selepas beberapa minggu kisah Idham disaman oleh jandanya, aku demam selesema. Aku terpaksa mengambil cuti dua hari. Ubat-ubatan, Idham hanya membelikannya di farmasi. Semenjak aku bernikah dengan Idham, sekiranya aku sakit, tidak pernah dia bertanyakan sama ada aku mahu ke hospital atau klinik. Selepas menghantar Idham ke muka pintu seperti selalunya, aku berbaring kerana kepalaku terasa berat. 
Tiba-tiba aku terbau benda busuk sehingga aku rasa nak termuntah. “Bau apa ni? Ada tikus mati ke?” Aku merungut-rungut sendiri. Kembang tekakku apabila sesekali bau bangkai menyinggahi lubang hidungku. Sepatutnya aku tidak terhidu apa-apa kerana selesema. Mungkin bau bangkai itu terlalu kuat sehingga menembusi deria hiduku. Kembang kempis hidungku mencari arah bau bangkai itu. Tidak cukup dengan itu, aku mengambil lampu suluh untuk menyuluh bawah katil, bawah almari mencari bangkai tikus.
“Atas bumbung agaknya!”  Aku cuba meneka. Penyapu lidi di tangan aku hulurkan dicelah-celah pintu. Manalah tahu, jika tidak bangkai tikus, bau busuk itu datang dari cicak yang mati dikepit daun pintu.  
Aku terus menyapu menggunakan penyapu lidi. Hidung, aku tutup dengan sehelai kain untuk melindungi habuk.  Walaupun tidak berdaya, aku harus berusaha juga untuk mencari bangkai tikus itu. Jika tidak, sakit kepalaku semakin bertambah dengan bau tengit dan pengit yang mencucuk hidungku.
“Kertas apa pula ni?” Bisik hatiku sebaik sahaja sapuan penyapu lidi mengeluarkan secebis kertas sebesar tapak tangan dari celah pintu yang bersawang.  Idham selalu menggantung seluar panjang yang digunakan untuk bekerja di dinding yang berhampiran pintu itu. Mungkin cebisan kertas itu terjatuh dari poket seluarnya. Sekeping resit terimaan bayaran oleh pejabat agama.

Di terima daripada En.Idham b. Ismail
Di bayar kepada 
 Pn.Nurhidayah bt Mahmud   RM 500.00
( bayaran nafkah bagi bulan Ogos )

Aku tersentak seketika. Air mataku, tanpa dipinta menitis dengan perlahan. Mengapa aku tidak henti menjadi mangsa pembohongan lelaki. Mengapa Idham tergamak membohongi aku? Mengapa? Aku tidak pernah menuntut apa-apa darinya.  Walaupun sebenarnya itu kewajipannya untuk memenuhi hakku. Aku hanya mahukan kejujuran. Jujurlah dalam rumah tangga ini. Teringat aku dua minggu lepas Idham ada memberitahuku yang dia telah mengeluarkan wangku.  Resit pengeluaran telah diserahkan kepadaku. RM1000 telah dikeluarkannya daripada simpananku untuk menjelaskan bayaran ansuran nafkah yang dituntut oleh jandanya.  Itulah yang dikatakannya kepadaku.
Aku percaya bulat-bulat. Aku terima segala kata-katanya tanpa bertanya satu patah perkataan pun. Kad ATM aku pun belum dikembalikannya kepadaku. Perbuatannya ini sungguh menikam hatiku.  Namun, kekecewaan itu harus kutelan. 
Akhirnya bangkai tikus kutemui juga di bawah katil di dalam gulungan tilam kekabu. Tilam yang masih belum digunakan itu telah tersimpan lama. Nasib baik tikusnya masih belum pecah isi perutnya. Namun, baunya amat busuk.  Tersedak-sedak dan termuntah-muntah aku sewaktu cuba membuang dan membersihkan tempat itu.

AKU selalu mengatakan kepada teman-temanku pada waktu dulu, setiap orang mempunyai impian.  Namun, ALLAH tidak akan menunaikan seluruh impian itu. Dalam sepuluh impian, mungkin ALLAH akan menunaikan sembilan daripadanya dan yang lagi satu terlalu perit untuk kita perolehi. Walaupun tidak hidup mewah seperti orang lain, berpakaian cantik dan ternama, emas intan berlian menyaluti tubuh, melancong ke sana sini dan sebagainya untuk keseronokan, namun aku bersyukur. Rezekiku tidak pernah putus. Namun, aku terlalu perit untuk mendapat kasih sayang dan kemesraan serta belaian daripada Idham. Idham suamiku.
“Lidya! Pihak pengurusan sudah nampak potensi you sejak you mula kerja di kilang ini. Walaupun kilang ini kecil, operatornya tidak ramai tetapi mampu capai target output kita!  Walaupun you hanya production clerk di sini, tetapi kami dimaklumkan  you selalu turun ke bahagian production dan quality qontrol untuk bantu dan tunjuk ajar mereka. You tak kedekut pengetahuan dan pengalaman yang you ada untuk meningkatkan prestasi kilang ini,” kata Mr. Leong Yok Chai, Pengurus Human Resources yang datang dari Prai untuk menemuiku. 
“Macam mana you boleh jalan production dengan mencapai target tanpa buat kerja lebih masa? Macam mana you susun operator tu semua?”  soalan daripada Mr Leong Yok Chai itu, aku jawab dengan senyuman  pada mulanya. “Liew, setiap hari buat kerja overtime! Tetapi output tak pernah capai target!” Lelaki China itu seolah merungut.
“Kami di Prai pun buat kerja setengah mati untuk capai target! Hari-hari kerja lebih masa. E 300 tu bukan model yang mudah! Susah! Komponen banyak.” Dia cuba mencungkil rahsia aku. “Macam mana di sini boleh capai target tanpa buat kerja lebih masa?” 
“Mr Leong, bukankah pihak pengurusan Perai dah tetapkan standard hours untuk model itu! Saya ikut apa yang telah ditetapkan. Setiap jam mesti capai 280 keping pcb yang sudah siap diperiksa oleh bahagian QC. Itulah yang saya buat.” Aku menerangkan satu per satu.
“Cuma di insert section tu, saya tak ikut sepenuhnya work instruction yang Prai beri, saya ubah sikit untuk memudahkan kerja operator!” Aku berterus terang. Bulat mata lelaki cina itu memandang kepadaku. Mungkin aku telah melakukan kesalahan kerana tidak mengikut peraturan yang telah mereka tetapkan.
“Setiap hari, production jalankan proses setiap peringkat sehingga selesai.” Aku menceritakan yang sebenarnya.
“Kualiti?” Lelaki Cina berkaca mata itu seolah menekan aku dengan pertanyaannya. Seolah apa yang aku lakukan sepanjang waktu menggantikan Liew Lin yang cuti bersalin adalah kesalahan besar.
“Ada reject, adalah laporan daripada QC Prai!” Aku tidak puas hati dengan cara wakil pentadbiran Prai itu menyoal aku.
“Sejam sekali, saya pergi audit kualiti di production!  Kepada operator semua saya dah ajarkan tentang kualiti.  Semua orang mesti capai target. Zero Defect...” Aku bersuara agak lambat dan perlahan.
“Kualiti mesti diperhati bermula dari operator yang pertama pada proses yang pertama lagi. Jangan harapkan checker atau orang yang terakhir.” Aku cuba menerangkan pendapatku. Hal ini aku perolehi sewaktu memegang jawatan Qc Inspector di syarikat lama.   
Mr Leong Yok Chai mengangguk
“Saya nak masuk production sekejap.” Lelaki Cina itu bangun dari kerusi dan meninggalkan aku seketika dan berjalan menuju ke  bahagian pengeluaran. Beberapa minit kemudian dia datang kembali ke tempatku.
So! Kami sudah bermesyuarat pada minggu lepas untuk memberi lebih tanggungjawab kepada you untuk mengendalikan kilang di sini.” Lelaki Cina itu terdiam seketika. Mungkin dia menunggu reaksi daripadaku.
Aku diam tanpa sepatah kata. Sungguhpun begitu, kotak fikiranku diburu dengan persoalan. Tambah tanggungjawab, gaji pun mestilah bertambah juga.
“Mengapa diam ni Lidya! Komenlah sedikit.” Mr Leong tersenyum lebar apabila melihatku masih dalam keadaan tenang. Seolah-olah tidak berminat yang dengan apa yang diperkatakannya.


                    ~~~BERSAMBUNG~~ 












Tiada ulasan: