Khamis, 25 Oktober 2012

Novel:Redha TakdirMU(Bab 20)




PETANG itu aku pulang ke rumah dari tempat kerja dengan senyuman melebar di bibir. Tidak sabar rasanya untuk mengkhabarkan berita terbaru itu kepada suamiku.
Selepas aku selesai sembahyang asar, terdengar bunyi kereta berhenti di hadapan rumah. Aku tahu Idham sudah pulang.  Bunyi enjin kereta prebet sapu yang selalu menghantar Idham balik ke rumah amat aku kenali. Sehingga waktu itu, kami masih belum memiliki kereta. Puas aku memujuk Idham supaya membeli kereta, dia tetap enggan. Kesudahannya, aku dimarahi lagi. Sedangkan aku tahu kemampuan Idham. 
Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membayar tambang kereta prebet sapu selama sebulan, lebih dari cukup untuk membayar ansuran kereta setiap bulan. Namun, Idham tetap berdegil. Pendapat yang kuberikan langsung tidak diterima.
“Abang...” Seperti biasa aku menyambut Idham di muka pintu. Bersalam dan mencium tangannya.
“Abang...” Aku menghulurkan sampul surat yang aku terima di kilang tadi kepada Idham. Harap-harap Idham turut bergembira dengan berita itu.
“ Surat apa ni? Sabarlah. Tunggu abang berehat dulu!”  Idham mula merungut sambil membuka kemejanya. Akhirnya sampul surat itu dibukanya juga. Matanya membaca tulisan di dada kertas itu sambil berjalan perlahan menuju ke kerusi rotannya. 
“Oh... baguslah.” Itu sahaja yang diucapkan oleh Idham. Dia melabuhkan pinggulnya di kerusi.
Alangkah sedihnya rasa hatiku. Isteri dinaikkan pangkat daripada kerani pengeluaran ke penyelia, Idham hanya menjawab begitu? Sahlah aku tidak ada tempat di hatinya.  Jika tidak mahu memeluk aku tanda kegembiraan, sekurangnya ucapkanlah tahniah untuk seorang isteri.
“Naik pangkat bukannya penting sangat! Yang penting duit.”  Begitulah komen Idham apabila melihat aku terdiam kerana reaksi yang diberikan olehnya. Kekecewaan di hatiku semakin berakar.
“Tambah berapa gajinya?” Seperti biasa Idham terlalu prihatin pada wang yang akan aku perolehi.  Matanya merenung ke wajahku di sebalik cermin mata yang dipakainya.
“RM250.”  Aku menjawab sejujurnya tanpa berselindung apa-apa pun. Bagiku RM250 itu sangat banyak.
“Jadi jumlah gaji semua berapa sekarang?” Idham masih merenung kepadaku.
“RM 900 lah! Sebelum ni, gaji Lidya RM650. Itu gaji pokok saja.” Aku bersuara perlahan dengan senyuman.
“Jadi supervisor dengan gaji RM900, Lidya ingat banyak ke? Habis tu Lidya terimalah? Tak ada tawar menawar lagi?”  Idham terus menyoal. 
Aku membisu. Fikiranku sahaja yang merungut-rungut.  Tak tahu bersyukur ke suamiku ini?
“Syukurlah tu bang! Kan ada attedance allowance dan insentif allowance lagi! Masuk allowance semua dah RM1050.  Alhamdulillah. Lagipun tempat kerjanya dekat saja. Lidya pergi dengan basikal. Tak payah guna wang untuk pakaian cantik, kasut tumit tinggi, beg tangan, aksesori lain! Okeylah tu.”  Aku tertakut-takut menjawab dan memberi pendapat.
“Kita bukan duduk di Kuala Lumpur.  Kos hidup di sini masih rendah. Kelulusan Lidya hanya STPM saja! Di luar sana ramai lagi para siswazah yang ada ijazah bergulung-gulung dan diploma masih tak ada kerja dan tak dapat satu ringgit pun!  Cukuplah, dapat banyak itu pun, asalkan berkat.” Aku masih bersuara perlahan dan lembut.
“EPF?” Idham tidak pernah puas menyoal jika berkaitan dengan wang.
“Alaa! Tolak EPF bukannya banyak! 11% saja. Boleh ditampung balik dengan pendapatan dari kerja lebih masa.”  Aku menjawab lagi sambil beredar dari sisi Idham. Memang benar, kadangkala pendapatanku untuk kerja lebih masa pun hampir RM300 sebulan.  Kerja lebih masa pada hari Sabtu dan Ahad sekiranya memerlukan.
“Nak ke mana pulak tu? Abang belum habis bercerita.”  Idham menarik tanganku supaya duduk semula di sisinya.
“Nak memasaklah, bang! Abang belum minum petang lagi.”  Aku masih berdiri di hadapannya.
“Duduk!” Suara Idham melengking. 
Aku terpaksa menurut.
“Bayaran ansuran telekom tu dah selesai ke?” Idham mula bercerita. 
Aku mengangguk. Alhamdulillah.  Habis satu bebanan hutangku. Terasa lega hatiku. Lima enam bulan lagi, bolehlah aku memujuk Idham sekali lagi supaya membeli kereta untuk keperluan kami.
“Abang ada teringat, Lidya teringin  kabinet kayu di dapur tu! Macam yang kita tengok dalam majalah tempoh hari, abang pun berkenan juga.”  Idham terus bercerita. 
Aku takut untuk menyampuk atau bertanya apa-apa.  Idham akan marah jika aku berbuat begitu sewaktu dia sedang bercerita.
“Secara kebetulan, pejabat tempat abang kerja sedang diubah suai! Abang dah tanya dengan tukang kayu yang sedang buat kaunter di pejabat abang tu! Abang pun suka dengan hasil kerjanya. Kemas. Kreatif! Dia kata kabinet dapur macam itu lebih kurang RM 4200. Tapi! Dengan abang dia bagi special price. Dia tak ambil harga upah tukang, cuma harga barang-barang saja! RM 3200.” Idham terdiam. Dia menunggu jawapan daripadaku.
“Suka hati abanglah. Abang kata baik, Lidya ikut saja.”  Aku bersuara perlahan. Sememangnya sejak berkahwin dengan Idham, aku tidak pernah membantah apa-apa pun. Walaupun dia tidak mengizinkan aku pulang menjenguk orang tuaku selama bertahun, aku tetap bersabar. Walaupun dia selalu marah-marah, membiarkan diriku tanpa kemesraan berkasih sayang sebagaimana yang harus dinikmati oleh seorang isteri, aku tetap setia.
“Duitnya macam mana? 50-50 Lidya setuju ke?” Suara Idham seakan memujuk. 
“RM 1600 seorang? Bolehlah! Bila nak? Esok ?”  Aku segera memberi persetujuan. Walaupun pernah ditipu sebelum ini, aku mempercayai kata-kata Idham tanpa ragu. Suami isterilah katakan.
“Hisy... hisy! Lidya ni! Hai, mentang-mentanglah dah naik pangkat, jangan berlagak sangat!” Tengok, kesudahannya bibir Idham tidak pernah serik untuk menuturkan sesuatu yang menyakitkan hati serta melukakan perasaanku.
“Okeylah Lidya, pergilah siap-siap untuk minum petang!  Tadi abang ada beli mee kari dan sedikit kuih! Buat air panas saja! Abang nak mandi dan sembahyang asar.” Suara Idham semakin mengendur sambil dia bangun dari kerusi dan menuju ke dalam bilik untuk menyalin seluar.
“Oh! Tadi Lidya tak sempat tengok! Terima kasihlah, bang! Tak payahlah Lidya masak petang ni.” Aku bersuara girang.  

Tiada ulasan: