PAGI itu, Aldi bangun dari tidur dengan kepala yang berat. Semalaman dia tidak lena tidur. Dia teringat Nurlisa. Gadis tempang yang telah ditempatkan di hati dalam diam, tetapi gadis menghilang diri secara tiba-tiba. Dan kini bekas bapa mertua bercadang untuk menjodohkannya dengan adik isterinya yang telah meninggal. Berganti tikar.
Sehingga ke pagi, Aldi keresahan di atas katil. Mujurlah hari itu hari
Ahad, dapatlah dia bangun lewat. Selepas solat subuh, dia menyambung tidur
kembali. Matanya terbuka apabila silau cahaya matahari menerjah ke wajahnya
dari pada jendela yang langsirnya telah ditarik ke tepi subuh tadi. Namun
sebaik sahaja bangun daripada tidur, dia melihat secebis nota yang terlekat di
meja tulisnya dan catatan di nota itu seolah menambah beban di atas bahunya.
Aldi!
Pengerusikan
mesyuarat bersama Berjaya Holding- 11.00 pagi. Semua fail berkenaan dengan
mesyuarat telah diletakkan di dalam kabinet di bilik pengarah urusan.
Sila hadir.
- Ayah-
Aldi mengeluh dengan keluhan yang amat berat apabila memikirkan
tanggungjawab yang akan terpikul di bahunya nanti. Matanya melihat ke jam
dinding. Baru pukul 9.00 pagi. Masih ada dua jam lagi sebelum mesyuarat
bermula. Melakukan pekerjaan
diminit-minit terakhir paling tidak disukainya. Biasanya dia akan mengambil
masa sekurangnya dua hari sebelum sesuatu mesyuarat bermula.
“Bibik! Bibik! Ayah pergi mana?” Spontan sahaja jarinya memetik punat
interkom, memanggil Bibik Sunarti yang berada di tingkat bawah.
“Terengganu,” jawab Sunarti perlahan.
Aldi berjalan deras menuju ke tingkat bawah. “Bibik, siapa yang letakkan
kertas ini di atas meja saya tadi?” Dia menunjukkan cebisan kertas yang
dibawanya sebaik sahaja berada di depan wanita itu.
“Bibik!” Orang tua itu menjawab
lambat-lambat sambil matanya merenung kertas di tangan Aldi.
“Mengapa bibik tak kejutkan saya?” Aldi bersuara separuh kesal. Hendak
disalahkan kepada siapa dia pun tidak tahu.
Pagi tadi selepas sembahyang subuh dia terlena kembali.
“Aduh! Bapak hanya suruh letakkan di atas meja! Bapak tidak suruh saya
ngejutkan nak Aldi! Habis tu bagaimana, ya?” Bibik Sunarti menggaru-garu kepala
yang tidak gatal.
“Mesyuarat! Dah lambat ni!” Aldi seolah merengus. Geram benar rasa hatinya dengan pembantu
rumah yang lurus bendul. Geram juga kepada ayahnya yang merancang mesyuarat
pada hari Ahad. Bukankah hari Ahad hari cuti.
“Hari ini hari Ahad! Hari cuti!” Bibik Sunarti cuba mempertahankan dirinya.
“Lain kali kalau ada pesanan daripada ayah saya, terus kejutkan saya!” Aldi
memberi arahan dengan nada perlahan.
Hendak dimarah pun tak ada gunanya. Wanita separuh umur itu memang sudah
difahaminya benar. Lurus macam bendul.
Datuk Haris
tidak faham mengapa Aldi tidak menyetujui tapak projek yang dicadangkan oleh
Makhfuz itu. Usahasama yang disarankan oleh Berjaya
Holding juga mendapat tentangan daripadanya. Dia angin satu badan sebaik sahaja
menerima laporan daripada Makhfuz yang Aldi tidak bersetuju dengan rancangan
asal Roda Emas untuk mendirikan rumah-rumah mewah di tapak setinggan yang
tanahnya sudah dibeli oleh Roda Emas.
“Dalam mencari keuntungan dan kekayaan, kita kena fikirkan kemanusiaan juga,
ayah! Rumah-rumah setinggan itu hendak dirobohkan, di mana pula mereka hendak
tinggal?” Suara Aldi sedikit tegas.
“Lebih baik membangunkan kawasan hutan daripada membangunkan kawasan
penempatan penduduk! Risikonya banyak! Kebanyakannya mereka orang miskin! Kalau
nak juga jalankan projek yang dicadangkan, beri mereka masa untuk cari tempat
tinggal yang lain!” Dia terkenangkan keluarga Mak Cik Hasnah yang miskin. Sudah
tentu orang lain yang duduk di situ pun senasib dengan keluarga itu juga.
“Atau kita sediakan rumah untuk mereka dahulu. Belilah satu atau
dua blok rumah flat dan jualkan kepada mereka dengan harga yang berpatutan.
Kemudian, bolehlah tapak setinggan itu kita dirikan dengan rumah-rumah yang
lebih baik, untuk dijual dengan harga yang sesuai dengan situasi sekarang ni.”
Aldi menyuarakan pendapatnya.
“Habis tu, tapak yang Berjaya
Holding cadangkan itu apa salahnya pula. Tidak ada
penduduk di sana. Tapi Di minta tangguhkan dulu beberapa bulan!” Datuk Haris merenung ke wajah Aldi yang kelihatan
keletihan.
“Memanglah tak ada penempatan di sana! Yang ada hanyalah pokok-pokok. Anak sungai dan air terjun. Ayah tak rasa
sayang ke hendak menghapuskan kehidupan dan mengubah keadaan muka bumi itu.
Timbus anak sungai, air terjun, tebang semua pokok untuk dirikan bangunan
komersial. Sistem ekologi kita akan berubah.” Aldi mula berhujah.
Datuk Haris terdiam seketika. Tanah itu telah
dibeli oleh Roda Emas. Harganya agak murah pada pandangannya.
“Takkan semua tempat kita hendak dirikan rumah! Kenalah tengok dan kaji sumber-sumber yang
sedia ada, faktor alam dan sebagainya lagi. Pembangunan boleh dilaksanakan
tetapi dalam waktu yang sama kita kena pelihara keindahan alam tu. Sayang jika
dicemarkan.” Aldi mengeluarkan
hujah-hujahnya. Dia memang cintakan alam semula jadi yang mendamaikan.
“Cadangan Aldi macam mana? Jika ada
bantahan, mesti ada cadangan baru yang lebih baik.” Datuk Haris seolah
mencabar. Dia masih merenung ke wajah anak sulungnya itu.
“Ada! Tapi saya sedang fikirkan terlebih dahulu. Beri saya sedikit masa.” Aldi memicit-micit dahinya beberapa kali. Urat-urat di otaknya terasa tegang.
Kosentrasi fikirannya kini bukan untuk
tugas-tugas yang menimbun di Roda Emas tetapi ialah bagaimana caranya dia dapat
membantu keluarga Nurlisa yang baru ditemui dan bagaimana caranya dia dapat
menemukan semula Nurlisa dengan keluarganya.
Keluarganya ditemui, Nurlisa pula entah di mana.
“Mungkin tempat itu sesuai dijadikan tempat berehat. Majukan kawasan itu
sebagai tempat pelancongan. Mungkin khazanah hutan dan alam sekitar di situ
boleh kita pelihara,” ujar Aldi lagi.
“Tempat pelancongan?” Datuk Haris menyoal kembali. Aldi tidak menjawab, sebaliknya dahi terus
berkerut. Rasa simpati terbenih di hati Datuk Haris melihatkan keadaan anak
sulungnya itu.
“Tempat pelancongan, tidak menguntungkan. Kena usahakan program-program
lain pulak untuk memajukan tempat itu. Promosi dan macam-macam lagi. Kalau
tidak, pembangunan di situ akan menjadi gajah putih. Terbiar. Berapa banyak dah tempat pelancongan di
negara ini terbiar...” Datuk Haris mengemukakan pendapatnya pula. Matanya merenung Aldi yang sedang
memegang-megang dahi dan memicitnya berkali. “Esok tak payah masuk pejabat
Aldi. Ayah beri cuti tiga hari. Pergilah berehat,” ujar.
“Baik, ayah. Saya berehat di bilik dulu. Sakit kepala dari semalam lagi. Agaknya saya kurang
tidur.” Aldi beredar dari situ dan meninggalkan ayahnya di ruang tamu.
“Hai, bang! Ada apa-apa masalah ke?
Berbincang dengan Aldi berjam-jam. Budak tu baru balik dari pejabat,
berilah dia rehat dulu,” sapa Datin Rabiatul lalu terus duduk di sebelah
suaminya itu.
“Makhfuz mengadu kepada saya, banyak projek-projek yang hendak dijalankan
dibantah oleh Aldi. Anak sulung awak tu terlalu memikirkan masalah orang lain
dan masalah alam!” Datuk Haris bersuara perlahan.
“Maksudnya?” Datin Rabiatul kurang memahami apa yang diperkatakan oleh
suaminya itu.
“Dia tak mahu ganggu kehidupan orang miskin. Robohkan kawasan setinggan. Dia sayangkan alam, sayangkan sungai,
sayangkan pokok-pokok, sayangkan air terjun. Tak mahu ubah kawasan itu untuk
jadikan kawasan perumahan.” Datuk Haris
menerangkan dengan lebih lanjut.
“Eloklah tu. Itu bermakna anak kita tidak mementingkan diri sendiri atau
keuntungan sendiri. Dia prihatin kepada nasib orang lain.” Datin Rabiatul bersuara
lembut.
“Kalau dia berterusan begitu, Roda Emas tidak boleh berkembang maju.
Bagaimana saya hendak menyerahkan teraju syarikat ini kepada Aldi?” Datuk Haris
seolah merungut.
“Maksud awak, Aldi mesti memiliki keperibadian yang mementingkan diri
sendiri, memikirkan keuntungan sahaja baru awak nak serahkan syarikat
kepadanya?” Datin Rabiatul bersuara dengan nada sinis.
“Aldi dah tak macam dulu lagi. Semenjak dia balik dari luar negara untuk
menyambung pengajiannya, dia dah berubah. Saya merasakan sesuatu, Tun. Saya
bimbang.” Datuk Haris menyuarakan
kebimbangan hatinya.
“Apa yang abang bimbangkan?” Datin Rabiatul menyoal lagi.
“Cubalah awak tengok dia. Saya rasa, saya ni lebih muda dari Aldi. Dari
muda saya tidak pernah nak menyimpan jambang seperti Aldi tu.” Datuk Haris
ketawa kecil di hujung bicaranya.
“Aldi anak saya, bang. Saya tahu,
dia tak akan melakukan sesuatu yang tidak betul. Biarlah dia nak simpan
janggut, jambang sepanjang mana pun, asalkan dia sihat, gembira dan bersemangat
untuk hidup. Abang nak Aldi jadi macam dulu ke? Asyik mengenangkan isteri yang
dah tak ada! Asyik duduk di atas kerusi roda?” Datin Rabiatul seolah
mengingatkan Datuk Haris.
“Hati saya selalu berasa tidak sedap sejak kebelakangan ini. Macam ada yang
tidak kena,” kata Datuk Haris dengan nada perlahan.
“Tak kena yang macam mana? Saya tengok Aldi tu
elok saja. Balik dari pejabat terus duduk di rumah. Memerap di bilik tu. Nak
joli-joli dan berfoya-foya macam orang lain tak ada. Nak keluar dengan
perempuan ke sana sini pun tak ada juga. Apa yang tak kenanya?” Datin Rabiatul
cuba merisik perkara yang tersembunyi di hati Datuk Haris tentang anak sulung
mereka.
“Dua hari lepas, saya ada masuk dalam bilik anak awak tu. Sajalah nak
tengok-tengok. Yalah. Dulu saya rasa risau apabila melihat dia menghimpunkan
gambar Arishal di seluruh bilik itu.” Datuk Haris berhenti berkata seketika.
“Sejak bila si Aldi tu melukis? Saya tahu dia
pandai melukis sejak sekolah dan mahir. Tetapi dulu dia minat melukis bangunan,
kapal terbang, kereta, motor dan seribu satu macam objek mati tu. Tidak pernah
saya melihat dia melukis wajah-wajah manusia...” Datuk Haris bercerita panjang
lebar.
Datin Rabiatul nampak tertarik dengan cerita daripada suaminya itu.
“Saya sangat kagum dengan kerja tangan dia, boleh buat pameran lukisan
suatu hari nanti. Awak pergilah tengok dan ‘melawat’ ke bilik anak lelaki awak
tu bila ada kelapangan. Ada sesuatu yang
amat mengejutkan.” Datuk Haris melontar senyuman yang penuh makna kepada
isterinya itu.
Mak Cik
Hasnah amat terkejut apabila menerima kedatangan Aldi pada pagi itu. Hari itu
hari Ahad. Sudah lima kali Aldi menziarahi mereka. Semua anak-anaknya sudah
mesra dengan Aldi. Menurut Aldi dia singgah mengunjungi Mak cik Hasnah
sementara ada tugas yang sedang dilakukan di kawasan itu.
“Mak cik tak tahu nak cakap macam mana lagi Aldi.” Adakah kerana segelas air yang diterima, anak
muda itu membalas budi yang
ditaburkannya itu dengan bantuan yang sebegitu.
“Mengikut rancangan syarikat tempat saya bekerja, tempat ini akan
dibangunkan dengan taman perumahan, kedai-kedai dan bangunan lain. Semua
rumah-rumah di sini akan dirobohkan.” Cerita Aldi sambil didengari oleh Mak cik
Hasnah dan kelima-lima anaknya yang mengelilingi Aldi.
“Habis tu... kalau kami pindah, macam mana nak jual nasi lemak lagi Abang
Aldi?” Hambali yang selalu petah melebihi daripada adik beradiknya yang lain
menyoal dengan matanya yang bulat merenung Aldi.
Lelaki itu tersenyum mendengarkan pertanyaan Hambali. Anak kecil yang sudah
punyai rasa tanggungjawab untuk menyara keluarga. “Berniaga, di mana-mana pun
boleh.Nasi lemak yang mak Hambali buat sedap. Di mana-mana pun boleh dapat
pelanggan.” Dia menggosok-gosok belakang Hambali yang duduk terlalu hampir
dengannya.
Hambali tersengih-sengih. Terasa dirinya dihargai walaupun sentuhan itu
hanya sekejap.
“Rumah yang abang kata itu, macam rumah ini ke?” Aina pula menyoal.
Matanya mengelilingi persekitaran rumah itu.
Walaupun buruk, dia terasa sayang.
“Hmm... baik sikit dari rumah ini. Bolehlah buat berteduh dari hujan dan
panas.” Aldi mengulum senyuman. Matanya merenung wajah Nuraina. Nuraina ada
iras-iras wajah Nurlisa. Hanya warna kulit
mereka sedikit berbeza. Nuraina berkulit
hitam manis.
“Sekolah!?” Faez, si bongsu pula menyoal. Matanya merenung wajah Aldi dan
paling lama di jambang lelaki itu.
“Sekolah? Hmm...” Aldi cuba mengingatkan lokasi rumah itu dengan sekolah
yang terdekat.
“Jangan bimbang. Tak begitu jauh.” Aldi terus menjawab dan melayani telatah
anak-anak itu dengan sabar. Hatinya benar-benar rasa gembira dan terhibur
apabila berada di kelompok keluarga itu. Dia tidak pernah menikmati suasana
yang begitu. Rumahnya selalu sunyi semenjak dia kecil, kanak-kanak, remaja
sehinggalah dewasa.
“Sewanya macam mana?” soal Mak Cik Hasnah bersuara “Jika duduk percuma, mak
cik tak mahu. Tapi kalau sewanya mahal sangat, mak cik tak mampu pula nant.”
Mak Cik Hasnah menegaskan pendiriannya. Dia terasa
malu kalau memperolehi sesuatu secara percuma. Walaupun keluarganya miskin, dia
tidak suka meminta-minta ke sana dan ke sini. Dirinya yang miskin akan terasa
bertambah hina jika meminta-minta di sana dan di sini. Pada anak-anaknya pun
dia sudah mengajarkan begitu.
“Hmm... tak begitu mahal mak cik. RM 80 sahaja. Hmm... beginilah saya
berbincang dengan tuan punya rumah itu lagi. Mungkin boleh dapat RM 60
sebulan.” Aldi terus memujuk Mak Cik Hasnah. “Kalau mak cik setuju, malam ini
bolehlah kita pindah. Tapi mak cik dan adik-adik semua jangan ceritakan hal ini
kepada jiran-jiran semua. Hal-hal meroboh rumah ini boleh mendatangkan
persengketaan! Nanti semuanya jadi
susah.” Dia merenung wajah anak-anak Mak Cik Hasnah satu per satu.
Bagai berjanji, mereka mengangguk-anggukkan kepala tanda memahami dan akan
patuh kepada kehendak Aldi.
“Habis tu, jiran-jiran yang lain macam mana?” Mak Cik Hasnah terkenangkan kawan-kawannya
yang lain. Maklumlah jiran-jiran merupakan
saudara-maranya yang terdekat.
“Jangan bimbang! Syarikat tempat saya berkerja tu sedang uruskan tempat
tinggal mereka. Seminggu dua nanti mereka akan berpindah juga ke rumah yang
lebih baik, kalau mereka bersetuju.” Aldi memujuk hati Mak Cik Hasnah.
Mendengarkan itu barulah senang rasa hati Mak Cik Hasnah untuk mengikut apa
yang dikatakan oleh anak muda yang telah dianggapnya sebagai anak itu.
Pada malam
itu, selepas sembahyang isyak Mak Cik Hasnah sekeluarga menaiki sebuah lori
kecil menuju ke rumah yang disediakan oleh Aldi untuk keluarga itu. Pemandu
lori memberitahu yang Aldi sedang menunggu Mak Cik Hasnah sekeluarga di rumah
yang akan diduduki oleh mereka.
Lebih kurang 30 minit perjalanan, lori pun berhenti di sebuah rumah batu
separuh papan setingkat yang sederhana besarnya. Aldi sudah bersedia menunggu di muka pintu sambil mengukir senyuman. Rumah
itu sudah dibelinya dengan harga RM48000. Tuannya sudah bersara daripada
perkhidmatan kerajaan dan ingin memulakan hidup baru di kampung halaman.
Walaupun rumah itu rumah lama, namun kelihatan cantik dan bersih. Aldi
sudah mengupah beberapa orang untuk mengecat serta membersihkan luar dalam
serta persekitaran rumah tersebut. Perabot-perabot yang diperlukan pun sudah
dibeli dan disusun.
“Masuklah. Inilah rumah yang mak cik dan adik-adik
akan duduk.” Aldi mempersilakan mereka semua masuk.
“Abang Aldi! Besarnya rumah ni? Takkan kami nak tinggal di sini?” Seperti selalu,
Hambali terlebih dahulu menyuarakan pertanyaan. Rumah tiga bilik itu bagaikan
istana baginya. Dalam kotak fikirnya sudah merangka-rangka. Satu bilik untuk mak. Satu bilik untuk Kak
Aina dan Kak Ani, satu bilik lagi aku dan abang Fitri serta Faez.
“Ya! Ini rumah yang abang sewakan untuk adik-adik semua duduk. Bolehlah
untuk berteduh. Macam mana? Setuju?”
Aldi mengusap-ngusap belakang Hambali.
“Wow... ini dah jadi istana untuk kami. Mak, seronoknya. Semua ada. Letrik, televisyen. Terima kasih,
bang.” Bagaikan kanak-kanak berumur empat tahun, Hambali menyondol-nyondol dada
Aldi dengan mesra.
“Nanti abang belikan komputer satu,” kata Aldi lagi. Dia gembira dapat membantu keluarga itu. Tambahan semenjak dia berkenalan dengan mereka, hatinya berasa gembira dan
terisi dengan keriangan dan kemesraan mereka adik beradik. Walaupun hidup dalam kemiskinan dan keperitan
hidup, mereka tetap bekerjasama untuk membantu Mak Cik Hasnah. Keluarga itu penuh dengan kasih sayang.
“Wah...” Hambali bertambah ceria. Kalau boleh dia ingin mendukung dan
menjulang lelaki itu yang terlalu baik pada pandangan matanya.
“Aldi, mak cik tak tahu nak balas budi baik Aldi macam mana!” Suara Mak Cik
Hasnah dengan nada sebak.
“Mak kasihilah saya macam anak sendiri. Adik-adik semua sayangilah Abang
Aldi sebagai abang kandung sendiri. Itu pun sudah memadai.” Aldi bersuara
tulus. Kadangkala bibirnya begitu mesra untuk membahasakan Mak cik Hasnah
sebagai ‘mak’.
“Kau orang mesti belajar rajin-rajin tau. Tolong mak.” Aldi memandang wajah anak-anak Mak Cik
Hasnah.
Mak Cik Hasnah turut tersenyum. Memang benarlah janji Allah. Di sebalik
kesukaran akan datang kemudahan.
Sekiranya bersabar dengan ujian kesusahan dan kemiskinan, insya-allah,
Allah akan memberi rezeki daripada sumber yang tidak diduga.
‘Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya
jalan keluar dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan
barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah
telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.’ Itulah maksud ayat 1000
dinar yang sering dibaca oleh Mak Cik Hasnah setiap kali selepas solat. Dia
juga mengajarkan anak-anaknya supaya mengamalkan ayat tersebut setiap kali
selepas bersembahyang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan