HARI ini, hari Sabtu. Malam giliran Datuk Johan berada di sisi Rina Melati.
Walau tidak menghubungi dan bertanya khabar berita, dia tetap percaya yang
Datuk Johan akan menunaikan janjinya. Selepas hari pernikahan, mereka belum
pernah berjumpa lagi. Datuk Johan juga tidak menghubunginya melalui telefon
sebagaimana biasanya. Panggilan telefon daripada Rina Melati pun tidak
berjawab.
Ingin menghubungi ke pejabat, terasa
bimbang pula. Kebanyakan kakitangan di JJ Holding, tahu tentang pernikahannya
dengan Datuk Johan. Ramai yang tidak bersetuju dan ramai juga
yang mengumpat keji. Jika dia menghubungi pejabat untuk bertanya khabar tentang
suami yang baru dinikahi, tentu ramai yang akan memperli dan menyindir serta
memulangkan paku buah keras. Mahu tidak mahu, dia akan menunggu kepulangan
Datuk Johan dengan sabar.
Pagi tadi dia sudah pergi ke pasar yang berdekatan.
Niat di hati, ingin menyediakan juadah untuk suami yang belum sempat dicintai.
Cinta atau benci, Datuk Johan sudah menjadi suaminya. Segala tanggungjawab
sebagai isteri, jika boleh dia ingin lunasi seadanya. Tidak sempat bertanya
apakah makanan kegemaran Datuk Johan.
Warna senja melabuhkan tirainya. Sudah 12.00 tengah malam, suami yang dinanti belum lagi
tiba di sisi. Rina Melati mengeluh seketika. Mungkin Datuk Johan sibuk bersama
Datin Jazima. Tetapi mengapakah dia tidak berhubung untuk bertanya dan
memberitahu khabar berita? Terlintas dibenaknya, kemungkinan Datuk
Johan diserang sakit jantung sekali lagi.
Akhirnya Rina Melati terlena di sofa
panjang dengan rasa kecewa dan sedih yang tidak diucapkan. Hingga di saat dia
melelapkan matanya, langsung tidak ada perkhabaran daripada suaminya.
KETUKAN di pintu pada awal pagi esoknya mengejutkan Rina
Melati yang sedang mengelamun di hadapan di ruang tamu. Wajah mendungnya
berubah ceria. Akhirnya suami yang ditunggu muncul juga.
Dia terpempan seketika sebaik daun pintu
terbuka. Seorang lelaki muda berada di hadapan
matanya. Wajah ceria bertukar hampa.
Rina Melati yang pada ketika itu hanya
berskirt pendek berwarna merah dengan blaus tidak berlengan berwarna putih
fabric tipis, bungkam tidak bersuara. Ingin menutup kembali daun pintu tanpa
berkata apa-apa bimbang dikatakan biadap.
“Err... encik cari siapa?” Spontan bibirnya
bertanya sambil menjilat bibirnya seketika kerana dirasakan bibirnya kering.
Lelaki yang masih berada di sebalik pintu
gril besi melemparkan senyuman. Matanya menyinggahi ke susuk tubuh wanita di
hadapannya. Matanya berasa senang. Hidungnya turut berasa senang dengan bauan
harum dari rambut dan juga dari tubuh wanita itu yang mungkin baru lepas mandi.
Matanya singgah agak lama ke arah dada Rina Melati yang berisi serta dibaluti
blaus nipis yang menampakkan lace anak baju yang dipakainya. Lama anak matanya
singgah di situ. Matanya amat tertarik dengan pemandangan di situ. Hatinya
menjadi semakin senang. “Boleh saya masuk?” Soalnya dengan suara lunak.
“Suami saya tidak ada di rumah!” Tanpa ragu
Rina Melati menjawab. Matanya merenung ke wajah itu. “Encik cari siapa?”
soalnya lagi.
Lelaki itu tersenyum lagi. “Rina Melati!
Saya nak ambil awak ke rumah saya,” beritahunya.
Kata-kata itu tambah mengelirukan Rina
Melati. Datang tidak diundang, tiba-tiba ingin
membawanya pergi. “Encik ni siapa?” soalnya lagi. Pertanyaan yang sama
diulangi. Dahinya berkerut sambil melihat lelaki di hadapannya dengan mata yang
mengecil.
“Saya Anas, anak Datuk Johan,” beritahu
lelaki itu.
Kalau anak Datuk Johan, bermaksud lelaki
itu telah menjadi anak tirinya. Sejenak terlintas difikiran Rina Melati
kata-kata itu. “Oh, maaf!” kata Rina Melati. Barulah dia perasan yang dia
pernah bertemu dengan Anas di hospital. Tangannya segera membuka kunci pintu
gril dan Anas yang berada di luar menarik daun pintu gril keluar. Seketika
tubuhnya membolosi ruang pintu itu.
“Saya ingat nak tunjukkan kad pengenalan
tadi!!” kata Anas, cuba bergurau.
“Rina Melati!” panggil Anas. Spontan pula
tangannya memegang tangan Rina Melati, konon-konon untuk bersalaman dengan ibu
tiri. Ibu tiri muda dan menggoda.
“Err... err... du... duduklah,” pelawa Rina
Melati tergagap-gagap. Dia mempersilakan Anas duduk di sofa. Perasaannya jadi
tidak tentu arah. Tidak pernah membayangkan yang dia akan mempunyai anak tiri
yang lebih tua daripada dirinya.
“Aa... Anas duduklah. Sa... saya salin
pakaian. Mengapa dengan Datuk Johan?” Terlontar juga
pertanyaan itu dari bibirnya. Nadanya sedikit cemas. Anas tidak menjawab.
Tubuhnya dihumban di atas sofa.
“Dah minum? Saya buatkan air,” kata Rina
Melati.
“Tak usah! Cepatlah bersiap. Saya tunggu,”
beritahu Anas menolak pelawaan Rina Melati.
Rina Melati mengangguk kemudian
menghilangkan diri. Pintu bilik dikuncinya rapat. Dadanya berdebar-debar. Baju
kurung hijau berbunga putih dan tudung putih menyaluti tubuhnya. Tidak sampai
15 minit, dia sudah berada di hadapan Anas.
Terperanjat lelaki itu apabila melihat ibu
tiri muda yang berada di hadapannya. Rina Melati lebih cantik daripada tadi. Anas
menggigit jari. Aduhai seribu sekali sayang!
“Mengapa pakai begini?” soalnya spontan. Hatinya diintip kecewa kerana
tidak dapat melihat rambut wanita muda itu. Rambut yang memikat hatinya itu
tersembunyi di sebalik tudung.
Rina Melati diam seketika. Tidak tahu untuk
memberi jawapan yang dapat memuaskan hati lelaki itu. “Dah kewajipan. Lagipun
Datuk suruh saya kembali seperti dulu!” Suaranya sedikit sebak.
Anas tidak menyoal lagi apabila dilihatnya
wajah Rina Melati bertukar mendung. Namun, jawapan yang diberi bagaikan
misteri. Dulu dan sekarang apa bezanya? Mereka segera bergerak meninggalkan
rumah itu, menuju ke lif.
Sampai sahaja di tempat parkir kereta, Anas
membukakan pintu kereta untuk ibu tirinya itu.
Rina Melati membisu tanpa sepatah kata di
sepanjang perjalanan menuju ke rumah suaminya. Dia cuba mengelak diri dari
menjawab pertanyaan-pertanyaan yang bakal terbit dari bibir lelaki yang sedang
memandu di sebelahnya. Gemuruh dadanya apabila Anas memarkirkan kereta di ruang
parkir kereta yang terletak di sebelah kiri rumah bunglo 3 tingkat itu.
Benarkah ini rumah Datuk Johan? Berbisik persoalan itu di sudut hatinya.
“Ha!!! Permaisuri muda sudah tiba!” Ada
suara perempuan yang menerjah ditelinganya diikuti oleh bunyi tepukan tangan.
Datin Jazima menghampiri Rina Melati dan merenung wajah madunya itu dengan mata
mencerlang.
“Anas, pergi bawa perempuan ni jumpa dengan
suaminya!” arah Datin Jazima sambil bercekak pinggang dan bersuara kuat.
Rina Melati tersentak. Perasaannya
bertambah gundah. Disangkanya perkahwinan itu satu alam yang amat indah,
dibanjiri oleh kasih sayang yang melimpah ruah. Apakah kini dia telah
melangkahkan kakinya ke dalam mahligai penderitaan yang akan meratah hati,
mencincang jiwa serta melumatkan impian kebahagiaannya?
Datin Jazima menepis tangan Rina Melati
yang ingin berjabat salam dengan kasar.
Anas memberi isyarat mata supaya Rina
Melati mengekorinya.
Satu demi satu Rina Melati mengatur langkah
menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Debaran dalam dadanya bagai dipalu.
Anas menolak daun pintu kayu di kamar Datuk
Johan. Rina Melati terpaku seketika di ambang
pintu, sebaik sahaja daun pintu kayu itu terkuak. Seolah gelap pandangan matanya apabila melihat Datuk Johan terlantar di
atas katil dan tidak bergerak. Hanya matanya terkebil-kebil seolah-olah
mengucapkan selamat datang kepada Rina Melati. Rina Melati, isteri muda yang
tidak sempat disentuhi walau sekali.
Rina Melati berjalan perlahan-lahan
menghampiri katil. Walaupun air liur yang ditelan seolah racun yang memasuki
kerongkongnya, bibirnya tetap mengukirkan senyuman sebaik sahaja pandangan
matanya bertembung dengan mata suaminya itu. ‘Oh Tuhan! Berilah aku kekuatan untuk menempuhi segala ujian
daripada-MU.’
Hati kecilnya membisikkan kata-kata itu,
bagi membujuk hatinya sendiri. Hatinya yang seolah disiat-siat. Air matanya
mengalir tanpa dipinta melihat keadaan Datuk Johan. Lelaki yang selalu ceria
dan menunjukkan kasih sayang kepadanya, kini terbaring tidak berdaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan