Khamis, 25 Oktober 2012

NOVEL:Kasihnya DIA (Bab 21)


Malam ini sunyi dan damai. Gemersiknya angin yang bertiup lembut menembusi jendela yang sengaja dibuka. Siapakah yang dapat mendatangkan kedinginan kerana hembusan angin itu? Hanyalah TUHAN yang memiliki kerajaan bumi dan langit.
Dari petang tadi, Rina Melati bermenung. Dia masih berbaju kebaya lace putih dan bertudung putih bermanik serta berlabuci. Air mata mengalir di pipinya yang halus serta licin. Jarinya meraba-raba cincin yang menghiasi jari manisnya. Sekelip mata segalanya berubah.
Gadis itu memejamkan matanya. Matanya terbayang wajah Khalid. Khalid yang terus menagih cinta daripadanya. Wajah Umar juga terbayang di ruang mata. Umar yang suatu dulu ingin diraih cintanya, namun hasrat tidak kesampaian. Cintanya kecundang pada malam yang melakar sejarah ngeri. Sehingga kini, nasib Umar tidak diketahui sama ada hidup atau mati.
Di jari manisnya yang kanan, masih tersarung cincin yang serupa dengan cincin yang dimiliki oleh Umar. Sengaja dia menempah sepasang. Cincin yang dihadiahkan kepada Umar, suasa, manakala untuk dirinya sendiri dibuat dari emas.
Air mata Rina Melati bertambah lebat. Ketukan di pintu kamar melenyapkan lamunannya. Segera dia membuka pintu. Hari-hari sebelumnya dia tidak pernah berdebar seperti itu apabila Datuk Johan datang bertandang ke rumah.
Rina Melati tergamam di muka pintu sambil memandang Datuk Johan yang memakai baju T kuning air dan berseluar hitam. Lelaki itu merenung ke arahnya sambil tersenyum.
“Assalamualaikum!”
Sapaan Datuk Johan tidak mampu dijawab. Lidah Rina Melati seolah dirantai dan tidak boleh berkata.
Datuk Johan tersenyum lagi sambil mengusap-ngusap pipi wanita itu perlahan. “Sudah lewat malam ni. Mengapa Melati belum tidur? Pakaian pun belum ditukar sejak petang tadi.
Rina Melati diam. Dia benar-benar rasa asing. Dunianya kini sudah jauh berbeza.
“Tak solat?” Datuk Johan bertanya ringkas. Hairan juga hatinya apabila melihat diri Rina Melati masih seperti keadaannya petang tadi.
“Melati uzur,” jawab Rina Melati perlahan sambil menundukkan wajahnya.
Datuk Johan tersenyum mengerti lalu bergerak menuju ke katil. Rina Melati masih terpacak di muka pintu. “Mari duduk di sini!!” katanya sambil menepuk tilam disebelahnya meminta Rina Melati duduk di situ.
Rina Melati menuruti kata-kata lelaki itu. Datuk Johan menyerahkan sebuah kotak yang berada ditangannya kepada Rina Melati. Kotak berbaldu biru.
“Ini hadiah daripada saya. Melati bukalah,” ujar Datuk Johan.
Rina Melati membuka penutup kotak itu. “Astaghfirullahalazim... nak buat apa ni, Datuk?” soalnya sebaik melihat isi di dalam kotak itu. Dia terkejut dan teruja melihat isi di dalam kotak tersebut. Dia teruja dengan silau batu-batuan yang menghiasi rantai leher, gelang tangan, cincin dan beberapa perhiasan wanita yang sudah tentu amat mahal harganya itu. Dia menutup penutup kotak itu kembali tanpa mengeluarkan walau satu barang pun untuk dicuba atau dilihat dengan jelas.
“Datuk! Saya tak mahu semua ini. Saya tidak layak terima barang-barang yang amat mahal dan indah ini.” Kotak itu dikembalikannya kepada Datuk Johan.
Lelaki itu sedikit terkejut. Bukankah emas, permata berlian menjadi kesukaan para wanita. “Melati akan lebih cantik lagi kalau memakai barang-barang ini.” Datuk Johan cuba memujuk sambil mengusap-usap pipi wanita muda itu. 
“Kalau Datuk mengganggap kecantikan seorang isteri kerana barang-barang perhiasan ini, saya akan pakai sewaktu di rumah,” jawab Rina Melati perlahan lalu mengambil semula kotak itu lantas mengeluarkan isinya. Dia mengacu-acukan rantai leher, gelang tangan ke tubuhnya.
“Cantik...” Datuk Johan memuji sambil tersenyum girang.
“Terima kasih,” ucap Rina Melati sambil mencium tangan Datuk Johan.
Semakin kembang hati lelaki itu kerana layanan baik daripada isteri yang baru dinikahinya. Datin Jazima tidak pernah pun mencium tangannya begitu.
“Tapi biarlah hadiah ini yang pertama dan yang terakhir,” ujar Rina Melati.
“Melati, bukankah wanita suka perhiasan seperti ini?” Datuk Johan menyoal lembut dan tenang. Wajah wanita itu ditenungnya sekali lagi. 
“Harta benda, emas permata, zamrud manikam takkan selamatkan Melati daripada api neraka. Melati sudah banyak melakukan dosa.” Lagi sekali kenangan silam mengganggu fikirannya. Titisan air mata menitis di pipinya semakin lebat.
“Melati,” ujar Datuk Johan sambil memegang dagu wanita itu. Lantas menarik tubuh Rina Melati ke dalam dakapannya. Alangkah terharu perasaannya mendengar titipan kata-kata daripada isteri yang baru dinikahinya itu.
“Terima kasih kerana sudi menerima saya.  Satu minggu tiga hari saya akan bersama Melati. Tiga hari bersama Datin Jazima” terang Datuk Johan selepas merenggangkan tubuh Rina Melati dari tubuhnya seketika. Tangannya mencapai tangan Rina Melati pula lalu diletakkan di atas pangkuannya.
“Malam minggu, selang seminggu” Begitu ungkapan Datuk Johan tentang hari-hari yang akan dilalui oleh mereka. Rina Melati menggangguk tanda faham. Tidak terduga, jodohnya secepat itu. Harus berkongsi kasih dengan wanita lain pula. Jarang-jarang telinganya dapat mendengar hidup bermadu itu penuh dengan kemanisannya. Yang sering diceritakan, kepahitan yang harus ditelan melebihi hempedu.
“Mulai esok, Melati kena ubah cara berpakaian Melati. Tutup aurat sewaktu keluar dari rumah” Datuk Johan bangun seketika lalu mengambil satu sampul surat di dalam laci almari pakaian.  Ada sekeping foto Rina Melati berjubah dan bertudung. Penampilannya bertambah menarik dan anggun dalam busana yang menyaluti tubuhnya itu. Foto itupun diperolehinya dari Rio Irawan.
“Di rumah anak yatim dulu, mereka ada ajar tentang Fardu Ain dan lain-lain? Al-Quran?” Datuk Johan bertanya dengan lembut. Rina Melati mengangguk-anggukkan kepala. Dia terasa malu teramat sangat.  Sudah lama dia tidak solat. Tidak menyentuh al-Quran. Sejak peristiwa hitam itu. Sejak dia bertemu dengan Khalid.
“Melati kembalilah ke jalan itu. Saya akan bawa. InsyaALLAH” Datuk Johan meraih tubuh gadis yang berada di hadapannya ke dalam dakapannya sekali lagi. Tanpa dapat ditahan, tangisan Rina Melati terus meledak. Hatinya berasa ngilu. Sungguh ngilu apabila mendengar kata-kata Datuk Johan.
 “Melati dah banyak dosa!!! Melati malu!!” bisik Rina Melati sambil menekup mukanya dengan kedua tapak tangannya. Dia menangis teresak-esak. Segala peristiwa hitam yang pernah dilalui bagaikan tertayang di ruang mata. Sekarang baru dia tahu mengapa lelaki yang boleh dipanggil bapa itu ingin menikahinya.
 “Tidak ada manusia suci yang tidak mempunyai kisah silam yang kelam! Melati cari dan baca buku yang banyak menceritakan tentang insan-insan cemerlang dalam sejarah Islam” Dalam suara tenang, Datuk Johan memujuk lagi. Dia yakin dapat mendidik wanita muda itu yang nampaknya mudah untuk dinasihati. Sentiasa lembut dan pasrah.
“Yang pentingnya di sini!!” Datuk Johan memegang dada kirinya. “Jaga hati Melati sehingga ia menjadi sebuah permata yang bernilai! InsyaALLAH, segalanya akan menjadi baik. Mungkin lebih baik daripada orang yang hidupnya tidak pernah melakukan sebarang dosa” Datuk Johan bersuara perlahan.
 “Selepas insaf dan bertaubat, melakukan amal ibadah semata-mata kerana Dia yang telah menciptakan kita, InsyaALLAH dengan pertunjuk hidayah yang akan diberi olehNya, insan yang pernah melalui sejarah hitam itu lebih mulia lagi dari orang yang tidak pernah melalui detik hitam” Sambung Datuk Johan lagi apabila melihat Rina Melati mendiamkan dirinya apabila dinasihati.
“Melati pernah mendengar atau membaca cerita tentang Rabiatul Adawiyah?’. Sambung Datuk Johan lagi. Rina Melati tidak menjawab. Namun kisah tentang wanita yang digolongkan di dalam golongan sufi itu pernah menarik perhatiannya satu ketika dulu.
  “Terima kasih!!!!!!” Di tengah kesedihannya itu dia cuba untuk memesrai hatinya dan hati Datuk Johan yang telah menjadi suaminya beberapa jam yang lalu. Datuk Johan senyum gembira apabila melihat wajah gadis itu tidak lagi mendung seperti tadi. Semoga ALLAH memberkati niatnya untuk melindungi gadis itu.
“Kita sama-sama mencari keredhaan ALLAH dengan ikatan pernikahan ini” Datuk Johan mengucup dahi Rina Melati. Hanya sekali namun penuh kelembutan.
”Saya akan bimbing Melati” janji Datuk Johan. Rina Melati hanya mengangguk-anggukkan kepala dan selepas itu melentukkan kepalanya di atas bahu lelaki yang baru menjadi suaminya itu.
“Tidak mengapa kalau saya tinggalkan Melati sendirian di malam ini??” soal Datuk Johan. Wajah Rina Melati ditatapi berulangkali dengan rasa simpati. Wajah yang mampu menundukkan mana-mana hati lelaki. Namun, bukan nafsunya yang menjadi keutamaan di dalam pernikahan itu.
“Boleh?” ulang Datuk Johan lagi sambil menggenggam tangan isterinya itu. Bukankah tali perkahwinan itu sesuatu yang indah. Malam perkahwinan malam yang penuh kenangan bagi kebanyakan orang. Sanggupkah isteri yang baru dinikahi itu ditinggalkan sendiri pada malam perkahwinannya?
Datuk Johan menanti bibir gadis itu menuturkan kata-kata, namun sebaliknya Rina Melati hanya mengangguk dengan senyuman.
“Biar Melati bersendirian malam ni.” Akhirnya bibir munggil milik Rina Melati mengungkapkan juga kata-kata itu, penuh ketulusan dan rela. Jejarinya membalas genggaman tangan Datuk Johan yang bibirnya masih lagi mengukirkan senyuman.  Mereka saling berpandangan sekali lagi.
“Datuk jangan lukakan hati Datin disebabkan Melati. Melati faham, hari ini mesti hati Datin hancur dan remuk berkecai!” Sambil menundukkan mukanya memandang lantai, Rina Melati mengucapkan kata-kata itu.
Datuk Johan semakin tersentuh dengan hati yang dimiliki oleh isteri mudanya itu. Kalau hari pertama pun sudah sanggup berkorban, entah-entah hari yang mendatang, isterinya yang ini akan menjadi korban Datin Jazima, jika dia tidak bersungguh-sungguh dan bertegas menjaga. “Melati!” bisik Datuk Johan. Sebuah kucupan lembut dan halus hinggap di dahi Rina Melati sekali lagi. 

Tiada ulasan: